KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 18
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8451

Bacaan






QARA hanya menyandarkan tubuhnya di tepi dinding. Di dalam pantri, masih kedengaran betapa rancaknya kawan-kawannya bercerita topik-topik hangat. Salah satu daripadanya, tentang dia. Lebih tepat lagi, tentang Syahil yang memilih Elma dan sekali gus menjadikan dia mangsa ‘reject’.

Hatinya di dalam terusik lagi. Hanya semakin masa berlalu, semakin tenang. Cakap-cakap orang sekeliling tentang hubungannya dengan Syahil yang tak ke mana, tidak lagi menjejaskan emosinya.

Syahil tidak bekerja satu pejabat dengannya, namun kerana kerapnya Syahil bertemu dengannya membuatkan lelaki itu cukup popular dalam kalangan kawan-kawannya. Dengan raut muka yang menarik, ditambah penampilan yang bergaya, siapa melihat pasti wujud rasa ingin tahu.

Tapi itu hanya sejarah, sejarah yang tidak manis dan tentu saja tidak akan pernah berulang. Kata-kata bahawa sejarah pasti berulang memang tidak boleh disangkal kerana memang ada bukti bagi banyak perkara. Hanya tidak diguna pakai bila menyangkut soal hubungan dia dan Syahil.

Sekali dia terkena, hatinya tak akan berpaling lagi!

“Kau rasa Qara frust gila tak?” tanya Dino bersemangat.

“Tak dapat lelaki macam Syahil tu, gila kau kalau Qara tu tak frust. Silap-silap makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basahlah,” jawab Fairuz sambil menyingsing lengan baju hingga ke paras siku. Air Milo 3 dalam 1 di dalam cawan dikacau-kacau cermat. Perutnya sudah mula berkeroncong meskipun jarum jam baru menunjukkan pukul 10.30 pagi.

“Tapi aku tengok Qara tu selamba aje. Tak nampak sedih pun.”

“Itu kat muka, hati dia kau boleh tengok ke?” Bibir Dino terjuih-juih ke depan.

“Hati aku sendiri pun aku tak dapat tengok, apalagi hati orang lain,” akui Zarina.

“Lawak kau tak kelakar okey!” Dino tarik nafas.

Serentak ketawa Zarina dan Dino terlepas bebas. Terlupa seketika di mana mereka berada. Tapi kalau teringat pun mereka peduli apa. Selagi Tuan Bakri tidak mendengar, selagi itu mereka tidak peduli. Di pejabat ini, satu-satunya orang yang mereka gerun hanyalah bos mereka itu. Lain-lain, masih boleh dibawa bergurau.

“Yang kau tiba-tiba aje diam kenapa Fairuz?” Suara Dino yang terkepit kedengaran lagi selepas ketawanya reda.

“Entah kau ni. Kenapa?” Perlahan Zarina senggol Fairuz.

“Aku rasa, Qara tu yang bodoh. Burung dah ada kat tangan, yang tak ikat betul-betul siapa suruh?”

Fairuz kesal bagi pihak Qara. Kalaulah dia tahu Qara selembap itu, baiklah dia saja yang memikat Syahil. Bukan sekali dua jantungnya berdetak pantas saat terpandangkan lelaki itu, acap kali benar hingga dadanya terasa sakit. Tapi mengenangkan Qara itu kawan yang hari-hari ditemui di pejabat, dibuang jauh perasaannya.

Kini yang rugi bukan setakat Qara, malah dia juga.

Bodoh? Aku digelar bodoh? Qara gigit bibir perlahan-lahan. Itukah anggapan orang padanya kerana gagal memiliki Syahil?

“Dah orang tak nak, takkanlah nak terhegeh-hegeh kot?”

“Eh... ni bukan zaman perigi mencari timba, Zarina. Ni zaman pat-pat siku lipat, siapa cepat dia yang dapat.”

“Kalau kau kat tempat Qara apa yang kau nak buat?” Dino menduga Fairuz.

Fairuz tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. “Aku akan buat apa aje!”

“Walaupun perkara salah?”

“Mestilah! Macam mana kita berdosa pun, kalau kita bertaubat ALLAH pasti akan maafkan. Lagipun... kena peluk dengan lelaki segagah Syahil, orang bodoh macam Qara aje yang tak mahu. Orang pandai macam aku, belum pun Syahil buat apa-apa pada aku, tentu aku dah terkam dia dulu. Masa tu... memang tak lepaslah jawabnya,” kata Fairuz tanpa sedikit pun terselit rasa bersalah.

“Peluk aje?” Kening Dino yang ala-ala sotong terangkat-angkat. Dia tergelak-gelak.

Zarina yang mendengar soalan Dino, sudah tersenyum-senyum.

“Kau rasa?”

Dino geleng dengan bibir mencebik. “Aku tak rasa kau jenis yang cukup hanya dengan satu pelukan. Kau tentu aje nak lebih daripada tu. Kau mesti nak...”

Qara terus berlalu, niat asalnya batal. Tidak sanggup mendengar perbualan tiga serangkai di dalam sana yang sudah menyimpang jauh. Mereka bercakap seolah-olah neraka itu tidak wujud. Yang ada hanya syurga dan semua orang bakal masuk ke sana. Mereka bercakap tentang taubat tapi niat untuk berbuat salah memang terang-terang sudah ada.

Tiga serangkai! Gelaran itu memang diberikan kepada tiga sahabat itu. Pantang ke mana-mana, mereka pasti bertiga. Sesekali berbuat baik, mereka akan bertiga, buat jahat seperti sekarang ini pun bertiga juga.

Agaknya, kalau masuk syurga bertiga. Masuk neraka pun...

Qara geleng-geleng kepala. Tidak mahu membayangkan sesuatu yang mengerikan seperti itu. Mereka masuk syurga atau sebaliknya, bukan ditentukan olehnya. Hari ini mungkin mereka menjaja ceritanya, bercakap dan membayangkan sesuatu yang tidak patut dibayangkan, esok-esok siapa yang boleh jangka kalau-kalau hidayah ALLAH sampai kepada mereka. Tidak mustahil juga jika mereka berubah menjadi baik. Dia pula yang tiba-tiba mengambil tempat mereka. Semua itu kuasa ALLAH. Hanya dia tidak pernah putus berdoa supaya diberikan sekeping hati yang tidak hitam.

“Kata tadi ambil air, kenapa mug tu masih kosong?” tegur Nazmah pelik.

Qara tersenyum lebar demi menyembunyikan rasa yang berladung di hati. Berapa lama masa yang diperlukan untuk semua orang berhenti berbicara tentang hubungan dia dan Syahil yang belum pun dimaknakan sudah kecundang separuh jalan? Lagipun bukan hanya dia yang pernah putus cinta di Teguh Publisher Sdn. Bhd. milik Tuan Bakri ini.

Sungguh... dia rimas dan dia lemas!


“BERAPA lama lagi masa yang Haq nak ambil untuk carikan budak ni ibu? 10 tahun lagi?” sembur Hajah Yasirah sebaik saja Haq muncul. Hatinya sakit bukan kepalang. Sudahlah Mak Pah cuti kerana mempunyai masalah keluarga. Baru saja Rosnah hendak masak, Irham sudah melalak-lalak membingitkan seisi rumah.

Sudahnya dia yang terpaksa memujuk anak kecil itu. Meluatnya rasa ketika menggendong tubuh ringan itu, TUHAN saja yang tahu. Kalau bukan anak Haq, agaknya sudah diletakkan di luar rumah. Dia bukannya tidak penyayang, tapi memang dia tidak boleh pandang muka Irham.

“Umi sabarlah sikit, Haq tengah usahakan.”

Haq ambil Irham di tangan Hajah Yasirah. Ketika uminya menjerit-jerit di telefon tadi, dia masih berada di dalam bilik mesyuarat. Dengan muka yang tebal berinci-inci, terpaksa dia balik. Mujur saja Haji Lukman tidak banyak bunyi. Akid pula siap menendang kakinya menyuruh dia segera balik ke rumah.

“Umi tak nampak pun Haq usaha. Yang umi nampak, anak Haq ni makin lama makin nak buat perangai.”

Panjang sedepa muncung Hajah Yasirah. Kesal kerana terpaksa menyentuh Irham.

“Haq usaha senyap-senyap, sebab tu umi tak nampak.”

“Umi tak peduli!”

Jerkahan kuat Hajah Yasirah menyebabkan tubuh Irham bergegar sedikit. Terkejut dan itu menjadikan tangisannya semakin nyaring. Haq terpaksa merapatkan lagi tubuh kecil itu di dalam pelukannya.

“Umi janganlah jerit. Kesian Irham,” pinta Haq penuh harap.

“Umi peduli apa?”

“Umi, tolonglah. Haq tahu umi tak suka dia tapi jangan layan dia teruk macam ni. Tak bagus untuk tumbesaran dia.”

“Haq cuba nak ajar umi?” Terjegil mata Hajah Yasirah.

Haq serba salah. Cakap salah, uminya melenting. Cakap betul pun tetap juga kemarahan uminya itu yang diterima. Sejujurnya dia tidak tahu bagaimana lagi mahu mengambil hati orang tua itu. Makin dia diam, makin galak Hajah Yasirah meletakkan dia di dalam jurang yang dalam. Seolah-olah, tidak ada ampun untuk kesalahan bagi anak yang membelakangi orang tua.

Tapi Irham... apa salah anaknya?

“Haq suka kan kalau umi jadi gila?”

“Umi cakap apa ni?”

“Kalau setiap hari kena dengar Irham melalak, memang umi bakal jadi gila.”

Aduhai... umi! Kenapa perlu dibesar-besarkan hal yang remeh-temeh?

Belum pernah tercatat di dalam mana-mana rekod di dunia, manusia jadi gila hanya kerana tidak tahan dengan tangisan seorang anak kecil. Nampak benar Hajah Yasirah sengaja memprovokasi Haq.

“Haq, pindah...”

“Tak boleh!”

Keluhan kasar Haq kedengaran juga. Sesabar mana pun dia, tetap ada tahapnya. Kalau sudah keterlaluan begini, sampai bila dia boleh bertahan?

“Haq nak pindah umi tak kasi. Irham nangis umi tak suka dengar. Umi nak Haq buat apa ni?”

“Bagi Irham pada ibu dia!”

Sekali lagi, tidak jemukah Hajah Yasirah meminta benda yang sama berulang-ulang? Sedangkan Haq yang mendengar, sudah cukup muak dan mahu saja termuntah darah.

“Haq dah pernah cakap pada umi kan?”

“Haq pun sama juga! Umi suruh kahwin Haq tak nak. Umi suruh Haq pulangkan Irham pada ibu dia pun Haq tak nak juga. Salah umi ke?”

Peningnya kepala Haq dengan kerenah Hajah Yasirah.

“Kalau umi nak sangat Haq kahwin, bagi Haq masa sebulan. Haq akan carikan ibu untuk Irham.”

“Kalau tak jumpa?”

“Haq kahwin dengan mana-mana calon pilihan umi!” Malas dia terus berbalah dengan Hajah Yasirah. Pada akhirnya, yang akan mengalah tetap juga dia.

“Baik! Umi pegang kata-kata Haq. Sampai masa jangan berdalih!”

Hajah Yasirah pergi. Haq tersandar lesu sambil memangku Irham yang sudah pun tertidur. Anak kecil ini pun aneh juga. Mana tidak anehnya kalau tidak boleh dipegang orang lain. Balik-balik dia dan Rosnah. Bila dengan Qara pun Irham boleh berhenti menangis, itu menjadikan tahap kepelikan anaknya itu bertambah.

“Sebab Irhamlah ni nenek suruh papa kahwin. Tapi papa nak kahwin dengan siapa ni? Aunty Qara, Irham suka?”

Mata Irham yang tertutup, tiba-tiba berbuka seketika sebelum tutup kembali. Haq terkedu!

“Qara, Irham nak awak jadi umi dia. Saya rasa... saya pun nak awak juga!” Usai berkata, Haq ketawa kecil.



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku