Kan Aku Dah Kata!!!
Bab 40
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 29 Disember 2013
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
7088

Bacaan






Bab 40

Pagi itu, celik sahaja mata daripada tidur Danny terus sahaja mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Dia ingin segera memeriksa samaada terdapat maklumat yang boleh diberi oleh kawan-kawannya tentang gadis jelita tersebut.

Setelah selesai membaca semua pesanan yang diterima Danny akhirnya tersenyum lebar. Dia ketawa berdekah-dekah kemudian menelentang semula di atas katil. Dia sangat gembira. Pencariannya berhasil. Dia sudah tahu siapa gadis itu. Dia juga sudah mendapat serba sedikit maklumat yang akan memudahkan lagi rancangannya untuk mengatur strategi bagi memikat gadis tersebut.

“Ellyssa…” Bibir Danny menyebut nama gadis tersebut. Senyuman lebar terukir di bibirnya yang nipis. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Hatinya berbunga riang. Malam ini dia akan bersiap sedia menunggu di kelab malam yang akan didatangi oleh gadis itu. Jika tidak berjaya, malam esok dia akan menunggu lagi sehinggalah gadis itu jatuh hati padanya. Dia tidak pernah kalah memikat mana-mana gadis yang disukainya, dan kali ini juga dia pasti Ellyssa akan berjaya ditakluki hatinya.

Malam itu seperti biasa Danny telah bersiap sedia untuk pergi ke kelab malam kesukaannya. Danny tidak perlu membuat temujanji dengan sesiapa untuk menemaniya pada malam minggu itu kerana di kelab malam itu semua yang hadir adalah kawan-kawannya baik lelaki atau perempuan. Mana-mana perempuan yang datang ke kelab malam kebanyakannya adalah yang jenis suka bersosial dan tidak kisah sekiranya mana-mana lelaki mengajaknya menari.

Danny tersenyum sendiri apabila memikirkan bahawa kemungkinan Ellyssa dan kawan-kawannya juga akan turut berada di kelab malam tersebut. Ini adalah kerana kelab itu juga adalah kelab kesukaan Ellyssa. Danny menyemburkan haruman Giorgio Amani kesukaannya. Dia mahu Ellyssa kalah di dalam pelukannya malam ini. Siapa tidak kenal Danny…, high value!!! Tersengih-sengih Danny apabila ayat itu disebut. Wajah kacak dan tubuh sasanya menjadi asset yang paling bernilai untuk menggoda mana-mana gadis yang diminatinya.

Tepat jam 9.00 malam, Danny telah berada di lantai tari kelab. Suasana gelap yang diterangi dengan lampu putar berwarna warni serta muzik rancak yang dipasang kuat adalah keadaan biasa di setiap kelab malam. Beberapa pasangan kelihatan sedang menari mengikut rentak lagu yang dipasang. Malam ini Danny tidak berminat hendak terus menari. Dia mencari meja yang kosong kemudian memesan minuman. Beberapa gadis pelayan yang dikenalinya melambai mesra dengan senyuman menggoda. Danny membalas ala kadar. Hari ini Danny mempunyai agenda tersendiri. Matanya liar mencari seseorang.

Setelah hampir lima belas minit menanti, kelibat gadis yang ditunggu akhirnya muncul. Tetapi senyuman Danny yang lebar tiba-tiba sahaja hilang apabila dilihatnya pinggang gadis itu dirangkul erat oleh seorang lelaki. Mereka kelihatan mesra. Rokok yang baru separuh dihisap terus ditenyeh ke dalam ashtray. Wajah Danny masam mencuka, hatinya dipagut rasa cemburu. Dia rasa tercabar. Pedulikan lelaki itu…, bisik hati Danny.

Dia terus bangun kemudian masuk ke lantai tari. Sengaja dia rapat ke tubuh Ellyssa yang sedang menari dengan teman lelakinya. Bau haruman yang dapat dihidunya dari tubuh Ellyssa membuatkan dia semakin tertarik dengan gadis itu.

“Maaf…,” ujar Danny apabila dia dengan sengaja melanggar belakang gadis itu. Dia berlakon seolah-olah perkara itu tidak disengajakan. Danny rasa tercabar apabila Ellyssa langsung tidak senyum kepadanya malah terus menarik teman lelakinya untuk menjauhkan diri darinya.

“Kau jangan bongkak sombong sangat la…. Kalau kau tak jatuh dalam pelukan aku, jangan panggil la aku Danny,” bebel Danny dengan perasaan tercabar.

Danny terus menari. Pasangannya bertukar ganti. Tetapi matanya terus melirik pergerakan Ellyssa dan teman lelakinya. Hatinya masih menanam rasa untuk memiliki hati gadis itu. Semakin gadis itu sombong dengannya, semakin kuat perasaannya ingin menakluki hati gadis itu.

“Kalau bukan malam ni…, malam esok ada, malam lusa ada. Aku tak akan berputus asa…,” desis hati Danny.

Selepas dua minggu mencuba dan nampaknya masih tidak menampakkan perubahan positif, hati lelaki Danny mula tidak sabar. Percubaan demi percubaan nampaknya tidak mendatangkan hasil. Gadis ini langsung tidak sudi walaupun hanya untuk berkawan dengannya. Renungan mata gadis itu seolah-olah dirinya adalah orang yang tidak layak untuk berkawan dengannya.

“Baik…, cara lembut kau tak lekat, kau rasakan cara kasar aku,” bentak hati Danny. Dia mengenggam penumbuk. Kawan-kawan sudah mula memerli dan mempermainkannya kerana gagal menjinakkan Ellyssa. Memang tercabar sungguh hati Danny apabila diperlekehkan bab perempuan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku