Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 35
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1614

Bacaan






Bab 35

Azrul baru sahaja selesai bersolat Subuh apabila tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dia bergegas bangun dari sejadah kemudian mencapai telefon bimbit yang teletak di tepi katil. Nama cik Ellyssa terpapar di skrin.

Azrul menjawab panggilan dengan memberi salam. Salamnya berjawab.

“Saya lupa la nak cakap semalam. Hari ni awak kena datang awal sikit. Saya ada meeting dengan client pukul sembilan pagi. Saya kena sampai ofis dalam pukul 8.00 macam tu sebab semua dokumen saya ada kat ofis,” jelas Ellyssa dengan suara serak-serak basah kerana baru bangun tidur. Matanya masih mengantuk tetapi demi menjaga nama baik butiknya, dia terpaksa korbankan semua perasaan yang boleh melemahkan semangatnya.

Azrul terus sahaja melihat jam dinding. Sekarang sudah pukul 6.30 pagi. Perjalanannya menaiki motosikal ke rumah Datuk Aziz akan mengambil masa lebih kurang setengah jam juga. Maknanya dia perlu bersiap sekarang juga.

“Baiklah. Cik Ellyssa siap-siap la. Saya cuba sampai ke sana secepat mungkin.”

Talian segera diputuskan. Azrul bergegas mencapai baju kemeja putih yang telah siap digosok malam tadi. Dengan pantas juga dia menyarungkan seluar panjang hitam dan mengemaskan kemejanya dengan mensisipkan bahagian pinggang ke dalam seluar panjang. Selepas itu, dia menyikat rambutnya yang telah diminyak. Sebelum keluar, cermin mata berbingkai hitam besar dipakai melengkapkan uniformnya untuk memulakan waktu bekerjanya pada hari itu.

Kunci motosikal disumbatkan ke dalam tempatnya. Tidak lama kemudian bunyi enjin motosikal itu mengaum memecahkan kesunyian pagi di kawasan rumah teres tersebut. Sekejap sahaja Azrul memanaskan enjin kemudian dia terus memecut laju menuju ke rumah Datuk Aziz. Memang sejak kecil lagi Azrul telah diajar oleh ayahnya untuk sentiasa menepati masa sekiranya telah berjanji.

Tepat pukul 7.30 pagi Azrul sudah tercongok di depan pintu pagar banglo Datuk Aziz. Loceng pintu ditekan. Tidak lama kemudian pintu pagar tersebut secara perlahan-lahan terbuka sendiri. Seperti biasa, pakcik Mamat lah yang akan menekan butang pagar berelektrik tersebut dari dalam rumah. Azrul terus menunggang motosikalnya ke dalam kawasan banglo tersebut. Dia terus menuju ke belakang rumah, tempat dia selalu memakirkan motosikalnya.

Seperti biasa, dia akan masuk ke rumah melalui pintu belakang untuk mengambil kunci kereta yang memang tersangkut di tempat kunci.

“Ha Azrul. Cepat datang hari ni?” sapa pakcik Mamat yang masih bersinglet pagoda dan berkain pelikat.

“Cik Ellyssa telefon awal-awal pagi tadi. Dia suruh saya datang awal sebab dia kata dia ada meeting dalam pukul sembilan. Tu yang saya terus datang ke sini. Pakcik nampak tak cik Ellyssa?”

Pakcik Mamat menggaru kepala. Dia menoleh pula ke belakang. Rasanya sejak dari dia bangun untuk bersolat Subuh tadi, kawasan tingkat atas rumah itu masih lagi sunyi sepi.

“Pakcik tak perasan la pulak. Lagipun pakcik duduk kat kawasan dapur ni aje. Cuba Azrul mesej atau call Ell tu. Cakap la yang Azrul dah sampai.” Pakcik Mamat memberi cadangan kemudian duduk di meja makan.

“Eh, awal Azrul datang hari ni.” Makcik Normah yang baru ke dapur turut menegur Azrul yang duduk bersama suaminya di meja makan.

“Ell telefon dia katanya. Ada meetingdan nak pergi awal.” Pakcik Mamat pula tolong jawabkan bagi pihak Azrul. Normah macam tidak percaya sahaja apabila mendengar jawapan suaminya. Berkerut wajahnya. Mamat yang tahu maksud pandangan isterinya hanya menggeleng kepala. Sukar sebenarnya mereka hendak percaya bahawa Ell akan bangun seawal itu untuk ke tempat kerja.

“Awak nampak ke Ell pagi ni? Nak dekat pukul lapan dah ni. Katanya kat Azrul, pukul lapan nak kena sampai ofis dah,” tanya Mamat kemudian meneguk kopi O panas yang diletakkan oleh isterinya.

“Tak ada pulak saya. Tak tahu lah kot dia tengah bersiap lagi,” jawab Normah. Dia meletakkan secawan lagi kopi O di atas meja untuk Azrul. Tidak lama kemudian bunyi “ting” kedengaran menandakan roti yang dimasukkan ke dalam pembakar roti sudah sedia untuk dikeluarkan.

“Roti bakar aje pagi ni Azrul.” Normah meletakkan dua keeping roti bakar bersalut kaya pandan di atas meja untuk sarapan mereka pagi itu.

“Alhamdulillah, ada jugak rezeki kita pagi ni makcik,” ujar Azrul dengan senyuman. Memang sejak dia mula bekerja di sini, pakcik Mamat dan Makcik Normah lah menjadi pengganti keluarganya. Kebetulan pula pakcik Mamat dan Makcik Normah memang tidak dikurniakan zuriat. Oleh itu mereka melayan Azrul seperti anak mereka sendiri.

“Cuba call dia Azrul,” cadang Mamat lagi setelah dilihatnya Azrul semakin gelisah dan seringkali melihat jam tangan. Azrul serba salah. Takut kalau cik Ellyssa tidak suka diingatkan memandangkan dia adalah boss!!.

“Saya mesej dia dulu la pakcik.” Azrul mengambil keputusan tersebut setelah jarum jam menunjukkan pukul 8.15 pagi.

Belum sempat Azrul menekan butang “SEND”, tiba-tiba Ellyssa berlari turun ke bawah dan terus menuju ke dapur. Dengan wajah yang sembap dan rambut yang agak tidak terurus, dia terus menyerang Azrul.

“Kenapa awak tak call saya awal-awal? Kan saya kata saya ada meeting dan kena sampai di ofis pukul lapan. Ni dah nak dekat pukul 8.30 tau. Kalau saya tak turun, pandai-pandai la awak ingatkan saya. Kalau saya lambat pergi meeting, awak yang salah tau. Hisshhhh!!!” Selepas membebel-bebel tidak berhenti, Ellyssa terus berjalan laju ke depan rumah. Dia menunggu Azrul di tempat parkir kereta.

Azrul, Mamat dan Normah terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Siapa yang bersalah sebenarnya ni????



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku