KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
10308

Bacaan






“Kau ke mana?” tanya Dhia sebaik saja melihat Qara muncul. Mata kawannya itu tampak memerah. Rasa bersalah merebak di hatinya. Terasa dia pentingkan diri. Sudah tahu majlis perkahwinannya serentak dengan Syahil, tetap juga dipaksa Qara hadir.

Kini bila Qara kelihatan sugul, dia menyesal tidak sudah.

“Aku...”

“Tak ke mana-mana. Kami ambil angin di luar tadi,” pintas Haq pantas sebelum sempat Qara menyudahkan kata-kata.

Mata Akid mengecil merenung Haq. Puas dia dan Dhia mencari Qara di sekitar rumah. Sempat juga Dhia menangis bila Qara tidak ada di mana-mana. Lantaran itu mereka akhirnya memilih duduk seketika di ruang tamu. Tiba-tiba saja abangnya muncul bersama-sama Qara. Kini dengan muka selamba, Haq kata dia dan Qara mengambil angin di luar. Siapa yang tidak rasa aneh?

“Korang ni... ada apa-apa ke?” usik Akid selamba. Tidak mahu suasana muram ada di antara mereka berempat.

“Hah?”

Itu yang terkeluar daripada mulut Haq dan Qara. Serentak dan itu membuahkan tawa di bibir Akid. Geli hati sendiri sedangkan Haq dan Qara terpinga-pinga. Dhia pula langsung tidak tercuit. Tetap juga sugul biarpun yang dicari-cari sudah muncul di hadapan mata.

“Gila!” Akhirnya Qara berkata setelah ketawa Akid reda.

Gila? Haq pandang Qara. Tidak menduga sepatah kata itu Qara keluarkan. Macamlah tidak ada kata-kata yang lebih manis. Dia tertanya sendiri, benar-benar gilakan kalau dia dan Qara ada apa-apa? “Abang dengan Qara yang garang ni? Memang taklah!” jawab pula Haq tenang. Kemudian dia terus melabuhkan punggung di atas sofa empuk yang entah di mana dibeli Datuk Kamil dan Datin Jalilah.

Kali ini giliran Qara pula memandang Haq yang selamba. Garang? Itu ke anggapan Haq pada aku?

“Siapa yang garang?” Mata Qara terjegil. Kalau boleh ditelan, memang lenyap lelaki bernama Umair Haq itu di atas muka bumi ini.

“Tu tunjuk mata macam tu. Nampak benar memang awak tu garang. Nak bukti lagi?”

Dhia yang masih berasa bersalah dan serba salah, akhirnya ikut tergelak. Lucu pula bila melihat Haq dan Qara berbalah begitu. Tidak percaya abang Akid yang selalu nampak tenang itu boleh mengusik Qara dengan selamba. Sedangkan Qara yang selalunya tidak suka membalas kata-kata orang, jelas benar tidak mahu mengalah dengan Haq.

Sungguh... mereka berdua nampak sangat comel!

“Isyh... tak kuasa melayan orang macam awak! Menyakitkan hati dan rasa macam nak bagi lima jari aje”

“Tak minta dilayan pun.”

“Eh... sakit pula hati akulah!” Darah Qara makin mendidih dikerjakan Haq. Di luar tadi, Haq nampak seperti sangat memahami. Nasihat demi nasihat yang Haq beri tidak ada satu pun yang silap. Tapi bila di hadapan Akid dan Dhia, lelaki itu kembali kepada perangai yang menyebalkan.

“Nak ubat?”

“Dia ni kan...”

“Sudah. Sudah... dengar korang berdua berbalah macam ni, sampai ke subuh pun tak akan selesai,” sampuk Akid. Comel memanglah comel melihat abangnya dan Qara yang masing-masing tidak mahu mengalah. Tapi kalau terus begitu, memang tertidurlah dia dan Dhia di situ.

Perlahan ketawa Haq meletus. Melihat Qara membalas setiap kata-katanya yang berupa provokasi, dia terasa hidup. Merah padam pada muka Qara kelihatan sangat menarik. Qara nampak comel bila marah-marah begitu. Baginya, dia lebih rela melihat Qara marah-marah daripada menitiskan air mata.

“Kau ikut aku kejap boleh?” ajak Akid pada Haq. Baju pengantin yang melekat di tubuhnya terasa merimaskan.

“Ke mana?” Haq menjawab malas. Kepalanya disandarkan di dinding sofa.

Entah di mana agaknya Irham ketika ini? Apalah yang dibuat anak kecilnya itu di samping Rosnah? Patutnya ketika Qara sedih tadi, umpan saja dengan Irham. Dalam masa beberapa saat dia yakin kesedihan Qara akan pergi. Bukannya dia tidak tahu betapa Qara sukakan Irham. Kalau tidak, mana mungkin dengan selamba meminta Irham daripadanya.

Anehnya, anak Qara mahu. Papa kepada anak itu, tidak mahu pula Qara.

Qara. Qara yang garang mengalahkan singa. Qara yang permintaannya tidak banyak mana tapi tidak mampu dipenuhi Syahil.

“Ikut ajelah,” desak Akid. Dia mahu memberi peluang pada Dhia dan Qara.

“Aku malaslah Akid. Kau ambilkan aku air boleh?”

Mata Akid membulat. “Ni siapa pengantin ni? Aku ke kau ni abang?”

“Lah, pengantin tak boleh tolong ambilkan air untuk abang dia ke? Pelik pula aku rasa,” gumam Haq tapi sangat jelas.

“Yang pelik tu awak sebab tu fikiran awak pun pelik-pelik juga!” tempelak Qara dengan muncung panjang sedepa.

“Oh... ada burung murai berkicau malam-malam macam ni.”

Murai? “Apa awak kata?”

“Jom!” Terus Akid tarik tangan Haq.

Dengan susah payah dia menolak belakang Haq yang dirasakan terlalu berat. Badan abangnya itu lebih sasa dibandingkan badannya. Sedangkan Haq belum puas mengenakan Qara. Selepas hari ini, entah bila lagi baru dia dapat bertemu dengan Qara. Kalau bernasib baik, mungkin masa majlis resepsi di rumahnya kelak. Kalau tidak, mungkin inilah pertemuan terakhir mereka.

Tapi... kenapa aku kisah sama ada bertemu Qara lagi atau tak?

Ah sudah, bukan hanya fikiran aku yang pelik macam Qara kata. Hati aku sekali pun dah jadi pelik sejak kenal Qara.

“Qara...” Dhia pegang kedua-dua tangan Qara selepas Haq dan Akid pergi. Nafasnya terasa seakan-akan memberat tiba-tiba.

Qara cuba tersenyum. Muka Dhia yang masih cantik ditatap dalam-dalam. Manisnya Dhia dengan solekan yang ringkas tentu memukau banyak mata yang memandang. Malah mata Dhia yang galak nampak bersinar-sinar ketika duduk di atas pelamin tadi. Dia suka melihat Dhia begitu.

“Kau cantik, sangat cantik,” puji Qara ikhlas.

“Terima kasih,” balas Dhia datar. Bukan tidak teruja dengan pujian itu. Namun dia tidak berasa mahu bergembira pada saat Qara tidak gembira.

“Hei... ni hari kau, kenapa perlu nampak sedih?” Pipi Dhia, Qara cucuk dengan jari telunjuk kanan.

Mata Dhia berkaca-kaca. Susahnya berlakon tenang pada saat jiwanya bergalau.

“Dhia...” Pantas Qara seka air mata Dhia.

“Aku minta maaf,” pinta Dhia rendah.

“Kenapa?” Kening Qara hampir bertaut.

“Aku dah cuba halang ibu dan ayah daripada buat majlis perkahwinan abang aku sekali dengan majlis perkahwinan aku. Tapi aku tak mampu...”

Masuk kali ini sudah berpuluh-puluh kali Dhia mengungkit hal yang sama dengan harapan Qara tidak bersangka yang bukan-bukan. Sekali cakap dia sudah faham. Tetap juga kawannya itu rasa bersalah.

“Patutnya aku tak paksa kau datang.”

“Dan aku akan terlepas melihat hari bahagia kawan aku?”

Dhia diam. Tidak mudah sebenarnya berada di tengah-tengah. Tapi hendak diapakan lagi, tempatnya memang di antara Qara dan Syahil.

“Kau kahwin mungkin sekali dalam seumur hidup dan aku harap biarlah hanya sekali ini aje. Kalau aku terlepas peluang yang sekali ini, aku mungkin tak akan ada peluang lain lepas ni,” kata Qara tenang. Dia tidak kuat tapi nasihat-nasihat Haq membuatkan dia lebih berpijak di bumi nyata.

“Tapi kau sedih, aku tahu.”

Lebar senyuman Qara. Dalam diam dia berterima kasih pada Haq. Kalau bukan kerana lelaki itu, mungkin ketika berhadapan dengan Dhia saat ini air matanya tumpah. Tentunya lebih deras daripada air mata Dhia.

“Tipulah kalau aku kata aku tak sedih langsung. Tadi pun aku nangis,” akui Qara jujur.

“Qara, maaf...”

Qara genggam erat-erat jari-jemari Dhia yang runcing. Dia tidak mahu kawannya itu terus bersedih disebabkan dirinya.“Tapi tak mungkin aku akan terus hidup dengan meratapi cinta yang tak kesampaian.”

“Abang aku jahat!” kutuk Dhia. Ayat itu makin lama makin sebati dengan dirinya.

“Sangat.” Qara turut mengakuinya.

Sudahnya, mereka berdua ketawa. Sepakat membuat rumusan yang golongan lelaki tidak setia bukanlah lelaki yang baik-baik. Belum apa-apa sudah membuat perangai, selepas berkahwin mungkin berpotensi untuk mempamerkan sikap yang jauh lebih buruk.

“Aku minta maaf sekali lagi bagi pihak abang aku, Qara.”

“Ya, tapi aku harap ini untuk yang terakhir kali ya Dhia? Aku tak nak dengar ayat yang sama daripada kau. Boleh?”

Dhia angguk dengan rasa lega. Dia bersyukur di sebalik apa yang berlaku, Qara tidak pernah meminggirkannya sebagai kawan. Kalaulah hati Syahil boleh dipaksa, dia bersumpah akan melakukannya. Kalau perlu diheret, akan diheret abangnya itu supaya tetap berada di sisi Qara. Sayang, semuanya mustahil.

“Kau jangan tak pedulikan aku ya Qara?”

“Merepek apa ni?”

“Aku sayangkan kau,” luah Dhia tulus.

“Aku sayangkan kau lebih daripada aku sayangkan diri aku sendiri.” Terus ditarik Dhia ke dalam pelukannya. Biar apa pun yang berlaku, tekadnya tidak akan pernah memusuhi Dhia. Mungkin jarak dan masa akan memisahkan dia dan Dhia bila dia menyambung pelajaran kelak, namun itu tidak bermakna mereka harus saling melupakan. Sampai satu masa kelak, dia dan Dhia pasti akan kembali bersatu seperti sekarang ini.

“Ehem...” Haq berdehem. Keningnya terjongket.

Pelukan Dhia dan Qara terlerai. Cerah terpamer jelas pada muka kedua-duanya.

“Aku belum lagi peluk Dhia, kau dah rasmikan dulu. Tak adil betul,” protes Akid.

“Ada aku kisah?” balas Qara spontan.

“Jomlah Dhia, kita pergi dari sini. Biarkan Qara dan abang terus bercakar sesama sendiri,” ajak Akid. Kemudian dia mencapai lengan Dhia dan mereka melangkah seiring.

Qara hanya memandang sehingga langkah mereka menghilang. Dalam hati dia berdoa, biarlah ikatan perkahwinan antara Dhia dan Akid berkekalan sampai ke hujung nyawa. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menjadi bukti betapa di dalam dunia ini masih wujud cinta sejat. Masih ada orang-orang yang setia. Tidak curang seperti Syahil yang hanya tahu menanam tebu di pinggir bibir.

Beberapa detik berlalu, akhirnya Qara meluruskan pandangan ke hadapan. Tepat di tempat Haq duduk. “Terima kasih,” ucap Qara tiba-tiba.

Haq angkat sebelah kening. Bertanya tanpa suara.

“Nasihat awak menyedarkan saya walaupun termasuk hari ni entah berapa banyak nasihat yang dah awak berikan pada saya. Mungkin sebelum-sebelum ni saya masih berharap pada Syahil. Tapi bila tengok dia betul-betul duduk atas pelamin tadi, saya dah sedar. Saya dan dia memang dah tak ada harapan lagi. Saya akan lenyapkan dia daripada hati dan hidup saya,” luah Qara panjang berjela.

Confirmlepas ni tak nangis kalau nampak Syahil dan Elma?” Haq inginkan kepastian.

“Insya-ALLAH tak. Dan... maaf sebab pukul awak tadi,” pinta Qara. Malunya pada Haq menebal. Dia kini ibarat marahkan nyamuk tapi membakar kelambu.

“Tak apa, tak apa, tak sakit...” bohong Haq. Mujurlah tadi suasana tidak begitu terang, kalau tidak tentu Qara nampak mukanya yang berkerut menahan sakit. Tangan Qara keras seperti besi.

“Saya tak bermaksud nak pukul awak. Maafkan saya.”

“Saya faham dan saya tak kisah. Tapi kalau dada saya cedera, saya minta duit ubat daripada awak,” usik Haq. Melihat mata Qara yang sudah tidak beranak sungai, dia rasa lega dan lapang. Hendaknya pada hari-hari yang lain, Qara tidak akan menangis lagi. Kalau pun hendak menangis biarlah untuk hal-hal yang menggembirakan.

“Nak sekarang ke?” tanya Qara polos.

“Main-main aje. Jom... saya temankan awak makan,” ajak Haq dengan senyuman.

“Saya tak lapar.”

“Tadi saya dengan perut awak berbunyi,” sakat Haq.

“Mana ada,” sangkal Qara sungguh-sungguh. Kemudian dia jadi tidak pasti. Seingatnya sudah beberapa hari dia tidak makan. Mungkin memang perutnya ada berbunyi dan dia tidak sedar.

Haq ketawa perlahan. “Jom... kalau hati tak tenang, jangan perut yang diseksa.”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku