KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 12
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(9 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9599

Bacaan






Memang sudah tersurat begitu dan Qara hanya menerima. Siapa sangka Dhia yang beria-ia tidak mahu bersanding bersama-sama Syahil dan Elma, akhirnya terpaksa akur. Itu pun setelah Datin Jalilah mengongoi-ngongoi bagaikan isteri kematian suami. Dan keakuran itu, menyebabkan Qara tidak punya pilihan lain lagi.

Hatinya berat tapi demi Dhia, digagahkan juga kaki untuk datang.

Remuk redam perasaannya melihat betapa lebarnya senyuman Syahil di atas pelamin. Tidak ada tanda pun yang Syahil terpaksa menerima Elma. Merenung pada Elma, jiwanya terasa melayang pergi. Dulu, Syahil janji tempat yang diduduki Elma itu, akan jadi tempatnya. Kini, janji Syahil hanya tinggal janji semata-mata.

Hakikatnya, Syahil dan Elma di atas singgahsana. Dia di bawah melihat seri pada muka kedua-duanya.

Ya ALLAH... jika memang ini takdir-MU, aku reda. Tapi ya ALLAH, hamba-MU ini memohon supaya diberikan kekuatan.

Sekuat mana pun dia, terasa juga dirinya tewas. Hari ini dia bukan hanya hilang Syahil. Tapi separuh daripada Dhia. Memang Dhia kata biar apa pun jadi, persahabatan mereka akan kekal sampai bila-bila. Kata Dhia lagi, perkahwinan bukan tiket untuk melupakan dan mengabaikannya. Sedang hakikatnya, selepas ini masa Dhia akan lebih banyak dengan Akid dibandingkan dia.

Mungkin tidak banyak, tapi jurang tetap ada.

Selepas menguis air hangat di hujung mata, perlahan-lahan Qara berundur ke belakang. Dia sudah melihat Dhia dan Akid bersanding, rasanya sudah tidak ada apa-apa lagi keperluannya di rumah mewah ini. Sebelum Datuk Kamil dan Datin Jalilahmenyedari kehadirannya dan kemudian mengejeknya, biarlah dia pergi.

Ya... enggang biar sama enggang. Jangan pipit berani muncul!

“Aduh!”

Qara angkat kakinya pantas. Kemudian berpusing 360 darjah dengan dada yang berdebar-debar. Leka mengundur, tidak sedar yang dia sudah memijak kaki seseorang dan seseorang itu adalah Haq. Pada bahagian dada baju melayu krim Haq terdapat tompokkan berwarna oren dan di tangan lelaki itu terdapat gelas yang airnya hanya tinggal separuh dan masih lagi berkocak.

“Maaf... tak sengaja,” pintanya serba salah.

“Tak sengaja?” tanya Haq geram. Kakinya terasa sengal kerana Qara bukannya pijak manja, tapi benar-benar pijak. Belum lagi ambil kira baju melayunya yang sudah comot bagaikan baju budak-budak.

“Ya, tak sengaja.”

“Patah hati sebab bekas kekasih bersanding dengan orang lain sampai lupa dunia sekeliling?” tempelak Haq.

“Tak sengaja...” Makin rendah nada suara Qara. Sudahlah hatinya sedih, kini sesuka hati saja Haq menempelaknya. Mujur suara Haq perlahan, hanya untuk hidangan telinganya seorang. Kalau kuat hingga sampai ke pengetahuan tetamu yang nampak kagum dengan pasangan pengantin yang sama cantik sama padan, mahu diletakkan mukanya ke mana?

Kenapa nasib aku selalu lebih buruk daripada Lebai Malang?

“Ya sangatlah tu tak sengaja!”

Qara geleng lemah. “Tak sengaja...” ulangnya untuk kali keempat dengan harapan Haq percaya. Setitis air matanya gugur di pipi kanan yang kian hari kian cengkung. “Maaf,” ucapnya dalam keadaan dada yang terasa sesak. Kemudian terus berlalu pergi. Semuanya terasa seperti tidak kena.

Seribu kali pun dia kata dia kuat, seribu kali juga dia tahu hatinya menipu. Sampai ke hari ini, Syahil masih gagal diusir daripada hatinya.

Nenek... Qara rasa sakit. Di sini... luahnya sambil memegang dada.

Sedangkan Haq yang ditinggalkan Qara begitu saja, terpinga-pinga. Titis air mata Qara yang gugur, terbayang-bayang di matanya. Untuk ke sekian kalinya, dia terasa seperti mahu menampar mulut sendiri. Sudah dilihat rupa Qara yang keruh, masih juga dia mahu mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya pada wanita itu. Bukannya diringankan beban hati Qara, bahkan ditambah lagi tanpa belas kasihan.

“Hati kau ni diperbuat daripada apa Umair Haq?” tanya Haq berbisik. Kalau bercakap kuat, bimbang pula dianggap tidak siuman.

Kesian Qara, detik hatinya.

Lantas dia mengatur langkah. Berterusan menghadap pelamin, hatinya jadi sakit. Bukan sebab cemburukan Akid dan Dhia yang kejap-kejap tersenyum, kejap-kejap tersipu-sipu malu kerana diusik. Tapi meluat melihat Syahil yang nampak bahagia di sisi Elma. Sedangkan Qara yang tidak bersalah berendam air mata.

“Haq?” tegur Rosnah. Dalam dukungannya ada Irham.

“Kak Ros boleh tengok-tengokkan Irham kan?” tanya Haq sambil mata sekejap memandang Rosnah, sekejap mengamati langkah Qara. Tidak mahu Qara hilang dalam kalangan tetamu Datuk Kamil dan Datin Jalilah yang bukannya sedikit. Langsung tidak dipedulikan Irham yang melihat padanya.

“Boleh aje. Nak ke mana?” Rosnah ingin tahu.

Haq senyum. “Ada hal yang nak kena uruskan sekejap.” Kemudian Haq pegang kepala Irham. “Anak papa tinggal dengan Mak Cik Ros dulu ya, papa ada hal penting nak kena buat.”

Haq kembali meneruskan langkah. Melihat Qara yang semakin jauh ke depan, Haq makin memanjangkan langkah.

“Qara...” panggil Haq sedikit kuat ketika sudah melepasi pintu pagar.

Langkah Qara laju, selaju air mata yang mengalir di pipinya. Otaknya mencari-cari destinasi untuk menyambung pelajaran, namun satu tempat pun gagal difikirkan. Mindanya seakan-akan tepu. Yang terasa hanya kesedihan yang seperti sudah tidak mampu untuk dipadamkan.

Inikah sakit putus cinta?

Jika inilah rasanya, dia berharap di dalam dunia ini tidak akan ada lelaki seperti Syahil.

“Qara tunggu!” Haq sudah berlari perlahan.

Akhirnya Qara ikut berlari setelah menyedari langkahnya diburu Haq. Lelaki itu fikir dia apa? Sudahlah dirinya ditempelak, kini terhegeh-hegeh mengejarnya. Sungguh, dia tidak ada hati untuk berhadapan dengan Haq. Selebihnya dia malu kerana lelaki itu selalu saja melihat dia menangis.

“Qara tunggu!”

Qara tidak peduli. Makin kuat dia berlari. Dia mahu segera sampai ke kereta yang diparkir di hujung jalan, kemudian pulang ke rumah. Mahu tidur dan melupakan segala-galanya.

“Qara!”

Terus Haq rentap tangan Qara menyebabkan langkah wanita itu mati serta-merta.

“Tak dengar ke saya panggil nama awak berkali-kali?” tanya Haq geram. Hilang rasa simpatinya diganti marah. Punyalah dia beria-ia mengejar, beria-ia juga Qara lari. Macamlah dia raksasa yang harus dijauhi. Padahal dia bukannya ada menyimpan niat jahat pada wanita itu.

“Jangan panggil nama saya!” balas Qara, juga geram. Namun matanya masih basah.

“Kenapa saya tak boleh panggil nama awak?” Haq tidak puas hati. Air mata Qara, terasa menyakitkannya.

“Saya tak suka!” Tegas Qara.

Muka Haq tegang. Geram makin menjadi-jadi. Dalam keadaan sedih dan menangis pun Qara masih ada hati marah-marah padanya.

“Saya akan tetap panggil nama awak sampai bila-bila.”

“Tak payah. Saya tak suka!”

“Habis awak suka siapa panggil nama awak?” duga Haq.

“Sesiapa aje asalkan bukan awak,” jawab Qara. Dia menyeka matanya dengan tangan kiri. Tidak mengerti, mengapa Haq selalu muncul ketika dia bersedih. Sedangkan lelaki itu bukannya sesiapa dengannya. Hanya abang kepada Akid yang juga rapat dengannya sejak di universiti dulu.

“Syahil pun awak tak kisah?” Sekali lagi Haq menduga.

Garang mata Qara menombak anak mata Haq. Lelaki itu dirasakan seperti mahu membubuh garam di atas lukanya.

“Awak lebih rela Syahil sebut nama awak daripada saya?”

Kali ini Qara gigit bibir. Mata masih belum dialihkan ke mana-mana.

“Awak langsung tak boleh lupakan dia walaupun mata awak dah tengok dia bersanding dengan Elma?”

Hati Qara terusik. Senyuman bahagia Syahil dan Elma terbayang-bayang di matanya. Dia nampak betapa gembiranya Syahil ketika membetulkan sedikit anak rambut Elma. Malah dia masih terdengar-dengar pujian yang Syahil ucapkan untuk Elma sebelum melangkah naik di atas pelamin tadi.

Syahil nampak dia, namun Syahil sedikit pun tidak menoleh kepadanya.

“Syahil dan Elma pakai baju warna pink Qara,” ujar Haq bagaikan Qara tidak melihat pasangan bahagia itu tadi.

Makin berombak badai dalam hati Qara. Matanya tidak buta untuk melihat. Syahil kata tidak suka warna pink. Tapi demi Elma, Syahil tidak kisah pun.

“Syahil tak henti-henti senyum,” terus Haq bagaikan tidak nampak kesedihan Qara.

Bila kolam mata Qara kembali berkaca sebelum pecah membasahi pipi, Haq menarik nafas panjang. Kali ini dia sengaja membangkitkan nama Syahil. Bukan untuk menyakitkan hati Qara. Tapi dia mahu Qara menghadapi kenyataan hidup. Mahu mengelak macam mana pun, Qara tetap tidak akan terlepas daripada mendengar sebaris nama yang kini bagaikan racun dalam hidup wanita itu.

Syahil abang Dhia dan Qara kawan adik Syahil itu. Lambat-laun nama Syahil pasti terlepas juga ke telinga Qara.

“Syahil...”

“Awak jahat... awak jahat. Saya tak nak dengar nama Syahil lagi. Saya tak nak dengar...” potong Qara pantas. Sudah tidak sanggup mendengar nama itu meniti di bibir Haq. Kemudian memukul dada Haq bertalu-talu bagi melepaskan geram. Ketika mengayunkan tangan ke dada bidang itu, dia membayangkan dia sedang memukul Syahil. Kerana lelaki itu, dia sudah membuang banyak masa. Kerana lelaki itu kini, air matanya tumpah melimpah-ruah. Dan kerana lelaki itu juga, dia dipandang rendah oleh Haq.

Haq hanya menahan tanpa melarang. Meskipun tidak sekuat mana kerana tangan Qara agak kecil, tetap juga terasa sengalnya. Kalau dengan cara memukulnya Qara mampu menenangkan diri, dia rela meminjamkan dadanya untuk Qara.

Dia sudah melihat ramai perempuan bersedih kerana seorang lelaki, tapi hanya Qara satu-satunya yang mampu mengheretnya untuk merasakan perasaan yang sama. Melihat Qara menangis, dia seperti mahu menangis juga. Malah jika kesedihan Qara boleh dipindahkan, dia rela menjadi galang ganti.

Memang dia bukan orang baik. Tidak sudi pun bersusah payah demi orang lain. Tapi entah kenapa, demi Qara dia rela.

Gila? Ya... dia memang ada juga berfikir yang dia memang sudah gila! Gila kerana Qara.

Saat tangan Qara sudah terkulai di sisi dan kepala wanita itu hanya tunduk, Haq menarik nafas lega. Ikutkan rasa sengal, mahu juga dia menggosok-gosok dada sendiri. Tapi memikirkan itu akan membuatkan Qara rasa bersalah, dia tahan saja. Hendaknya janganlah dadanya sakit dan lebam esok pagi. Tidak mahu mengambil cuti sakit hanya gara-gara dipukul Qara.

Kalau orang lain tahu, mahu disorokkan muka ke mana? Dalam guni?

“Sampai bila nak nangis sebab Syahil, Qara?” tanya Haq. Nada suaranya lebih lunak.

Tidak ada jawapan daripada Qara. Hanya kepala dan dadanya turun naik kerana menahan esakan. Rasa bersalah dan serba salah menderu-deru masuk ke dalam hatinya. Dia sudah bertindak kejam pada Haq yang tidak bersalah.

“Syahil dah pilih jalan hidup dia sendiri. Awak tak boleh terus meratapi apa yang dah berlaku. Awak kena buktikan pada Syahil yang awak pun boleh hidup gembira dan bahagia walaupun awak bukan pilihan dia,” nasihat Haq setelah Qara lebih tenang daripada tadi.

“Saya tak pernah bersedia, Haq...” katanya lirih.

“Saya tahu,” ujar Haq bagaikan memujuk. Simpatinya pada Qara bukannya sedikit.

“Saya dah lama tak ada keluarga yang sempurna. Saya ingat bila dengan dia, saya akan dapat keluarga yang lengkap. Ada ibu dan ayah yang boleh saya tumpang kasih sayang mereka. Kongsi suka dan duka hidup. Tapi impian saya tak ke mana. Saya tetap juga sebatang kara,” luah Qara dalam nada yang tersekat-sekat. Kolam matanya kembali bergenang.

“Bukan hanya Syahil yang ada ibu dan ayah dalam dunia ni, Qara.”

“Cuma Syahil yang saya nampak selama ni. Saya tak pernah pandang yang lain.”

Kalau Qara tidak kisah, Haq mahu memeluk sekujur tubuh itu. Tapi tidak mungkin, ada batas yang perlu dijaga. Allah mungkin nak beri awak seorang lelaki yang lebih baik daripada Syahil. Jangan buang air mata untuk orang yang tak tahu hargai awak. Tak berbaloi. Jom...” Haq tarik lengan baju kurung Qara.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku