Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 24
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1595

Bacaan






Bab 24

Driver?” Gila apa ke Datuk tu?” bentak Melati apabila dia mendapat tahu berita tersebut semasa mereka sedang menikmati makan malam. Azrul yang sedang menggaul nasi dengan gulai lemak pucuk paku terus menjeling tajam adiknya. Walaupun memang permintaan Datuk tersebut tidak masuk akal, tetapi itu tidak bermakna Melati boleh mengutuknya tidak tentu pasal.

“Tak baik cakap macam tu adik…,” tegur Rahimah sebelum dia duduk di kerusi. Ikan kembung goreng panas-panas diletakkan di tengah-tengah meja. Bunyi desir minyak panas masih lagi belum hilang. Bau ikan tersebut sudah cukup membuka selera mereka anak beranak.

“Betul apa…adik cakap. Penat-penat abang belajar nak jadi pegawai, ada ke patut dia nak offer kerja jadi driver. Dia tak baca ke sijil-sijil abang semua tu? Kalau adik la, tak hingin la nak terima kerja tu walaupun dia bayar sepuluh ribu,” bebel Melati lagi. Ikan goreng panas diambil lalu dimasukkan ke dalam pinggannya.

“Jangan cakap besar dik. Biar abang yang buat keputusan sendiri. Mana tahu ada hikmah tersembunyi di sebalik semua ni,” bantah Rahimah lagi. Wajah Azrul yang monyok dikerlingnya sekejap sebelum dia mencicah potongan timun ke dalam sambal belacan. Kasihan pun ada apabila dilihatnya wajah Azrul yang seperti orang hilang bini. Azrul hanya mendiamkan diri. Setiap omelan Melati langsung tidak dijawabnya.

Selesai makan, Azrul terus naik ke ruang tamu. Dia termenung lagi. Fikirannya semakin runsing memikirkan tawaran tersebut. Jika memikirkan tentang kerja, memang lah dia rasa berat hendak menerimanya. Tetapi memikirkan gaji yang ditawarkan dan keperluan mendesak keluarga mereka yang memerlukan wang untuk pelbagai kegunaan, dia seperti ingin menerima sahaja kerja tersebut. Mungkin untuk sementara sehinggalah dia mendapat kerja lain yang sesuai dengan kelayakan akademiknya.

Serta merta Azrul terbayangkan gambar anak perempuan Datuk Aziz yang dilihatnya tempohari. Bagaimanakah agaknya sikap gadis itu? Senangkah hendak bekerja dengannya? Dan apakah yang patut aku lakukan untuk mengubah gadis itu menjadi wanita Muslimah yang lebih baik? Ahh!!! Azrul semakin buntu.

KEESOKANNYA Azrul mengajak Natrah untuk berjumpanya di warung Rahman di pekan Bidor. Hari ini hari Sabtu dan Natrah tidak mengajar. Lebih kurang pukul 11 pagi Natrah telah datang mengambilnya di rumah. Seperti biasa apabila mereka keluar bersama, Azrul yang akan memandu dan mereka bertukar tempat duduk. Selalunya Melati akan ikut bersama tetapi hari itu Melati menolak kerana dia mempunyai aktiviti sukan di sekolah.

“Macam mana dengan interview abang semalam?” Tanya Natrah apabila kereta mula meluncur di jalanraya. Azrul tidak menoleh. Dia juga tidak menjawab. Kalau boleh dia tidak mahu isu tersebut menjadi tajuk utama perbualan mereka pada hari ini. Natrah yang memang cukup masak dengan sikap Azrul terus mendiamkan diri. Dia tahu Azrul tidak bersedia untuk bercerita lagi.

Di sepanjang perjalanan Azrul lebih banyak diam. Pada pandangan Natrah, Azrul sedang menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya sedangkan hakikatnya Azrul sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Dia hanya ada masa dua hari sahaja untuk membuat keputusan dan menyerahkan semula surat tawaran tersebut ke pejabat Datuk Aziz.

“Datuk Aziz dah tawarkan abang kerja.” Tiba-tiba sahaja terpacul ayat tersebut dari mulut Azrul. Natrah terus menoleh. Dia senyum kerana baginya ini adalah berita yang menggembirakan.

“Tapi kerja sebagai pemandu peribadi anak perempuan dia.” Belum sempat Natrah hendak ucapkan tahniah, Azrul menyambung ayatnya. Natrah tersentak. Dia terus terdiam. Kata-kata yang hendak diucapkannya sebentar tadi terus disimpannya semula di dalam hati. Driver? Bisik hatinya. Biar betul! Adakah Azrul bergurau? Tetapi wajahnya yang kelat tidak menunjukkan bahawa dia bergurau.

Azrul menoleh sekilas ke arah Natrah. Dia menantikan kata-kata dari Natrah kerana selalunya gadis itu memang cukup pandai menenangkan hatinya.

“Betul ke bang?” Tanya Natrah cuba mencari kepastian. Azrul mengangguk tanpa senyuman. Satu keluhan kedengaran dari bibirnya. Natrah pula kehilangan kata-kata.

“Abang nak terima?” Perlahan-lahan Natrah bertanya, cuba sedaya upaya untuk tidak menambahkan lagi kerungsingan hati Azrul.

“Abang sendiri tak tahu Natrah. Abang harap Natrah boleh tolong selesaikan masalah ni untuk abang,” jawab Azrul dengan pandangan sayu.

“Lagi satu, Datuk Aziz tawarkan abang gaji yang sangat tinggi. Rawatan perubatan emak pun dia akan tanggung.” Sekali lagi Natrah dikejutkan dengan fakta yang diberikan oleh Azrul. Jika Datuk Aziz menawarkan gaji sebanyak itu, pasti bukan tugas sebagai pemandu sahaja yang perlu dilakukan oleh Azrul, pasti ada lebih dari itu. Tiba-tiba terdetik persoalan itu di jiwa Natrah.

“Kenapa dia sanggup bayar sebanyak tu pada seorang pemandu anaknya?” tanya Natrah penuh sangsi.

Azrul sudah agak soalan itu akan bermain di fikiran Natrah. Natrah memang seorang gadis yang bijak malah dia juga seperti seorang pegawai penyiasat apabila timbul satu-satu masalah yang perlu diselesaikan.

“Errr…, Datuk mahu abang cuba memimpin anak perempuannya supaya menjadi seorang gadis yang lebih baik. Yang lebih mengamalkan ajaran agama Islam. Sekarang ni anak Datuk Aziz tu liar sedikit, suka bersosial dan pakai baju yang tidak menutup aurat,” jelas Azrul satu persatu walaupun tidak semuanya yang dimaklumkan. Belum masanya lagi, Azrul membuat keputusan sendiri.

“Ohh sudah! Berat ni! Bisik hati Natrah. Serta merta dia terbayangkan Azrul yang tampan sedang bergandingan mesra dengan anak Datuk Aziz. Pejam celik pejam celik Natrah memandang Azrul di sebelahnya. Kali ini dia memang kehilangan kata-kata nasihat untuk diberikan memandangkan dia sendiri perlukan sesuatu untuk menenangkan dirinya yang semakin resah.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku