KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9307

Bacaan






“KAWAN kau merangkap kawan baik Dhia. Qara. Ya, aku nak Qara jadi isteri aku dan aku nak Qara jadi ibu pada Irham. Aku tak nak orang lain, aku nak dia dan aku percaya dia aje yang boleh jaga Irham dengan baik,” jawab Haq tenang walau hati di dalam bagaikan dipalu. Lapang sedikit rasanya bila sudah berterus terang dengan Akid. Tidaklah dia terus sesak sendiri.

“Qara?”

“Ya... aku ulang sekali lagi. Aku nak Qara Nisa jadi isteri aku!” Tegas Haq bila Akid nampak seperti tidak percaya dengan sepotong nama yang baru disebut. Mungkin di dalam kepala Akid, bukan nama itu. Barangkali fikir adiknya, dia akan menyebut nama kawan-kawan yang pernah sama-sama belajar dengannya di London. Ataupun, kawan-kawan sekolah yang telah lama tidak ditemui. Lebih sadis lagi, dia akan menyebut nama perempuan London yang pernah menjadi rakan sekerjanya.

“Kau ni mimpi ke mengigau ni?” Akid masih rasa tidak percaya.

Bukan ke Haq menggelarkan dia gila ketika dia menyebut tentang idea itu sebelum ini? Kenapa tiba-tiba pula abangnya boleh berubah fikiran?

“Aku tak tidur dan itu bermakna aku sangat sihat masa aku cakap aku nak kahwin dengan Qara.”

“Tapi, bang...”

“Yang kau ni nampak macam tak puas hati dengan idea aku ni kenapa? Kau tak suka ke kalau Qara jadi salah seorang daripada ahli keluarga kita? Kata... kau dan Dhia suka benar dengan Qara tu. Jadi apa masalahnya kalau aku pilih dia untuk lengkapkan hidup aku dah Irham?”

Akid bungkam sambil menggoyang-goyangkan kakinya laju-laju. Mula berfikir tentang banyak perkara. Tentang Qara. Tentang Dhia. Tentang dirinya sendiri dan tentang Haq juga Irham. Tidak ketinggalan tentang penerimaan Hajah Yasirah yang tentunya tidak seperti apa yang diharap dan Haji Lukman yang selalu rasional dalam memutuskan sesuatu perkara. Pendek kata, mereka berdua memang sangat serasi. Seorang selalu bersikap seperti api dan orang itu tentu saja uminya, seorang lagi bersikap seperti air dan itu memang ada di dalam diri walidnya.

Dia dan Dhia, akankah begitu nanti?

“Apa pendapat kau, Akid?” tanya Haq tenang. Dia inginkan buah fikiran adik merangkap kawannya itu.

“Kalau Qara, memang aku suka sangat digandingkan dengan kau sebab aku kenal dia walaupun taklah seperti Dhia kenal dia. Dah bertahun-tahun aku jadi kawan dia, banyak juga sikap dan sifat dia yang aku tahu. Insya-ALLAH kalau semua berjalan lancar, kau akan hidup gembira dan bahagia dengan dia.” Akid meraup tangan ke muka. Apa yang bakal berlaku di hari depan, dia memang tidak tahu. Tapi dia bersyukur kerana Haq sudah membuat pilihan yang tepat.

Dibandingkan perempuan lain, dia lebih rela melihat abangnya itu bersanding di atas pelamin dengan Qara. Lebih daripada itu, dia memikirkan tentang Irham melebihi Haq. Anak itu memerlukan sebuah keluarga yang sempurna. Ada papa dan juga mama. Bukannya hanya ada papa semata-mata.

Sekarang mungkin tidak wujud sebarang masalah kerana Irham masih sangat kecil. Tapi lambat-laun Irham akan besar. Anak itu akan belajar di sekolah. Mula tahu apa makna sebuah keluarga dan di dalam sesebuah keluarga, siapa ahlinya. Kemudian Irham akan bertanya tentang seorang mama. Apa yang abangnya itu akan jawab? Bila Irham jadi lebih besar dan tahu lebih banyak tentang hidup, ada lagi yang akan anak itu tanyakan dan persoalan itu akan jadi lebih rumit. Ketika itu, tidakkan Haq memerlukan seseorang di sisi sebagai penyokong dan pemberi semangat?

Kalau bukan sekarang, bila baru abangnya hendak mencari seseorang itu?

“Kenapa kau cakap macam tu? Macam yakin aje gaya kau tu.”

Akid senyum lebar. Ada begitu banyak yang Haq tidak tahu tentang Qara. Yang abangnya tahu, mungkin kisah kasih Qara dan Syahil yang tidak kekal lama. Sedikit tentang latar belakang kawannya itu. Lain-lain, Haq tidak tahu dan perlu diambil tahu supaya di kemudian hari kelak, tidak akan timbul rasa kesal.

“Tak ada orang di dalam dunia ini yang lebih menghargai erti sebuah kegembiraan dan kebahagiaan, melainkan orang tu dah lama tak rasa dua perasaan tu. Qara salah seorang daripada orang tu,” jelas Akid lancar seolah-olah dia dilantik Qara untuk menyebarkan cerita hidup Qara pada Haq. Sedangkan, dia berkata untuk membuatkan abangnya faham.

“Kesian, kan dia?”

Lain yang Akid sangka, lain pula yang Haq tanyakan padanya.

“Tapi kau tak suka dia, kan?” duga Akid ingin tahu.

“Aku akan belajar untuk sukakan dia mulai hari ni. Nanti-nanti tentu aku akan sukakan dia juga bila dah jadi isteri aku. Suami bodoh aje yang tak ada rasa nak suka dan sayangkan isteri sendiri.”

“Dia pun tak suka kau juga. Kalau dengan kau dia selalu marah-marah. Selalu dengan orang lain dia tak macam tu pun.”

“Aku akan buat dia sukakan aku. Nanti-nanti tentu dia dah tak marah-marah lagi. Dia akan sayangkan aku macam nak rak. Silap-silap lagi sayangkan aku daripada Dhia sayangkan kau,” usik Haq pada Akid.

Qara mungkin suka marah-marah bila berhadapan dengannya. Bengis juga seperti singa. Tapi Qara sangat sayangkan Irham. Kalau Qara boleh sayangkan Irham, tentu saja wanita itu boleh sayangkan bapa kepada Irham. Dia akan usahakan supaya Qara sayangkan dia lebih daripada Irham.

Tamak? Peduli apa! Anak mana boleh lebih daripada bapa. Dan isteri, wajib sayangkan suami melebih anak-anak. Kalau Qara sayangkan Irham 100%, Qara harus sayangkan dia 150%. Dalam apa pun keadaan, dia tidak mahu diabaikan Qara hanya semata-mata disebabkan anak-anak.

Ingat, orang lelaki seperti dia tidak perlu dimanjakan ke?

“Umi?”

“Hal umi aku akan uruskan. Umi suruh aku kahwin, aku ikut. Jadi umi tak boleh marah kalau aku pilih Qara.”

“Tapi kau tahu yang umi tak suka Qara walaupun dia tak kenal sangat pun Qara tu.”

“Tak apa, pandailah aku nak cari jalan sampai umi kena mengalah dengan aku kali ni.”

“Kalau kau dah cakap macam tu, aku ikut ajelah asalkan semuanya berjalan lancar.”

“Nanti aku akan cakap dengan Qara yang aku nak dia jadi isteri aku. Kena yakinkan dia betul-betul sebab aku tahu Qara bukannya percaya sangat pada aku. Lagilah bila aku pernah tengking-tengking dia hari tu. Mesti dia meluat gila kalau tengok muka aku ni. Apa pun jadi, aku tak nak kahwin dengan orang lain. Qara aje yang aku nampak boleh terima Irham dengan senang hati. Kalau aku balik lambat atau balik malam, tak adalah aku malu dengan Kak Ros sebab kena jaga Irham. Kau tau ajelah budak kecil tu kerenah dia macam mana. Bukan calang-calang orang boleh layan.”

“Kau nak Qara sebab Irham aje ke, bang?”

“Maksud kau?”

“Aku bukannya apa, kalau kau nak Qara semata-mata sebab Irham, aku rasa tak adil untuk Qara. Takkanlah peranan dia hanya sebagai pengasuh anak kau aje sedangkan dia pun ada hati dan perasaan juga. Tentu dia nak juga rasa perasaan disayangi dan menyayangi suami dia.”

Muka Akid yang tadinya ceria berubah sedikit muram. Qara itu kawannya. Kawan rapat isterinya. Suka macam mana pun dia kalau Haq berkahwin dengan Qara, tetap juga dia tidak rela jika Qara dipergunakan sewenang-wenangnya. Tidak peduli sekalipun orang itu abang kandungnya. Qara sudah lama hidup sendiri, sekurang-kurangnya dia mahu juga melihat Qara hidup gembira dan bahagia jika sudah punya keluarga.

“Kau fikir aku macam tu ke?”

“Qara tu baik, bang...”

“Sebab dia baiklah aku nak dia. Kalau perangai dia tak semenggah, baiklah aku pilih calon pilihan umi tu. Tak pun pejam mata dan capai aje salah seorang pekerja kat Sutera Printing Sdn. Bhd. tu. Tak payah nak fikir berhari-hari sampai kepala aku rasa macam nak pecah.” Terasa juga hati Haq dengan kata-kata Akid. Dia tahu adiknya itu sayangkan Qara sebagai sahabat, tapi tidak adil jika menganggap yang bukan-bukan padanya. Lainlah dia punya niat jahat pada Qara. Ini... dia mengajak Qara mendirikan masjid. Bukannya meruntuhkan masjid yang sudah dibina!

“Kau marah aku ke ni abang?”

“Habis kau ingat aku ni kayu ke?”

“Kalau kau marah, aku minta maaflah. Tak niat macam tu. Cuma aku rasa tak seronok kalau kau pilih Qara sebab Irham. Kalau betul kau nak dia, biarlah sebab kau memang nak dia dan dalam masa yang sama dia mampu jadi mama yang baik untuk Irham. Dia kawan aku. Kawan baik Dhia. Kalau dia sedih, Dhia pun tak akan gembira. Kalau yang kecewakan dia abang aku sendiri, macam mana aku nak berhadapan dengan Dhia nanti? Silap-silap rumah tangga aku pun roboh.”

Keluhan Haq kedengaran. Kalau Akid pun tidak yakin padanya, Dhia macam mana? Qara?

“Aku tak nak menipu kau. Aku memang nak Qara sebab Irham. Tapi bukan cuma untuk Irham, untuk aku juga. Untuk dia juga!”

Merenung terus ke mata Haq, Akid semakin yakin. Haq tentu dapat menjaga Qara dengan baik. Bersama abangnya itu, Qara mungkin tidak akan hidup sendiri. Kehadiran Irham pula merupakan bonus yang tidak ternilai. Tidak perlu susah payah mengandung dan melahirkan, tahu-tahu sudah punya anak.

“Untuk dia? Maksud kau, aku kurang jelas. Cuba kau detilkan lagi supaya aku tak buat andaian yang bukan-bukan.”

“Dia tak ada keluarga. Bila kahwin dengan aku dia dapatlah keluarga yang dia tak ada tu.”

Kali ini, barulah Akid nampak lebih jelas. Tidaklah abangnya itu hanya memikirkan kepentingan diri sendiri dan Irham semata-mata. Lega sedikit hatinya walaupun rasa ragu-ragu tetap juga menjengah. Tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba saja berkata mahukan Qara. sesiapa pun di tempatnya, akan merasakan perasaan yang sama.

“Kau bukan nak kahwin kontrak dengan Qara, kan?”

“Aku tak fahamlah apa yang kau nak sampaikan ni.” Kadang-kadang Akid ini cakapnya berbelit-belit juga.

“Macam dalam drama tu. Kahwin, lepas tu sign kontrak. Tak boleh itu, tak boleh ini dan lebih haru lagi, tak boleh kongsi bilik. Kalau kongsi pun, tak boleh kongsi katil walaupun katil tu boleh muat tiga ke empat orang,” ujar Akid berterus terang. Tidak mahu cakap berkias-kias macam orang zaman dulu. Zaman ini zaman orang akan meluahkan apa-apa saja yang terbuku di hati tanpa ada rasa bersalah. Paling penting, maksud yang mahu disampaikan jelas dan padat.

Haq bungkam. Inilah padahnya bila akhir-akhir ini dilihat masa Akid dan Dhia lebih banyak dihabiskan di hadapan TV. Macam-macam drama yang mereka berdua ikuti. Bersambung-sambung sebelum masuk tidur. Kadang-kadang di meja makan pun, mereka boleh mengulas kembali apa yang sudah ditonton. Selepas itu, mulalah timbul aksi kutuk-mengutuk sesama sendiri.

“Rugilah kalau kau dah kahwin tapi buat hal sendiri. Tidur pula entah kat mana-mana. Padahal kalau sejuk boleh juga kau...”

Kemudian Akid tergelak-gelak nakal. Tidak perlu diteruskan kata-kata, Haq tentu tidak bodoh untuk faham. Lelaki dan lelaki bila menyebut soal perempuan, sedikit sebanyak memang tidak akan lari jauh jalan fikiran. Tidak kira adik-beradik, tidak kira kawan, hatta musuh sekalipun.

Mata Haq mencerun. Otak Akid sejak kahwin sudah bertukar kuning. Mungkin perlu dicuci sehingga bersih biar kembali jernih.

“Kau rasa aku baik macam tu?”

“Nampak gaya memang ada sikit-sikit,” usik Akid berani.

Sorrylah Akid, telahan kau silap sebab aku tak baik sangat pun. Kalau aku dah jadi suami Qara nanti, jangan kata bilik, bantal pun hari-hari aku nak kongsi dengan dia,” balas Haq selamba. Sudah sah sebagai suami isteri, apa perlunya tidur asing-asing lagi? Dia bukan malaikat yang tidak mempunyai nafsu. Lebih daripada itu, dia lelaki normal yang mempunyai fitrah mahu dibelai dan membelai seorang perempuan yang bergelar isteri.

“Abang... kau?” Akid hilang kata-kata. Benarkah Haq yang ada di sisinya ini? Selambanya gaya Haq!

“Tak payah nak terkejut sangatlah. Kurang-kurang, aku nak juga ada anak dua tiga orang dengan Qara tu. Kalau boleh biar ikut muka Qara, ada lesung pipit kiri kanan. Bukan ikut muka aku yang sebiji macam muka kau ni. Jemu tengok!”



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku