KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 22
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(2 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
8568

Bacaan






PUCAT tidak berdarah muka Qara sebaik saja masuk ke dalam bilik pejabat Tuan Bakri. Hampir saja jatuh fail hitam yang berada di tangannya. Mujur genggamannya kuat. Kalau tidak setahun pun malunya pada Tuan Bakri tidak akan hilang. Hanya kerana terkejut, dia boleh jadi cuai.

“Qara, masuk. Buat apa tercegat aje kat depan pintu tu?” panggil Tuan Bakri bila melihat langkah Qara hanya kaku. Mata pekerjanya itu tertancap tepat pada seraut wajah yang juga ikut memandang Qara.

Qara terus juga bungkam. Hati membebel tidak sudah. Geramnya seperti tidak dapat ditahan-tahan. Tidak cukup dengan panggilan telefon yang tidak kenal masa, kini Haq sudah berani muncul di pejabat tempat dia bekerja. Sudahlah begitu, terus ada di dalam bilik bos.

“Qara...” panggil Tuan Bakri sekali lagi.

“Berangan?” Haq ketawa kecil.

Ketawa itu menyedarkan Qara supaya berpijak di bumi yang nyata. Terus di meneruskan langkah. Fail hitam yang diminta Tuan Bakri diletakkan di atas meja. Sedikit pun dia tidak peduli pada Haq.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu Tuan.”

Tuan Bakri senyum. Pandangan Haq yang semacam pada Qara, buat hatinya tercuit. Nampak benar anak saudaranya itu menyimpan perasaan pada Qara. Dia pernah muda, dia tahu dia tidak silap menilai.

“Nanti dulu. Ni... Haq kata dia kenal awak.”

Qara gigit bibir. Mulut Haq terasa seperti mahu ditampal dengan plaster.

“Betul ke awak kenal dia?”

Haq hanya menjadi pendengar. Dua minggu berlalu selepas Qara menyimbah air tembikai ke mukanya. Sejak hari itu mereka tidak pernah lagi bertemu muka. Bila diajak keluar, Qara mencipta pelbagai alasan. Tapi kemudian dia mula menjadi bayang-bayang pada wanita itu. Setiap langkah Qara bagaikan diburu melalui telefon. Dia tahu Qara tidak suka, tapi dia buat-buat tidak peduli.

Kini saat melihat seraut wajah manis itu, jantungnya berdegup pantas. Rasa apakah ini? Cinta? Takkanlah semudah ini?

“Qara...”

“Kenal Tuan,” balas Qara rendah.

“Kalau macam tu, duduklah dulu. Haq kata ada sesuatu nak cakap dengan awak. Saya nak keluar kejap, ambil angin,” kata Tuan Bakri tenang. Melihat senyuman Haq, dia menggeleng perlahan. Anak muda zaman sekarang, baginya aneh-aneh saja tingkahnya. Tidak sama seperti zaman dia dulu.

“Tapi saya ada kerja Tuan,” helah Qara ketika Tuan Bakri baru melangkah dua tapak.

Haq ketap bibir. Qara memang pandai mengelak!

“Kerja tu boleh buat lepas ni. Haq kata urusan dia dengan awak lagi penting. Antara hidup dan mati.”

“Hah?” Qara nyata terkejut.

“Awak jangan takut sangatlah. Haq ni baik, tak mungkin dia telan awak hidup-hidup,” usik Tuan Bakri.

“Entah dia ni, takut sangat!”

Tajam jelingan Qara pada Haq. Selambanya Haq buat dia malu sendiri. Lelaki itu langsung tidak segan dengan Tuan Bakri. Mereka macam sudah kenal lama, padahal dia tidak pernah melihat Haq datang ke sini sebelum ini.

“Dan Haq... jangan buat yang bukan-bukan dengan Qara. Haq tahu pak ngah jenis macam mana kan? Yang salah bagi pak ngah tetap salah, tak kira yang buat salah tu anak saudara pak ngah sekali pun.” Tuan Bakri memberi amaran pada Haq.

Anak saudara? Padanlah Haq boleh bersantai di dalam bilik penjabat Tuan Bakri. Kenapa dia tidak nampak Tuan Bakri ketika majlis perkahwinan Dhia dan Akid? Namun mengenangkan dia dapat bekerja dengan mudah di sini atas pertolongan Akid, Qara mula mengerti.

Hati Qara sungguh-sungguh tidak enak.

“Pak ngah jangan bimbang. Haq masih anak buah pak ngah yang paling baik.” Haq puji diri sendiri.

Terasa segala isi perut Qara seakan-akan hendak melonjak ke luar. Makin hari Haq dilihat makin pelik. Awal-awal kenal dulu Haq nampak sangat tenang dan tidak banyak cakap. Tapi sejak akhir-akhir ini, terutamanya selepas mengajak dia kahwin, Haq jadi banyak mulut dan pandai membuat lawak. Sedangkan lawak-lawak Haq itu langsung tidak mampu membuahkan ketawanya.

“Okey, jangan pecahkan kepercayaan pak ngah pada Haq!”

“Tapi Tuan...”

“Jangan bimbang Qara, Haq baik. Saya jamin 100 peratus.”

Haq ketawa senang. Sejak kecil memang dia agak rapat dengan adik kepada walidnya itu. Orang tua yang muda lima tahun daripada Haji Lukman itu sudah dianggap seperti walidnya sendiri. Malah dalam banyak perkara, dia lebih senang berkongsi dengan Tuan Bakri daripada umi dan walidnya.

Thanks my dear pak ngah!

Tuan Bakri hanya mengangkat tangan kanannya, kemudian menutup pintu bilik pejabatnya rapat. Tidak ada apa yang hendak digusarkan. Dia percaya Haq bukan seperti sesetengah anak muda zaman ini. Meskipun bertahun-tahun hidup di London, Haq masih tidak berubah. Lebih daripada itu, Haq bukannya berniat hendak mempermain-mainkan Qara. Tapi Haq hendak menjadikan Qara sebagai isteri.

Haq hendak mendirikan masjid, kejam benar kalau tidak disokong. Apalagi dengan pekerja yang memang disenangi selama ini.

Qara itu wanita yang sangat ringkas. Selalu tenang dan tidak banyak bunyi. Jenis patuh pada arahan yang diberikan. Malah membuang masa menceritakan hal orang lain, bukan Qara orangnya. Di matanya, Qara dan Haq kalau digandingkan berdua memang secocok bagai cincin dengan permata.

Sedangkan Qara yang melihat pintu tertutup rapat merasakan tubuhnya panas berbahang dalam pendingin hawa. Pantas matanya menombak Haq yang tampak santai dan selamba.

“Apa semua ni Haq?” tanya Qara geram.

“Tak ada apa-apa. Saya...”

“Kalau tak ada apa-apa, buat apa awak datang ke sini?”

“Eh... ni pejabat pak ngah saya! Sejak bila ada peraturan yang anak buah tak boleh datang ke pejabat pak ngah dia sendiri?” Sengaja Haq buat-buat tidak faham pada apa yang cuba Qara sampaikan. Awal-awal lagi dia sudah tahu yang Qara bekerja dengan Tuan Bakri. Siapa lagi yang memberitahu kalau bukan Akid.

“Kalau awak nak melawat pak ngah awak, awak punya pasal! Kenapa libatkan saya?”

“Dah awak kerja kat sini, memanglah terlibat.”

“Awak nak apa lagi ni? Tolonglah jangan ganggu saya lagi,” pinta Qara akhirnya. Berlawan kata dengan Haq, dia tahu dia tidak akan menang. Ada-ada saja jawapan lelaki itu buat dia sakit hati.

“Lamaran saya macam mana?”

“Hari tu awak dah kena siram dengan air, kan?”

“Dah! Mujur cepat saya lap muka. Kalau tak, confirm semut datang.”

Haq buat lawak, namun Qara langsung tidak terasa kelakar.

“Awak fikir ada ke perempuan yang terima lamaran lelaki, tapi buat macam tu?”

Haq geleng. Orang yang tidak waras pun tahu yang lamarannya sudah ditolak.

Sinis senyuman Qara. “Jadi kenapa mesti awak datang sini? Kenapa mesti hari-hari telefon saya macam saya sukakan awak?”

“Sebab saya memang nak kahwin dengan awak.”

“Haq!” Tinggi suara Qara. Kalau ada yang melekapkan telinga di pintu, tentu dengar jeritannya. Tapi dia sudah tidak peduli. Yang dia mahu, Haq harus berhenti mengejarnya. Dia lemas terus didesak lelaki itu. Tidak ada angin tidak ada ribut, tahu-tahu datang mengajak dia berkahwin. Memang tidak boleh diterima akal.

“Kahwin dengan saya, jadi isteri saya dan saya jadi suami awak. Apa yang susah sangat Qara?”

“Memanglah tak susah. Tapi saya tak nak. Awak faham tak maksud tak nak?”

“Tak faham!”

“Umair Haq!” Kali ini nama penuh Haq pula yang disebut. Tidak mengerti mengapa di dalam dunia ini masih ada orang yang tidak faham bahasa seperti Haq.

“Saya cuma faham maksud nak aje.”

“Saya tak fahamlah dengan orang macam awak ni. Belajar tinggi sampai ke London tapi tak reti bahasa.”

Haq senyum. Melihat Qara marah-marah memang sudah tidak asing lagi baginya. Kata Dhia, Qara seorang yang tenang. Kata Akid, Qara bukan jenis orang yang mudah melenting. Tapi yang dia lihat sebaliknya. Qara nampak garang dan baran, seperti Dhia juga.

Atau... Qara hanya garang dan baran dengannya saja?

Kalau benar begitu, dia terima saja. Sekurang-kurangnya, Qara melayan dia lain daripada yang lain. Mungkin kedengarannya seperti tidak istimewa, tapi dia percaya semakin Qara marahkan dirinya, semakin Qara akan mengingatinya. Dan dia, akan terus membangkitkan kemarahan Qara supaya Qara tidak lupa padanya.

“Hari tu kita tak habis bincang. Saya mohon awak dengar dulu apa yang saya nak cakap sebelum nak marah-marah pada saya. Bagi peluang saya jelaskan semua sekali pada awak,” ujar Haq penuh harap.

Ada beberapa sebab lagi yang mahu dia jelaskan pada Qara tempoh hari. Tapi bila dia selamba saja mengutuk anak dara zaman ini, Qara naik angin. Wanita itu terus pergi selepas ‘memandikannya’. Sudahnya perbincangan mereka tergantung begitu saja. Itu yang membuatkan dia terpaksa menjejaki Qara sampai ke sini. Tindakannya memang nampak seperti tidak profesional. Namun pilihannya memang tidak banyak. Hajah Yasirah sudah mula bertanya-tanya tentang calon isterinya.

Qara diam. Kalau disuruh diam pun Haq tentu akan terus bercakap juga. Lantaran itu, dibiarkan saja. Mendengar ya, bersetuju tidak mungkin!

“Macam saya cakap hari tu, sebab pertama saya nak kahwin dengan awak, sebab Irham. Yang tu awak dah tahu. Sebab kedua, diri awak sendiri.”

Bibir Qara mencebik sedikit. Haq tidak habis-habis merepek. Katalah apa pun, hatinya tetap tidak akan terpancing.

“Awak sebatang kara dalam dunia ni, kalau awak kahwin dengan saya, awak dapat suami dan anak. Awak dapat mak dan bapa mentua. Awak dapat adik ipar dan lebih daripada itu awak dapat biras yang merangkap kawan baik awak. Awak dapat saudara-mara sebab semua saudara-mara saya akan jadi saudara-mara awak juga.”

Kata-kata Haq kali ini seakan-akan memukau Qara. Tidak berkelip-kelip matanya memandang Haq. Dia seakan-akan ternampak dia dikelilingi oleh ramai orang. Di tangan kirinya ada Irham, di tangan kanannya ada Haq. Di depannya ada Dhia, di belakang ada Akid. Di sisi kanan ada Haji Lukman, di sisi kiri ada Hajah Yasirah.

“Tak ke awak rasa dalam pada tolong Irham, awak tolong diri awak sendiri juga?”

Namun bayangan tersebut pecah satu demi satu meranapkan impiannya saat suara Haq menyapa telinga. Hidup tidaklah semudah yang Haq fikir. Teringatkan penerimaan Hajah Yasirah padanya, dia sedar diri. Pipit tetap tidak boleh berteman dengan enggang.

“Berhentilah menyogokkan saya dengan cerita yang muluk-muluk. Saya tak akan terpengaruh.”

Kecewanya hati Haq tidak terperi. Tadi dia melihat keterujaan dalam sinar mata Qara. Malah sempat dilihat Qara tersenyum nipis. Wanita itu bagaikan membayangkan sesuatu yang indah. Tapi kemudian, muka Qara berubah suram. Sekali lagi Qara menyatakan penolakan terhadap lamarannya.

“Awak tak nak ada keluarga sendiri?” duga Haq, sedangkan jawapannya dia tahu.

Keluhan Qara kedengaran lepas bebas. “Bukan dengan awak,” balasnya ringkas.

“Qara...”

“Haq tolonglah...”

“Saya memang berniat nak tolong awak. Tapi bukan pertolongan yang percuma. Pendek kata, awak tolong saya dan saya tolong awak. Kita sama-sama tolong diri sendiri. Boleh macam tu?” Haq terpaksa menggunakan alasan yang ketiga. Mungkin alasan ini mampu menarik Qara ke pangkuannya. Jika ini pun gagal juga, dia tidak tahu harus menggunakan cara apa lagi.

Menculik Qara dan membawa sampai ke Thailand? Kemudian nikah di sana? Gila! Takkanlah dia sampai terdesak begitu sekali. Silap-silap, Qara akan membencinya terus.

Atau membuat rancangan supaya dia dan Qara ditangkap basah?

Lagi gila! Itu namanya memang mencari benci Hajah Yasirah. Tidak kena gaya, dia disumpah menjadi batu macam Si Tanggang.

“Saya tak perlu ditolong sesiapa. Saya boleh hidup macam biasa.”

Haq renung lama muka Qara. Wanita itu nampak tertekan. Mungkin dia agak memaksa, tapi untuk Irham, untuk diri sendiri dan untuk Qara, dia harus jadi seorang yang berhati kering. Kalau ikutkan putus asa, ketika mukanya disimbah air lagi dia sudah memutuskan untuk tidak berharap pada Qara. Tindakan wanita itu cukup jelas. Tapi tidak, selagi Qara tidak mahu mengalah, selagi itulah dia akan terus mengejar.

“Saya akan tolong awak, Qara.” Haq terus meyakinkan Qara.

“Saya tak perlukan pertolongan daripada awak!”

“Awak perlukan pertolongan, cuba fikir betul-betul. Kalau awak setuju, esok juga saya tolong awak. Saya janji.”

“Merepek apa ni Haq?”

Haq pandang permukaan meja. Sejujurnya dia sangat bersimpati pada Qara. Ujian wanita itu sangat hebat.

“Awak tengah cari rumah sewa kan?”

Terkejut, terus Qara terpanar. Haq sudah tahu. Kalau bukan Akid, tentu Dhia yang memberitahu lelaki itu. Entah kenapa, hatinya tiba-tiba terasa mengecil seperti biji sawi. Terasa kawan yang sangat disayangi, mengkhianati kepercayaannya. Sampainya hati mereka menjaja aibnya pada Haq.

“Bukan Dhia atau Akid yang ceritakan pada saya. Jangan marah dia orang,” ujar Haq. Melihat bekunya Qara, dia tahu apa yang ada dalam fikiran wanita itu.

“Habis tu mana awak tahu?”

“Saya ikut awak semalam. Saya...”

“Awak intip saya? Tak guna!” Terus Qara berpusing dan meninggalkan Haq.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku