KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(24 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
12893

Bacaan






JARUM jam tepat di angka 5.00 pagi ketika Haq terdengar pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Kalau pintu plastik, pada ketukan ketiga mungkin pintu biliknya sudah roboh. Si pengetuk di luar sana bagaikan tidak sabar-sabar mahu bertemu muka dengannya. Mujur bilik umi dan walidnya terletak di tingkat bawah, kalau selajur memang masak Hajah Yasirah membebel sampai bengkak telinga.

“Ada apa ni? Kalut semacam aje,” tanya Haq malas saat melihat Dhia dan Akid terpacul di hadapan matanya.

“Kalau sebelum pukul 7.00 pagi nanti Qara tak ada kat dalam rumah ni, saya tak akan bersanding.”

“Hah?” Haq terpanar. Tidak mengerti.

Dhia merengus kuat. Matanya melihat Irham yang nyenyak di atas tilam. Lantas, dia menarik pintu bilik Haq. Tidak mahu anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu terganggu lena hanya gara-gara orang dewasa. Lagipun hatinya masih berbuku dengan Haq. Tidak mustahil suaranya boleh naik tinggi melangit.

“Dhia...” Akid mula panik. Mukanya berubah.

Dia kenal Dhia, dia tahu siapa Dhia. Kalau Dhia sudah berkata, isterinya itu akan mengotakannya. Lama menyulam cinta dengan Dhia membuatkan dia cukup kenal dengan perangai Dhia. Isterinya itu bukan setakat keras kepala, hati jauh lebih keras lagi.

“Dhia cakap dengan abang Akid!” pintas Dhia tegas walau nadanya pada Akid tidak tinggi.

“Apa kena-mengena Qara dengan majlis persandingan korang berdua?”

“Qara kawan baik saya!”

“Jadi?” Haq pamer muka kayu. Mamainya sudah hilang dan kini dia mengerti mengapa adik dan adik iparnya muncul tiba-tiba.

“Saya tak main-main dengan apa yang saya kata. Jangan Abang Haq ingat saya bergurau.”

Gara-gara Haq memarahi Qara disebabkan Irham, sepanjang malam matanya tidak mahu lelap. Pujukan Akid juga gagal mengundang rasa mengantuknya. Yang asyik berulang tayang dalam mindanya, kata-kata Haq yang dirasakan sangat keterlaluan. Juga muka suram Qara ketika meninggalkan rumah Hajah Lukman. Sedikit pun Qara tidak berpaling ke belakang. Hanya langkah Qara dilihat memberat. Qara bagaikan sedang mengheret beban kesedihan yang sangat dalam.

Dia tahu Qara malu. Lantaran itu Qara buat-buat tidak dengar pujukannya.

“Sampai sanggup malukan keluarga?”

“Kalau Abang Haq boleh malukan Qara, kenapa saya nak takut malu?”

“Itu dua hal yang berbeza, Dhia,” sangkal Haq.

“Saya tak nak tahu. Yang saya tahu, kalau sebelum pukul 7.00 Qara tak ada di sini, saya tetap dengan keputusan saya. Apa nak jadi pun jadilah, saya dah tak peduli lagi.”

Haq bungkam. Dia tahu Dhia sengaja mengugutnya. Pandangan mata Akid yang tajam menikam, buat dia sesak nafas. Rasa tidak puas hati jelas terpeta di raut adiknya itu. Malam tadi, dia bukan hanya mengecewakan Qara, turut diheret Dhia dan Akid sekali.

Dia tahu dia salah, berkata-kata tanpa menggunakan akal yang waras kerana perasaan gusar. Malah sebelum meninggalkan bilik tetamu yang dihuni Qara pun, dia sedar betapa teruknya dia. Sanggup marahkan Qara sampai begitu sekali. Selepas mendengar penjelasan Qara pun, tetap juga dia mengeraskan hati. Ego yang melangit tinggi memaksa dia meninggalkan Qara begitu saja. Sempat ditempelak wanita itu dengan kata-kata yang kasar.

“Kalau Abang Haq tetap tak nak?”

“Terpulanglah, tapi kalau umi tanya saya akan terus terang kata semuanya sebab Abang Haq!”

Terkelu lidah Haq saat Dhia meninggalkan dia dan Akid begitu saja. Muka Dhia yang selalunya manis tampak garang. Kalau Dhia itu harimau, tentu dia sudah dibaham awal-awal lagi. Bahkan suara lemah lembut Dhia setiap kali berbual-bual dengannya juga tidak kedengaran lagi.

“Bini kau ke tu?” tanya Haq beberapa saat kemudian.

“Takkanlah bini pengawal keselamatan kat syarikat walid pula?”

“Garang!”

“Kau yang buat dia jadi gitu,” sinis Akid selamba. Bukan hanya Dhia, dia juga marahkan Haq. Cuma bezanya, dia tidaklah marah-marah macam isterinya itu.

“Kenapa aku pula?”

“Kau halau Qara.”

Berkerut dahi Haq. Dia marahkan Qara kerana mengambil Irham dari biliknya, itu dia akui. Tapi dituduh menghalau Qara, itu dia tidak dapat terima. Sekejam mana pun dia, bukan caranya menghalau tetamu.

“Penting sangat ke Qara dalam hidup Dhia?”

Melihat persahabatan Qara dan Dhia yang terlalu rapat, dia rasa kagum. Mereka berdua nampak seperti saling menyokong antara satu sama lain.

Akid senyum walaupun terasa payah. “Tak sepenting Dhia dalam hidup Qara sebab kalau tak ada Dhia, Qara langsung tak ada sesiapa dalam dunia ni. Selama ini, bagi Qara... Dhia tu satu-satunya saudara yang dia ada,” terang Akid jelas. Dia tidak mahu Haq memperkecil-kecilkan ikatan persahabatan antara Qara dan Dhia.

Haq mengeluh. Rambut yang berserabai ditolak sedikit.

“Aku bersalah pada Qara. Aku bukannya berterima kasih pada dia sebab tengokkan Irham, aku tengking dia lagi.”

Kemudian dia berpaling ke belakang, menolak pintu biliknya perlahan-lahan. Irham masih lena seperti tadi. Tetap tubuh kecil itu mengereng ke kanan. Masih juga ibu jari kanan terletak elok di dalam mulut. Langsung tidak peduli pada apa yang berlaku. Kalau dia mendekatkan telinganya pada bibir Irham, tentu dengkur halus akan kedengaran jelas.

Kenapa Irham mudah berhenti nangis kalau dipujuk Qara? Tanya hatinya sendiri.


MAHU saja Qara rebah saat Haq terpacak di hadapan pagar rumahnya seawal pukul 6.15 pagi. Di tangan kanan Haq ada Irham. Kepala anak itu terkulai di bahu. Itu meyakinkannya yang Irham sedang tidur. Atau barangkali ketika diangkat dari katil, mata Irham masih terpejam rapat. Bila terus mengamati baju yang tersarung di tubuh kecil itu, dia semakin pasti. Baju tidur sama yang Irham pakai malam tadi.

“Qara...” panggil Haq perlahan.

“Awak ni dah gila ke apa?”

Bagaimana Haq tergamak membawa Irham keluar rumah seawal ini, dia benar-benar tidak habis fikir.

“Awak tak kesiankan Irham ke? Awak ingat budak kecik tu kuat macam awak ke?” tanya Qara bertalu-talu.

Kalau dilihat cara Haq marah padanya malam tadi, tentu sayang Haq pada Irham menggunung tinggi. Tapi melihat Haq yang seperti tidak mengambil berat soal kesihatan Irham, dia jadi sangsi. Takkanlah Haq itu dungu sangat untuk tahu yang anak kecil mudah dijangkiti penyakit, apalagi bila terdedah pada cuaca yang dingin.

“Saya tahu,” jawab Haq datar.

“Kalau dah tahu kenapa awak bawa juga dia keluar masa macam ni?”

Melihat Qara yang beria-ia memarahinya hanya sebab Irham, Haq hendak tersenyum. Reaksi Qara menujukan betapa wanita itu mengambil berat soal Irham. Macam Irham itu anak sendiri. Baju tidur lengan panjang dengan gambar bintangkecil-kecil berwarna hitam membuatkan Qara seperti remaja berusia 16 tahun.

Betul, Qara nampak sangat comel! Muka Qara nampak segar biarpun mata Qara seperti sembap.

Ya, salah aku! Aku yang tidak tahu mengawal mulut bila marah beraja di hati.

“Kalau awak kasihankan Irham, ikut saya balik rumah walid saya,” pinta Haq tenang.

“Untuk apa?” Qara menjawab pantas.

“Untuk sama-sama raikan majlis perkahwinan Dhia dan Akid sebab mereka berdua kawan rapat awak.”

“Saya dah pernah pergi majlis mereka sekali. Kalau kali ni saya tak pergi, tentu tak apa-apa.”

“Siapa kata? Awak tahu kan yang mereka sayangkan awak?”

Qara senyum pahit. Hakikat itu tidak mahu disangkal kerana itulah kebenarannya. Dia juga sayangkan Dhia dan Akid. “Ya... mereka kawan saya, mereka saudara saya dunia akhirat,” ujar Qara sebak. Tanpa mereka, hidupnya tentu sepi. Namun berada bersama-sama mereka juga sebenarnya bukanlah mudah.

Enggang dan pipit, sudah dikata orang tua dulu, tak mungkin dapat terbang seiring.

Apalagi dia bukan jenis pipit biasa. Tarafnya jauh lebih rendah. Dia pipit yang tidak punya apa-apa, termasuk sebuah keluarga. Yang dia ada, hanya kasih sayang dan kesetiaan. Itu pun bukannya ada harga di mata orang lain.

Ya... hanya Dhia dan Akid yang tidak pernah kisah siapa dirinya.

“Kalau macam tu ikut saya,” pujuk Haq penuh harap.

Qara geleng. Hatinya sudah tawar benar untuk kembali ke sana.

“Qara jangan macam ni...”

“Baliklah,” suruh Qara tanpa emosi. Tidak mengerti, mengapa setiap kali bertemu Haq, ada-ada saja kejadian yang tidak diingini berlaku. Kalau bukan dia yang membuat perangai, Haq yang mula dulu.

“Saya tak nak ikut. Akid dan Dhia tentu faham.”

“Qara tolonglah!”

“Jangan paksa saya buat apa yang saya tak nak buat Haq. Lagipun kejap lagi saya kena kerja,” bohongnya lancar.

Hatinya masih berbekas dengan kata-kata Haq. Dia tahu kehadirannya di rumah besar itu tidak dialu-alukan, sama seperti di rumah keluarga Dhia. Agaknya, nasib orang yang tak punya apa-apa, memang begini. Atau mungkin, hati orang miskin harganya kurang. Lantaran itu boleh ditolak dan ditarik sesuka hati seperti yang sedang Haq lakukan ketika ini. Semalam menengking, hari ini memujuk bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Qara tipu, itu yang terdetik di hati Haq.

“Hari ni hari Ahad, Qara. Kebanyakan orang yang bekerja di pejabat cuti.”

“Sebab saya orang miskin, saya tak boleh kira hari Ahad atau hari apa. Setiap hari bagi orang macam saya, tetap sama. Hari untuk mencari duit supaya hidup tak merempat mengharap belas ihsan orang lain.”

Qara mungkin tidak berniat menyindirnya, tapi Haq terasa juga.

“Kaya atau miskin tak ada bezanya Qara,” katanya rendah. Mata Qara sudah tidak bersinar. Tanda yang ketika ini Qara sedang dibaluti kesedihan.

Kenapa mesti aku jahat benar pada Qara?

“Banyak bezanya. Kalau kita kaya, orang tak akan berani pijak air muka kita.”

Tangan Qara hanya diam di sisi, tapi Haq terasa pipinya pijar. Yakin, kali ini memang Qara sedang menyindirnya. Hanya Qara menggunakan cara yang paling halus. Namun bisanya tetap terasa mencucuk-cucuk. Dia marahkan Qara, memang benar. Tapi demi ALLAH... dia tidak berniat sebesar kuman pun untuk memijak air muka wanita itu. Dia bukan sejahat itu.

Tapi kalau dijelaskan, mahukah Qara percaya? Mungkin saja penjelasannya hanya akan memburukkan keadaan. Baik-baik ada peluang memujuk Qara ikut dengannya, langsung tinggal debu.

“Maaf, saya tahu saya tak patut marahkan awak. Kalau awak rasa nak marahkan saya balik, saya terima.”

“Baliklah...” suruh Qara sekali lagi.

Haq geleng laju-laju. “Saya tak akan balik kalau awak tak ikut dan kalau awak tetap degil, saya tak akan ke mana-mana. Saya akan terus duduk depan ni. Kejap lagi Irham bangun, dia akan melalak sebab saya tertinggal susu dia kat rumah.” Laju Haq berkata, bimbang kalau-kalau Qara akan berpaling dan pergi.

“Bapa jenis apa awak ni? Anak satu pun tak terjaga.”

Sengihan Haq kelihatan. “Nak cepat sangat tadi, terus lupa,” balasnya selamba.

Qara mahu tetap dengan pendiriannya, tapi bila Irham bergerak sedikit dan muka kecil itu seperti mencebik, dia mengeluh. Demi anak yang tidak tahu apa-apa itu, dia akan mengalah kali ini.

“Tunggu kat kereta. Bagi saya masa 15 minit untuk bersiap,” putusnya.

“Okey!” Hanya itu yang Haq jawab. Namun hatinya lega bukan kepalang. Tidak sia-sia Akid menyuruh dia membawa Irham dalam usaha memujuk Qara. Betullah seperti yang adiknya itu kata, Irham merupakan senjata paling ampuh untuk mencairkan hati batu milik Qara Nisa. Mungkin lain kali bila melibatkan Qara, dia boleh menggunakan Irham lagi.

Mungkin bila dia ajak Qara kahwin nanti macam cadangan Akid hari tu?

Kahwin? Kahwin dengan Qara yang baru malam tadi ditengking? Sah... otaknya benar-benar sudah tidak boleh diguna pakai lagi.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku