Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 25
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1067

Bacaan






Bab 25

“Mak…, abang rasa abang akan terima kerja tu,” maklum Azrul selepas Rahimah sampai di rumah. Rahimah baru sahaja balik dari menjalani proses hemodialisis di hospital. Rahimah melihat wajah ketat Azrul dengan penuh rasa kasihan. Dia tahu Azrul menerima kerja itu kerana memikirkan keperluan keluarga, terutama mengenai rawatan kesihatan dirinya dan perbelanjaan pendidikan Melati. Keperluan kewangan mereka lebih mendesak dari memikirkan layak atau tidak dengan menerima kerja seperti itu.

“Lagipun bukan Datuk suruh buat kerja haram kan mak. Selagi kerja tu halal, abang rasa tak ada yang salahnya kalau abang terima kerja tu,” ujar Azrul lagi lebih kepada cuba menyedapkan hatinya sendiri. Bukan sebab jenis pekerjaan itu sahaja yang bermain di fikirannya, tetapi yang lebih memberatkan fikirannya adalah untuk bersama-sama dengan anak Datuk Aziz pada sepanjang masa.

Rahimah menarik nafas panjang. Matanya merenung penuh kasih wajah Azrul yang lesu.

“Mak ikut aje keputusan abang. Kalau abang dah fikir dan abang rasa itu yang sebaiknya, maka baiklah juga bagi mak,” jawab Rahimah perlahan. Entah kenapa dia rasa sebak. Air matanya cepat sahaja bertakung di kelopak mata.

“Mak pulak rasa bersalah. Mak tahu abang terima kerja tu sebab nak senangkan hidup kita,” suara Rahimah lagi. Setitis dua air mata mula mengalir ke pipinya.

“Abang ikhlas mak. Abang percaya ada hikmah di sebalik semua yang ALLAH tentukan ni. Sementara tu mak jangan putus berdoa semoga abang dapat kerja lain yang lebih baik selepas ni ya.” Azrul merenung penuh kasih wajah ibu yang telah banyak berkorban hidupnya demi mereka adik beradik. Dan kini sudah tiba masanya untuk Azrul pula berkorban demi emaknya.

Azrul juga tekad menetapkan keputusannya selepas berbincang dengan Natrah dan mendapatkan persetujuannya.

“Natrah tak layak nak memutuskan apa yang sepatutnya yang abang pilih. Semuanya terletak di tangan abang sendiri kerana abang yang akan berhadapan dengan realiti keadaan tersebut.” Natrah bersuara perlahan apabila Azrul meminta pendapatnya.

“Natrah tak risau sebab abang akan jadi driver pada anak perempuan Datuk Aziz tu?” Sengaja Azrul cuba menguji rasa hati Natrah. Merah pipi Natrah kerana malu hendak menjawab soalan tersebut.

“Natrah percayakan abang. Natrah yakin abang juga akan setia pada Natrah,” ujar gadis itu jujur.

“Natrah tak nak suruh abang pakai selekeh-selekeh ke? Mana tahu kalau-kalau nanti ada perempuan lain yang terpikat pada abang ke?” Kata-kata usikan Azrul membuatkan Natrah semakin panas punggung. Dia tahu Azrul mengusiknya kerana perkara itu pernah diutarakannya kepada Melati sebelum ini. Reaksi Natrah yang serba salah membuatkan Azrul ketawa besar. Hilang sebentar segala ketegangan dan kekusutan fikirannya sebentar tadi.

Itu adalah kata-kata Natrah semasa mereka keluar semalam. Selepas itu juga dia membulatkan keputusannya selepas menimbangkan semua keperluan, buruk dan baiknya. Surat tawaran yang diberikan oleh Datuk Aziz telahpun ditandatangan dan dipangkah pada kotak “SETUJU”.

“Habis tu bila abang mula kerja?” Pertanyaan Rahimah menyedarkan Azrul. Dia menoleh ke arah emak yang bersandar di kerusi. Emak kelihatan penat. Memang begitulah selalunya keadaan emak selepas pulang dari rawatan berkalanya.

“Mungkin minggu depan mak.” Azrul menjawab.

“Habis tu abang duduk kat mana? Tak kanlah nak berulang dari sini. Jauh tu,” tanya Rahimah lagi.

“Abang tengah tanya kawan-kawan. Mana tahu diorang perlukan teman serumah. Tak pun, sementara tu tumpang-tumpang la dulu rumah diorang sementara dapat bilik yang sesuai,” jawab Azrul lagi.

Rahimah hanya mengangguk. Banyak duit yang perlu Azrul guna sebelum dia dapat gajinya yang pertama nanti. Kalau nak masuk rumah sewa, mestilah dia perlu membayar deposit dahulu. Kalau nak pergi kerja pula, tentu perlukan wang untuk tambang. Duit makan lagi. Kalau bawa motosikal arwah suaminya ke Kuala Lumpur, duit petrol pun perlu juga.

“Abang ada duit ke nak mula kerja ni?” tanya Rahimah. Azrul hanya memandangnya dengan senyuman pendek. Tanpa kata, Rahimah sudah tahu jawapannya.

“Tak apalah. Nanti mak cuba pinjam dengan pakcik Abu dulu. Bila abang dapat gaji nanti abang bayar lah balik,” ujar Rahimah. Dia memang tidak mempunyai sebarang simpanan. Duit pencen arwah suaminya cukup-cukup sahaja untuk perbelanjaan bulanan mereka dan juga membayar duit van yang membawanya ke hospital.

“Terima kasih mak,” ucap Azrul. Memang Pak Abu lah tempat mereka sekeluarga akan pergi meminjam wang sekiranya benar-benar terdesak. Pak Abu memang baik orangnya. Tidak pernah merungut atau mengata mereka setiap kali emak datang meminjam wang. Pak Abu boleh dikategorikan sebagai salah seorang yang berwang di kampung mereka. Dia menjalankan perniagaan kedai runcit di pekan Trolak dan perniagaannya sangat maju. Ramai penduduk kampung suka ke kedai Pak Abu kerana semua keperluan dapur ada dijual di sana dan harganya juga berpatutan.

“Tak apa lah Mah. Bila-bila ada duit nanti kau bayarlah. Bukannya banyak mana pun kau nak pinjam tu. Jasa suami kau pada pada aku, pada kampung ni lagi besar kalau nak dibandingkan dengan duit tu.” Memang itulah ayat yang sering diucapkan oleh Pak Abu apabila Rahimah datang meminjam wang darinya.

Malah sewaktu Azrul mahu mendaftarkan diri di universiti, Pak Abu juga turut memberi sumbangan ikhlas nya.

“Bukan ramai anak kampung kita yang berjaya macam Azrul ni Mah. Aku tumpang gembira, tumpang bangga. Biarlah kejayaan Azrul ni menjadi pembakar semangat kepada anak-anak kampung kita supaya mereka juga mengikut jejak yang sama.”

Itu kata-kata Pak Abu sewaktu memberi sumbangan tersebut. Tetapi yang tidak sedapnya, Siti Mariam yang terkenal dengan kepetahannya “berbual” mula menjaja cerita yang didengar oleh Rahimah.

“Alaa…, si Abu tu bukannya aku tak tahu. Dia buat baik tu ada muslihatnya. Dia tu ada hati dengan si Mah tu. Ye lah. Seorang duda, seorang janda.” Panjang sahaja muncung si Mariam apabila mengumpat perihal orang lain. Yang dilayan bercakap juga tidak kurang hebatnya. Terangguk-angguk mereka mendengar cerita panas itu. Semakin terbakar perasaan mereka ingin tahu cerita yang lebih sensasi dari wartawan hiburan tidak rasmi kampung mereka itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku