Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 29
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1015

Bacaan






Bab 29

ELLYSSA yang sedang bersiap di dalam bilik mengeluh panjang. Jantungnya terasa sangat berdebar sejak bangun tidur pagi tadi. Adakah semuanya gara-gara pemandu baru yang diupah oleh daddy? Tetapi kenapa pula? Sedangkan dia langsung tidak pernah melihat wajah lelaki itu. Ellyssa mengeluh lagi kemudian merenung wajahnya di cermin dengan bibir yang dimuncungkan. Hatinya masih marah kerana terpaksa juga menerima keputusan daddy tentang pemandu tersebut. Dia duduk di kerusi.

Ahh!! Tiba-tiba Ellyssa tersentak. Terus dia berdiri. Bayangan wajah Remy sedang tersenyum memandangnya sambil memegang sekuntum bunga mawar merah kelihatan di dalam cermin di hadapannya.

“Remy!!!” Ellyssa terjerit memanggil nama itu. Dia terus merapati cermin seolah-olah ingin masuk ke dalam dakapan lelaki itu. Tetapi tiba-tiba sahaja bayangan wajah lelaki itu hilang begitu sahaja. Ellyssa terduduk. Tubuhnya menggeletar. Perlahan-lahan tangannya menyentuh lembut cermin tersebut seolah-olah dia sedang membelai lengan lelaki tersebut. Dia memejamkan matanya, cuba mengatur semula desah hati yang berombak. Sejak akhir-akhir ini bayangan wajah Remy mula menganggunya semula setelah sekian lama dia cuba bangun dari kesedihan yang dialaminya.

‘Kenapa sayang? Apa yang Remy cuba nak bagitahu Ell?’….bisik hati Ellyssa dengan perasaan sayu. Ellyssa mengenggam tangannya sendiri yang terasa menggeletar. Kemudian dia memeluk tubuhnya. Dia bangun kemudian berdiri di tepi tingkap yang terbuka. Perasaan sebak semakin menguasai dirinya. Dia cuba sedaya upaya menahannya.

‘Cukuplah Ell. Kau sudah banyak menangis….,’ Ellyssa cuba memujuk hatinya sendiri. Namun semakin dia cuba melawan, semakin kuat perasaan itu menguasai.

“I miss you so much…,” bisik Ellyssa dengan mata yang berair. Angin pagi yang bertiup dibiarkan mengelus wajahnya yang dibasahi air mata. Pandangannya dihalakan ke halaman rumah yang menghijau. Dia seolah terbayangkan gelak tawa Remy apabila mereka berbual di kerusi putih di taman itu. Memori itu sangat indah tetapi sangat memedihkan apabila diingatkan semula.

‘Kenapa Remy tinggalkan Ell sendirian untuk menghadapi kedukaan ini? Ell tak mampu sayang, Ell tak mampu…’ Ellyssa semakin sebak. Entah kenapa kebelakangan ini dia sering mengenang semula saat-saat manis antaranya dengan Remy. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Dia sangka dia sudah cukup kuat untuk bangun meneruskan kehidupannya seperti biasa, tetapi rupanya dia hanya berlindung di sebalik senyuman. Hatinya masih basah dengan luka dan kecewa kerana ditinggalkan di saat cinta sedang mekar mengharum.

“Ell…, Ell dah siap ke? Jom kita breakfast.” Suara mommy di luar bilik dengan ketukan perlahan di pintu mengejutkan lamunan Ellyssa. Terus dia menyeka air mata di pipi. Dia cuba mengawal semula perasaannya agar tidak terbawa-bawa dengan rasa sedih sehingga menjejaskan tugasnya pada hari itu.

“Ya mommy. Ell tengah bersiap. Sikit lagi Ell turun ya,” sahut Ellyssa dari dalam bilik. Terus dia mencapai beg tangannya yang terletak di atas katil. Sebelum keluar dari bilik, Ellyssa merenung semula cermin solek di hujung katil…Cuma ingin memastikan sama ada Remy masih ada di situ. Tiada! Ellyssa meneruskan langkahnya…

Tiba di tingkat bawah, Ellyssa terus duduk di kerusi yang sama apabila dia menikmati hidangan di rumah itu.

“Hari ni pemandu baru tu akan drive kan Ell ke ofis,” maklum Datuk Aziz dengan kerlingan ke arah Ellyssa yang sedang menyapu mentega di atas roti bakar yang diletakkan oleh makcik Normah sebentar tadi.

Ellyssa pura-pura tidak mendengar. Dia langsung tidak mengangkat wajahnya dan terus menyapu mentega sehingga menutupi keseluruhan permukaan roti.

“Ell…., daddy kan cakap dengan Ell tu.” Datin Aini pula bersuara setelah melihat sikap tidak endah Ellyssa.

“Ya mommy, daddy. Ell dengar ni. Apa yang Ell nak cakap lagi kan sebab daddy memang dah buat semua keputusan. So Ell ikut saja lah,” jawab Ellyssa tetapi lebih kepada menyindir Datuk Aziz.

Datuk Aziz hanya tersenyum mendengar kata-kata anak gadisnya. Dia tahu Ellyssa merajuk dengan tindakannya tetapi dia tahu apa yang diputuskannya itu adalah yang terbaik untuk diri Ellyssa. Selama 24 tahun Ellyssa dimanjakan dan ditatang seperti minyak yang penuh, kali ini Datuk Aziz mahu menebus kesalahannya dalam mendidik satu-satunya waris yang dimilikinya.

Datuk Aziz merasa cukup bersalah kerana terlalu lambat sedar akan kesilapannya selama ini. Memang dia tahu, bukan mudah untuknya cuba menarik kembali Ellyssa untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik, tetapi Datuk Aziz tidak mahu mengalah sebelum mencuba dengan sedaya upayanya.

Mengambil Azrul menjadi pemandu peribadi Ellyssa adalah salah satu langkah yang dirasakannya baik buat masa ini. Azrul sangat diyakininya untuk membantu dia dalam merealisasikan impiannya untuk melihat perubahan dalam diri Ellyssa. Pada masa ini, pangkat dan harta wang ringgit tidak lagi menjadi matlamat utama di dalam hidupnya seperti yang selalu difikirkannya selama ini.

Baginya, bekalan akhirat perlu dikumpulkan secepat mungkin memandangkan umurnya sudah semakin meningkat. Harta dan wang ringgit yang ada baginya sudah lebih dari mencukupi buat mereka sekeluarga. Sekiranya mereka meninggal dunia kelak, harta-harta ini langsung tidak akan dapat membantu untuk membawa mereka masuk ke dalam syurga atau melepaskan diri mereka dari siksa api neraka.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku