Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1168

Bacaan






Bab 17

“Macam mana? Jumpa tak?” Tanya Datuk Aziz tidak sabar.

“Sabar lah Datuk. Penat pun tak hilang lagi ni. Sekurang-kurangnya Datuk suruh la si Zura tu bawak masuk kopi secawan ke.” Sengaja Mamat ingin membakar perasaan Datuk Aziz kerana dia tahu lelaki itu sudah tidak sabar ingin tahu maklumat-maklumat yang diperolehinya. Datuk Aziz mendengus serta menjeling Mamat tetapi jarinya menekan juga butang intercom di atas meja.

“Zura, bawa masuk dua cawan kopi O panas,” arah Datuk Aziz. Apabila jarinya melepaskan butang intercom, terus pandangannya tajam memandang ke wajah Mamat semula.

“Haa cepat. Apa yang kamu dah dapat selama lima hari ni?” tanya Datuk Aziz lagi semakin tidak sabar. Mamat seperti biasa hanya tersengeh-sengeh memandang majikannya sebelum dia kemudiannya menoleh ke kanan kemudian mengambil beg sandang hitamnya yang diletakkan di atas kerusi. Dari dalam beg tersebut dia mengeluarkan sebuah buku seperti buku nota. Dia tersengeh-sengeh lagi apabila memandang wajah Datuk Aziz yang kelihatan seperti harimau jantan yang tidak sabar ingin menerkam mangsanya.

“Dah macam diari buku nota saya ni Datuk. Lengkap saya catit aktiviti budak lelaki tu dari pukul 6.00 pagi sampai pukul 9.00 malam. Resit-resit ni pun ada saya klip kan sekali ikut tarikh saya jadi spy. Datuk kata saya boleh claim balik semua ni kan.” Mamat seperti biasa memang tidak pernah cakap straight to the point. Memang permulaan ceritanya akan menerawang entah ke mana sehinggakan orang yang mendengar rasa hendak cekik saja batang lehernya. Datuk Aziz juga sudah semakin geram. Mamat di hadapannya sudah dipandang seperti kambing panggang yang akan dilahap oleh orang yang tersangat lapar. Tali leher yang terikat kemas di kolar bajunya mula rasa semakin menjerut lehernya. Jika tidak difikirkan orang di hadapannya adalah Mamat, sudah pasti ditendangnya sahaja lelaki ini keluar dari pejabatnya.

“Aku tak nak dengar la semua tu Mamat. Cuba la kamu cakap terus benda yang penting aku nak dengar. Yang lain-lain tu lepas ni kita bincang.” Marah betul Datuk Aziz dengan sikap membebel tidak kena tempat lelaki itu.

“Hihihih…, sabar ya Datuk. Ni haa…, mana ke dia.” Anak mata Mamat berlari-lari mencari catitan yang dibuat di dalam buku nota tersebut. Datuk Aziz rasa dia semakin hampir terkena serangan jantung kerana puas menahan sabar dengan sikap sambil lewa Mamat. Degupan jantungnya begitu pantas dup dap dup dap bagai hendak tercabut dari tangkainya.

“Haaa…., pada hari pertama pukul 6.00 pagi saya nampak lampu rumah dah mula dibuka. Maknanya memang orang-orang dalam rumah tu bangun awal untuk solat subuh la kan,” ujar Mamat tersangkut-sangkut kerana dia sendiri susah mahu membaca tulisannya sendiri yang sudah mengalahkan tulisan doktor pakar. Maklumlah, dia bersekolah setakat tingkatan dua sahaja dan selepas itu memang dia berhenti sebab tidak minat lagi hendak belajar. Nasib baiklah bapanya dulu berkawan baik dengan bapa Datuk Aziz dan sudah rezekinya, dia akhirnya diberikan kerja ini.

Datuk Aziz mengurut dada. Nasib baiklah ada juga maklumat yang berguna yang disampaikan oleh lelaki tersebut. Kalau tidak memang percuma sahaja gegendang telinga lelaki itu akan bergegar mendengar jeritannya.

“Tapi Datuk, budak lelaki tu memang tiap-tiap pagi ke surau untuk solat subuh berjemaah Datuk,” ujar Mamat lagi.

“Mana kamu tahu? Kamu nampak ke?” Tanya Datuk Aziz. Pandangannya tepat menghala ke wajah Mamat. Baginya berita yang disampaikan ini sangat menyenangkan hatinya.

“Habis tu saya pun tiap-tiap pagi solat kat surau kampung tu dan memang muka budak lelaki tu mesti ada. Oh ya, nama dia Azrul Hashimi bin Sulaiman. Mak dia nama Rahimah. Dia ada seorang adik perempuan yang sekarang ni belajar di Tingkatan Lima. Bapak dia meninggal dunia dalam lima tahun yang lepas sebab sakit jantung. Bapak Azrul ni dulu kerja kerajaan jugak tapi Pembantu Am aje. Tapi yang sedihnya Datuk, mak dia sekarang ni pun tengah sakit dan sedang dapatkan rawatan cuci buah pinggang di hospital kerajaan. Selain tu mak dia ada sakit kencing manis juga. Azrul ni baru aje habis belajar di UTM Johor Baharu dalam jurusan pengurusan perniagaan dan ekonomi. Sekarang tengah cari kerja. Mengikut pemerhatian saya lah Datuk, bagus budaknya ni. Suara dia merdu bila azan kat surau. Pandai bab agama. Dia pun ada ilmu silat. Dari pemerhatian saya, budak ni sangat bertanggungjawab dengan keluarga dia. Dia melayan mak dia dengan baik.” Mamat meneruskan sahaja laporannya apabila dia melihat Datuk Aziz kelihatan senang dengan apa yang disampaikan. Sesekali senyuman terukir di bibir majikannya dan sesekali pula dia mengangguk.

“Tapi saya perasan dia ni dah ada girlfriend kot sebab ada dua kali saya nampak dia berbual dengan seorang gadis di depan rumah dia. Cantik budaknya….” Maklum Mamat lagi. Mamat menarik nafas panjang apabila selesai memaklumkan semua maklumat yang diperolehinya. Dia merenung Datuk Aziz yang kelihatan sedang memikirkan sesuatu. Dan ayatnya yang terakhir itu seolah-olah sudah tidak didengari dan diambil peduli lagi oleh Datuk Aziz. Mungkin maklumat-maklumat utama yang diperlukan oleh Datuk telahpun diperolehinya lalu dia tidak kisah dengan maklumat-maklumat sampingan yang lain.

“Kamu ada alamat rumah dia yang lengkap?” Tiba-tiba Datuk Aziz bertanya.

“Ada Datuk. Kenapa?” jawab Mamat hairan.

“Aku ada rancangan demi masa hadapan Ell. Bagi aku alamat budak tu. Tahu lah apa aku nak buat nanti,” ujar Datuk Aziz kemudian terus meletakkan sebatang pen dan sekeping kertas putih di hadapan Mamat. Ish orang tua ni. Berteka teki pulak. Apa saja la yang dia nak buat ni…, bisik hati Mamat.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku