KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
9284

Bacaan






“SAYA tak nak!” tolak Qara tanpa perlu mengambil masa yang panjang. Matanya membulat besar beberapa detik. Kemudian kepalanya menggeleng bagaikan sedang berhadapan dengan masalah negara. Tidak ada cara lain, melainkan dia harus menerima hukuman gantung sampai mati.

Kahwin dengan Haq? Jadi isteri Haq? Haq jadi suami dia?

Tidak mungkin! Itu idea yang paling teruk pernah dia dengar dalam seumur hidupnya. Sebesar kuman pun dia tidak pernah berangan, jauh sekali bermimpi hendak bergelar Mrs. Umair Haq.

Jadi ibu kepada Irham?

Ya... itu sedikit mengujakan! Namun mengenangkan untuk menjadi ibu Irham, dia harus menjadi isteri Haq terlebih dahulu, harus berkongsi hidup dengan Haq. Tentu saja harus berkongsi bantal dan mungkin juga mimpi, rasa terujanya mati begitu saja. Haq itu bukan siapa-siapa dengannya. Malah sejak majlis perkahwinan Dhia dan Akid, lelaki itu sudah semakin jauh dari ingatannya.

“Kenapa tak nak?” tanya Haq tenang. Penolakan Qara memang sudah diduga dan dia sudah bersedia.

Bersedia! Tapi bukannya hendak mengalah. Sejak kecil dia memang sudah melatih dirinya agar berusaha untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Sekarang dia mahukan Qara. Maka, Qara harus dimiliki.

“Kalau saya dah kata tak nak tu maknanya tak naklah. Nak alasan apa lagi?”

“Mana boleh tak nak tanpa sebab. Tak adillah.”

“Adil atau tak saya tak peduli. Saya tetap tak nak terima cadangan bodoh awak ni. Hilang akal ke?”

Cadangan aku dikata bodoh? Ada juga mulut yang kena ramas ni karang, desis Haq.

“Sejak bila pula mendirikan rumah tangga itu dianggap bodoh?”

“Saya tak kata mendirikan rumah tangga tu bodoh. Yang bodohnya bila awak ajak saya kahwin. Faham?” tekan Qara geram. Melihat muka tenang Haq membangkitkan rasa sakit dalam hatinya.

“Saya tak nampak pun kat mana bodohnya. Awak saja lebih-lebih,” pangkah Haq.

Hari ini Qara mengenakan blaus kosong berwarna kuning air yang dipadankan dengan skirt labuh kembang berbunga halus-halus. Selendang yang membelit kepala Qara menjadikan wanita itu sangat manis. Selalu dia melihat Qara mengenakan selendang di kepala. Pernah juga terfikir, berapa banyak stok selendang yang Qara ada agaknya.

Kalau ditakdirkan Qara menjadi isterinya, dia akan membelikan Qara lebih banyak selendang seperti itu.

Bagus juga, tak payahlah aku susah-susah nak nasihatkan dia supaya tutup rambut. Ringan sikit tugas sebagai suami nanti. Suami? Haq gigit bibir perlahan. Belum pun apa-apa dia sudah berfikir terlalu jauh. Buatnya Qara tetap enggan menerimanya, tidakkah haru nanti?

Tapi... ini Umair Haq! Selagi belum habis cara, dia akan berusaha.

“Awak dah berfikir ke belum ni sebelum bercakap?” Keras suara Qara.

“Berhari-hari saya fikir. Soal nikah kahwin, awak ingat mudah ke?”

Sinis senyuman Qara. “Kalau dah tahu tak mudah, yang awak gatal mulut ajak saya kahwin tu apa hal?”

“Saya ajak awak yang dah confirm single, apa yang salahnya? Lainlah kalau saya ajak isteri orang, atau tunang orang. Yang itu barulah boleh dianggap gila dan tak masuk akal,” ujar Haq agak panjang lebar.

“Yang silapnya, awak ajak orang yang salah!”

“Saya tak rasa pun saya buat silap. Awak aje yang rasa saya salah,” balas Haq selamba.

Qara itu nampak saja bermuka lembut dan sarat dengan kasih sayang. Tapi mulut Qara bila marah memang sukar hendak dikawal. Tadi, cadangannya dikata bodoh. Kemudian mulutnya dikata gatal. Selepas ini entah apa lagi yang bakal Qara muntahkan keluar.

Tak mudah meyakinkan Qara!

Itu peringatan Dhia sebaik saja tahu dia mahu melamar Qara menjadi isterinya. Peringatan yang disokong Akid. Memang tidak ada orang lain yang lebih kenal Qara melainkan adik dan adik iparnya itu.

“Atas alasan apa awak nak kahwin dengan saya?”

Haq tersenyum lebar. Lega hati bila Qara akhirnya mahu juga tahu alasan yang tidak sempat dijelaskan bila Qara terus menolaknya mentah-mentah. Macamlah dia mengajak wanita itu terjun ke lombong.

“Pertama, Irham perlukan ibu.”

Itu alasan pertama Haq dan dia tidak mahu berselindung supaya tidak berbangkit di kemudian hari.

“Awak nak pergunakan saya, kan?”

“Awak pun boleh pergunakan saya sesuka hati bila saya dah jadi suami awak nanti,” kata Haq dengan senyuman nakal.

Merona merah muka Qara. Senyuman nakal Haq nampak gatal di matanya. Maksud ‘pergunakan’ yang Haq luahkan bagai mengandungi makna tersirat. Dia sudah terlalu dewasa dan tidak bodoh untuk memahami jalan fikiran lelaki dewasa seperti Haq. Apalagi, Haq yang pernah punya isteri sebelum ini. Dia dan ideanya, sama-sama gila, detik hati kecil Qara.

“Gatal...” ucap Qara perlahan.

Haq ketawa kecil. Comel aje Qara bila menarik muncung panjang begitu. “Okey... kita sambung balik perbincangan kita,” pinta Haq. Semakin lama dia mempermain-mainkan Qara, semakin banyak masa yang diambil. Sedangkan kalau hendak ikutkan hati, dia mahu tahu keputusan Qara sekarang juga.

Qara hanya mengeluh. Tidak mahu membalas apa-apa.

“Saya minta maaf kalau awak rasa saya macam nak pergunakan awak. Tapi saya cuma fikirkan Irham. Irham perlukan seorang ibu. Saya tak nak Irham membesar tanpa sentuhan seorang perempuan bergelar ibu.”

“Kalau macam tu, cari orang lain,” usul Qara. Kata-kata Haq memang ada benarnya. Dia sendiri simpati setiap kali melihat Irham menangis. Tapi itu tidak bermakna dia harus mengorbankan hidupnya untuk terus kekal di sisi Haq. Tidak ada sekelumit pun rasa sukanya pada Haq.

“Bukan senang perempuan nak terima lelaki yang ada anak kecil, Qara...”

“Habis awak ingat saya ni senang ke?” Tinggi kembali suara Qara.

Mujur saja di Restoran Yati Ayam Percik itu tidak ramai pengunjung petang-petang begini. Jika tidak, tentu dia dan Haq akan menjadi perhatian banyak mata.

“Awak dah kenal Irham.”

“Kalau awak kahwin dengan sesiapa pun, nanti-nanti akan kenal Irham juga.”

“Memanglah...”

“Dah tu?” potong Qara pantas. Dia sebenarnya sudah tidak sabar hendak pergi. Baiklah tidur daripada mendengar suara Haq. Macho tapi menyakitkan hati!

“Irham bukannya serasi dengan semua orang. Saya tengok Irham sukakan awak.”

“Alasan!”

“Tak percaya awak tanya pada Kak Ros dan Akid. Dia orang pun cakap macam tu.”

Selagi ada ruang, Haq akan terus menyebut nama Irham demi memancing simpati Qara. Dia yakin Qara jenis yang berhati lembut. Anak sepolos Irham, siapa pun tentu akan jatuh suka. Kecuali, Hajah Yasirah. Uminya itu memang lain daripada yang lain, stok edisi terhad yang tidak dijual di mana-mana. Dan kalau Qara itu seperti uminya, dia pun tidak mahukan Qara. Cukuplah hanya Hajah Yasirah yang membuatkan dia pening, jangan ada seorang lagi orang seperti uminya itu. Mahu hidupnya yang memang tidak terurus jadi lintang-pukang.

“Dia orang tak ada, awak beranilah cakap,” tempelak Qara tidak percaya.

“Buat apa cipta handpone kalau tak boleh guna? ”

Qara jegilkan mata pada Haq. Kalau boleh ditelan, memang dia teringin menelan lelaki yang tetap juga tenang di hadapannya. Haq langsung tidak terusik mendengar suaranya yang tidak mesra.

Orang yang inginkan sesuatu daripada orang lain, memang begini ke sikapnya?

“Yang pandang saya macam tu kenapa? Betullah saya cakap. Kalau awak tak nak percaya pada saya, awak boleh call Akid atau Kak Ros. Ingat saya ni kaki kelentong yang suka ada-adakan cerita yang tak ada ke?”

“Mana saya tau kalau awak dah berpakat dengan dia orang tu.”

“Okey tak payah tanya Akid dan Kak Ros. Tapi awak tahu Irham sukakan awak, kan?”

Lidah Qara terkelu. Dia tidak tahu sama ada Irham sukakan dia atau tidak. Dia perasan, setiap kali dia memegang Irham, anak kecil itu akan berhenti menangis. Bila diagah-agah, akan tersenyum dan ketawa. Dan yang dia sangat jelas, dia sukakan Irham. Memandang muka polos itu, hatinya yang walang selalu saja rasa tenang. Dia memang tidak ada masalah dengan Irham. Tapi dia ada masalah dengan papa Irham!

Haq memang pernah berbuat baik dengannya. Tapi takkanlah dia perlu membalas kebaikan itu dengan mengorbankan kehidupannya? Umurnya baru 27 tahun. Belum begitu tua untuk capai siapa saja yang melintas di hadapannya. Cukup-cukuplah dia menyerahkan hatinya pada Syahil. Dia sudah cukup serik.

“Irham sukakan awak, kan?”

“Dia cakap dengan awak ke?” Qara tidak mahu mengiakan kata-kata Haq.

Haq menyandarkan tubuh yang tadinya tegak. Merenung dalam-dalam pada Qara, dia tahu wanita itu boleh diharap. Sebagai ibu dan juga isteri.

“Tipu orang memang mudah, tapi tipu diri sendiri... itulah yang susah Qara.”

Qara tunduk memandang permukaan meja. Ada gelas panjang berisi air tembikai yang masih belum dicuit. Hilang hausnya mendengar sebab Haq beria-ia mahu berjumpa dengannya. Bila dia kata malas, Dhia dan Akid terus mendesak. Tentu dua orang kawannya itu lebih dulu tahu.

Dah jadi keluarga, memang sedanglah berkomplot nampaknya!

“Idea ni datang daripada siapa? Akid atau Dhia?”

“Saya!” akui Haq. Tidak ada sebab untuk berbohong.

Qara angkat muka. “Saya tak percaya langsung.”

Dia nilah, sama aje macam Dhia. Suka sangat prasangka pada orang lain. Padanlah satu kepala, kutuk Haq dalam hati.

Pun, tetap juga Haq mempamerkan muka tenang. Dia tidak harus menunjukkan kelemahannya pada Qara. Biar wanita itu berfikir berkali-kali sebelum membuat keputusan untuk menolaknya jauh. Bila Qara sudah menerimanya, barulah dia akan mencari jalan untuk meyakinkan Hajah Yasirah. Kalau dia gagal, dia akan meminta pertolongan walidnya.

Uminya itu belum kenal betul, sudah tidak sukakan Qara. Semuanya kerana hasutan Datin Jalilah dan Datuk Kamil. Entah apa agaknya lagi cerita buruk tentang Qara yang sudah dijaja. Buat nama saja orang kaya dan berpelajaran tinggi, tapi otak singkat! Macamlah harta dan pangkat itu boleh dibawa sampai ke lubang kubur.

Tapi bagus juga orang tua Dhia itu tidak suka Qara. Kalau suka, melepaslah dia untuk menjadikan wanita itu isterinya. Isyh... tak baiknya aku ni! Tapi memang aku tak baik mana pun. Sedang-sedang aje!

“Awak kahwin dengan saya ya?” pujuk Haq setelah lama menyepi.

“Saya tak nak!”

Hampir saja Haq melepaskan keluhan kasar. Kerasnya hati Qara!

“Lagipun... saya masih anak dara. Takkanlah nak pilih duda kot?”

Otak, sama macam Dhia. Memang boleh duduk secawan. Jadi biras, alamat gamatlah rumah walidnya nanti.

“Yakin masih anak dara?” duga Haq mengusik.

“Apa maksud awak dengan yakin?”

Haq menyentuh permukaan gelas berisi air Nescafe ais. “Ramai aje anak dara zaman sekarang yang mengaku masih anak dara tapi sebenarnya tak ada dah pun,” selamba saja kata-kata itu meluncur di bibir Haq. Mengenali Qara melalui Dhia dan Akid, dia tahu Qara bukan jenis sosial. Dia percaya Qara tahu bagaimana caranya hendak menjaga kehormatan diri sendiri.

“Awak ingat saya ni jahat sangat ke?”

Haq jongket bahu. Ditayangkan muka kosong.

Terus Qara capai gelas dan disimbah ke muka Haq. Kemudian dia pergi. Mulut Haq memang sangat jahat.

Haq capai tisu di atas meja dan mengelap perlahan mukanya yang sudah melekit. Malu memanglah malu bila ada yang melihat aksi berani mati Qara. Tapi aksi itu jugalah yang buat dia makin ingin memiliki Qara. Dia dapat bayangkan yang hidupnya akan lebih meriah bila bersama Qara kerana wanita itu sukar dijangka. Sekejap tenang dan sekejap kemudian boleh bertukar menjadi ribut taufan.

Lebih daripada itu, Qara orang pertama yang berani curah mukanya dengan air!

“Tak apa Qara, ada ubi ada batas. Dah kahwin nanti, tahulah aku apa nak buat dengan kau,” bisik Haq perlahan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku