Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 26
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
905

Bacaan






Bab 26

Hari ini Azrul melaporkan diri untuk mula bertugas. Pagi-pagi lagi dia sudah tercongok di depan pintu pejabat Datuk Aziz untuk mengetahui kerja-kerja yang perlu dilakukannya. Kali ini dia dibenarkan untuk terus masuk ke dalam pejabat dan terus berjumpa dengan Azura.

“Ya, encik nak jumpa siapa?” tanya Azura apabila seorang pemuda bercermin mata bingkai besar dan rambut yang disikat kemas belah tepi duduk di hadapan mejanya.

“Errr puan. Saya ni Azrul Hasyimi yang datang temuduga hari tu. Datuk Aziz suruh saya datang hari ni.” Azrul rasa malu sendiri. Berubah sangat ke wajahnya apabila dia mengubah cara penampilannya sehinggakan wanita itu langsung tidak dapat mengecamnya.

“Eh Azrul. Tapi kenapa pakai macam ni?” Berkerut wajah Azura masih cuba untuk memastikan bahawa pemuda itu adalah orang yang sama datang ke pejabat ini dua minggu yang lepas. Azrul mengangguk lagi.

“Saja je puan. Lagipun saya kerja driver aje. Tak perlulah nak pakai segak-segak sangat,” jawab Azrul merendah diri.

“Iya lah…tapi tak kan lah sampai macam ni sekali.” Azura masih tidak faham tujuan sebenar Azrul. Baginya alasan itu tidak masuk akal. Azrul tidak menjawab. Dia membiarkan sahaja soalan itu tergantung.

“Apa-apalah Azrul. Tapi pada pendapat akak, tak perlulah nak berubah drastik sangat.” Azura memberi pendapat setelah Azrul tidak menjawab soalannya.

“Tak apa lah puan. Memang dah macam ni gaya saya,” ujar Azrul lagi.

Azura tidak mahu lagi memanjangkan isu tersebut. Dia yakin Azrul mempunyai sebab sendiri kenapa berbuat demikian. Apa-apa pun, anak muda ini amat disenanginya. Sangat sopan apabila berbicara dengan orang lain. Ah! Tetapi masih terlalu awal untuk dia menilai pemuda tersebut kemudian memberi pendapat. Tetapi dia amat berharap biarlah sikap baik ini berterusan dalam diri Azrul.

“Tapi kenapa awal sangat Azrul datang hari ni?” tanya Azura lagi dan pada masa yang sama mengeling jam di tangannya.

“Orang baru puan,” jawab Azrul dengan senyuman.

“Tak payahlah ber puan puan pulak. Panggil kak Zura aje lah,” suara Azura. Kurang selesa berbual apabila Azrul terlalu formal begitu. Kasihan pun ada apabila melihat wajah pemuda tersebut. Dia sendiri tidak faham kenapa Datuk Aziz meminta Azrul menjadi pemandu peribadi kepada cik Ellyssa sedangkan Azrul mempunyai kelayakan akademik yang sangat baik.

“Azrul dah breakfast ke? Kalau belum ni ha, akak ada beli kuih tadi. Ambiklah,” pelawa Azura. Dia meletakkan kuih yang dibeli di atas meja.

“Azrul nak air apa? Boleh akak buatkan di pantry,” Tanya Azura lagi.

“Eh, tak payah susah-susahlah kak. Kuih ni pun dah cukup.” Malu pula Azrul apabila dia dilayan sebaik itu.

“Tak apalah. Bukannya selalu. Lagipun Datuk lambat masuk lagi ni. Sempat lagi nak habiskan secawan air. Nescafe minum tak?” suara Azura lagi.

“Boleh lah kak. Terima kasih,” jawab Azrul serba salah.

Azura melangkah ke pantry. Azrul mencapai seketul kuih keria di dalam plastik yang diletakkan oleh Azura sebentar tadi. Alhamdulillah…, ada rezeki pagi ini. Bisik Azrul penuh rasa syukur. Memang pagi ini belum ada apa-apa makanan yang masuk ke perutnya lagi. Tidak lama kemudian Azura datang semula membawa dua mug yang berisi nescafe panas. Aromanya benar-benar menceriakan suasana. Hilang rasa mengantuk yang masih berlegar di minda Azrul.

“Terima kasih kak. Buat susah-susah aje,” ucap Azrul.

“Ish, tak ada apa pun. Bukannya susah bancuh air ni. Akak pakai 3 in 1 aje pun.” Azura menjawab dengan senyuman. Belum sempat dia hendak berbual lanjut, telefon pula berdering. Cepat-cepat dia menyambutnya.

“Hello, pejabat Datuk Aziz. Ya ya. Mesyuarat setakat ni masih lagi seperti jadual. Ok. Saya akan maklumkan Datuk nanti. Apa-apa perkembangan terbaru saya akan maklumkan puan semula ya. Terima kasih.” Gagang telefon diletakkan semula selepas Azura selesai mencatitkan sesuatu di dalam buku catitannya.

“Dah lama ke akak kerja kat sini?” tanya Azrul apabila Azura mula menghadap ke arahnya semula.

“Hmmm...” Anak mata Azura memandang ke atas. Jari telunjuknya singgah di hujung dagu seolah-olah sedang mengira bilangan tahun. “ Kalau tak silap akak dah nak masuk tahun kelapan ni.”

“Lama jugak ya,” komen Azrul.

“Kalau syarikat tak bermasalah, gaji pun bayar tepat, ada kenaikan tahunan semua tu, buat apa lah kita nak tukar-tukar kerja kan. Tempat kerja baru kita tak tahu pulak nasib kita macam mana. Buatnya lagi teruk dari tempat lama, menyesal pun dah tak guna.” Azura menjawab penuh semangat. Ternyata pengalaman buruknya di tempat kerja sebelum menyertai syarikat ini membuatkan dia nekad untuk terus bekerja selagi perkhidmatannya diperlukan dan yang penting selagi syarikat tidak bermasalah untuk membayar gajinya.

Hidup di Kuala Lumpur ini segala-galanya memerlukan wang. Pendapatan suaminya sahaja tidak cukup untuk memberikan keselesaan kepada keluarga mereka oleh itu dia juga perlu bersama-sama menyumbang kederatnya demi kepentingan anak-anak yang semakin membesar.

“Errrr kak. Anak Datuk Aziz tu macam mana orangnya ya,” tanya Azrul teragak-agak. Memang sejak dari tadi dia ingin bertanya soalan tersebut tetapi masih rasa malu. Dia rasa dia perlu tahu serba sedikit tentang keperibadian majikannya supaya dia dapat mengelak dari melakukan perkara yang tidak disukai olehnya.

“Sebenarnya kan, akak pun tak berapa pasti sebab Cik Ellyssa tu jarang sangat datang ke pejabat ni. Lagipun dia baru aje balik ke Malaysia, dalam setahun lebih macam tu. Sebelum ni hampir tiga tahun jugak dia belajar bidang fesyen di Paris. Balik aje ke sini, dia terus buka butik kat KLCC. Akak pun tak pernah sampai lagi ke butik dia. Tak mampu kot nak beli baju kat butik dia tu. Mesti mak mak datin je yang layak masuk kat situ kan.”

Dalam tidak berapa tahu sangat perihal anak Datuk Aziz, panjang juga jawapan yang diberikan oleh Azura. Azrul hanya mengangguk. Tidak banyak yang dia perolehi maklumat berkenaan cik Ellyssa. Nampaknya dia terpaksa berkenalan sendiri dengan wanita itu dan dalam waktu yang sama mengkaji sendiri sikapnya apabila mula bekerja nanti.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku