Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1226

Bacaan






Bab 19

“Esok kalau pergi temuduga tu jangan pulak abang buat macam temuduga yang dulu. Pakai lah elok-elok. Muka dah handsome nak burukkan buat apa,” bebel Melati mengalahkan emak mereka. Kemudian dia ketawa apabila melihat Azrul menjelingnya tajam.

“Iya lah mak…,” jawab Azrul dengan nada mengusik. Baju kemeja lengan panjang berwarna putih diletakkan elok-elok di atas meja sebelum dia menekannya dengan seterika panas. Seluar panjang hitam telahpun digantung selepas digosok sebentar tadi.

“Ada apa-apa soalan tak abang nak tanya adik. Boleh kita praktis untuk temuduga abang esok,” Tanya Melati lagi. Buku latihan Matematik yang dibukanya sejak tadi masih belum berjaya memancing perhatiannya.

“Temuduga esok bukannya keluar soalan macam nak exam SPM. Adik jangan nak buang masa pulak ya. Buat latihan tu. Siang tadi abang dah pergi cyber café dan dah cari bahan-bahan untuk interview esok,” jawab Azrul sambil menggeleng kepala. Cukup faham dengan taktik Melati yang suka cari peluang untuk mengelakkan dirinya dari membuat soalan latihan. Melati mencebik bibir kemudian terus mengadap semula buku yang sudah lama berada di atas meja. Terkebil-kebil matanya melihat angka-angka di dalam buku tersebut. Kemudian beberapa kali dia menguap. Kenapalah boring sangat subjek matematik ni…, rungut Melati kemudian tangannya menongkat dagu.

“Ha! Apasal menung pulak tu. Jawapan untuk latihan takkan terbang melayang macam tu je. Kena kira adik oi,” tegur Azrul apabila melihat aksi bosan Melati.

“Susahlah matematik ni bang. Pening betul adik nak buat kira-kira ni. Kalau macam ni nanti adik jadi lawyer je lah. Diorang cakap belajar undang-undang tak ada matapelajaran matematik dan kira-kira ni semua,” rungut Melati lagi.

“Apa yang susahnya. Kalau tak faham tanya lah abang.” Azrul membalas. Memang ternyata antara mereka berdua walaupun sedarah sedaging namun perwatakan dan pemikiran sangat berbeza. Azrul lebih meminati subjek matematik, ekonomi dan sains manakala Melati agak lemah di dalam bidang tersebut. Disebabkan itu, Melati lebih selesa mengambil jurusan sastera selepas Tingkatan Empat.

“Sebelum nak jadi lawyer pun, kena lulus SPM, STPM. Matematik pun kena ada kredit kalau nak masuk U. Kalau masuk Form Six nanti kena belajar ekonomi. Semua tu kena buat latihan kira-kira tau,” ujar Azrul lagi membuatkan Melati terus menyembamkan wajahnya ke atas buku. Ahhhh……Melati mengeluh panjang. Hendak tergelak pun ada apabila Azrul melihat gelagat Melati.

Selesai sahaja menggosok baju kemejanya Azrul terus sahaja duduk berhadapan dengan Melati di meja makan. Melati memandang wajah abangnya dengan rasa malas.

“Cepat. Tunjuk kat abang soalan mana yang adik tak faham,” tanya Azrul. Dia telah menarik buku soalan matematik tersebut lalu melihat kepada soalan-soalan yang ditanya.

“Abang…, adik nak masuk tidur boleh tak? Mengantuk dah ni. Lagipun dah pukul 10.30 malam. Ni latihan aje bukan homework. Esok adik janji akan belajar dengan abang ya.” Melati mempamerkan wajah mengantuknya dengan mata yang dikuyukan. Sengaja dia menguap berkali-kali di hadapan abangnya. Melati sangat berharap Azrul akan termakan umpannya…bolehlah…bolehlah...bolehlah…, doa Melati dalam hatinya.

Geram sungguh hati Azrul apabila Melati memberikan alasan sebegitu. Sepatutnya apabila berada di Tingkatan Lima, Melati sudah mula serius untuk membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan SPM. Tetapi tidak, masih lagi dia berdolak dalik apabila disuruh belajar dan membuat latihan. Tetapi apabila memikirkan bahawa dia juga perlu membuat persediaan untuk temuduga esok, dia hanya mengangguk dengan wajah tidak puas hati dengan permintaan Melati.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja Melati melompat berkali-kali di situ. Tetapi dia tahu dia perlu terus berlakon sehinggalah dia selamat masuk ke dalam biliknya. Perlahan-lahan dengan jelingan sekali sekala ke wajah abangnya, dia menyusun semula buku latihan yang dibuka tadi.

“Esok malam jangan nak bagi alasan lain pulak. Sementara abang ada ni boleh lah abang tolong adik,” pesan Azrul sebelum Melati bangun untuk masuk ke biliknya.

“Baiklah abang sayang. Esok ya,” balas Melati dengan senyuman meleret.

Segar pulak biji mata dia bila tak payah buat latihan…., bebel Azrul dalam hatinya.

Sebelum Azrul juga masuk ke biliknya, dia mengetuk perlahan pintu bilik emaknya. Apabila daun pintu ditolak, diilihatnya emak sudah pun tidur dengan lena. Perlahan-lahan Azrul menarik rapat semula pintu bilik. Selepas memastikan semua pintu dan tingkap berkunci dan menutup semua lampu di ruang tamu, dia terus masuk ke biliknya yang terletak di bahagian paling belakang rumah mereka.

Oleh kerana Azrul telahpun bersolat Isyak di surau, maka dia terus sahaja menuju ke katil bujangnya. Azrul bersandar di kepala katil kerana dia perlu membaca maklumat-maklumat yang telah diperolehinya dari internet mengenai Syarikat Datuk Aziz sebagai persediaan untuk temuduga esok. Siang tadi, memang agak lama juga dia menghabiskan masa di Cyber Café dan banyak juga maklumat yang dia perolehi mengenai Datuk Aziz. Azrul membelek satu persatu helaian kertas yang dicetak semasa mencari maklumat di Cyber Café tersebut. Tiba di helaian terakhir Azrul memegangnya agak lama. Gambar ahli keluarga Datuk Aziz direnungnya satu persatu. Nampaknya Datuk Aziz hanya ada seorang anak perempuan bernama Suri Ellyssa. Gadis moden…sangat jauh berbeza penampilannya jika dibandingkan dengan Natrah, komen Azrul.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku