Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 39
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1566

Bacaan






Bab 39

Empat tahun yang lepas…

“Eh Danny, kau kenal tak awek tu?” tanya Tapa yang duduk di hadapannya sambil memegang gelas besar berisi air perang berbusa putih. Mata Tapa melirik pandang gadis yang dimaksudkannya. Sesekali dia ketawa tanpa sebab disebabkan kepala yang sudah pening lalat.

“Mana? tanya Rashdan yang hanya dipanggil Danny oleh kawan-kawannya. Asap rokok memekat keluar dari mulut dan lubang hidungnya. Sebatang rokok yang masih baru dihisap dikepit antara dua jari telunjuk dan jari hantu.

“Tu haa…. yang baru masuk kat pintu tu. Cun oooo…. Anak VVIP lagi tu,” selar Tapa dengan suara yang kuat kemudian dia mengekek lagi tanpa sebarang sebab yang pasti. Bunyi muzik rancak yang bergema di dalam kelab malam itu menyebabkan mereka terpaksa bersuara kuat dan bercakap terjerit-jerit.

Danny mula mencari gadis yang dimaksudkan. Dengan suasana gelap yang hanya disinari oleh lampu neon pelbagai warna yang berpusing-pusing di dalam kelab itu membuatkan dia sukar mengenalpasti gadis yang dimaksudkan. Ditambah lagi dengan pengunjung kelab yang begitu ramai pada malam itu sementelah hari ini adalah malam minggu. Lelaki dan wanita pelbagai bangsa sedang rancak menari mengikut rentak lagu yang dipasang oleh deejay bertugas. Kaki Danny juga tidak dapat dikawal dari bergerak-gerak menari mengikut irama keras dan rancak.

Di sudut kanan kelab, mata Danny terhenti pada satu wajah yang sangat jelita. Gadis itu yang duduk bersama lima lagi rakannya sedang rancak berbual di bawah cahaya lampu yang agak terang di kelab itu. Gadis berambut panjang lurus separas dada itu berjaya memukau pandangannya dengan sekali pandangan. Lama dia memerhati wajah itu mengharapkan bahawa gadis itu akan menoleh ke arahnya. Dengan seluar getah ketat berwarna hitam dipadankan dengan blaus pendek berwarna silver berkilat, gadis itu kelihatan sangat bergaya di pandangan mata Danny. Rantai panjang yang melilit lehernya yang jinjang dan beberapa rantai tangan kristal juga mengesahkan bahawa gadis itu sangat mementingkan penampilan dan fesyen.

“Apa lagi Danny. Tackle la. Takkan kau nak tengok aje. Tak rock la macam tu….” Tapa sengaja membakar perasaan Danny yang memang pantang dicabar. Sebelum ini pun tidak pernah ada gadis yang tidak tersungkur dengan rayuan manisnya.

“Kau tak suruh pun aku akan pergi tackle dia jugak. Aku dah jatuh hati ni. Cute giller budak tu,” jawab Danny dengan pandangan matanya masih tidak beralih dari memerhati gadis itu.

Danny bangun dari kerusi kemudian membetulkan jaket kulit hitam yang dipakainya. Dizipnya separuh sehingga ke bawah dada. Putung rokok yang sudah hampir habis dihisap ditekan-tekan ke dalam ashtray yang ada di atas meja. Abu rokok di dalam ashtray tersebut sudah semakin penuh kerana sejak dua jam berada di dalam kelab itu, sudah hampir separuh isi kotak rokok itu dihabiskannya.

Sebelum melangkah dia dan Tapa membuat tamparan high five. Tapa tersengih-sengih memandang langkah Danny yang menuju ke arah gadis yang ditunjukkannya tadi. Gelas kosong di tangan diletakkan di atas meja kemudian putung rokok pula melekat di celahan bibirnya yang hampir hitam.

“Hello…, boleh I belanja you all minum malam ni?” Seperti biasa itu lah ayat pengenalan yang sering diucapkannya apabila memikat gadis di kelab malam. Semua gadis yang duduk di sofa itu memandang ke arahnya. Ada yang tersenyum dan melirik nakal dan ada yang menoleh sekilas sahaja. Gadis jelita yang menarik minatnya juga seperti tidak sudi dengan pelawaannya. Tiada langsung senyuman di bibirnya. Sebaliknya dia terus sahaja menyedut minuman fresh orange yang dipesan. Melihatkan sikap jual mahal tersebut membuatkan Danny semakin kuat ingin mendekati dan memancing hatinya.

‘Tak apa…., perlahan-lahan. Lama-lama dia pasti berjaya aku tackle,’ bisik hati Danny. Geram pun ada, malu pun ada apabila tidak langsung dilayan dengan baik. Tetapi nasib baiklah ada seorang gadis di situ yang membalas pelawaannya dan bersetuju untuk berbual dengannya.

You all ni dari mana? Tak pernah nampak pun?” tanya Danny kepada gadis berkulit hitam manis bernama Mimi. Walaupun begitu, pandangan matanya sekali sekali dilarikan ke arah gadis berwajah jelita itu. Jual mahal….bisik hati Danny. Jagalah kau…bisiknya lagi.

Malam itu kopak juga Danny kerana terpaksa mengotakan janjinya untuk belanja gadis-gadis itu minum. Hampir RM200-00 juga duitnya terpaksa dikeluarkan kerana gadis-gadis itu betul-betul menggunakan peluang yang ada dengan memesan pelbagai jenis minuman.

Tapa berdekah-dekah ketawa apabila mendengar cerita Danny yang masih gagal memikat gadis jelita itu. Panas juga hati Danny apabila diperlekehkan oleh kawan baiknya sendiri. Tubuh Tapa yang terhoyong hayang ditolaknya kasar. Bau masam mulutnya sangat meloyakan.

Rileks lah bro. Takkan cepat sangat kau nak give up.” Tapa menyeringai mempamerkan barisan giginya yang kuning akibat banyak merokok. Dia cuba mengejar langkah Danny yang laju sahaja ke depan. Fikiran lelaki itu tidak tenteram malam ini kerana buat pertama kalinya dia gagal memikat gadis yang diminatinya.

“Yang ni lain dari yang lain. Yang ni jual mahal. Tapi kalau aku dapat memang berbaloi,” jawab Danny dengan perasaan yang tidak keruan. Fikirannya tidak dapat berhenti dari terbayangkan wajah gadis itu. Sehingga mereka semua beredar, dia langsung tidak mendapat peluang untuk berbual dengannya. Malah namanya pun dia tidak tahu. Tetapi apa yang gadis itu tidak tahu adalah, dia berjaya mengambil gambar gadis itu secara sembunyi menggunakan telefon bimbitnya. Dengan teknologi sekarang, mudah sahaja dia mencari maklumat mengenai gadis itu. Dia hanya perlu mengedarkan sahaja gambar itu kepada kawan-kawannya yang lain dan dia pasti ada di antara mereka yang kenal siapa gadis itu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku