KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(27 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
12265

Bacaan






Merasakan kereta Haq berhenti tiba-tiba, Qara buka mata. Tidak jadi tidur kerana matanya tidak mengantuk. Malam tadi dia sudah tidur banyak. Malah sejak akhir-akhir ini kerjanya hanya tidur. Berharap masa cepat berlalu supaya segala kenangan yang tidak indah segera pergi.

Pandangan di hala ke sisi kiri, mukanya terasa panas. Elma dan Syahil nampak begitu mesra. Mereka berbual-bual tanpa peduli pada keadaan sekeliling. Sesekali, tangan Elma dilihat naik menyentuh pipi Syahil.

Qara pegang dada, tepat pada tempat hatinya berlabuh. Ada sakit yang amat, tiba-tiba datang.

“Sudahlah hati! Berhentilah berharap pada yang tak boleh diharap,” bisiknya perlahan.

Haq yang mendengar walau suara Qara sangat perlahan, menoleh. Memandang Qara sekilas sebelum matanya jatuh pada Syahil dan Elma. Mengerti mengapa mesti Qara berbisik begitu.

Bagaikan terasa ada yang memerhatikan mereka, Syahil berpaling memandang ke kereta sebelah. Qara. Qara dan Haq. Namun matanya menikam lama pada seraut wajah yang pernah menjadi kesayangannya. Seperti selalu, Qara nampak sangat manis meskipun tidak ada senyuman di bibir itu.

Tapi kenapa Qara ada dengan Haq?

Kalau benar mereka tidak ada apa-apa, kenapa mesti ada di dalam kereta yang sama?

Atau baik Qara, mahupun Haq... masing-masing berpakat menipunya?

Bertalu-talu soalan menghunjam benak Syahil. Soalan yang sama yang tidak pernah mahu pergi daripada kotak fikirannya sejak melihat Haq dan Qara ada di Butik Pengantin Nelly tempoh hari.

“Sudah-sudahlah tu renung tunang orang. Tak tahu ke yang Syahil dan Elma nak kahwin minggu depan?”

Terus Haq memecut laju sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau. Sengaja ditinggalkan kereta Syahil jauh di belakang. Tidak mahu ada lagi babak renung-merenung antara Qara dan Syahil. Cemburu? Tidak sama sekali. Hanya tidak mahu Qara terus bermimpi hidup di sisi Syahil. Baginya, lelaki tidak setia seperti Syahil tidak layak dibawa masuk ke dalam mimpi, apalagi mimpi Qara.

Kalau benar Qara mahu bermimpi, mimpikan saja orang lain. Yang itu, dia memang tidak kisah.

“Tau dah,” balas Qara malas.

Nafas ditarik panjang, kemudian dilepaskan senafas. Dia mengeluh sebenarnya. Bukan mudah melihat bekas kekasih bersama-sama kekasih baru. Tapi dia memang tidak punya pilihan lain lagi kerana Syahil terlebih dulu membuat pilihan.

“Habis tu kenapa nak main-main mata dengan dia?”

“Siapa yang main-main mata dengan dia?”

“Awak ingat saya buta?” asak Haq.

“Bila pula saya kata awak buta?” Kalau buta lagi bagus, sambung hati Qara.

“Dah tu kenapa awak cuba nak nafikan yang baru sekejap tadi awak memang ada main-main mata dengan Syahil tu?”

“Sebab memang tak ada!”

Senget senyuman sinis Haq. Lewat ekor matanya, dia nampak muka Qara yang sudah memerah. Tentu saja marah dengan tuduhannya. Mengenali wanita itu beberapa hari, dia perasan betapa Qara tidak pandai mengawal air muka. Dia pun bukanlah bersungguh benar. Hanya mahu menyedarkan Qara. Antara Qara dan Syahil, ada Elma di tengah-tengah.

“Kalau orang dah tidak sudi, untuk apa nak tersua-sua Qara?”

Nipis cuping telinga Qara dengan sindiran Haq. Mungkin Haq tidak bermaksud begitu, tetap juga dia terasa hati. Namun rasa itu segera dibuang jauh. Haq bukan siapa-siapa. Hanya lelaki yang baru muncul dalam hidupnya. Lelaki itu tidak berhak menjadi hakim.

“Kalau dah Syahil pilih Elma, biarkan aje dia,” sambung Haq tenang.

Geram Qara dengan kata-kata Haq kali ini. Cara Haq, macamlah dia teruk benar.

“Awak jangan menyakitkan hati saya boleh tak?”

“Mana ada!” nafi Haq, juga masih dalam nada suara yang sama.

“Habis tu apa yang awak cuba nak sampaikan pada saya? Ingat saya nak rampas Syahil daripada Elma? Macam tu awak fikir?”

Haq hanya jongket bahu. Tidak mahu membalas kerana angin Qara nampak sudah tidak baik. Silap menjawab, mungkin dia bakal disusahkan wanita itu.

“Jawablah!” bentak Qara geram.

“Tak ada jawapan.” Haq selamba saja. Keadaan jalan yang lengang memudahkan perjalanan mereka. Diam-diam dia berharap biarlah terus begini kerana dia tidak mahu terlewat sampai. Kasihan Rosnah yang tentu saja gelisah menunggu kedatangannya.

“Turunkan saya!” desak Qara separuh menjerit. Tidak betah lagi duduk di sisi Haq yang baginya tidak mempunyai hati dan perasaan.

Hati Haq berdebar-debar. Adakah kata-kata Akid akan menjadi kenyataan?

“Tak akan!” Haq cuba menenangkan diri. Salah dia juga kerana cuba memprovokasi Qara. Kalau dia hanya diam dan menjadi pemerhati semata-mata, mungkin Qara tidak akan senekad ini.

Memang dasar lidah tak bertulang, desis hati kecil Haq kesal.

“Turunkan saya! Saya tak nak tolong awak!”

“Kalau bukan awak, siapa lagi?”

“Bukan masalah saya!”

“Ya, memang masalah saya dan saya nak awak tolong saya selesaikan masalah saya,” kata Haq bagaikan memaksa. Ringan saja tangannya mahu menepuk mulut sendiri. Yang aku pergi jolok sarang tebuan tu, apa hal?

“Saya tetap tak nak. Pandai-pandailah awak pandu kereta sambil pegang Irham. Saya tak nak terlibat.”

“Qara...”

“Turunkan saya!” bentak Qara. Terasa ringan saja tangannya hendak menampar muka selamba Haq.

Tangan kanan Haq kukuh memegang stereng kereta. Apa pun keadaannya, dia tidak berharap sesuatu berlaku. Dia yang meminta pertolongan Qara, makanya dia harus menjaga keselamatan wanita itu. Segaris luka pun di tubuh Qara tidak akan diizinkan wujud.

“Okey... kalau awak rasa saya salah saya minta maaf walaupun saya tahu saya tak bersalah. Saya...”

“Turunkan saya!

Haq gigit bibir. Dia sudah tersalah memilih perkataan dan itu menjadikan Qara semakin marah dengannya.

“Tolong saya, saya benar-benar minta tolong.” Akhirnya dia mengambil keputusan untuk tidak lagi menyebut tentang punca kemarahan Qara. Biarlah tamat sampai di sini saja. Sekurang-kurangnya, untuk hari ini. Kalau terus disebut, siapa yang akan memegang Irham nanti. Lebih daripada itu, dia tidak mahu kata-katanya hanya akan menyebabkan Qara lebih terluka dan tertekan.

Qara diam. Lembut suara Haq menagih pertolongannya membuatkan dia hilang diksi. Tidak habis fikir yang kemarahannya mampu mengatasi pemikiran. Padahal, dia tahu Haq bukannya saja-saja mahu menyusahkannya. Lelaki itu tidak ada pilihan lain lagi.

Lantas, kedua-dua belah tangannya meraup muka.

“Qara...”

“Jangan cakap apa-apa lagi. Saya tak nak dengar,” luah Qara lirih. Mata sekali lagi dipejamkan rapat-rapat.

Bilakah tarikh sebenar dia betul-betul dapat melupuskan Syahil daripada ingatannya?


QARA cium pipi Irham berkali-kali. Setiap kali anak kecil itu terkebil-kebil menatap mukanya, dia senyum dan ketawa perlahan. Pertama kali dirasakan dirinya hidup selepas Syahil memutuskan untuk memilih Elma dan seterusnya meninggalkannya.

Sungguh... pada mata jernih itu ada tenang dan damai yang tidak ada di mana-mana.

Kalaulah Haq mahu memberikan Irham kepadanya, alangkah bagus. Tapi tidak mungkin! Mana ada orang yang mahu memberikan anak sendiri untuk dijaga orang lain, apalagi orang yang tidak ada kaitan. Bukannya Haq tidak punya kemampuan untuk memberi makan dan pakai pada Irham. Lelaki itu lebih daripada mampu.

“Qara dah sampai,” tegur Haq.

Sejak mereka memasuki perkarangan rumah, dia ralit melihat Qara meledani Irham. Dia nampak mata Qara yang jelas bersinar-sinar. Senyum Qara tidak lekang di bibir sambil sesekali ketawa perlahan bila Irham memberikan tindak balas. Wanita itu seakan-akan lupa padanya yang ada di sisi kanan.

“Dah sampai?” Qara pandang suasana sekeliling.

Keluhan melimpah keluar daripada bibirnya. Masa terasa seakan-akan begitu mencemburuinya.

“Ya, dah beberapa minit kita sampai. Awak leka sangat dengan Irham sampai tak sedar. Anak saya comel sangat ya?”

Qara senyum dan itulah senyuman pertama yang benar-benar ikhlas untuk Haq.

“Kalau... kalau...” Qara gigit bibir. Mulut hendak berkata, namun hati terasa cuak.

“Kalau?” Haq bertanya.

“Kalau... kalau... awak rasa awak tak nak jaga Irham, bagi pada saya,” pinta Qara akhirnya. Ya, dia tahu permintaannya gila. Bukan agak, sebenarnya sangat gila. Tapi mulutnya tetap juga mahu bertanya. Beberapa minit memegang Irham, dia terasa sayang. Sama seperti ketika pertama kali dulu.

Haq terkejut. Permintaan Qara memang tidak dijangka sama sekali, namun tetap juga dia mampu berlagak tenang. Mungkin gara-gara terserempak dengan Syahil dan Elma tadi, fikiran Qara jadi tidak stabil.

“Awak tak ada isteri kan?” tanya Qara gugup.

Hanya gelengan Haq yang kelihatan.

“Tak senangkan kalau jaga anak tanpa seorang isteri? Jadi... bagi pada saya dan saya akan jaga dia macam anak saya sendiri.”

Malunya Qara tak usah dikata. Tapi alang-alang sudah menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Mana tahu ada keajaiban dan Haq tiba-tiba saja bersetuju dengan permintaannya.

“Kalau jaga anak tanpa seorang suami, adakah itu lebih mudah?” duga Haq.

Qara diam dengan rupa redup. Tidak perlu diluahkan pun dia yakin Haq ada jawapannya.

Kasihan pula Haq melihat rupa Qara begitu. Tapi menyerahkan Irham pada Qara walaupun Qara nampak sangat sayangkan anaknya itu, tidak mungkin sama sekali.

“Betul awak nak Irham?”

Mata Qara dan Haq bertaut. Kemudian pantas Qara mengangguk beria-ia.

“Kahwin dengan saya?”

“Gila!” Meluncur laju kalimah itu di bibir Qara. Merah merona mukanya.

Sedangkan Haq sudah melambakkan ketawa. Yakin, Qara akan berkata begitu. “Macam mana awak rasa permintaan saya tu gila, macam tu jugalah saya rasa dengan permintaan tak masuk akal awak tu. Mana ada orang waras nak bagi anak dia pada orang Qara. Saya mungkin tak ada isteri, tapi saya ada tulang empat kerat. Saya boleh jaga Irham dengan baik,” ujar Haq setelah ketawanya reda.

Bibir Qara memuncung. Hatinya terasa seperti terhempas ke lantai.

“Nah...” Qara cium pipi Irham berkali-kali sebelum menghulurkan anak itu pada Haq. “Awak tak perlu hantar saya balik sebab awak kena jaga Irham. Saya boleh balik sendiri,” katanya dengan suara merendah. Hatinya digayuti sebak. Masih tidak bersedia menyerahkan Irham pada Haq. Dia masih belum puas bermain-main dengan anak kecil itu.

Huluran Qara tidak bersambut. Tanpa kata Haq membuka pintu rumah dan terus mengatur langkah. Terkaku seketika Qara sebelum dia mengekori langkah lelaki itu yang panjang-panjang. Dia mahu menyerahkan Irham pada Haq dan kemudian meninggalkan rumah mewah ini secepat mungkin.

“Haq... ambil Irham ni! Saya nak balik,” suruh Qara ketika mereka sudah berada di ruang tamu.

Namun Haq terus menaiki tangga. Qara tidak nampak sesiapa di sekitar kawasan rumah. Adakah hanya ada dia, Haq dan Irham saja? Dadanya mula berdebar-debar. Tidak mahu berfikiran yang bukan-bukan, namun sudah terlambat. Dalam kepalanya hanya terbayang beberapa orang lelaki dengan kopiah putih di kepala menyerbu masuk dan menangkap basah dia dan Haq.

Irham? Tentu saja anak kecil itu tidak boleh dijadikan saksi!

“Letakkan Irham atas tilam kecil ni,” arah Haq yang muncul tiba-tiba. Dia membentangkan tilam kecil di atas permaidani tebal. Bantal kecil diletakkan di hujung tilam bercorak abstrak berwarna biru itu.

Qara akur dan Irham diletakkan dengan cara yang paling lembut. Berat hatinya mahu meninggalkan Irham. Tapi dia bukan siapa-siapa dalam hidup anak kecil itu. Mencuit hidung kecil Irham sedikit, lambat-lambat dia bangun.

“Saya nak balik dah,” kata Qara perlahan. Dia rasa sedih.

“Tunggu saya sekejap, saya solat dulu. Lepas tu saya hantar awak balik.”

“Tak payah. Saya boleh balik sendiri.”

“Saya hantar.”

“Saya balik sendiri.”

Tajam mata Haq menyorot muka selamba Qara. Degilnya Qara buat dia sakit hati sendiri. “Saya kata saya nak hantar awak balik tu maknanya saya hantarlah. Cuba sesekali jangan melawan cakap orang.”

“Yang nak marah-marah ni kenapa?”

“Siapa yang marah?” tanya Haq kembali.

“Awak nak suruh saya tunggu juga nak buat apa? Dahlah rumah ni tak ada sesiapa. Kalau kena tangkap basah, macam mana? Awak nak bertanggungjawab ke?”

“Dah kena tangkap basah dengan saya, sayalah yang kena bertanggungjawab. Takkanlah jiran saya pula kot?”

“Saya...”

“Dah... dah... jangan nak mengarut lagi. Mak su saya ada kat bilik dia dan dalam kawasan perumahan elit macam ni, kita tak mungkin kena tangkap basah. Tolong tengokkan Irham. Saya nak solat,” potong Haq pantas. Qara kalau dibiarkan membebel, sampai esok pagi pun belum tentu akan berhenti. Entah macam mana Syahil boleh bertahan dengan Qara, dia sungguh-sungguh tidak tahu.

“Badan kecil, mulut pun riuh sama macam murai yang juga kecil,” kutuk Haq sambil memanjat anak tangga.

Mak su dia ada? Tapi tadi dia kata? Teruknya Haq!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku