KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 7
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8577

Bacaan






Teragak-agak jari-jemari Qara membantu Dhia menyiapkan bunga telur untuk majlis perkahwinan Dhia yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja. Ikutkan dia tidaklah mahir mana, malah berkali-kali dicadangkan pada Dhia supaya beli di kedai. Tentu lebih cantik lagi. Apalagi bagi anak orang kaya seperti Dhia, duit tentu bukan menjadi masalah besar.

“Macam tak cantik aje aku buat Dhia,” kata Qara sambil membelek-belek bunga telur berwarna silverhitam di tangannya.

“Apanya yang tak cantik? Aku tengok macam elok aje,” kata Dhia selamba.

“Elok apa macam ni? Ada lima kelopak, tapi setiap kelopak saiznya tak sama. Ada yang kecik, ada yang besar.”

Keluhan Qara kedengaran perlahan. Dia tidak puas hati dengan hasil kerjanya.

“Eh, kau ni! Mengeluh macam orang ada masalah besar aje.”

“Bunga telur kau ni tak lawa. Karang orang kata apa pula? Buat nama aje anak Datuk tapi bunga telur entah apa-apa.”

Sebagai kawan baik Dhia, dia mahukan yang terbaik untuk Dhia. Kalau boleh biarlah majlis perkahwinan yang bakal berlangsung dua minggu lagi itu menjadi kenangan terindah dalam hidupnya. Selepas ini, entah bagaimana corak perjalanan hidup mereka berdua. Keputusannya sudah bulat. Sudah tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuknya. Semuanya sudah dibawa pergi.

“Lantaklah orang nak kata apa. Yang penting aku happy.”

“Nanti ibu dan ayah kau malu.”

Bibir Dhia mencebik meluat. Sampai ke hari ini, marahnya pada Datuk Kamil dan Datin Jalilah masih belum reda. Gara-gara ugutan mereka, hati Qara terluka. Hanya hal itu tidak pernah disentuh lagi. Biarlah dia dan Qara bertingkah seperti Syahil tidak pernah wujud dalam hidup Qara.

Cukup-cukuplah dia melihat tangisan Qara. Dia tidak mahu Qara menangis lagi bila kisah cinta tidak kesampaian itu disebut.

“Aku peduli apa!”

“Dhia... itu ibu dan ayah kau. Hargai mereka, sayang mereka selagi mereka masih ada sebab kau tak akan tahu sampai setakat mana kau boleh sayangkan mereka. Berbakti untuk mereka,” tegur Qara ikhlas.

“Aku bukannya tak nak hargai ibu dan ayah aku.” Muram air muka Dhia.

“Jangan jadi macam aku, Dhia. Aku langsung tak ada kesempatan balas jasa ibu dan ayah aku,” lirih suara Qara.

Hidup tanpa keluarga, langsung tidak ada keindahannya. Semuanya terasa hambar.

“Sebab mereka, kau...”

Kepala Qara menggeleng pantas. Pada bibirnya, ada senyuman. Tidak mahu Dhia terus mengungkit. Baginya, yang sudah itu biarlah sudah. Memang luka hatinya tidak mudah untuk disembuhkan. Cintanya bukan cinta pura-pura, tapi tidak ada sesiapa menjanjikan yang setiap kisah cinta itu perlu berakhir dengan bahagia. Dia salah seorang daripada yang tidak bahagia itu. Tapi dia terima apa yang berlaku dengan berlapang dada.

Jodoh tidak ada, siapa dia hendak mempersoalkannya?

“Aku tetap tak dapat terima Qara.” Perlahan suara Dhia.

Hubungannya dengan Syahil kini menjadi renggang. Dia ke Timur, Syahil ke Barat. Ada juga abangnya itu cuba-cuba mengajak dia berbual-bual. Namun dia sentiasa berusaha mengelak. Sudah tidak ada apa yang hendak dikatakan pada Syahil. Semuanya sudah diluahkan dan akhirnya, Syahil memilih meninggalkan Qara.

“Kau tak boleh buat macam tu.”

Dhia hanya diam. Tidak mahu mengulas perkara itu lagi. Hatinya tidak selembut hati Qara.

Qara mengerti, lalu dia ikut diam. Bahasa tubuh Dhia bukannya sukar untuk dibaca kerana mereka sudah lama saling berkongsi rasa.

“Kau tetap nak buat bunga telur ni ke Dhia?” Qara ubah topik.

“Yalah, dah separuh pun kan kita buat?” Mata, Dhia halakan di kawasan sekitar rumah milik Qara yang sudah tidak kelihatan seperti rumah. Di mana-mana saja terdapat barang-barang perkahwinannya. Walaupun rumah Datuk Kamil jauh lebih besar dibandingkan rumah teres setingkat ini, dia lebih selesa di sini. Tidak besar tapi penuh dengan kasih sayang. Tidak kosong seperti rumah tempat dia membesar selama ini.

“Kelopak bunga ni...”

“Alah, sedangkan kelopak bunga hidup pun tak sama. Inikan pula kelopak buatan tangan kita yang memang tak seni. Biar ajelah. Aku kahwin sekali aje, jadi biarlah aku tentukan nak buat apa untuk majlis aku tu nanti.”

“Okeylah kalau kau dah kata macam tu. Tapi nanti jangan menyesal pula ya.”

“Tak akan!”

Suasana di ruang tamu yang keseluruhannya dicat dengan warna ungu kembali sepi. Baik Qara, mahupun Dhia, kedua-duanya begitu tekun dengan kerja-kerja menyiapkan bunga telur untuk majlis perkahwinan Dhia. Malah sudah beberapa hari mereka berdua tidak tidur malam. Masa sudah suntuk benar. Buatnya bunga telur itu tidak siap, tentu haru jadinya.

“Apa perancangan kau lepas ni Qara?” tanya Dhia tiba-tiba. Dia bersandar di dinding.

“Buat masa ni aku masih belum fikir lagi. Tapi...” Qara menelan liur beberapa kali. Mulut ingin meluah kata, namun hati seakan-akan enggan. Masa bagaikan tidak sesuai.

“Tapi?” Muka Dhia jelas terpeta rasa ingin tahu.

Bunga telur di tangan yang masih belum siap, Qara letak di atas lantai. Apa yang mahu dikatakan pada Dhia bukannya perkara main-main. Tersilap kata, Dhia tentu akan merajuk panjang dengannya.

“Aku rasa macam nak sambung belajar.”

Dada Dhia yang tadi hampir meletup kerana menahan debar, kembali berdegup secara normal. Kalau itu yang Qara mahu buat, dia menyokong penuh. Daripada mengenangkan Syahil yang tidak tahu menghargai, baiklah Qara menambahkan ilmu di dada. Ada juga faedahnya.

“Kat mana?”

“Aku dah lama duduk kat Malaysia, ingat nak tukar angin di luar negara pula,” ujar Qara tenang.

Terkejut. Dhia terpanar untuk masa beberapa detik. Cuba memproses kata-kata Qara yang tidak diduga.

“Kau nak tinggalkan aku?” tanyanya sedikit tinggi.

“Kau dah ada Akid,” balas Qara pantas. Tetap juga dalam nada tenang. Api lawannya air.

“Kau dan Akid dua orang yang berbeza. Kalau kau betul nak sambung belajar, aku sokong. Tapi... tak perlulah sampai ke luar negara. Jauh dan kau tak ada sesiapa kat sana,” luah Dhia pantas. Dia tidak mahu Qara ke luar negara kerana hatinya kuat mengatakan, sekali Qara pergi, kawannya itu tidak mungkin akan kembali sampai bila-bila. Persahabatan mereka akan habis begitu saja.

Tidak! Qara tidak boleh ke mana-mana dan dia akan pastikan Qara tidak akan ke mana-mana.

“Sana atau sini, sama aje Dhia. Aku tetap dah tak ada sesiapa. Aku sebatang kara di bumi Malaysia ni.”

“Habis aku ni siapa? Bukan siapa-siapa juga?” Suara Dhia naik setakah. Hatinya sakit dengan kata-kata Qara.

Qara hanya diam. Tidak tahu hendak menjawab apa.


MUKA Dhia masam. Dia rasa marah tapi tidak tahu dia lebih marahkan siapa. Qara yang hendak ke luar negara, atau Syahil yang telah melapah-lapah hati Qara hingga kawannya itu mahu membawa diri? Atau barangkali, ibu dan ayahnya yang selalu menganggap harta dan pangkat itu raja kepada kehidupan?

“Sudahlah tu, tak eloklah Dhia tayang muka macam tu. Nampak buruk,” usik Akid.

Dhia yang geram, pantas memukul bahu Akid. Tunangnya itu tidak tahu betapa hatinya gusar. Bimbang kalau-kalau Qara mengotakan apa yang dikata. Dia tidak mahu kehilangan kawan sebaik Qara.

“Biarlah Qara pergi kalau itu yang terbaik untuk dia.”

“Mana boleh!” bangkang Dhia beria-ia. Kepalanya menggeleng sungguh-sungguh.

“Qara dah cukup dewasa untuk tentukan apa yang dia nak dalam hidup,” pujuk Akid lembut.

“Bukan itu yang Qara nak. Dhia tahu!”

“Tapi itu yang dia cakap pada Dhia kan?”

“Qara nak pergi sebab dia kecewa dengan abang. Abang pun satu, main ikut aje cakap ibu dan ayah. Takut sangat hidup susah. Padahal dia bukannya budak kecik yang makan nak kena bersuap,” bebel Dhia. Dia bercakap seolah-olah yang ada di hadapannya ketika ini Syahil, bukan Akid.

“Mungkin bila bertukar angin, hati Qara akan terpujuk.”

“Tak boleh! Tak boleh! Qara tak boleh pergi. Dhia tak nak Qara pergi.”

Hatinya libang-libu dengan apa yang diberitahu Qara, lantaran itu dia bertemu Akid di rumah lelaki itu. Tidak betah terus pulang ke rumah. Bimbang kalau-kalau dia mengamuk di hadapan ibu dan ayahnya. Lebih bimbang jika hari ini muka Syahil benar-benar bertanda dikerjakan.

“Dhia tak boleh macam ni. Qara...”

“Dhia tetap tak nak Qara pergi! Hati Dhia kata, sekali ni kalau Qara pergi, Qara mungkin tak akan kembali lagi. Hati Qara dah hancur dan Qara rasa dah tak ada apa-apa untuk dia terus bertahan di sini.” Nada yang tadinya kuat, perlahan-lahan bertukar rendah. Kolam matanya terasa hangat.

Sejak sekolah rendah, dia dan Qara sudah bersahabat. Selama ini mereka jatuh dan bangun bersama. Sentiasa ada antara satu sama lain. Kalau tiba-tiba Qara hilang daripada pandangan mata, dia tidak dapat menerimanya.

“Habis tu Dhia nak buat macam mana?” tanya Akid ingin tahu. Kasihan pula dia melihat Dhia nampak tidak keruan seperti ini.

“Dhia kena cari jalan supaya Qara tak pergi.”

“Macam mana?”

“Dhia tak tahu. Puas Dhia fikir sepanjang perjalanan datang ke sini tadi. Tapi otak Dhia buntu. Dhia tak jumpa cara untuk pastikan Qara tak ke mana-mana,” luah Dhia kesal. “Tolonglah Dhia, Akid. Dhia tak nak Qara pergi...” pinta Dhia pada Akid. Matanya yang berkaca menikam anak mata Akid. Hanya pada lelaki itu dia sandarkan harapan.

Baru saja Akid hendak membuka mulut, Haq muncul bersama-sama Ihram membuatkan kata-katanya mati begitu saja.

“Dhia... dah lama sampai?” sapa Haq dengan senyuman.

“Baru lagi,” balas Dhia perlahan. Dia memegang tangan kecil Irham. Terasa pegangannya berbalas, dia tersenyum.

“Irham...” panggil Dhia lembut. Diusik-usik pipi Irham geram.

Haq pandang Akid, bertanya tanpa suara. Mata Dhia yang merah dan raut yang tidak ceria membuatkan dia sedikit pelik. Bila Akid menjongketkan bahu, dia mengerti. Mungkin sesuatu telah berlaku dan sesuatu itu tentunya tidak ada kaitan dengannya. Dia pun bukannya kenal benar dengan Dhia. Ketika dia dan Irham pulang ke tanah air, Dhia sudah bergelar tunangan Akid.

“Buat macam rumah sendiri aje Dhia. Abang Haq nak bawa Irham ambil angin kat taman mini umi sekejap.”

“Yalah...” balas Dhia.

Saat tubuh Haq dan Ihram hilang daripada pandangan, Akid kembali memberikan tumpuan kepada Dhia yang jelas masih bersedih. Dia tahu betapa Dhia sayangkan Qara. Ketika dia cuba memikat Dhia di universiti, wanita kesayangannya itu menyuruh dia mengambil hati Qara terlebih dahulu. Kalau Qara kata okey, barulah Dhia akan menerimanya. Mujur juga Qara memang tidak ada masalah dengannya. Kalau tidak, impian memiliki Dhia hanya tinggal impian semata-mata. Sedangkan, pertama kali terpandangkan Dhia, terasa jantungnya berdegup kencang.

“Dhia...”

Dhia mengeluh perlahan. Majlis perkahwinannya sudah dekat benar, namun bukan itu yang dia gusarkan.

“Apa kata kalau kita kahwinkan Qara dengan Abang Haq?”

Mulut Dhia melopong sedikit. Tidak percaya dengan idea spontan Akid. Langsung dia tidak terfikir. “Akid kalau nak bagi idea pun, agak-agaklah sikit. Qara baru putus cinta kot. Takkanlah senang-senang aje nak suruh dia kahwin?”

“Kenapa kalau Qara baru putus cinta? Bukan salah Qara pun. Abang Dhia pun satu, ada ke lebih pilih harta daripada cinta,” kata Akid bagaikan merungut. Tidak puas hati dengan Syahil yang tidak setia.

Terbungkam Dhia. Memang Syahil yang bersalah. Tapi siapa dia hendak memaksa?

“Ini aje satu-satunya jalan yang Akid nampak untuk pastikan Qara tak ke mana-mana.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku