KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8044

Bacaan






BERBANDING menghadiri majlis perkahwinan Dhia dan Akid di rumah Datuk Kamil dengan Haji Lukman, Qara lebih suka di sini. Mungkin keadaan di sini jauh lebih santai. Atau lebih tepat lagi, yang akan dilihat duduk di atas pelamin esok hanya Dhia dan Akid. Syahil yang menjengkelkan itu tidak ada.

Ya... sejak hari dia menangis beria-ia dan memukul Haq, dia sudah tidak sedih lagi.

Lelaki itu sudah dibakulsampahkan dan ditendang jauh-jauh. Tidak ada untung mengingati lelaki yang kini sudah menjadi milik Elma. Tanpa Syahil, dia tidak mungkin akan mati.

Ah... malas dah nak fikirkan tentang Syahil tu, rungut hatinya.

“Tapi... perlu ke Dhia dan Akid paksa aku tidur di rumah ni malam ni? Aku bukannya boleh tolong apa-apa pun sebab semuanya dah siap. Kalau tidur rumah aku pun bukannya tak boleh datang esok,” kata Qara pada diri sendiri.

“Kami berdua tak akan kawan dengan kau sampai bila-bila kalau kau tak nak tidur!”

Itu ugutan pengantin baru itu, sudahnya rela dalam paksa Qara ikutkan saja kerenah mereka. Dia anggap kedatangannya adalah hadiah buat Dhia dan Akid. Meskipun sudah jelas lagi bersuluh, kedua-duanya menggunakan kelemahannya demi memancing simpati dan rasa takutnya.

Kalau Akid yang tidak mahu berkawan dengannya, dia tahan lagi. Kalau Dhia? Memang dia tidak tahan!

“Aku doakan kau dan Akid akan jalani hidup yang sangat bahagia, Dhia.”

Ada senyuman di bibirnya. Bukan untuk sesiapa tapi untuk meraikan kebahagiaan dan kegembiraan yang bakal melingkari hidup Dhia dan Akid. Sebagai kawan, melihat mereka bersama merupakan impiannya. Dalam hubungan mereka, sedikit sebanyak dia juga ada peranannya.

Kemudian Qara duduk di atas tilam bercadar hitam putih bercorak bunga besar-besar. Keluhan dilepaskan bebas ke udara. Beg kecil berisi pakaiannya, hanya dibiarkan tersadai di penjuru bilik. Kemudian suasana di ruang yang agak luas itu diamati satu per satu. Lengkap dengan katil bersaiz king, almari pakaian, almari solek, pendingin hawa, kipas berwarna hitam yang tidak berpusing dan bilik air.

Namanya bilik tetamu, tapi besarnya melebihi bilik utama di Rumah Purple.

“Untung Akid dan Dhia sebab dibesarkan dalam keluarga yang berada,” ujarnya tenang.

Lambat-lambat, badan direbahkan dia atas tilam. Kakinya hanya dibiarkan menyentuh lantai. Bukan berniat melelapkan mata, hanya sekadar merehatkan diri seketika. Sebentar lagi dia mahu mencari Dhia. Kawannya itu pantas menghilangkan diri selepas membawa dia ke bilik ini.

Namun empuknya tilam yang tebalnya entah berapa inci, ditambah suhu pendingin hawa yang tidak diketahui berapa, buat mata Qara makin lama makin mengecil. Lantas perlahan-lahan keadaan yang memang sedia sunyi jadi bertambah sepi. Yang kedengaran hanyalah desisan turun naik nafas Qara yang sangat perlahan.

Malangnya, hanya seketika Qara sempat dibuai mimpi sebelum telinganya mendengar tangisan halus.

Terus dia berdiri tegak. Kepala terasa sedikit berdenyut-denyut kerana tindakan yang bingkas. Memicit-micit perlahan sisi dahi dengan tangan kanan, telinganya dibuka lebar-lebar. Mahu mendengar sama ada tangisan itu hanya ilusinya semata-mata, atau memang ada yang sedang menangis.

“Hantu ke?” tanya Qara sendiri.

Liur ditelan berkali-kali. Mata mula melingas ke kanan dan ke kiri. Janganlah ada yang tidak diundang berhampiran dengannya. Dia bukanlah terlalu penakut, tapi kalau ada yang berambut mayang mengurai dengan muka yang hodoh muncul di hadapannya, kalau pun tidak koma tentu dia bakal pengsan beberapa hari.

“Tak ada pun?”

Qara terus duduk di atas katil. Kepala yang tadinya sedikit berdenyut-denyut semakin hilang. Namun sekali lagi tangisan yang sama mencecah telinganya. Sah... memang bukan ilusi.

“Suara Irham ke?” tanya Qara sendiri.

Sejak sampai hampir dua jam lalu, dia memang tidak nampak bayang-bayang anak itu. Sedangkan yang kempunan mahu dilihat hanya Irham. Bukan juga bapa kepada anak itu yang sangat sukar ditelah sikapnya. Kadang-kadang Haq sangat memahami, tapi di lain ketika sikap lelaki itu sangat menyebalkan. Bukan sekali dua terbit keinginan di hatinya untuk menampar pipi Haq kerana geram. Itu pun tidak mampu direalisasikan. Bimbang sekali dia menampar Haq, berkali-kali lelaki itu membalas.

Mahu berbirat pipi aku ni, detik hati kecil Qara.

Bila tangisan kecil itu masih tidak mahu berhenti, perlahan-lahan Qara mengatur langkah. Telinganya sedaya mungkin mengawasi jarak. Mahu tahu di mana sebenarnya lokasi tangisan. Namun beberapa bilik dijengah, dia masih tidak menemui apa-apa. Sedangkan suara tangisan masih tetap bergema.

“Tak ada ke yang memujuk?” rungut Qara tidak puas hati. Kasihan pula mendengar bunyi tangisan yang bertali-temali.

Semakin bunyi tangisan kuat, semakin panjang langkah Qara. Dia mahu cepat sampai. Kalau memang tidak ada sesiapa, biarkan saja dia memujuk. Tidak elok membiarkan anak kecil menangis dalam kadar masa yang lama. Bimbang perut yang tidak sebesar mana itu kembung.

“Irham...”

Bulat mata Qara saat matanya melihat sekujur tubuh Ilham di atas katil. Puas diamati, tidak ada sesiapa di dalam bilik yang lebih besar daripada bilik yang dihuni tadi. Anak itu hanya melayan tangis sendiri. Merah padam muka Irham dengan air mata yang berjurai-jurai di pipi.

Tanpa berfikir panjang, terus Qara meluru masuk. Langsung tidak terfikir yang ketika ini dia mungkin sudah menceroboh bilik Haq. Yang ada dalam fikirannya, mahu memujuk Irham supaya berhenti menangis.

“Irham, sayang... kenapa ni?”

Tubuh kecil Irham disambar. Terus dicium bertalu-talu pipi yang masih berair itu. Tapi kemudian dia baru terfikirkan Haq. Dipusingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri, ke depan dan ke belakang. Kemudian dia berdiri tegak. Mahu mendengar kalau-kalau ada bunyi di dalam bilik. Tidak ada!

“Kesiannya Irham, kena tinggal sorang-sorang ya?” Diusap-usap penuh kasih pipi mulus itu.

Tidak ada jawapan. Irham tetap dengan tangisan yang seperti tidak mahu mereda.

“Papa Irham pergi mana, sayang?”

Geram pula hatinya dengan sikap tidak bertanggungjawab Haq. Sudah tahu Irham itu masih sangat kecil, ditinggal-tinggalkan begitu saja. Bila anak itu menangis, seorang pun tidak mendengar.

“Jom... aunty jaga Irham. Kita masuk bilik yang paling hujung ya nak?”

Dengan tangan kanan mengelek Irham, tangan kiri mencapai botol susu anak itu, Qara membawa Irham pergi. Dia lebih selesa memujuk tangis Irham di dalam bilik tetamu itu daripada bilik yang tidak diketahui milik siapa. Hanya hatinya dapat merasakan yang bilik itu kepunyaan Haq.


BERKERUT dahi Haq sebaik saja melihat Irham tidak ada di atas katil. Sebelum keluar daripada biliknya tadi, anak itu dilihat sudah tertidur pulas. Bila dicuit-cuit pipi mongel itu dengan jari telunjuknya beberapa kali, tetap juga Irham tidak memberikan apa-apa reaksi. Memang mengantuk benar.

“Ke manalah anak papa ni pergi?” tanya Haq sambil menggeleng.

Selepas beberapa hari berlalu, Hajah Yasirah terus-menerus mendesaknya supaya berkahwin. Bila dia tidak mengatakan apa-apa, mulalah uminya memadankan dia dengan calon-calon yang kebanyakannya pernah menjadi kawan masa kecilnya. Kesimpulan yang dapat dibuat, dia tidak berkenan dengan kelima-lima calon menantu pilihan uminya itu. Tidak ada yang kena dengan seleranya.

Akibatnya, Hajah Yasirah mogok suara dengannya. Langsung tidak mahu memandang mukanya, bercakap jauh sekali.

“Umi...” desis Haq perlahan.

Kemudian dia meninggalkan biliknya. Mahu mencari Irham yang diyakini ada bersama-sama Rosnah. Tidak mungkin Haji Lukman kerana dia baru saja berselisih dengan walidnya itu. Akid dan Dhia, pun tidak juga kerana pasangan pengantin baru itu tidak ada di rumah. Hajah Yasirah? Hem... kerat mati pun uminya itu tidak mungkin akan memegang Irham. Razita? Mak sunya itu adik kepada uminya, kalau sudah namanya adik-beradik, perangai tentu saja serupa.

Irham hanya dipandang sebelah mata saja oleh Razita. Sama seperti Hajah Yasirah!

“Kak Ros letak Irham kat mana? Saya nak ambil dia,” tanya Haq sebaik saja melihat Rosnah di dapur.

“Irham?”

Haq angguk. Suaranya tidak perlahan dan dia yakin Rosnah dapat mendengar dengan jelas.

“Bukan Irham ada dengan Haq ke tadi?” tanya Rosnah kembali. Mukanya sedikit pelik.

“Tadi memang ada dengan saya tapi saya tinggalkan dia dalam bilik sebab lena benar dia tidur. Tapi baru sekejap tadi saya naik, dia dah tak ada.”

“Hah?” Rosnah terpanar. “Kak Ros tak ada ambil dia,” sambungnya cuak.

Muka Haq berubah serta-merta. “Kak Ros tak ada ambik dia?” tanya Haq sekali lagi.

Rosnah geleng pantas. Pinggan di tangannya diletakkan di atas meja.

“Ada orang lain yang ambil tak?” Mak Pah yang tugasnya memasak di rumah Haji Lukman cuba menyedapkan hati Haq dan Rosnah. Yakin, Irham tidak mungkin akan ke mana-mana. Tapi mengenangkan majlis perkahwinan Akid yang bakal berlangsung esok, memang rumah ini tidak lekang dengan orang. Ada-ada saja yang bertandang demi memastikan majlis yang bakal berlangsung sempurna.

“Ke mana anak saya pergi Kak Ros?”

“Tuan Haji tak ambil?” tanya Rosnah.

Haq geleng. Matanya membelingas ke sana ke sini, manalah tahu ada yang sedang memegang Irham.

“Hajah?” Mak Pah pula menduga.

Haq geleng lagi. Mukanya pucat tidak berdarah. Zaman sekarang, manusia makin hilang kemanusiaan. Di rumah sendiri pun jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Ya ALLAH, janganlah sesuatu yang buruk menimpa Irham.

“Abang... kenapa kau nampak panik aje ni?” tanya Akid yang muncul tiba-tiba.

“Irham tak ada dalam bilik Haq,” jawab Rosnah perlahan.

Haq terus meninggalkan kawasan dapur. Setiap bilik yang ada di tingkat bawah digeledah. Kemudian dia berlari menuju ke tingkat atas. Mungkin Irham ada di salah sebuah bilik yang belum dilihat. Sedangkan Akid hanya mengikut langkah gopohnya.

“Apa yang kecoh-kecoh sangat ni Haq?” tanya Hajah Yasirah tidak mengerti.

“Irham hilang dari bilik abang,” jawab Akid bagi pihak Haq.

“Irham aje pun, itu pun nak bising ke?” bentak Hajah Yasirah. Melihat beberapa kepala saudara-mara mereka terjenguk-jenguk, hatinya sebal bukan kepalang. Tidak berbaloi mendapat malu hanya disebabkan Irham.

“Umi ni kenapa?”

“Kenapa dengan umi?” Mata Hajah Yasirah terjegil.

Akid geleng kepala. Malas melayan angin Hajah Yasirah yang datang tidak tepat waktu. Dia betul-betul bengang dengan uminya yang tidak pernah hendak menyenangkan hati Haq. Kalau hari lain tidak mengapa juga. Ini ketika Haq sedang risaukan Irham pun masih juga hendak marah-marah.

Dhia yang melihat perbalahan suaminya dan ibu mentuanya, bergegas mahu ke bilik tetamu yang menempatkan Qara. Tidak mahu Qara turut terkena tempias kemarahan Hajah Yasirah. Melalui pengamatannya, dia yakin umi Akid itu tidak sukakan Qara. Tangan yang dihulur Qara ketika sampai tadi pun seperti hendak dengan tidak saja disambut. “Jom kita tengok Qara,” ajak Dhia pada Akid. Tidak mahu melihat rupa tegang suaminya.

“Tak payah kacau Qaralah. Agaknya dia tengah tidur sebab masa sampai tadi dia nampak penat.”

“Kejap aje,” gesa Dhia.

Tidak mahu mengecewakan Dhia, akhirnya Akid bergerak juga bila lengannya diheret.

“Qara!”

Qara pandang pintu yang terbuka luas. Melihat Dhia dan Akid di hadapannya, dia tersenyum. Jari telunjuknya dibawa ke bibir. Tidak mahu mereka membuat bising kerana Irham sedang tidur. Biarlah anak kecil itu tidur selama mana yang dimahukan. Jenuh juga dia menepuk punggung kecil itu demi memujuk mata Irham.

“Apa yang kau buat ni Qara? Kecoh serumah kata Irham hilang.”

Muka Qara berubah. Dia rasa bersalah walau niatnya baik.

“Dahlah tu Dhia, yang penting Irham tak ke mana-mana. Tapi aku terpaksa ambil budak kecil ni Qara. Papa dia dah macam cacing kepanasan. Sebelum dia bakar kau hidup-hidup, biar aku pulangkan anak dia dulu.”

Malangnya, belum pun Akid mengangkat tubuh kecil Irham, Haq sudah meluru masuk.

“Siapa yang beri awak hak bawa Irham keluar dari bilik saya?” sergah Haq kuat.

Badan Qara bergegar kerana terkejut. Tidak menyangka setinggi itu nada suara yang Haq berikan padanya.

“Awak ingat awak tu siapa?”

Qara ketap bibir rapat-rapat. Matanya terasa panas. Namun dia cuba untuk bertenang. Faham, kalau dia di tempat Haq mungkin dia akan panik juga.

“Saya minta maaf. Saya tak niat nak susahkan sesiapa. Kebetulan tadi saya dengar Irham nangis tak henti-henti, saya kesian sebab tu saya ambil dia. Kalau duduk dalam bilik awak tu saya rasa tak manis, jadi saya bawa dia ke sini. Tak tahu pula yang tindakan saya tu menyusahkan orang lain,” luah Qara rendah.

Haq terus mencempung Irham yang masih tidur. “Lain kali fikir dulu sebelum bertindak. Menyusahkan orang aje!” Kemudian dia pergi dengan raut muka garang.

Malunya Qara tidak terkira, lalu dia tersenyum kelat pada Dhia dan Akid. “Aku kena balik sekarang sebab aku baru dapat panggilan daripada bos, dia mintak aku datang ke pejabat sekarang.”

“Kau tipu...” kata Dhia sebak. Kecewa bila Haq marahkan Qara seperti Qara sudah melakukan kesalahan yang besar. Tak mungkin Qara akan ke pejabat ketika jarum jam sudah mencecah ke angka 10.00 malam.

“Aku pergi dulu!” Qara capai beg yang tersadai di lantai dan terus pergi. Sampainya hati Haq memalukan dia di hadapan Akid dan Dhia.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku