Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1240

Bacaan






Bab 18

“Abang dari mana ni?” tanya Rahimah apabila Azrul pulang dengan tubuh dan wajah yang dibasahi peluh. Rambut hitam lebat Azrul turut basah akibat peluh yang terlalu banyak. Tubuh Azrul yang tinggi dengan dada yang bidang memang tidak ubah seperti susuk tubuh arwah suaminya.

“Tadi Opie ajak main bola kat padang sekolah mak. Seronok pulak sebab dah lama abang tak main dengan budak-budak kampung ni. Kebetulan Mazlan dan Nuar pun ada balik minggu ni,” jawab Azrul.

“Dah lama ke mak balik dari hospital?” Tanya Azrul pula. Hari ini memang giliran emak ke hospital untuk mencuci darah. Sejak dari pukul 9.00 pagi van pakcik Kahar telah mengambil emak dan beberapa penduduk kampung lain untuk dihantar ke hospital. Pakcik Kahar memang menyediakan perkhidmatan membawa penduduk kampung yang perlu ke hospital untuk mencuci buah pinggang. Bayaran akan dibuat secara bulanan.

“Macam biasalah, pukul 4.00 tadi dah sampai rumah. Ramai pulak orang hari ni kat hospital tadi,” jawab Rahimah. Tiba-tiba dia mengeluh panjang. Baju kurung Melati yang ingin dilipat terus diletakkan ke atas ribanya. Dia teringatkan seorang wanita Cina yang mengalami komplikasi semasa proses hemodialisis di hospital tadi. Mereka semua yang berada di situ sangat terkejut apabila tiba-tiba sahaja sistem penggera mesin berbunyi dengan nyaring menandakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Perempuan Cina yang berumur dalam lingkungan 50-an itu tiba-tiba sahaja pengsan tidak sedarkan diri. Suasana menjadi kelam kabut apabila jururawat dan kakitangan bertugas bergegas mendapatkan wanita tersebut. Rahimah pula ketakutan. Peluh dingin merembes keluar dari tubuhnya. Tiba-tiba dia teringatkan anak-anaknya. Apakah yang akan berlaku kepada Azrul dan Melati jika perkara yang sama berlaku kepadanya? Laju saja air mata Rahimah mengalir apabila memikirkannya.

“Kenapa ni mak?” Tanya Azrul apabila dia perasan emaknya sedang termenung panjang dan kelihatan susah hati. Dia semakin hairan dan turut sama susah hati tatkala melihat genangan air di kelopak mata emaknya. Rahimah tersentak. Terus sahaja air mata yang hampir menitis diseka dengan hujung jarinya. Dia menggeleng dengan senyuman pendek di bibir.

“Mak cuma teringatkan peristiwa yang berlaku di hospital tadi. Ada seorang perempuan Cina tiba-tiba pengsan masa cuci darah tadi,” jawab Rahimah.

“Iya? Habis tu macam mana keadaan dia?” Tanya Azrul lagi ingin tahu. Dia melunjurkan kakinya kemudian menundukkan bahagian atas badannya sehingga mencium tempurung lutut sementara tangan panjangnya diluruskan untuk mencapai hujung jari kakinya. Setelah lama tidak bermain bola dan berlari di padang, uratnya cepat sahaja terasa tegang menyentap seluruh otot tubuhnya.

“Entah lah. Mak pun tak tahu sebab jururawat usung dia keluar bawak ke wad kecemasan rasanya. Sampai la mak selesai tadi masih tak tahu macam mana keadaan dia. Mak harap-harap dia selamat,” jawab Rahimah dengan harapan.

“Eh, mak lupa pulak. Ni ha, ada surat untuk abang.” Rahimah terus mencapai sampul surat berwarna putih dari atas almari di sebelahnya. Surat itu diambilnya dari dalam peti surat selepas balik dari hospital tadi. Anak-anaknya memang jarang memeriksa peti surat merah yang dipaku di tiang di bawah rumah mereka kerana mereka akan laju sahaja naik ke rumah setiap kali pulang.

“Surat apa pulak ni? Bila pulak surat ni sampai? Abang tak perasan pulak,” tanya Azrul sambil membelek sampul itu depan dan belakang. Tidak ada catitan lain selain dari nama dan alamat rumahnya di bahagian hadapan sampul surat itu.

“Kalau mak tak kutip, alamat meletup kembung lah peti surat tu sebab dah penuh,” ujar Rahimah dengan jelingan. Azrul hanya tersengeh mendengar kata-kata perli emaknya.

“Bukaklah dulu. Tanya pada sampul mana dia ada mulut nak jawab,” sindir Rahimah kemudian dia ketawa kecil apabila melihat Azrul buat-buat terkejut mendengar katanya.

“Apa surat tu kata?” Tanya Rahimah. Tidak sabar pula dia hendak tahu isi kandungan surat itu apabila wajah Azrul kelihatan berkerut-kerut membaca surat itu.

Azrul tidak menjawab tetapi terus menghabiskan bacaannya. Setelah selesai dia memandang wajah emaknya. “Mak ingat tak yang abang cerita pasal pakcik Mamat dan Datuk Aziz tu?”

Rahimah termenung sebentar, cuba mengingati semula apa yang Azrul pernah maklumkan padanya dulu. “Yang abang kata dia tergur abang kat surau tu? Yang Datuk Aziz nak dia tahu pasal abang tu?” tanya Rahimah cuba meneka.

Azrul mengangguk kemudian menghulurkan surat tersebut kepada Rahimah. “Syarikat Datuk Aziz tu yang hantar surat ni mak. Dia panggil abang untuk temuduga,” jawab Azrul perlahan. Dia sebenarnya sedang terkejut dan rasa seperti bermimpi. Setelah puas dia meminta kerja di tempat lain dan mereka menolaknya mentah-mentah, Datuk Aziz pula bermurah hati memberi peluang kepadanya untuk hadir temuduga walaupun dia tidak pernah menghantar permohonan kerja ke syarikat tersebut. Terus Azrul meraup wajahnya tanda syukur dengan rezeki ALLAH yang tidak disangka-sangka ini.

“Kerja apa yang dia nak tawarkan tu?” Tanya Rahimah lagi kerana di dalam surat tersebut tidak dinyatakan mengenainya. Surat tersebut terlalu umum iaitu temuduga untuk mengisi kekosongan jawatan di Syarikat Aziz Berhad.

“Tak tahu lah mak. Mungkin banyak jawatan kosong dan masa temuduga nanti baru dia akan tengok kesesuaian calon yang datang untuk pergi bahagian mana,” jawab Azrul.

Rahimah mengangguk. Mungkin juga…, fikirnya. Apa-apapun, sebagai ibu dia pasti akan mendoakan semoga Azrul berjaya di dalam temuduga tersebut dan seterusnya mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan apa yang telah dipelajarinya semasa di universiti dulu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku