KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9111

Bacaan






Hah? Kenapa aku pula ni yang kena?” tanya Qara tidak puas hati. Panik dengan permintaan Akid yang dirasakan agak melampau. Bila dia pandang Dhia demi mendapatkan sokongan, Dhia pura-pura menyanyi sambil memejamkan mata dan menggoyang-goyangkan kepala. Lagu apa yang Dhia sedang nyanyi, dia tidak pasti. Sepatah pun tidak tembus ke telinganya.

Nampak benar Dhia sengaja mengelak daripadanya.

“Tolonglah Qara, sekali ni aje dan lepas ni aku tak akan minta tolong dengan kau lagi,” kata Akid bersungguh-sungguh.

“Amboi! Kau ni macam yakin benar aje ya tak akan mintak tolong aku lagi lepas ni?”

Akid tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun.

“Maksud aku, untuk bulan ni.”

Qara pegun seketika. Hanya jari-jemarinya yang bersentuhan sesama sendiri. Cuba mengira dan mengingatkan sesuatu. Bila ingatannya kembali, matanya membulat merenung Akid. Tidak menduga dalam pada inginkan pertolongannya, Akid masih sempat mengenakannya.

“Hari ni hari terakhir bulan ni. Patutlah kau cakap macam tu,” tempelak Qara geram.

Dhia yang mendengar tergelak perlahan. Bila Qara menjelingnya, dia kembali memejamkan mata dan menyanyi-nyanyi perlahan. Tidak tahu lagu apa yang sedang dia nyanyikan. Sekejap-sekejap dia nyanyi lagu Galau, tapi beberapa saat kemudian masuk pula lirik lagi Hampa Hatiku. Tapi dia tidak peduli, yang penting Qara tidak akan cuba meraih simpatinya.

“Boleh eh Qara?” pinta Akid sekali lagi.

“Alah... kau carilah orang lain. Bukannya aku tak nak tolong kau tapi... kali ni betul-betul tak bolehlah. Kau minta tolong orang lain ya?”

“Mana ada orang lain lagi dah. Rumah aku kosong hari ni.”

“Kalau macam tu kau ajelah yang ikut,” balas Qara selamba.

Haq? Berdua-duaan dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta? Mungkin untuk masa beberapa puluh minit atau jam? Tidak. Kejadian seminggu lalu itu masih basah dalam ingatannya. Tidak mungkin dia akan berhadapan dengan Haq dalam masa terdekat ini.

“Tak boleh!” Pantas Dhia menjawab bagi pihak Akid.

Bila renungan Qara tajam, dia telan liur sendiri. Terlupa yang ketika ini dia sedang berlakon menjadi seorang penyanyi. Tapi bila Qara menyuruh Akid ikut dengan Haq, mulutnya jadi ringan.

“Bukan kau tengah hafal lirik ke tadi?” sindir Qara selamba.

Dhia gelak perlahan. Tidak mahu membalas apa-apa.

“Qara... tolonglah!”

“Tak naklah. Kau atau Dhia ajelah yang pergi.”

Dhia siku Akid kuat. Dia mahu Akid lebih agresif dalam meyakinkan Qara. Saat tunangnya itu menggigit bibir tanda marah, dia sengaja mempamerkan senyuman paling manis.

“Aku dengan Dhia kena pergi jumpa Nelly sekarang juga. Esok Nelly nak pergi Jakarta.”

“Pekerja dia kan ada.”

“Qara... tolonglah!” Dhia sudah mula campur tangan.

Qara merengus perlahan. Bukannya dia tidak mahu, tapi kenapa perlu pertolongan yang diminta berkait dengan Haq?

“Aku bukan tak nak tolong kau. Tapi Haq...”

“Kenapa kalau dengan saya?” Tiba-tiba Haq bertanya. Telefon bimbit di tangan dipegang erat. Hatinya gusar kerana Akid tidak muncul-muncul walaupun sudah beberapa minit masa berlalu. Sedangkan Rosnah mahu dia segera datang. “Apa masalahnya kalau awak tolong saya? Apa bezanya kalau awak tolong saya dengan tolong orang lain? Kalau awak nak suruh saya bayar, saya sanggup bayar tapi tolonglah saya sekali ni. Saya akan kenang jasa awak sampai bila-bila.”

Haq nampak tenang dan ketenangan itu menampar halus perasaan Qara. Dia malu sendiri.

“Bukan... bukan macam tu. Tapi... tapi...”

“Tolonglah. Tolonglah Qara,” pujuk Dhia lembut. Dia menggeleng perlahan pada Haq.

“Dhia...”

“Saya janji yang saya tak akan ambil masa awak lama sangat. Kita pergi klinik, ambil Irham, awak pegang Irham dan kita terus balik rumah, ambil baby car seat. Lepas tu saya akan hantar awak balik semula ke sini. Calar sebesar jarum pun saya akan pastikan tak ada di tubuh awak.” Haq cuba meyakinkan Qara kerana dia benar-benar terdesak. Elok saja Irham diberikan vaksin Polio,Rosnah mendapat panggilan telefon dari kampung. Ayah saudara pengasuh Irham itu meninggal dunia. Pak Tuah pula tidak ada di rumah kerana membawa umi dan walidnya ke Melaka.

“Tadi pergi macam mana?” tanya Qara.

“Saya yang hantar dan Kak Ros pegang Irham. Sekarang ni sepupu Kak Ros dah ada kat klinik tu, nak ambil Kak Ros dan mereka nak balik kampung terus. Kalau saya aje yang pergi klinik tu siapa nak pegang Irham?”

“Keluarga awak yang lain mana?”

Banyak pula mulut Qara hari ini. Ikutkan rasa geram, mahu juga Haq cubit-cubit mulut comel itu supaya tidak banyak tanya. Dia sudahlah hendak cepat, boleh pula Qara mengajaknya main soal jawab.

“Kau ni banyak cakap betullah Qara. Pergi ajelah!”

Tanpa sebarang amaran, Dhia heret lengan Qara menuju ke kereta Haq. Makin lambat Qara mengheret langkah, makin kuat dia menarik. Sedangkan Haq dan Akid hanya menurut dari belakang.

“Sejak bila mulut dia jadi macam murai tercabut ekor?” tanya Haq perlahan.

“Itulah dia yang sebenarnya. Cuma sejak patah hati dengan Syahil, dia jadi agak pendiam.”

“Pening kepala aku!”

“Tak payah nak pening-pening sangatlah, bang. Tu... dia dah duduk pun dalam kereta kau. Tapi kau bila nak bercakap tu ingat-ingat sikit. Karang dia terjun dari kereta, kau yang masuk lokap,” usik Akid pada abangnya. Haq, ada masa-masanya boleh saja berubah mengikut keadaan. Tadi pun abangnya itu dilihat hanya menahan hati mendengar soalan demi soalan daripada Qara.

Kepala Akid, Haq tonjol sedikit. Sakit hati diingatkan begitu.

“Tapi kalau dia yang cari pasal dulu macam mana?”

Akid jongket kedua-dua belah bahunya. “Jadi apa-apa pada Qara nanti, kau jawab sendiri dengan Dhia. Tunang aku tu lagi sayangkan Qara daripada aku. Aku tak nak hilang dia sebab kau, bang.”

“Kau pula lagi sayangkan siapa? Dhia ke aku?”

Akid pandang ke atas seketika. Langit biru kelihatan sangat cantik. “Aku sayangkan kau, tapi...”

“Apa?”

“Aku rasa aku lagi sayangkan Dhia Imanina!” Usai berkata-kata, terus Akid berlari laju mendapatkan Dhia yang kelihatan masih mengatakan sesuatu pada Qara. Kelat muka Qara, buat dia tersenyum sendiri. Kalau Qara dipadankan dengan Haq, dia dapat rasa yang mereka akan menjadi pasangan yang paling comel.

Thanks,” ucap Haq pada Dhia sebelum masuk ke dalam kereta.

Qara hanya bungkam. Sakit hatinya jadi berganda-ganda mendengar Haq mengucapkan terima kasih pada Dhia. Patutnya lelaki itu memberikan kata-kata itu padanya. Dia yang akan memegang Irham nanti, bukannya Dhia. Lalu dia menarik kasar tali pinggang keledar. Namun puas ditarik-tarik, tetap juga gagal. Tali pinggang keledar itu seperti tuannya juga, menjengkelkan jiwanya.

“Kenapa?”

“Tak ada apa-apalah. Pandu ajelah biar cepat balik.” Tali pinggang keledar dilepaskan, tidak jadi mengenakan di tubuhnya.

“Pakai seat-belt tu.”

“Tak payahlah,” bantah Qara bosan.

“Pakai! Saya tak nak kena saman sebab awak. Karang jadi lagi lambat sampai.”

Qara buat-buat tidak dengar. Bukannya dia tidak mahu pakai, tapi tali pinggang keledar itu tidak dapat ditarik.

“Qara...”

Seat-belt awak ni yang tak boleh tarik. Nak buat macam mana?”

Haq tahan senyum. Comel pula wajah cemberut Qara yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Yang pernah dilihat rupa segan dan sedih. Dia nampak Qara berusaha menarik tali pinggang keledar itu tadi, hanya dia buat-buat tidak nampak. Mahu melihat sejauh mana Qara berusaha menahan diri daripada meminta bantuannya. Ternyata hati wanita itu betul-betul keras.

“Mulut ni ada banyak kegunaannya. Bukan guna untuk membebel aje Cik Qara Nisa,” sindir Haq.

Matanya merenung bibir nipis milik Qara yang sengaja digigit. Namun makin lama merenung bibir tanpa dicalit sebarang gincu itu, makin terasa jantungnya berlari pantas.

Sudah, jiwa celarunya datang lagi!

“Sini... saya tolong pakaikan,” tawar Haq perlahan. Suaranya seperti bergetar.

“Tak payah. Tak payah tolong. Hari ni rasanya polis tak ada. Tak akan kena sama punya. Tak payah...”

Sungguh-sungguh Qara melarang. Bukannya dia tidak perasan renungan Haq pada bibirnya tadi. Hampir saja jantungnya berhenti mengepam darah. Kalau Haq memakaikan tali pinggang keledar ke tubuhnya, bermakna tubuh sasa Haq akan berada rapat dengannya. Tidak. Dia tidak rela. Bimbang jantungnya benar-benar akan terhenti berdenyut.

Semua orang akan mati, itu dia akur. Tapi dia tidak mahu mati hanya kerana Haq.

Namun saat Haq benar-benar sudah menghampirinya, kemudian melilitkan tali pinggang keledar tersebut ke tubuhnya, Qara hanya kaku. Nafas hangat Haq yang menampar lehernya membuatkan dia tidak berkutik langsung. Malah hendak menarik dan melepaskan nafas pun dia tidak mampu.

“Okey... selesai!”

Garau suara Haq membuatkan Qara tersentak. Terpanar seketika sebelum kembali berpijak di bumi yang nyata. Kemudian terus Qara memandang ke sisi kiri. Tidak sanggup memandang Haq kerana segan. Sampai ke detik ini pun tangannya terasa seperti sedang menggeletar.

Kenapa macam ni? Kenapa aku hanya biarkan Haq tadi? Patut aku luku kepala dia tadi.

Haq jeling Qara dengan ekor mata. Bibirnya menguntum senyum. Beku Qara membuatkan dia geli hati. Dia hanya memakaikan tali pinggang keledar, tapi cara Qara macamlah dia sudah melakukan yang bukan-bukan pada wanita itu.

Tapi bukan ke masa kau dekat dengan dia tadi fikiran kau agak menyimpang? Tanya hati kecilnya.

Mana ada! Tingkah hati yang sama.

Yang kau kata Qara wangi tu apa?

Ada ke?

Yang kau kata pipi Qara nampak lembut tu apa?

Haq ketap bibir. Mujurlah dia berkata-kata hanya dalam hati. Kalau Qara boleh dengar, kata-kata Akid mungkin akan jadi kenyataan. Tidak mustahil Qara akan melompat keluar saat ini juga.

“Ehem...” Haq berdehem sendiri. Tekaknya terasa tersumbat tiba-tiba.

Tidak percaya dalam pada membantu Qara, masih sempat dia memikirkan tentang bau Qara yang wangi, bahkan sempat juga dibayangkan yang jari-jemarinya mengusap pipi gebu yang hanya dioles bedak nipis. Dia tahu, dia agak kurang ajar. Tapi soalnya, dia tidak dapat mengawal hati dan fikirannya. Rasa-rasa itu datang begitu-begitu saja.

“Apa perancangan lepas ni?” tanya Haq tenang. Pandangannya tetap terhala ke hadapan. Rasa-rasa nakal itu cuba ditolak jauh-jauh.

“Tak ada,” balas Qara malas.

“Masih ada rasa nak balik semula pada Syahil?” duga Haq.

“Kenapa saya perlu ada rasa nak kembali pada dia?”

Haq jongket bahu, tidak ada alasan kerana dia hanya ingin tahu isi hati Qara. Baginya cinta itu kadang-kadang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mendekat. Kadang-kadang, jenuh didekati pun, tetap juga jauh.

“Orang bodoh aje yang akan balik pada lelaki macam Syahil tu. Dan saya yakin awak bukan macam tu.”

Qara hanya memakukan pandangan ke hadapan. Balik ke pangkuan Syahil? Tidak mungkin, kecuali ingatannya sudah hilang.

“Kumbang bukannya seekor, Qara...”

“Dah sampai nanti kejutkan saya.” Mata, Qara pejam. Dia hanya mahu bersendiri.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku