Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 27
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
951

Bacaan






Bab 27

“Daddy nak ambil seorang driver untuk Ell,” tiba-tiba Datuk Aziz memaklumkan semasa mereka sedang makan malam di rumah. Bukan senang mereka sekeluarga dapat duduk semeja begini memandangkan Ellyssa selalu balik lewat selepas habis perniagaannya di butik.

What? Kenapa tiba-tiba aje daddy ni?” tanya Ellyssa agak tekejut. Bulat matanya memandang daddy dan mommy. Wajah Datin Aini di hadapannya direnung cuba mendapatkan sedikit penjelasan. Garpu di tangan berhenti mendadak di tengah pinggan yang berisi spaghetti bebola daging.

“Bukan apa…, daddy tengok Ell macam susah nak bergerak ke mana-mana. Tak kan lah selama-lamanya nak harapkan Rina tu. Teksi pun kadang-kadang cepat, kadang-kadang lambat. Lagipun daddy risaukan keselamatan Ell. Pemandu teksi pun bukan semuanya boleh dipercayai.” Datuk Aziz memberikan alasannya. Memang sejak dia membuat keputusan, dia telah pun memikirkan alasan-alasan yang akan dimaklumkan kepada Ellyssa nanti.

“Kenapa tak tanya Ell dulu. Daddy, lelaki sekarang pun bukan boleh percaya sangat. Ell lagi risau duduk satu kereta dengan orang asing. Ingat semua orang baik ke? Kadang-kadang kawan pun tikam kita dari belakang tau daddy,” jawab Ellyssa agak kurang senang kerana bapanya seolah-olah sedang mengatur kehidupannya tanpa bertanya persetujuannya dahulu.

“InsyaAllah pemandu yang daddy nak ambil untuk Ell ni daddy pilih dari orang yang baik baik. Ell bagi lah peluang pada dia untuk tunjukkan prestasi dia dulu. Kalau ok dan Ell rasa sesuai, boleh lah dia terus bekerja,” pujuk Datuk Aziz kemudian menjeling isterinya di sebelah. Datin Aini hanya mendiamkan diri, tidak mahu masuk campur dalam hal ini. Dia menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Aziz untuk berbincang dengan Ellyssa.

“Daddy…” Ellyssa masih mahu terus membantah tetapi Datuk Aziz cepat-cepat memberikan isyarat tangan menunjukkan bahawa dia tidak mahu bertolak ansur di dalam hal ini. Maknanya Ellyssa terpaksa menerima keputusan ini tanpa banyak soal.

Ellyssa merengus kasar. Dia semakin tidak faham dengan perubahan sikap bapanya sejak kembali dari mengerjakan umrah dulu. Kadang-kadang dia rasa dia tidak kenal lagi siapa ibu bapanya. Semua peraturan di rumah ini sudah berbeza. Berpusing 360 darjah. Kalau dahulu mereka tidak pernah menegur cara dia berpakaian tetapi sekarang seringkali dia mendapat pandangan yang berbeza apabila skirtnya lebih tinggi dari lutut atau lengannya terdedah kerana berpakaian singlet.

“Daddy…, Ell memang dah lama pakai macam ni. Daddy dan mommy pun tak pernah nak larang sebelum ni. Kenapa sekarang ni semua serba tak kena?” tempelak Ellyssa kerana bengang dengan teguran bapanya bila hendak keluar makan malam dengan kawan-kawannya.

“Ell…, dulu daddy jahil. Sekarang ni daddy nak kita sekeluarga ubah cara hidup kita yang dulu. Kita kembali berpegang kepada cara hidup yang ditetapkan oleh agama Islam. Daddy dan mommy dah tua Ell. Bila-bila masa sahaja ALLAH boleh jemput kami bertemu denganNya. Daddy takut kalau ditanya tentang tanggungjawab daddy sebagai seorang bapa dalam mendidik Ell. Daddy sedar daddy salah kerana tidak pentingkan ajaran agama Islam selama ini dan membiarkan Ell hidup dalam cara yang sangat bebas. Daddy rasa bersalah sangat.” Akhirnya terluah segala kebimbangan yang bermain di hati Datuk Aziz selama ini. Air matanya bergenang. Keresahan menyelubungi dirinya. Dia tahu Ellyssa pasti akan merajuk dengannya tetapi dia tidak tahu cara bagaimana lagi untuk menarik Ellyssa supaya melangkah seiringan dengannya dalam perubahan ini.

“Daddy, Ell muda lagi. Banyak benda yang belum Ell explore lagi. Bagilah masa pada Ell okey,” selar Ellyssa lagi. Dia duduk dengan kasar di sofa di ruang tamu. Mood untuk keluar dengan kawan-kawan terus terkubur. Hatinya panas. Jika tidak diikutkan rasa hormat yang masih tinggi kepada kedua orang tuanya sudah pasti dia akan terus keluar dari rumah sekejap itu juga.

“Lagipun Ell dah habiskan duit yang banyak dan ambil masa tiga tahun untuk belajar tentang fesyen antarabangsa. Tak kanlah nak sia-siakan semua tu,” sambung Ellyssa lagi. Datuk Aziz turut duduk berhadapan dengannya. Perasaan marah menyebabkan dia tidak betah lama untuk memandang wajah lelaki itu.

“Ell, itu semua ilmu dunia. Kita seimbangkan pula dengan ilmu akhirat untuk bekalan kita bila dah meninggal dunia nanti. Ilmu yang Ell timba semasa di Paris tu bukan sia-sia. Ell boleh olah fesyen tu dan keluarkan rekaan pakaian yang lebih bersopan dan menutup aurat. Daddy tengok pasaran dan permintaan untuk pakaian muslimah semakin meningkat sekarang dan pertunjukan fesyen yang menampilkan rekaan seperti ini pun dah banyak.” Datuk Aziz masih cuba memujuk. Dia cuba memimpin fikiran Ellyssa supaya berfikir lebih jauh ke hadapan dan melihat peluang yang lebih luas untuk memajukan dirinya. Sepanjang berpuluh tahun menimba pengalaman di dalam bidang perniagaan, dia sudah pakar dengan selok belok pemasaran dan untung rugi sesebuah perniagaan. Ellyssa baru sahaja berkecimpung di dalam dunia yang penuh cabaran ini dan banyak lagi perkara yang dia perlu tahu dan belajar.

“Bila driver yang daddy hire tu nak mula kerja?” Ellyssa bertanya dengan wajah kelat. Hatinya sangat kecewa. Dia tahu walau bagaimanapun dia berdalih dia tetap perlu menerima keputusan yang telah dibuat.

“Esok,” jawab Datuk Aziz.

What? Kenapa cepat sangat?” Ellyssa sekali lagi dikejutkan dengan keputusan yang sangat tiba-tiba.

“Lebih cepat lebih baik,” jawab Datuk Aziz sebelum dia bangun dari meja makan kemudian melangkah ke ruang tamu. Ellyssa memandang wajah ibunya, cuba mendapatkan belas kasihan. Tetapi Datin Aini hanya menggeleng sebelum mengekori langkah suaminya.

“Ahhhh!!!” Ellyssa mendengus kasar. Pinggan yang masih berisi spaghetti ditolak kasar ke tengah meja. Seleranya mati. Hatinya semakin panas. Dengan langkah yang panjang dia terus menuju ke biliknya di tingkat atas. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah kedua ibu bapanya yang sedang menonton televisyen.

“Kita tak berkeras sangat dengan Ell ke bang?” tanya Datin Aini apabila dia pasti Ellyssa sudah masuk ke biliknya.

“Apa yang kita buat ni adalah yang terbaik untuk Ell. Trust me honey,” jawab Datuk Aziz kemudian mengenggam erat tangan isterinya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku