Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1194

Bacaan






Bab 21

Azrul telah beberapa kali menguap. Penghawa dingin beserta sofa yang empuk menggodanya untuk melelapkan mata di situ. Terkulat-kulat dia menahan mata yang semakin mengantuk. Bayangan wajah Datuk Aziz masih belum kelihatan. Kebosanan melanda dirinya. Jadi ke tidak temuduga ni…., rungut Azrul sendiri.

Biji mata Azrul tiba-tiba segar semula apabila tepat pada pukul 9.15 pagi, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an, berbadan tegap dan tinggi terus masuk ke dalam bilik tidak jauh dari kawasan meja Azura. Azura pula tidak ada di tempat duduknya, mungkin pergi ke pantri kerana sebentar tadi Azrul nampak dia keluar membawa bekas air. Azrul tahu lelaki itu adalah Datuk Aziz kerana gambar Datuk Aziz telah dilihatnya di dalam internet semalam.

Azrul menunggu dengan debaran. Dia hanya kenal wajah Datuk Aziz tetapi tidak tahu bagaimana sikap dan perwatakannya. Adakah orangnya tegas dan cerewet dalam memilih pekerjanya atau adakah dia seorang lelaki yang senang untuk berurusan dan bekerjasama? Apakah agaknya soalan-soalan yang akan ditanya kepadanya sedangkan dia sendiri tidak tahu apakah pekerjaan yang akan ditawarkan kepadanya. Jika dia tahu contohnya bahawa dia akan ditawarkan jawatan Pegawai Pentadbiran, sudah tentu lebih mudah untuk dia fokuskan pencarian maklumatnya untuk jawatan tersebut sahaja. Ini tidak…, dia sendiri tidak tahu hendak mula dari mana. Sudahnya dia hanya bersedia dengan soalan-soalan perihal latar belakang syarikat Datuk Aziz dan perniagaannya sekarang.

Azrul lega kerana tidak lama kemudian Azura datang semula ke mejanya. Selepas meletakkan bekas airnya dan satu plastik berisi kuih muih ke atas meja, Azura terus mencapai buku nota dan sebatang pen kemudian terus menuju ke bilik Datuk Aziz. Selepas mengetuk pintu beberapa kali, dia terus masuk ke dalam bilik. Pandangan mata Azrul memang sentiasa terarah ke pintu bilik Datuk Aziz. Dia tidak sabar menunggu Azura keluar kerana selepas itu dia pasti Datuk Aziz akan memanggilnya masuk. Jam sudahpun menunjukkan pukul 9.30 pagi dan perut Azrul pula sudah semakin lapar kerana dia masih lagi belum bersarapan.

Lebih kurang lima minit kemudian, Azura keluar. Dia menggamit Azrul ke mejanya. Debaran di dada Azrul kembali meningkat mengiringi langkahnya.

“Datuk nak jumpa Azrul sekarang,” ujar Azura dengan senyuman.

“Relaks la…, Datuk bukannya singa nak makan orang. Jangan lupa senyum tau,” pesan Azura kemudian ketawa lucu apabila dilihatnya wajah Azrul pucat ketakutan. Azrul tidak mampu membalas senyuman Azura. Bibirnya sudah terasa keras. Dia terus melangkah ke pintu bilik Datuk Aziz. Dengan ucapan Bismillah, dia mengetuk pintu kemudian membukanya.

Azrul menelan air liur beberapa kali apabila Datuk Aziz memandangnya dengan wajah ketat. Bilik tersebut sangat besar. Meja Datuk Aziz pula terletak di tengah bilik berdekatan dengan tingkap yang besar. Di bahagian hadapan bilik teletak satu set sofa kulit berwarna hitam beserta sebuah meja kopi. Di kiri kanan bilik ada almari kayu bercermin yang dipasang siap ke dinding. Di dalamnya dipenuhi dengan buku-buku tebal seperti sebuah mini perpustakaan. Pasti Datuk Aziz seorang yang gemar membaca…teka Azrul lagi.

“Duduk.” Suara garau Datuk Aziz mematikan penilaian tidak rasmi Azrul kepada hiasan dalaman bilik itu. Dia agak terkejut tetapi terus melangkah ke arah meja Datuk. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya ke atas kerusi hitam yang bertentangan dengan Datuk Aziz. Fail peribadi yang mengandungi sijil-sijil dan dokumen-dokumen berkaitan dirinya diletakkan di atas riba. Azrul serba salah mahu memandang wajah lelaki tersebut kerana dia terasa begitu kecil sekarang ini. Tiba-tiba dia teringat pesanan Azura supaya senyum.

Terus Azrul mendongak kemudian senyum memandang Datuk Aziz.

“Assalamualaikum Datuk.”

Azrul memberikan salam terlebih dahulu dengan perasaan yang haru biru. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu takut berdepan dengan lelaki itu sedangkan sebelum ini sudah banyak temuduga yang dihadirinya. Mungkin juga kerana ini adalah sebuah syarikat besar, yang mempunyai pemegang saham yang ramai dan modal syarikat berbillion ringgit sedangkan sebelum ini dia hanya masuk ke syarikat-syarikat kecil sahaja.

“Waalaikummussalam…,” jawab Datuk Aziz.

“Pukul berapa dari rumah tadi?” terus Datuk Aziz bertanya sebelum sempat Azrul ingin bertenang semula.

“Errr…pukul lapan pagi Datuk,” jawab Azrul teragak-agak. Temuduga dah mula ke ni… Azrul tertanya-tanya sendiri.

“Sempat ke datang ke sini dari Trolak?” tanya Datuk Aziz lagi dengan pandangan ingin tahu.

“Errr…, tak. Saya tidur rumah kawan kat sini. Semalam lagi dah datang ke KL ni Datuk,” jawab Azrul lagi. Isshh..., relevan ke soalan-soalan ni untuk mintak kerja? Bisik hati Azrul lagi.

“Oooo…, macam tu. Habis tu kalau dapat kerja ni nanti Azrul nak duduk kat mana? Kat rumah kawan tu jugak ke?” Datuk Aziz bertanya lagi dengan pandangan mata tetap lekat ke wajah pemuda tersebut.

“Kalau dapat kerja, mungkin saya kena cari rumah sewa lain Datuk sebab kawan saya tu dah kahwin. Saya tumpang satu malam aje untuk datang temuduga ni,” jawab Azrul lagi. Datuk Aziz mengangguk-angguk.

Ahh…, gasaklah nak tanya soalan apa pun, janji aku dapat kerja…, akhirnya Azrul mengalah.

“Ada lesen kereta tak?” tanya Datuk Aziz lagi.

“Ada Datuk,” jawab Azrul. Apa kena mengena kerja ni dengan lesen kereta pulak? Ooo….mungkin kerja ni banyak outstation kot. Memang la kena tahu bawak kereta…, teka hati Azrul lagi.

“Berapa lama dah dapat lesen? Pernah terlibat dalam kemalangan masa bawak kereta tak?” tanya Datuk Aziz lagi. Memang banyak soalan yang ingin ditanyanya kepada Azrul kerana dia ingin betul-betul pasti bahawa pilihannya ini adalah tepat. Senyuman Datuk Aziz semakin lebar tetapi wajah Azrul semakin kelat.

“Sejak umur lapan belas tahun Datuk. Alhamdulillah setakat ni tak pernah lagi accident Datuk,” jawab Azrul. Aik! Kerja apa sebenarnya Datuk nak offer aku ni? Jadi dispatch ke? Azrul mengumam sendiri lagi.

“Azrul pandai bersilat kan. Taekwondo pandai? Apa seni mempertahankan diri lain yang Azrul mahir lagi?” Bertubi-tubi Azrul diserang dengan soalan-soalan yang dirasakannya semakin tidak relevan. Azrul semakin panas punggung kerana soalan - soalan yang ditanya oleh Datuk Aziz membuatkan dia semakin keliru. Kerja apa yang Datuk nak offer kat aku ni!!!! Jeritnya dalam hati.

“Errr…, setakat ni silat aje Datuk sebab sejak kecil memang ayah dah hantar saya untuk belajar silat.” Jawab Azrul.

Datuk Aziz mengangguk lagi. Wajahnya yang sudah semakin jelas menampakkan kedutan usia merenung anak muda itu penuh minat untuk menilai sikapnya yang sebenar.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku