Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 28
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
2494

Bacaan






Bab 28

Hari ini seawal jam 7.30 pagi Azrul sudah sampai di hadapan banglo mewah milik Datuk Aziz. Dia menunggang motosikal Honda C70 milik arwah ayahnya. Semalam Datuk Aziz telah memberi arahan seperti berikut:

“Saya nak Azrul mula kerja esok pagi. Anak saya buka butik di KLCC. Butik buka dalam pukul 10 pagi. Tapi dalam pukul lapan pagi saya nak Azrul sudah datang dan standby tunggu anak saya. Jadual kerja dia tak tentu. Mungkin dia ada temujanjji dengan client ke sebelum datang ke butik. Azrul boleh bertanya dengan driver saya, Mamat tentang jalan ke rumah saya.”

Pucuk dicita ulam mendatang. Tersengih-sengih Mamat apabila menerima arahan dari Datuk Aziz supaya mengajar Azrul selok belok jalan di Kuala Lumpur.

“Baik Datuk. Semua bisa diatur,” jawab Mamat siap memberi tabik. Datuk Aziz menjeling tajam tetapi di dalam hatinya dia bagai digeletek dengan sikap lucu Mamat.

“Aku nak kau ajar dia betul-betul macam mana nak jadi driveryang baik. Jangan kau ajar dia mengulat dan melencong ke tempat lain pulak!” Sengaja Datuk Aziz mengeraskan suaranya supaya Mamat faham bahawa dia serius dengan arahannya sebentar tadi.

“Iyalah Datuk. Macam lah Datuk tak percayakan saya langsung. Kalau saya ni tak bagus, tak kanlah Datuk sayangkan saya selama ni kan. Hehehehh….,” Sengaja Mamat mengusik majikannya itu kerana dia faham benar sikap Datuk Aziz. Mulut sahaja bising tetapi hatinya sangat baik. Sebab itu jugalah dia dan isterinya setia bekerja dengan Datuk Aziz sehingga sekarang.

“Banyaklah aku punya sayang!” bentak Datuk Aziz. Suratkhabar yang berada di atas riba terus diangkat menutup wajahnya. Senyum meleret di bibirnya. Sengaja dia menyembunyikan wajahnya dari pandangan Mamat.

“Jadi lepas saya hantar Datuk ke pejabat, saya boleh lah terus keluar dengan si Azrul tu ya Datuk?” tanya Mamat lagi inginkan kepastian. Gurau, gurau juga, tapi periuk nasi memang kena di jaga. Itu yang selalu Mamat pesan kepada dirinya sendiri.

“Iya…,” jawab Datuk Aziz pendek. Suratkhabar langsung tidak diturunkan. Dia asyik membaca berita yang terpapar di ruangan bisnes dan ekonomi. Mamat tersengih-sengih lagi.

Semalam sehari suntuk pakcik Mamat mengajar Azrul selok belok jalan di Kuala Lumpur. Bukan setakat mengajar mengenai laluan yang akan selalu digunakan oleh Azrul, malah cara-cara memandu kereta mewah kepunyaan Datuk Aziz juga temasuk di dalam silibus pembelajaran sepanjang hari itu.

“Faham tak? Azrul ada apa-apa nak tanya pada pakcik ke?” tanya Mamat apabila mereka duduk minum di sebuah restoran mamak selepas habis memusing di bandaraya Kuala Lumpur.

“Setakat ni saya rasa okey dah semua pakcik. InsyaAllah esok kalau ada apa-apa masalah saya tanya pakcik semula ya,” jawab Azrul kemudian meneguk teh tarik kurang manis yang dipesannya. Mamat mengangguk. Dia kagum dengan sikap merendah diri Azrul. Yang lebih mulia, dia sanggup mengenepikan perasaan malu dengan menerima kerja ini demi menyara kehidupan keluarganya di kampung. Jauh di sudut hatinya dia bersetuju dengan pilihan Datuk Aziz. Azrul memang pilihan yang sangat tepat. Mamat yakin suatu hari nanti tidak mustahil Azrul akan dapat mengubah Ellyssa dengan kerelaannya sendiri.

“Apa yang pakcik menungkan tu?” tanya Azrul apabila dilihatnya Mamat jauh mengelamun. Mamat tersentak. Dia mengukir senyum pendek kemudian menggeleng kepala seperti ada satu kisah sedih yang sedang memeluk dirinya.

“Ell tu sebenarnya budak yang baik. Kami melihat dia membesar di depan mata kami.” Tiba-tiba Mamat membuka cerita mengenai Ellyssa.

“Cuma Datuk Aziz dan Datin Aini membesarkannya mengikut cara mereka,” sambung Mamat lagi. Ada rasa kesal melatari wajahnya.

“Tapi pakcik rasa belum terlambat untuk mengubah hidupnya. Ellyssa yang baik, yang lembut masih ada dalam diri dia yang sekarang dan Azrul hanya perlu sedarkan dia, itu sahaja.” Mamat merenung wajah Azrul penuh mengharap. Dia juga mahukan Ellyssa berubah menjadi gadis yang dulu. Yang ceria, yang periang, yang baik. Dia tahu Ellyssa sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Dia sedang cuba melupakan sesuatu sedangkan dia sendiri tidak mampu menghadapinya seorang diri. Ellyssa perlu disedarkan segera. Ellyssa perlu dibawa ke alam realiti sebelum dia terus hanyut dengan kedukaan semalam.

“Saya tak faham lah pakcik.” Pertanyaan Azrul membuatkan Mamat terdiam. Patutkah dia menceritakannya kepada Azrul sekarang atau membiarkan sahaja Azrul mengetahuinya sendiri nanti.

“Err..tak apalah. Pelan-pelan Azrul akan kenal siapa Ellyssa sebenarnya dan apa yang telah dilaluinya sebelum ini. Cuma satu je pakcik nak nasihatkan sebagai seorang yang lebih berpengalaman dalam hidup. Api janganlah dilawan dengan api. Dengan budi pekerti Azrul, pakcik yakin Azrul akan dapat melembutkan hati Ell satu hari nanti.”

Pengakhiran perbualan mereka pada petang itu benar-benar merungsingkan lagi fikiran Azrul. Pelbagai persoalan bermain dalam fikirannya. Kata-kata pakcik Mamat penuh kiasan, penuh teka teki seperti ada maksud tersurat. Seperti ada satu rahsia besar yang sedang disimpannya dan dia mahu Azrul mencari rahsia itu sendiri. Ahhh!!!! Buntunya aku. Jerit Azrul sendiri.

Setelah memakirkan motosikalnya, Azrul duduk di kerusi rotan di balkoni. Suasana pagi masih sunyi. Pintu utama rumah mewah itu masih lagi tertutup rapat. Tiada sebarang bunyi yang kedengaran dari dalam rumah itu.

Agaknya semua masih tidur…., bisik hati Azrul. Dia melihat jam tangan yang melilit pergelangan tangan kirinya. Baru pukul lapan pagi. Memang dia datang sangat awal pagi itu. Maklumlah hari pertama bertugas, semuanya perlu tepat pada masanya. Beberapa kali Azrul menguap. Kesunyian dan cuaca yang agak dingin membuatkan matanya agak mengantuk. Azrul memanjangkan batang lehernya untuk melihat jika ada sesiapa yang berada di keliling kawasan rumah tersebut tetapi nampaknya hanya dia sahaja yang berada di situ.

Azrul terus memejamkan matanya. Cuba untuk menghilangkan rasa mengantuk yang semakin kuat menguasai dirinya. Almaklumlah malam tadi agak lewat juga dia tidur kerana berbual di telefon dengan Natrah. Mengingatkan perbualan mereka, membuatkan Azrul tersenyum sendiri.

“Assalamualaikum….”

Tersentak Azrul apabila satu suara garau tiba-tiba memberikan salam. Terus Azrul berdiri tegak apabila melihat Datuk Aziz berdiri memandangnya dengan senyuman pendek.

“Waalaikummussalam Datuk,” jawab Azrul tersipu-sipu. Malu pun ada apabila mengingatkan kelakuannya yang senyum sendiri tadi.

“Awal Azrul hari ni?” tanya Datuk Aziz. Lelaki separuh abad itu berpakaian sangat ringkas pada pagi itu. Berbeza dengan penampilannya apabila berada di pejabat. Dengan berpagoda putih dan berkain pelikat, Datuk Aziz tidak ubah seperti Pak Abu yang sentiasa sibuk melayan pelanggan di kedai runcitnya.

“Ya Datuk,” jawab Azrul pendek. Berdebar hatinya kerana bimbang jika Datuk Aziz sedang menilai prestasi kerjanya.

“Pergi lah sarapan dulu. Masuk rumah. Mamat ada kat dapur dengan Normah,” ujar Datuk Aziz. Dia kemudiannya terus masuk ke rumah meninggalkan Azrul yang masih tidak berganjak.

Adusss….nasib baik Datuk tak tanya kenapa aku senyum sorang-sorang tadi.., keluh Azrul kelegaan. Terus dia duduk semula di kerusi sebelum tiba-tiba dia terkejut semula apabila pakcik Mamat pula muncul di pintu masuk.

“Eh Azrul, mari masuk. Kita sarapan dulu,” ajak Mamat. Dia terus merapati anak muda itu kemudian menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Tak apa lah pakcik…” Azrul menolak kerana agak segan hendak masuk ke banglo mewah itu.

“Isshhh…, apa nak segan kan. Bukannya tak ada hidung. Jom lah masuk. Datuk yang mintak pakcik ajak Azrul masuk ni,” ujar Mamat kemudian terus menarik tangan Azrul masuk ke dalam. Mahu tidak mahu Azrul mengikut juga.

Apabila tapak kakinya menjejak masuk ke rumah mewah itu, ternganga mulutnya kerana sangat kagum dengan kemewahan yang ada di dalam rumah tersebut. Memang jauh bezanya dengan rumah mereka di kampung. Memang serba serbi kekurangan rumah mereka jika dibandingkan dengan setiap hiasan, perabot dan dekorasi di dalam banglo ini.

“Normah…, ambik pinggan satu lagi. Bagi Azrul sarapan dengan kita. Hari pertama kerja biar dia makan kenyang-kenyang dulu sebelum kenyang dengan peel Ell nanti.”

Normah tersenyum mendengar usikan suaminya yang seakan sengaja hendak menakutkan Azrul.

“Kenapa pulak pakcik?” tanya Azrul. Segera dia menoleh ke arah makcik Normah yang sedang menyenduk bihun goreng ke dalam piringnya.

“Jangan ambik kisah lah cakap pakcik kau tu Azrul. Saja pakcik tu nak menyakat Azrul. Ell tu bukannya rimau yang nak telan orang,” jawab Normah kemudian ketawa kecil apabila melihat wajah Azrul yang gelisah.

“Ya lah Azrul. Pakcik main-main aje tadi,” jawab Mamat kemudian ketawa sambal menepuk bahu anak muda yang lurus bendul itu. Azrul lega mendengar jawapan mereka. Kalau tidak, bihun yang pada pandangan matanya sangat sedap itu pun pasti tidak mampu ditelannya.


Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku