KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9469

Bacaan






Usai saja membuka kasut, kalut-kalut Haq melepasi pintu utama. Hari ini harinya benar-benar sibuk. Makan tengah hari pun tidak sempat. Mujur juga sebelum bergerak ke pejabat pagi tadi, dia sudah menghabiskan sepinggan nasi goreng kampung. Jika tidak, pasti tubuhnya jadi lebih penat.

Ihram pun sepanjang hari ini, langsung tidak singgah di fikirannya. Saat punggungnya mencecah kerusi kereta, barulah ingatan terhadap anak comel itu menderu-deru menjengah ingatan. Kalau tidak kerana teguran Haji Lukman, tentu dia sudah memecut laju.

Sungguh... dia benar-benar rindukan Irham!

“Irham... Irham...”

Mendengar suara Rosnah memanggil-manggil nama Irham, hati Haq terasa lapang. Terus dia mendekati ruang tamu mewah milik Haji Lukman.

“Kak Ros,” sapa Haq. Beg bimbitnya hanya diletakkan di lantai. Mahu melihat Irham sebelum masuk ke bilik.

“Eh... dah balik? Awal hari ni.”

“Kerja habis awal. Itu yang saya cepat aje sampai ke rumah. Irham okey tak hari ni? Ada meragam?”

Rosnah cuit pipi Irham yang hanya terkebil-kebil memandang Haq. Anak kecil itu cukup kenal pada Haq. Mendengar suara Haq saja, kepala Irham sudah terpusing-pusing. Cuba mencari di mana sebenarnya Haq berada.

“Budak baik ni, mana ada meragam. Okey aje dia hari ni. Jangan risau. Kan, Irham kan?”

“Terima kasih ya Kak Ros.”

Rosnah hanya senyum. Itu yang paling digemari tentang Haq. Anak majikannya itu tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih padanya kerana menjaga Irham. Padahal sebagai pembantu di rumah itu, dia hanya menjalankan tugasnya. Menjaga Irham pun bukannya kerja yang sukar. Anak itu tidak banyak ragam. Kalau menangis pun sebab lapar atau tidak selesa.

“Nak Kak Ros tengokkan Irham dulu?”

“Tak apa tinggalkan aje Irham kat sini, saya bawa dia sekali masuk bilik kejap lagi. Ni nak hilangkan penat dulu.”

“Kalau macam tu Kak Ros minta diri dululah.”

“Okey.”

Hilangnya Rosnah daripada pandangan, Haq kembali memberikan sepenuh perhatian kepada Irham. Tangan kecil Irham yang bergerak-gerak seperti minta diangkat, dicuit-cuit perlahan. Anak itu, semakin hari dilihat semakin comel saja. Cuma sayangnya, tubuh Irham tidak berisi seperti kanak-kanak lain. Hendak melihat ketak-ketak di lengan dan paha Irham, sangat sukar kerana tidak ada.

“Anak papa ni, bilalah nak gemuk agaknya ya?” tanya Haq pada Irham.

Irham tetap juga menggerak-gerakkan tangannya. Sesekali kaki yang juga kecil itu ikut terangkat sama.

Haq sedikit membongkok, bibirnya dibenamkan di kedua-dua belah pipi Irham. Rasanya, hanya bahagian pipi Irham saja yang menonjol kerana agak montel sedikit. Lain-lain tempat, tidak.

“Gemuklah sikit Irham. Kalau Irham lagi gemuk, papa percaya yang Irham akan jadi babypaling comel dalam dunia ni.”

Tangan kanan Irham memegang kuat jari telunjuk Haq. Itu membuatkan Haq lebih teruja.

“Tapi... papa tak kisah sangat kalau Irham kurus pun. Janji anak papa ni sihat selalu,” bebel Haq terus.

Tetap juga tidak ada suara balasan daripada Irham. Dan Haq, tergelak kecil. Dia bercakap dengan kanak-kanak berusia sebulan lebih. Mana mungkin anak sekecil itu akan memberikan tindak balas.

“Jadi anak yang baik ya Irham Firdaus...”

Haq terdiam tiba-tiba. Menyebut ayat itu dia jadi teringat pada Qara. Itulah ayat yang sama disebut pada Irham sebelum Qara pergi. Selepas hari itu mereka tidak pernah bertemu muka. Hanya yang dia tahu, Qara itu kawan baik Dhia. Sejak hari itu bibirnya sendiri tidak pernah lepas daripada mengungkapkan ayat yang sama.

“Apa khabar ya Aunty Qara, Irham?” tanya Haq perlahan.

Mata bulat Irham direnung dalam. Pipi Irham, dahi Irham, hidung Irham, dagu Irham, leher Irham dan kepala Irham, pernah menjadi tempat bibir Qara berlabuh. Lalu dengan jari sedikit terketar, perlahan-lahan dia menyentuh pipi Irham. Diusap-usap penuh kasih sayang sebelum jarinya bergerak ke hidung, diikuti dagu kecil dan berakhir di dahi berbulu halus milik Irham. Kemudian matanya jatuh di leher putih Irham, dia tunduk dan mencium lama di situ.

“Qara...” panggilnya perlahan, sangat perlahan seolah-olah yang ada di hadapannya saat ini, seraut wajah menarik itu. Bukannya Irham.

Namun saat menyedari sesuatu, dia pantas mengangkat kepala. Degupan jantungnya terasa laju.

“Gila! Kenapa mesti nama Qara yang aku sebut?” Tidak ada sebab dan tidak akan ada sebab, sambungnya bagaikan berbisik.

Seketika mukanya terasa panas. Mulutnya berkata tindakan di luar kawalannya itu gila. Tapi hatinya di dalam tidak menipu. Memang dia seperti terasa kehadiran Qara. Saat tangannya menyentuh muka Irham, Qara bagaikan sangat dekat dengannya. Bila bibirnya berlabuh di leher Ihram, terasa seperti tubuhnya terkena kejutan elektrik.

“Sudah! Sudah! Jangan nak gilalah Haq,” marahnya pada diri sendiri.

Sentuhan Irham di ibu jarinya, mengembalikan dia ke dunia nyata. Liur ditelan berkali-kali sebelum dia mengangkat Irham dan diletakkan di lengannya. Dia mengagah-agah Irham. Ingatan gila terhadap Qara, cuba ditolak jauh. Wanita itu bukan penting untuk diam dalam ingatannya.

“Seronoknya anak dan papa ni bergurau,” tegur Haji Lukman. Hatinya senang melihat cara Haq melayan Ihram. Langsung tidak kekok walaupun tanpa kehadiran isteri di sisi.

Haq tersentak. Leka meledani Irham membuatkan dia terlupa pada Haji Lukman yang balik bersamanya tadi. Cuma ayahnya itu tidak ikut masuk ke rumah selepas melihat kelibat uminya yang sibuk menghias taman mini di sisi kiri rumah.

Dengarkah walid apa yang aku katakan tadi? Akan tertanya-tanyakah walid tentang Qara yang aku sebut tadi?

Haq terasa seperti mahu menghantuk kepala sendiri ke dinding. Terlalu khayal dengan perkara yang tidak patut dikhayalkan, dia jadi alpa.

“Dia dah bijak ni walid.”

Leganya hati Haq bukan kepalang bila tidak ada pertanyaan daripada walidnya. Jika tidak, jawapan apalah yang dapat diberikan kerana dia sendiri tidak punya alasan.

“Wah, pandainya cucu atuk ni!”

Haji Syukri senyum senang. Dia ikut memegang jari-jemari kecil Ihram. Bila anak itu membuka mulut, ketawanya lepas bebas. Tidak ada wajah yang lebih menarik di dalam dunia ini untuk dipandang selain daripada wajah bayi yang polos. Suci tanpa noda dan dosa ciptaan dunia.

“Memang ni budak ni, dah pandai walaupun kecil lagi.”

Perut Irham, Haq garu-garu perlahan. Sengaja mengusik si kecil yang nampak agak ceria hari ini.

“Walid rasa dah sampai masa Haq carikan Irham ibu baru.”

Haq pegang perut sendiri. Terasa seperti ada rama-rama sedang berterbangan tidak menentu. Cuak. Bimbang kalau-kalau Haji Lukman benar-benar mendengar apa yang dikatakan tadi. Jika tidak, masakan walidnya tiba-tiba saja membangkitkan soal yang satu itu. Selalunya, yang sibuk-sibuk akan hal itu, hanya uminya.

“Sampai bila Irham hanya nak membesar dengan sentuhan tangan Haq aje?”

“Kak Ros ada.” Rendah Haq menjawab.

Senyuman Haji Lukman melebar. Dia tidak tahu jelas cerita hidup Haq semasa berada di London. Haq tidak menceritakan apa-apa walaupun puas didesak. Yang Haq kata, jodoh tidak ada. Bila ditanyakan tentang ibu Irham, Haq tidak mahu menyebut apa-apa. Kata anaknya itu, tidak ada apa yang hendak dihebohkan kalau antara dia dan ibu Irham sudah tidak punya apa-apa ikatan.

“Ros cuma pengasuh Irham. Bukan ibu Irham. Pengasuh dan ibu itu dua orang yang berbeza.”

“Haq tak pernah fikirkan soal itu walid.”

“Dah sampai masa Haq fikir sebab makin lama Irham dan makin besar. Nanti kalau dia tanya, Haq nak cakap macam mana?”

“Lambat lagi rasanya nak tunggu Irham tanya soalan tu.”

Selamba saja jawapan Haq dan itu membuatkan Haji Lukman tergelak perlahan. Dari dulu sampai sekarang, Haq memang tidak pernah berubah. Gaya anak sulungnya itu tetap juga serupa.

“Anak yang membesar tanpa ibu ni lain daripada anak yang ada ibu, Haq. Mereka lebih lembut hati dan lebih mendengar kata. Lebih gembira dan lebih tahu menghargai orang lain. Walid tahu Haq boleh didik Irham dengan baik sebab Haq tahu tanggungjawab Haq sebagai seorang papa. Tapi... Haq aje tak cukup untuk Irham. Irham perlukan lebih daripada Haq,” nasihat Haji Lukman tenang.

Kalau dia diletakkan di tempat Haq, belum tentu dia dapat menjaga Irham sebaik Haq menjaga anak kecil itu.

“Sekurang-kurangnya dia tahu berdikari.” Haq cuba membela diri.

“Dan lepas tu bila besar, dia jadi kasar dan pentingkan diri sendiri? Tak lama lepas tu, kepala Haq pula dipijak.”

“Isyh... walid ni! Janganlah nak takut-takutkan Haq. Takkanlah Irham nak buat macam tu pula,” ujar Haq sambil menjeling Irham yang masih selesa di dalam pegangannya. Ibu jari kanan sudah ada di dalam mulut. Tabiat Irham yang paling tidak disukai, tapi tetap juga dibuat Irham.

“Ini realiti. Bukannya walid saja nak takut-takutkan Haq.”

Haq tolak anak rambutnya ke tepi. Rambut berceracak miliknya, agaknya sudah berserabai.

“Nantilah Haq fikirkan. Buat masa ni Haq tak ada calon lagi.”

Qara? Hatinya menyebut nama itu tiba-tiba. Gila! Kepalanya menggeleng pantas.

Kening Haji Lukman berkerut. “Kenapa geleng?”

Sengihan Haq melebar, segan kerana tindakan spontannya sempat ditangkap Haji Lukman.

“Suruh umi carikan,” cadang Haji Lukman. Sengaja menyakat anaknya itu.

“Umi carikan? Baiklah tak payah. Haq lagi rela jaga Irham sorang-sorang sampai ke tua daripada kahwin dengan calon pilihan umi yang entah apa-apa. Bukannya walid tak tahu anak kawan-kawan umi tu macam mana. Silap-silap nanti, Irham dilontar ke luar daripada balkoni.”

Kuat ketawa Haji Lukman mendengar kata-kata Haq. Jangankan Haq, kalau dia disuruh berkahwin dengan anak kawan-kawan Hajah Yasirah, dia pun tidak sudi. Bukan mengurangkan masalah, menambahkan lagi ada.

“Betul ke ni tak ada calon?” tanya Haji Lukman selepas ketawanya reda. Keningnya terjongket sambil bibir mengukir senyum.

Haq geleng. Tidak ada apa yang hendak disorokkan daripada pengetahuan Haji Lukman. Tidak seperti uminya, walidnya lebih memahami.

“Walid macam susah aje nak percaya.”

“Tak adalah walid. Haq lama kat London tu. Semua perempuan yang Haq kenal kat sini agaknya dah ada keluarga sendiri.”

“Nak walid carikan?”

Sekali lagi Haq menggeleng. Mungkin calon pilihan Haji Lukman jauh lebih baik dibandingkan calon pilihan Hajah Yasirah. Namun hatinya tidak mahu. Biarlah jodohnya datang sendiri.

“Kalau macam tu suruhlah Akid atau Dhia carikan calon untuk Haq. Mungkin selera mereka sama dengan Haq. Tak sama dengan selera walid dan umi yang dah tua. Tak pun ambik aje kawan baik Dhia tu, walid tengok macam baik aje budaknya. Hari tu kalau tak silap walid, Ros ada kata yang Qara tu tolong jagakan Irham dan anak Haq tu nampak macam sukakan dia.”

Lancar saja cara Haji Lukman bercerita, sedangkan Haq yang mendengar terasa jantungnya dipalu hebat. Qara! Walidnya sudah mengenali Qara. Kalaulah tadi Haji Lukman mendengar dia menyebut nama Qara, sampai tujuh keturunan pun malunya belum tentu akan hilang.

“Haq nak suruh walid cakap pada Dhia?”

Haq ketawa perlahan demi menutup debar di dada. “Walid ni... ada-ada ajelah.”

Haji Lukman ketawa lagi, sedangkan Hajah Yasirah yang melihat menarik muka masam. Sejak munculnya Irham di tengah-tengah keluarga mereka, Haji Lukman dilihat semakin tidak peduli padanya. Hatinya benar-benar sakit!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku