KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 23
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 08 Januari 2014
Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq.
Penilaian Purata:
(10 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14484

Bacaan






DHIA merengus perlahan. Kerasnya kepala Qara kali ini buat dia hilang sabar. Kalau pertimbangannya hilang nanti, memang dihantuk kepala Qara ke dinding. Biar kawannya itu tersedar terus. Dia sudah nampak jalan yang terang di hadapan, namun Qara tetap juga memilih mengikut jalan gelap.

“Aku nak tolong kau tak mahu. Akid nak tolong kau tak nak.”

“Kau dan Akid dah banyak sangat tolong aku. Aku tak akan terima pertolongan daripada korang lagi.” Tegas Qara. Pujuklah macam mana pun, dia tetap tidak akan menerima pertolongan sebesar itu daripada Dhia dan Akid.

“Habis apa gunakan kami jadi kawan kau?”

“Kau ingat, kawan tu cuma untuk diminta pertolongan aje ke?”

Dia berkawan dengan Dhia, ikhlas kerana dia perlukan kawan. Tempat untuk berkongsi segala sesuatu yang berlaku dalam hidupnya. Bukannya dengan maksud tertentu. Jauh sekali mahu menumpang senang kemewahan yang Dhia miliki. Kawannya itu silap jika menganggap dia jenis kawan yang tahu mengambil kesempatan.

“Kau marah ke?” Dhia serba salah. Mulutnya memang suka terlepas cakap.

“Kau ingat aku ni kayu ke?”

“Maaf...” pinta Dhia pantas. Kesal kerana kurang memahami Qara. Kawannya itu tidak akan meminta pertolongan jika tidak terdesak. Malah kali ini, ketika benar-benar terdesak pun Qara tidak mahu dibantu. Qara hanya berserah kepada nasib semata-mata.

“Aku ni selalu menyusahkan kau, kan?”

“Kau merepek apa ni?” Tinggi nada suara Dhia.

Nada setinggi itu mengundang banyak mata ke arah mereka yang berdiri di tepi meja yang memuatkan makanan. Ada yang kelihatan hairan, tidak kurang juga yang mencebik seolah-olah mengejek. Mungkin kerana berasa terganggu dengan perbualan mereka.

Hari ini hari ulang tahun Razita yang ke-35 tahun. Entah kerana apa, mak su Akid itu mahu meraikannya di Hotel Vistana, tidak ada siapa pun yang tahu. Dan seperti biasa, Akid dan Dhia mengugut Qara dengan pelbagai ugutan jika dia tidak hadir. Tetap juga Qara mengalah walaupun dia sangat malas.

“Aku dah cakap banyak kali dengan kau, aku tak suka kau cakap macam ni dengan aku. Kita dah kawan lama dan aku tak pernah anggap kau tu menyusahkan aku. Kau aje yang suka fikir bukan-bukan. Macamlah aku ni teruk benar,” rungut Dhia bagaikan tidak puas hati. Inilah yang paling tidak digemari tentang Qara. Suka sangat merendah diri tidak kena tempat.

“Kalau ya pun kau janganlah cakap kuat benar.”

“Dah kau yang cari pasal dulu!”

“Perlahanlah sikit. Tu... mak mentua kau dah jeling-jeling kat sini.”

Dhia juga nampak Hajah Yasirah asyik memandang dia dan Qara. Tapi sengaja dia tidak mahu peduli. Kalau tidak ada Qara, dia tidak teringin datang. Baiklah duduk di rumah daripada datang ke majlis yang dirasakan tidak penting. Daripada potong kek bertingkat-tingkat, baiklah buat kenduri kesyukuran.

“Kalau kau tak nak aku dan Akid tolong kau, kau terima pertolongan Abang Haq.”

Mata Qara membulat. Geram. “Gila!”

“Gila apanya? Dalam masa tak sampai sebulan aku tak rasa kau boleh dapatkan duit beratus-ratus ribu tu. Kalau kau cagarkan rumah, bayaran bulanan pinjaman tentu tinggi. Kau tak akan mampu. Silap-silap rumah kau kena sita dan kemudian kena lelong. Kau nak ke macam tu?”

“Tak nak...”

“Dah tu kau nak pinjam Ah Long? Lepas tu kau tak dapat bayar, kau kena jual. Kau nak macam tu?”

“Aku lebih rela hilang rumah tu daripada hilang maruah diri.”

“Dah tu macam mana kau nak selesaikan masalah kau ni?”

Qara bungkam. Dia sayangkan rumah peninggalan arwah neneknya itu. Di situ dia dibesarkan. Malah di situ ada kenangan dia bersama-sama ibu dan ayahnya. Namun kemunculan sepasang suami isteri pada suatu petang berserta surat perjanjian yang ditandatangani ayahnya, memaksa dia melepaskan rumah itu. Tidak mungkin dia mampu membayar hutang yang bukan sedikit itu.

Dia memang tahu ayahnya pernah gagal dalam perniagaan ketika dia masih sangat kecil. Neneknya asyik mengulang-ulang cerita itu, seperti mahu menyampaikan sesuatu padanya. Mungkin hutang itu. Bila ditanya kenapa baru sekarang mereka muncul, mudah saja alasan yang diberi. Baru pulang ke tanah air setelah menetap berpuluh-puluh tahun di bumi orang. Saat kawannya yang bertugas sebagai peguam mengesahkan kesahihan surat perjanjian tersebut, hampir saja dia pengsan.

Lantaran itu, diam-diam dia mencari rumah sewa kerana harga rumah neneknya itu hampir menyamai jumlah hutang ayahnya. Hendak membuat pinjaman, tidak mungkin. Hutang belajarnya pun masih belum langsai.

“Aku macam terpaksa lepaskan rumah tu. Tak buat pinjaman dan jadikan rumah tu cagaran. Jual terus rasanya lagi mudah. Bulan-bulan aku taklah sakit sangat nak bayar nanti.” Datar suara Qara. Sedihnya bukan kepalang. Selama ini, itu saja harta yang dia ada. Kalau yang itu juga diambil, dia benar-benar sudah tidak memiliki apa-apa.

“Mana boleh! Rumah tu kau sayang sangat.”

“Ya... tapi aku dah tak ada pilihan lain lagi. Aku tak mampu,” jelas Qara sebak.

“Aku tak boleh terima kau jadi lemah macam nilah!”

“Aku reda ajelah Dhia. Nak buat macam mana lagi?”

“Aku tak fahamlah dengan kau ni Qara! Jalan ada, kenapa tak nak ikut?”

Kelat senyuman Qara. Berkata-kata memang mudah, tapi yang memikul pundaknya. Bagi Dhia, Haq itulah jalan penyelesaian untuk setiap masalah yang dihadapi. Tapi baginya tidak. Cukup dengan memikirkan Hajah Yasirah, dia tahu jalan hidupnya kalau dengan Haq tidak akan mudah. “Aku keluar kejap, nak pergi ladies. Kau balik semula ke meja. Kepala Akid aku tengok dah terjenguk-jenguk. Takut benar aku bawak lari bini dia,” gurau Qara.

Keputusan sudah dibuat. Dia akan melepaskan rumah kesayangannya itu. Rumah sewa pun dia sudah dapat. Biarlah dia berkongsi rumah dengan orang yang tidak dikenali, asalkan setiap bulan dia tidak rasa terbeban. Niat hendak ke luar negara, nampaknya terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Maaf nek, Qara tak dapat pertahankan rumah kita walaupun Qara dah janji dengan nenek, ucapnya dalam hati.

“Aku ikut kau,” kata Dhia.

“Tak payah. Aku pergi sekejap aje.”

Qara nampak beratnya hati Dhia, tapi di ketika ini dia perlukan sedikit ruang untuk dirinya. Bukannya mudah membuat keputusan yang bertentangan dengan hati. Namun dia akur, hidup ini bukan dalam kawalannya. Atur dan susun macam mana rapi pun, tetap juga belum tentu menjamin apa-apa.

“Qara...”

Qara pekakkan telinga dan terus melangkah. Syahil bukan lagi gangguan dalam hidupnya. Hatinya sudah tidak terusik lagi, malah kalau bertembung di tepi jalan pun dia akan buat-buat tidak kenal pada lelaki itu.

“Qara...”

Pantas Qara merentap lengannya. Tidak rela disentuh Syahil. Dia rasa jijik. Menyesal pula kerana tidak membenarkan Dhia ikut dengannya. “Jangan berani kau sentuh aku!” tengking Qara kuat. Mujur mereka sudah ada di luar dewan. Kalau tidak tentu kecoh.

Mulut Syahil melopong. Terkejut melihat Qara yang menyinga hanya disebabkan dia memegang lengan itu. Kata ganti ‘kau’ dan ‘aku’ pula membuatkan dia terkesima. Setahunya, Qara bukan jenis kasar begitu. Wanita itu sudah berubah. Yang tidak berubah hanya manis wajahnya tetap sama.

“Awak apa khabar?”

“Kita kenal ke?” tanya Qara kembali.

“Jangan buat-buat tak kenal saya, Qara. Lama benar rasanya saya tak tengok awak.”

“Mungkin yang lama awak tak jumpa tu Qara lain. Bukan saya.”

“Qara...”

Qara terus berlalu. Sudah tidak ada apa yang hendak dibualkan dengan Syahil. Cerita mereka sudah tamat pada hari Syahil memegang tangan tuk kadi dan menikah dengan Elma. Dia bukan terlalu baik hati, masih boleh menjadi kawan setelah cinta putus di tengah jalan.


“PEREMPUAN keji!” jerit Elma sebaik saja melihat Qara keluar dari tandas. Terus ditolak kuat tubuh Qara sehingga santak ke dinding. Dengan lengan yang diletakkan di leher Qara, wanita itu tidak mampu bergerak ke mana-mana. Berombak kasar dadanya dengan mata yang tajam menombak muka Qara.

“Dasar anak yatim piatu tak sedar diri!” Elma makin menghenyakkan lengannya ke leher Qara.

Akibat terkejut dengan serangan Elma yang tiba-tiba, Qara terpanar. Dunia bagaikan kosong dan sepi. Yang terasa sesak, hanyalah nafasnya yang tersekat kerana lengan Elma.

“Dah tak ada jantan lain ke dalam dunia ni sampai laki aku pun kau nak goda? Memang betina murahan!”

Tetap juga Qara bungkam. Nafasnya terasa semakin lama semakin memberat. Sampai setakat ini sajakah hayatnya di dunia ini? Kalau benar begitu, dia akur. Sudah tidak ada apa-apa yang tinggal untuknya di dunia yang penuh warna-warni. Mula-mula ayahnya pergi akibat deman denggi. Ibunya menyusul kerana kemalangan. Kemudian neneknya pergi kerana terjatuh di dalam bilik air selepas mengangkat wuduk.

Ya, kini dia hanya sendiri! Kalau malam ini malam terakhirnya, dia tidak ada bantahan.

Lantas, perlahan-lahan mata dipejamkan rapat-rapat. Selamat tinggal Dhia, aku sayangkan kau!

“Hoi... bodoh! Buka mata kau!” tengking Elma kuat.

Qara tetap juga kaku. Dia dengar jeritan Elma yang seperti puntianak, namun dia tidak mahu membuka matanya. Dia bimbang kalau dia membuka mata, dia harus berhadapan sekali lagi dengan seribu satu macam kerenah dunia. Dia sudah tidak kuat lagi.

“Kurang ajar!”

Belum pun sempat tangan kanan Elma jatuh ke pipi Qara, Haq pantas menolak tubuh langsing itu. Elma yang tidak bersedia, jatuh tertiarap mencium lantai. Sedangkan Qara tetap juga kaku dengan mata terpejam. Nafasnya turun naik dalam gerakkan yang kasar. Dunia masih terasa sepi dan kosong.

“Qara...” panggil Haq perlahan.

Tidak ada jawapan. Qara tidak ubah seperti patung bernyawa.

“Apa yang kau dah buat pada Qara?” marah Haq pada Elma.

Perlahan-lahan Elma duduk. Kakinya sakit. Kasut tumit tinggi berwarna hijau terang yang tersarung di kakinya, patah di kanan. Bibirnya terasa berdenyut-denyut perlahan. Hidungnya juga sakit. Terasa ada sesuatu yang mengalir, dia menyapu dengan belakang tangan. Darah! Mukanya terus memucat. Lambat-lambat dia bangun.

“Jadi apa-apa pada Qara, aku tahulah nak buat apa pada kau nanti!”

“I... I... I tak buat apa-apa,” sangkal Elma tergagap-gagap.

Haq genggam tangan kanannya. Kalau tidak mengenangkan Elma itu perempuan, memang dapat buku limanya hari ini. Matanya tidak buta untuk melihat apa yang berlaku. Mulanya dia hanya memerhati. Yakin, Qara mampu menghadapi Elma tanpa bantuannya. Namun bila Qara hanya bungkam seperti menyerahkan segala-galanya pada Elma, hatinya terasa lain macam. Bila Qara langsung tidak bergerak sedangkan tangan Elma sudah naik ke atas, sabarnya sudah hilang.

“Berambus!” jerit Haq geram.

Dengan langkah yang terdengkot-dengkot, Elma mengheret kaki. Sakit terasa di seluruh tubuhnya. Haq kemudian menghampiri Qara. Wanita itu tetap tidak berubah. Lantas kedua-dua bahu Qara dipegang dan digoncang-goncang perlahan.

“Qara...”

Tidak ada reaksi. Kalau nafas Qara tidak turun naik, dia akan mengatakan yang wanita itu sudah tidak bernyawa.

“Qara...”

Tetap juga sunyi dan sepi. Haq kian panik. Janganlah sesuatu berlaku pada Qara.

“Qara!” Makin kuat tubuh Qara digoncang. Tidak tahu harus berbuat apa, terus tangannya menampar pipi mulus Qara. Tidak kuat, tidak juga perlahan. Namun itu membuatkan mata Qara terbuka. Tidak sampai tiga saat, air mata wanita itu meluncur laju membasahi pipi.

“Qara...”

Haq sudah melihat Qara menangis banyak kali, tapi inilah tangisan Qara yang paling teruk pernah dia lihat. Lantas kedua-dua tangan Qara dipegang erat, walau hati teringin membawa sekujur tubuh kurus itu ke dalam pelukannya. Bukan mahu mengambil kesempatan, sekadar mahu menenangkan dan meminjamkan semangatnya pada Qara. Wanita itu dilihat sangat kasihan hari ini.

“Kahwin dengan saya, saya akan jaga awak macam saya jaga nyawa saya sendiri.”

Qara angkat muka walaupun matanya masih berair.

“Jadi isteri saya? Biarkan masalah awak jadi masalah saya?” pinta Haq sekali lagi. Kali ini dia yakin, dia melamar Qara bukan lagi kerana Irham. Tapi kerana diri Qara sendiri.

“Bawa saya pergi dari sini. Saya dah lama tak rasa bahagia...”

“Qara...” Haq mengerti maksud Qara, namun dia masih inginkan kepastian.

“Awak janji, tolong janji bahagiakan saya,” tangis Qara terus.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku