Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 34
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1775

Bacaan






Bab 34

Diam tak diam, telah genap sebulan Azrul bekerja dengan Ellyssa. Dalam kesibukannya menguruskan segala hal berkaitan butiknya dan keperluannya menggunakan khidmat Azrul membuatkan Ellyssa terpaksa akur menerima kenyataan bahawa keputusan daddy mengambil seorang pemandu untuknya adalah tepat. Setakat ini dia tidak mempunyai sebarang rungutan terhadap tugas yang Azrul jalankan. Pada penilaiannya lelaki itu sangat bertanggungjawab dengan pekerjaannya dan sentiasa bersedia menunggu Ellyssa apabila Ellyssa memerlukannya. Walaubagaimanapun, hubungan mereka tetap dingin. Perbualan hanya atas urusan kerja. Apabila masuk ke dalam kereta, mereka berdua akan mendiamkan diri sekiranya tidak ada apa-apa perkara penting yang hendak dimaklumkan.

Ellyssa lebih gemar membelek laman sosial di telefon bimbitnya manakala Azrul akan hanya menumpukan kepada pemanduannya. Cuma hari ini tiba-tiba mulut Ellyssa terasa ringan untuk bertanya sesuatu. Lagipun sudah habis laman facebook dan twittermiliknya di semak dan tiada mesej atau notifikasi baru.

“Awak orang mana?” tanya Ellyssa. Dia cuba mencuri pandang wajah lelaki itu dari belakang.

“Cik Ellyssa cakap dengan saya ke?” tanya Azrul. Terkejut pun ada apabila tiba-tiba sahaja suara majikannya itu kedengaran.

“Habis tu, ada orang lain ke dalam kereta ni?” perli Ellyssa. Dikerlingnya lelaki itu dengan pandangan geram.

“Errr.., tak lah. Saya ingat cik Ellyssa tengah bercakap dalam telefon ke.”

“Habis tu kalau awak ingat saya sedang bercakap di telefon, kenapa awak tanya semula?” sindir Ellyssa.

“Cuma nak pastikan aje. Nanti kalau tak jawab takut cik Ellyssa marah pulak,” jawab Azrul jujur.

‘Eh eh…, banyak songeh pulak mamat ni. Tu yang aku malas nak berbual tu. Baru nak bukak mulut, sakit je hati aku dibuatnya…,’ bebel Ellyssa dalam hati. Rasa nak luku je kepala mamat depannya ini.

“Habis tu?” Ellyssa bersuara semula, sengaja dia bertanya semula.

“Kalau nak ikut asal betul-betul, bapa saya orang Melaka. Tapi bapa saya lama kerja di Bidor. Beli rumah kat sana dan sampai sekarang kami tinggal di Bidor,” jawab Azrul kerana soalan Ellyssa sebentar tadi masih belum dijawab.

“Awak cakap dengan saya ke?” Tetapi kali ini Ellyssa sengaja hendak mengenakan Azrul semula.

“Bukan ke cik Ellyssa tanya saya tadi asal dari mana?” Azrul terpinga-pinga. Malu pun ada kerana dia beria-ia menjawab tadi. Tapi…, tak mungkin lah dia salah mendengar.

“Ye ke…saya tengah cakap di telefon dengan orang lain tadi la.” Terus Ellyssa menekup mulutnya, cuba menahan gelaknya yang hampir pecah. Ellyssa terus menyorokkan wajahnya di sebalik kerusi kerana dia perasan Azrul sedang melihat ke belakang melalui cermin pandang belakang.

‘Ish…, betul ke dia tanya aku tadi? Kalau tak betul, memang malu betul aku…,’ bisik Azrul. Merah padam juga wajahnya menahan malu. Nasib baik dia menghadap ke depan. Kalau dia bertentang wajah dengan cik Ellyssa manalah nak disorokkan mukanya nanti.

“Saya nak berhenti di kedai depan tu kejap,” maklum Ellyssa. Azrul tidak menoleh, terus sahaja mendiamkan diri dan memandu.

Eh eh!!! Ellyssa pelik kerana Azrul terus memandu melepasi kedai yang dinyatakan. Amboi, melanggar arahan nampak. Baru je aku aku rasa perkhidmatan dia bagus, tiba-tiba buat hal pulak hari ni…., bebel Ellyssa.

“Hei Azrul! Kenapa awak tak berhenti kat kedai tadi tu. Kan saya dah cakap saya nak singgah,” marah Ellyssa. Tubuhnya bergerak ke depan, rapat ke bahagian kiri Azrul. Biar kata-katanya jelas masuk ke telinga lelaki itu.

“Eh, bila pulak cik Ellyssa cakap dengan saya?” Terkejut Azrul apabila tiba-tiba sahaja wanita itu menyergahnya. Dah lah tak pernah reti nak bagi salam. Asyik “hei hei” saja kalau nak bercakap dengannya.

“Tadi kan saya cakap,” ulang Ellyssa lagi.

“Laaa…, ye ke. Saya ingat cik Ellyssa sedang cakap di telefon. Malas la saya nak ambik tahu,” jawab Azrul kemudian tersenyum puas hati kerana dapat mengenakan semula majikannya.

“Ishhh!!! Awak ni kan!” Bengang betul Ellyssa kerana dikenakan semula oleh lelaki itu. Terus dia menghenyakkan tubuhnya ke kerusi semula. Dia terus bersandar kemudian berpeluk tubuh dengan jelingan tajam ke arah pemandunya yang diam-diam ubi.

Tiba-tiba Ellyssa tersentak. Ingatannya segera teringat kepada peristiwa di dalam lif sewaktu daddy dan mommy pergi menunaikan umrah tempohari. Patutlah dia rasa macam pernah nampak wajah Azrul sebelum ini. Ya! Memang tak sah lagi!!

Berbahang rasa hati Ellyssa apabila mengingati semula peristiwa itu. Terus dia merapatkan semula tubuhnya ke kerusi hadapan.

“Hei Azrul!. Saya nak tanya ni.” Kali ini Ellyssa memanggil nama lelaki itu supaya lelaki itu cukup faham bahawa dia mahu bercakap dengannya.

“Ya Cik Ellyssa,” jawab Azrul. Lain macam aje bunyi suara dia ni…, bisik hati Azrul.

“Awak ingat tak dulu awak kurang ajar masuk dalam lif masa kat KLCC?” Terus Ellyssa menerjah Azrul dengan peristiwa tersebut.

Azrul terkebil-kebil. Bila masa pulak ni…, bisik hati Azrul. Dia memang langsung tidak ingat.

“Maaf Cik Ellyssa. Saya betul-betul tak ingat,” jawab Azrul. Dia cuba mengerling cermin pandang belakang, cuba melihat reaksi wajah majikannya. Manalah tahu wanita itu sedang tersenyum ke dan sebenarnya hanya cuba untuk mengenakannya. Tetapi apabila melihat wajah cik Ellyssa yang serius, dia mendiamkan dirinya dan cuba mengingati apa yang berlaku.

“Dua bulan lebih yang lepas. Saya dan Sarina nak keluar lif tapi awak tak menyempat-nyempat nak masuk. Langsung tak tunggu orang yang ada dalam lif nak keluar. Lepas tu tak minta maaf pun. Sibuk dengan telefon awak.” Ellyssa yang memang sudah naik angin terus menceritakan semula kejadian tersebut.

Alamak….perempuan ni ke…., keluh Azrul. Apabila Azrul teringat semula kejadian tersebut, dia menelan air liur beberapa kali. Habislah aku…., bisiknya lagi.

“Err….maafkan saya cik Ellyssa. Baru saya teringat. Masa hari tu saya sebenarnya dapat panggilan telefon dari adik saya. Dia beritahu emak pengsan selepas cuci darah. Tu sebab saya kelam kabut balik. Maaf ya cik Ellyssa. Saya tak berniat nak bersikap biadap pun.” Azrul segera meminta maaf dan menceritakan kejadian sebenar. Dia berharap gadis itu tidak akan memanjangkan perkara tersebut kerana apa yang diceritakannya adalah perkara yang benar-benar berlaku.

“Emak awak sakit apa” tanya Ellyssa. Kemarahannya segera mengendur apabila mendengar alasan Azrul.

“Dia sakit buah pinggang disebabkan kencing manis. Sampai sekarang masih lagi berulang ke hospital untuk cuci darah. Kerana dia jugalah saya terima kerja ni cik Ellyssa,” jelas Azrul. Di dalam hati, dia amat bersyukur kerana cik Ellyssa tidak terus memarahinya.

Ellyssa bersandar semula ke kerusi. Amarahnya telah reda. Namun di dalam hatinya dia sedang berfikir…siapa sebenarnya lelaki ini. Dia tidak rasa lelaki ini layak untuk bekerja sebagai seorang pemandu. Lelaki ini seolah-olah menyembunyikan identitinya sendiri disebalik cermin mata bingkai besar dan rambut yang berminyak. Walaupun lelaki ini seolah-olah cuba merahsiakan, tetapi dari cara percakapannya, lenggok tubuhnya Ellyssa yakin lelaki itu menyembunyikan sesuatu. Siapa dia…, berkali-kali soalan itu menerjah fikirannya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku