KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 15
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9409

Bacaan






HAJAH YASIRAH merengus kuat. Terus dia bangkit serta-merta daripada sofa yang diduduki. Merah padam mukanya kerana menahan amarah yang naik mencanak-canak. Tangisan Irham yang bagaikan tidak berkesudahan buat dia hilang ketenteraman. Ikutkan rasa, mahu saja ditutup mulut anak kecil itu dengan plaster. Biar tidak dapat berbunyi lagi.

Sudahlah sejak akhir-akhir ini dia begitu sibuk gara-gara menguruskan majlis resepsi Akid dan Dhia di rumah. Mahu dibuat di hotel, Haji Lukman tidak mahu. Macamlah mereka jenis tidak berduit. Kini saat dia mahu merehatkan diri sesaat dua, sesuka hati saja Irham melalak bagaikan dikejar polong.

“Inilah susahnya bila kahwin dengan entah siapa-siapa. Dapat anak pun perangai entah apa-apa,” bebel Hajah Yasirah geram. Dia mula mengatur langkah. Panjang-panjang jarak yang diambil.

Meskipun anak itu anak Haq, tetap tidak mampu membenihkan rasa sayang dalam dirinya. Setiap kali melihat Irham, setiap kali itu juga hatinya terasa bagaikan dihiris halus. Anak itu bukti Haq pernah tidak mengendahkan perasaannya dan Haji Lukman. Padahal selama ini, mana pernah Haq membelakangkan mereka berdua. Haq selalu saja menurut kata.

Jika putih katanya, putihlah kata Haq. Kalau dia mahukan merah dan Haq sukakan hijau, sudahnya merah juga yang Haq pilih. Tapi sebab ibu Irham yang tidak pernah dikenali itu, Haq memilih warna yang tidak seiring dengannya.

“Hari-hari menangis, tak bosan ke?” sergah Hajah Yasirah keras.

Haq langsung tidak mengangkat muka, tidak mahu menambahkan radang Hajah Yasirah yang diyakini sudah setinggi langit. Melihat tampang letih pada wajah yang masih menawan itu, dia tahu dia mesti lebih berhati-hati dalam bertindak dan berkata-kata. Tidak mahu menambah luka pada hati umi yang sangat disayanginya itu.

“Ni kenapa pula?” Masih sama nada suara Hajah Yasirah.

Kecik besar, kecik besar saja Irham di matanya. Sungguh... sejak Haq muncul bersama-sama anak itu, dia tidak dapat hidup tenang. “Haq ni dengar ke tidak apa umi tanya?”

“Dengar umi.” Haq senyum walaupun senyumnya pasti tidak bergula.

“Dah tu yang bersikap macam tunggul mati kenapa?”

“Maaf, umi. Haq risaukan Irham ni. Makin lama makin kerap nangis sekarang ni...” Dia tidak mahu memanjangkan cerita.

“Dah beri susu?” tanya Hajah Yasirah tanpa kemesraan.

“Dah.” Ringkas jawapan Haq.

“Dah sapu perut dia dengan minyak?”

“Dah juga.”

Pampers dah tukar?”

Kali ini Haq angguk sambil tangan terus menepuk-nepuk bahu Irham. Berharap Irham segera tidur supaya tangisan anaknya itu berhenti. Hatinya risau kerana akhir-akhir ini Irham semakin banyak meragam. Kalau menangis, akan ambil masa yang lama untuk tangisan anaknya itu reda.

Menurut doktor, Irham baik-baik saja. Tidak ada apa yang tidak kena. Tapi kalau tidak ada apa-apa, kenapa kerap benar Irham menangis?

“Kalau semua dah buat dan masih nangis juga, tak taulah umi nak kata apa lagi.”

Kata-kata Hajah Yasirah hanya Haq masukkan ke telinga kanan dan kemudian keluarkan melalui telinga kiri. Tidak mahu terlalu memasukkan dalam hati. Kalau hati sudah tidak suka, perkara kecil pun tentu akan dipandang besar. Mustahil ketika kecil dulu, dia dan Akid tidak pernah menangis. Kalau dengan dia dan Akid, uminya boleh sabar, kenapa dengan Irham tidak boleh?

“Susah sangat, pulangkan aje Irham pada ibu dia!”

“Umi...” Dalam nada suara Haq. Sebenci itu rupanya Hajah Yasirah pada Irham.

“Kenapa? Salah ke apa yang umi cakapkan ni?”

“Irham anak Haq, umi. Salah ke kalau Haq nak jaga anak Haq sendiri?”

“Irham bukan anak Haq seorang, anak perempuan tu juga. Apa masalahnya kalau dia jaga anak dia sendiri?”

“Umi...” Hanya itu yang Haq sebut. Dia menyeka air mata di pipi Irham. Anak itu menangis sambil memejamkan mata. Dia tahu Irham sebenarnya sudah terlalu mengantuk. Yang dia tidak tahu, kenapa anaknya itu terus menangis.

“Orang lain, kalau bercerai, anak ikut ibu. Tapi Haq ni terbalik tau,” tempelak Hajah Yasirah.

Kalau Haq mahu, boleh saja dia menempelak Hajah Yasirah. Hanya rasa hormat sebagai anak membataskan kata-kata dan perbuatannya. Meskipun, uminya kali ini dirasakan agak keterlaluan. Sudahlah tidak pernah memegang Irham, kini tergamak pula mahu memisahkan dia dengan anak itu.

“Sayang... anak papa ni kenapa? Mana yang tak kena ni?” tanya Haq pada Irham seolah-olah anak itu mengerti.

Bibir Hajah Yasirah mencebik, meluat. Terasa mahu dipicit-picit saja Irham.

“Haq cakap macam tu Haq ingat Irham tu tahu ke?” sinis Hajah Yasirah geram.

“Irham janganlah terus nangis macam ni, nanti Irham sakit. Kalau Irham sakit, papa susah hati. Nanti papa pun sakit sama,” luah Haq pada Irham. Sengaja tidak mempedulikan kata-kata Hajah Yasirah yang seperti mengejeknya. Biarlah, dia percaya suatu hari nanti uminya tentu akan menerima Irham dengan tangan terbuka.

Irham terus menangis walaupun hidung dan pipinya sudah memerah kerana terlalu banyak mengalirkan air mata.

“Irham diamlah, nak. Tidur. Kalau Irham tidur, nenek dapat berehat dan nenek tak adalah marah-marah pada papa,” kata Haq perlahan.

Lewat ekor matanya, dia melihat air muka Hajah Yasirah yang berubah. Tercuit juga hatinya. Segarang mana pun uminya, dia tahu uminya mempunyai sekeping hati yang baik. Cakap-cakapnya hanya di mulut, sedangkan hati tidak memaksudkan apa yang dikatakan.

“Isyh... bosan umi cakap dengan Haq ni tahu!”

Haq pamer senyum lebar. Dia rindukan Hajah Yasirah yang dulu, sebelum dia menyambung pelajaran di London dan kemudian bekerja di sana.

“Umi rehatlah. Kejap lagi Irham ni tidur,” pujuk Haq lembut.

“Macam mana umi nak rehat kalau anak Haq tu asyik memekak aje? Umi baru nak lelap masa dia menjerit tadi.”

Memekak? Kesat sepatah kata itu di telinga Haq, namun disabarkan saja hatinya. Ikutkan rasa, dia terasa hendak kecil hati. Namun menyedari punca kemarahan Hajah Yasirah, ditelan saja segala-galanya. Masa yang sudah berlalu tidak mungkin dapat diundurkan kembali. Tapi niatnya tidak jahat.

“Irham tak sihat agaknya ni umi. Lepas tidur nanti okeylah dia ni.”

“Kalau dia dah tidur, keluar cepat. Ada benda yang umi dan bincangkan dengan Haq. Jangan buat-buat lupa pula!”

Tanpa menunggu jawapan balas Haq, Hajah Yasirah terus pergi. Tidak betah terus berlama-lama melihat anak dan bapa itu. Sedangkan Haq yang ditinggalkan, hanya mampu menarik nafas panjang.

“Sebab Irham, nenek marahkan papa. Tapi Irham jangan bimbang ya, papa tetap sayang Irham sampai bila-bila. Tak kira apa pun yang bakal berlaku di kemudian hari. Irham tetap anak papa, sayang...”


“TERUS terang umi kata pada Haq, umi tertekan dengan kehadiran Irham dalam rumah ni. Tak habis-habis nangis macamlah kena pukul,” luah Hajah Yasirah tanpa rasa bersalah sebaik saja Haq duduk di hadapannya. Apa pun jadi, hari ini dia nekad mengeluarkan segala isi hatinya untuk Haq.

Siapa tahu Haq simpati padanya dan kemudian menghantar Irham kepada ibu anak itu. Selepas Irham tidak ada di antara mereka, dia yakin kehidupan keluarganya akan kembali seperti sedia kala.

“Irham masih kecil umi. Dia tak tahu apa-apa,” balas Haq perlahan. Hati yang kecil terasa semakin mengecil.

“Umi bosan, Haq!”

“Haq minta maaf umi,” pinta Haq rendah.

“Umi tak minta banyak daripada Haq, umi cuma minta Haq pulangkan balik Irham pada ibu dia. Umi bingit, Haq...”

Haq tahan hati, dia gigit bibir. Suara Hajah Yasirah sudah tidak sekeras tadi. Lebih lunak dan sedap didengar, namun bisanya tetap terasa tusuk sampai ke hati. Sampainya hati uminya berkata begitu padanya. Teruk mana pun dia, dia tetap anak sulung Hajah Yasirah.

“Irham anak Haq, umi. Tolonglah faham...” pinta Haq penuh harap.

“Ibu Irham masih ada. Haq beri Irham pada dia. Kalau Haq rindu, Haq jumpalah bila-bila masa pun. Tapi umi tak nak Haq jaga Irham dalam rumah ni. Umi tak suka Irham ada dalam keluarga kita.”

Hajah Yasirah pegang kedua-dua tangan Haq. Dia sayangkan Haq, tapi dia tidak dapat menerima kewujudan Irham.

“Irham cucu umi. Tak boleh ke umi sayangkan Irham sama macam umi sayangkan Haq?”

“Umi tak suka dia, Haq...”

Hampir saja menitis air mata Haq mendengar ulangan kata daripada uminya. Kata-kata yang ringkas tapi memberi makna yang mendalam. Dia tidak kisah kalau uminya tidak sukakan dirinya. Tapi dia tidak dapat menerima seorang nenek yang sepatutnya lebih menyayangi cucu dibandingkan anak sendiri, tidak sayangkan cucu.

“Kalau Akid ada anak nanti, apa perasaan umi pada anak mereka?” duga Haq.

Hilang kelembutan pada muka Hajah Yasirah. Terus dilepaskan kedua-dua tangan Haq. Ditolak kasar sebelum dia bersandar.

“Umi akan bencikan anak Akid dan Dhia macam umi bencikan anak Haq?”

“Apa yang Haq cuba sampaikan pada umi ni?” bentak Hajah Yasirah geram.

“Soalan Haq mudah sangat umi. Umi tentu ada jawapannya.”

“Haq cuba nak sakitkan hati umi kan?”

Haq geleng kesal. Tidak mungkin dia tergamak melukai hati uminya dengan sengaja. Namun dia harus bersikap adil pada Irham. Kalau uminya boleh menerima anak Akid dan Dhia nanti, kenapa mesti kehadiran Irham dianggap seperti beban yang menyusahkan?

“Irham tak buat salah. Kalau umi nak marah, marahkan Haq dan Haq tak akan simpan dalam hati. Jangan sebab Haq, Irham yang tak ada dosa tu umi hukum. Bagi peluang Irham hidup macam anak-anak lain umi. Kalau umi tak boleh nak sayang dia, Haq faham. Tapi jangan suruh Haq serahkan dia semula pada ibu dia. Haq sayang anak Haq, umi...”

Haq sentuh dada sendiri. Janganlah dia berjauh hati dengan uminya.

“Tapi sebab ibu Irham, Haq sanggup kecewakan umi,” sanggah Hajah Yasirah. Hatinya tercuit dengan nada tulus Haq. Namun dia tetap tidak dapat menerima apa yang telah Haq buat. Sedangkan bukan sekali dua dia berangan-angan mahu mengadakan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang untuk anak itu. Berkali-kali sehingga angan-angan itu luruh saat Haq muncul di muka pintu sambil mengendong Irham.

Pecah hatinya seakan-akan sudah tidak dapat dicantumkan kembali. Tidak percaya anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, sanggup membelakangkan dirinya dalam mengambil keputusan yang besar.

“Haq tak pernah niat macam tu. Tapi perkara dah jadi, Haq tak boleh undur masa.”

“Haq saja beralasan!”

“Umi...”

“Umi tetap tak dapat terima Irham!”

Haq melepaskan keluhan berat. Dadanya terasa sesak. “Kalau umi nak Haq dan Irham keluar dari rumah ni, Haq keluar hari ni juga,” putus Haq nekad. Untuk apa terus bertahan kalau Hajah Yasirah tetap berkeras?

Hajah Yasirah bangun. “Nak tinggalkan umi lagi?” tanyanya bagaikan menjerit.

“Umi...” Rasa bersalah pula Haq bila uminya nampak marah dan terkilan dalam masa yang sama. Dia cuba menyentuh jari-jemari Hajah Yasirah, tapi segera ditepis. Muka uminya tegang semacam. Haq dihambat rasa bersalah. Dia tidak ubah seperti Si Tanggang yang tidak tahu mengenang budi.

“Bertahun-tahun Haq pergi, balik sekali-sekala dan bila balik terus Haq bawa Irham. Hati umi luka. Sekarang ni... sebab Irham, Haq sanggup nak tinggalkan umi sekali lagi. Sampai hati Haq buat umi macam ni.” Lirih suara Hajah Yasirah.

Haq makin tidak keruan. Dicapai lagi jari-jemari uminya. Kali ini dipegang kuat.

“Umi, maaf... maafkan Haq, umi...” pintanya berkali-kali.

Hajah Yasirah sudah bersusah payah mengandung dan melahirkannya. Kemudian membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Sebagai anak, sepatutnya dia lebih bersabar. Marah uminya tak ke mana. Hari ini marah, esok tentu sudah reda. Dia saja yang terlalu memasukkan kemarahan itu di dalam hati. Lantas mengambil keputusan yang bukan-bukan.

“Umi...”

Hajah Yasirah terus diam. Dadanya sebu dengan pelbagai rasa yang datang tiba-tiba. Baru beberapa bulan Haq balik ke pangkuannya, anak itu mahu pergi sekali lagi. Kalau Haq benar-benar pergi, mungkin dia tidak akan dapat bertemu kembali dengan anaknya itu. Haq tentu kecil hati dengannya.

Aku ke yang terlalu pentingkan diri sendiri? Tapi aku umi Haq, aku ada hak untuk membuat keputusan bagi pihak Haq.

“Umi maafkan kalau Haq hantar Irham pada ibu dia.”

Haq geleng pantas. Permintaan uminya terlalu berat. “Irham tak salah, umi...”

“Kalau macam tu, umi nak Haq kahwin dalam masa terdekat ni. Kalau tak ada calon, umi yang akan carikan untuk Haq.”

“Umi?” Mulut Haq melopong. Kenapa boleh jadi begini?

“Keputusan umi muktamad! Kalau ada ibu mungkin Irham tak akan meragam macam sekarang ni.”

Kahwin? Kalau tak ada calon, umi akan carikan? Haq telan liur. Dia masih belum bersedia. Spontan beberapa raut wajah manis melintas matanya. Tapi saat ingatannya melewati gaya wajah-wajah manis itu, dia bungkam. Calon pilihan umi? Tidak mungkin!

“Umi bagi dua pilihan. Hantar Irham pada ibu dia dan Haq tinggal dengan umi. Atau... kahwin dan duduk dengan umi?”

Haq tahan nafas. Kenapa hanya ada dua pilihan? Kenapa tidak 10?

Dan hati di dalam, merusuh hebat!



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku