Hati Suamiku GK
Bab 14
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 07 Disember 2012
Sejak kecil, Putra Huzaiman bersikap suka menguasai dalam semua perkara sehingga dia digelar ?Gila Kuasa? tetapi dia tidak kisah semua itu.
Penilaian Purata:
(3 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
12605

Bacaan






Akhirnya Natasha kembali semua ke rumah sewanya. Rasa penatnya bagaikan terbang jauh apabila melihat bayangan Huzaiman menghilang. Makan malam tadi adalah makan malam yang paling memberi tekanan pada hidupnya. Kali pertama dia rasa makan itu adalah kerja paling susah.

Natasha sememangnya jenis pemakan. Dia bukan seorang yang suka membazirkan makanan. Kehidupan yang susah membuat dia menghargai apa itu makanan.

Dia duduk untuk berehat seketika. Dia keluarkan teddy bear yang Huzaiman berikan padanya. Sungguh comel. Di cium lagi patung beruang itu. Sememangnya wangi!

Dia tersenyum. Akhirnya dia tertidur. Nasib baik Huzaiman singgah masjid untuk solat Isyak. Kalau tidak, pasti dia terlupa.

*****

Dato Ismail menunggu dengan sabar di rumah. Ammar baru sahaja menghubunginya yang mereka ada nampak Huzaiman dan Natasha di rumah sewa Natasha. Lega hatinya.

“Papa...” sapa Huzaiman dengan nada yang gembira. Walaupun badan rasa melekit tetapi dia gembira dapat bersama Natasha.

“Man buat pa risau sahaja.” Dato Ismail menghampiri Huzaiman lalu memegang kedua bahu Huzaiman. Di renung muka anaknya. Ceria!

“Kenapa pa risau?” mata Huzaiman terkebil-kebil.

“Papa akan risau semua orang yang papa sayang. Kamu ni? Takkan kamu tak rasa apa yang papa rasa ni pada Natasha?” soal Dato Ismail. Dia yakin yang sikapnya ini diwarisi oleh Huzaiman.

Huzaiman tersentap. Patutlah dia rasa risau lain macam sahaja pada Natasha. Rupa-rupanya perangai Dato Ismail sudah berpindah ke dalam dirinya.

“Rasa sikit-sikit pa. Papa, Man naik atas. Seharian berjalan, melekit pula badan ni.” Huzaiman meminta diri.

“Baiklah. Pergilah berehat.” Huzaiman terus berlalu pergi.

Amman dan Ammar masuk ke dalam rumah. Mereka juga rasa penat.

“Amman! Amman! Sini kejap!” serius sahaja nada Dato Ismail. Dia melihat kiri dan kanan.

Amman dan Ammar terus menghampiri ayah angkatnya itu.

Dato Ismail memandang mereka berdua. Serentak itu kedua belah tangannya berada di kepala Amman dan Ammar. Dia mengusap perlahan-lahan.

“Terima kasih untuk tugasan hari ni.” Ucap Dato Ismail.

Amman dan Ammar terkejut. Dato Ismail jarang mengucapkan terima kasih kepada mereka. “Perjanjian tetap perjanjian. Setelah Huzaiman berkahwin, kamu bebas. Kamu bebas mahu melakukan apa yang kamu mahu.” Entah mengapa Dato Ismail rasa sebak.

“Apa papa cakap ni? Kami buat semua ini ikhlas. Kami dah biasa jaga Putra. Dia bagaikan adik yang perlu diberi perhatian. Kami tak kisah.” Amman berkata.

“Betul tu papa. Kehadiran papa di rumah anak yatim, membuat hidup kami bersinar. Kami gembira dengan kehidupan kami, papa. Kalau papa tak datang ambil kami sebagai anak angkat, kami pun tak tahu apa yang akan terjadi pada kami. Mungkin kami tak akan dapat kasih sayang seorang ayah dan ibu.” Ammar pula rasa hiba. Dia agak sensitif berbanding dengan abangnya.

Dato Ismail tersenyum. “Terima kasih jaga anak papa dengan baik sekali. Sudahlah! Kamu berdua naik berehat. Kalau belum makan lagi, papa minta Mek Teh panaskan lauk.”

“Tak apa papa, kami dah makan masa tunggu depan rumah sewa Natasha tadi.”

“Kalau macam tu, tak apa la.”

“Kami berehat dulu. Selamat malam papa.” Ucap Amman dan Ammar serentak.

Dato Ismail tersenyum tetapi dia rasa bersalah. Buat anak yatim piatu seperti itu. Perasaan bersalah semakin tebal di hati apabila dia terbaca sesuatu mengenai anak yatim.

Dari Abu Umamah dari Nabi saw berkata: barangsiapa yang mengusap kepala anak yatim laki-laki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan, dan barang siapa berbuat baik kepada anak yatim perempuan atau laki-laki yang dia asuh, adalah aku bersama dia di syurga seperti ini, beliau mensejajarkan dua jari-nya.

‘Ya Allah, aku sayang pada mereka berdua tetapi aku tidak berdaya untuk memberi kehidupan yang lebih baik. Ampunkan segala dosaku, Ya ALLAH.’ Dato Ismail berdoa dalam hati.

Hatinya sedikit tenang.

''Bila engkau ingin agar hati menjadi lembut dan damai dan Anda mencapai keinginanmu, sayangilah anak yatim, usaplah kepalanya, dan berilah dia makanan seperti yang engkau makan. Bila itu engkau lakukan, hatimu akan tenang serta lembut dan keinginanmu akan tercapai. (HR Thabrani).

Dato Ismail masuk ke kamarnya. Ada sesuatu yang penting dia mahu berbincang dengan Datin Ismah.

*****

Amat selesa dapat mandi. Badannya yang melekit kini kembali segar. Dia tidak dapat melupakan saat dia bersama Natasha. Dia teringat saat-saat mereka makan malam sebentar tadi.

“Kedai apa yang awak bawa saya makan ni?” tanya Natasha. Huzaiman tersenyum. Dia pernah makan di sini dulu. Nasib baik dia tahu jalan ke sini.

“Kedai apanya? Ini restoran...”

“Sama la kedai dan restoran tu.”

“Kedai tu peringkat rendah je. Kalau sebut restoran tu megah sikit.”

“Megah k bendanya?” Natasha mula rasa pelik.

“Sudahlah. Jom makan!” ajak Huzaiman. Dia memesan pelbagai jenis makanan, Ada sayur, ada pencuci mulut, ada lauk ikan, ayam, sotong, udang pun ada. Air pun dua tiga jenis tetapi nasi sejemput sahaja.

Betul-betul memberi tekanan pada Natasha. ‘Membazir memang membazir.’ Natasha sememangnya tidak suka membazir makanan.

“Awak nak ajak jiran sebelah awak makan sekali ke?” sindir Natasha. Memang semua nampak sedap tetapi mampukah mereka berdua habiskan semua.

“Untuk kau la semua ni. Lagi pun aku tak nak dengar lagi kau makan maggie. Kejap lagi aku hantar kau balik, aku nak buat pemeriksaan mengejut dalam rumah kau. Maggie tak boleh ada, faham tak?”

Natasha yang mendengarnya rasa mahu pengsan. Sampai macam itu sekali.

“Tolonglah jangan tunjukkan sangat yang awak tu GK.” Nasihat Natasha.

“GK tu gila kuasa? Tak apa la. Aku memang macam tu.” Huzaiman tidak mahu mendengar nasihat Natasha. “Okey kau makan ikan dulu. Ikan dan ayam tak boleh makan sekali, nanti kau sakit perut pula.” Bebel Huzaiman sambil merobekkan isi ikan bakar itu dengan garpu. “Ini untuk awak.”

“Makan dengan tangan boleh tak?”

“Memang kita sedang makan dengan tangan pun puan Natasha.” Gurau Huzaiman. Natasha hanya mampu menjeling sahaja.

Natasha ingin makan nasi itu dengan tangannya sendiri. Serentak itu dia menyentuh nasi tersebut tetapi tidak sempat kerana tangannya dicekup oleh Huzaiman.

“Kenapa?”

“Tak basuh tangan lagi tu. Kuman!” Huzaiman meminta Natasha ke tempat membasuh tangan.

‘Aku dah basuh dengan air sembahyang maghrib tadi. Berkat tau air wuduk ni.’ Bebel Natasha. ‘Lagi pun yang masuk perut aku, bukan perut kau.’ Natasha terus membebel dalam hati.

Dia kembali ke meja makan. Alangkah terkejutnya melihat, pinggan nasinya sudah penuh dengan isi ikan. Huzaiman tersengih semasa Natasha memandanganya.

“Untuk kau...”

Natasha memicit dahinya. Terasa pening pula. ‘Belum makan lagi dah rasa nak pitam.’ Dia gagahi juga.

Selepas makan ikan, makan ayam goreng pula. Lepas itu makan pencuci mulut. “Ais Krim! Ini yang saya tunggu ni.”

Natasha sudah siap sedia mahu mengambil aiskrim tersebut tetapi lagi pantas tangan Huzaiman mencapainya.

“Ini untuk aku. Kau tak boleh makan. Nanti gemuk!” sengaja Huzaiman berkata begitu. Dia tertarik untuk melihat tindak balas Natasha.

“Gemuk? Tak pernah pula saya tahu makan aiskrim boleh gemuk. Kelentong ya? Bagi sikit. Nak rasa.” Pinta Natasha.

“Tak nak!” Huzaiman tersenyum lagi.

“Tak nak bagi tak apa. Saya beli yang lain.” Sebaik sahaja Huzaiman mendengar kata-kata itu, dia terus bagi pada Natasha. Lagi pun dia tak suka sangat makan aiskrim.

“Nah, ambil ni!” Hulur Huzaiman. Natasha tersenyum kemenangan. Dia benar-benar kenyang malam itu.

Huzaiman masih merenung wajah Natasha yang asyik makan aiskrim. Comel!

Dia kembali ke dunia nyata. Kenangan makan malam itu tidak akan Huzaiman lupa. Dia menghubungi telefon bimbit Natasha tetapi ternyata hampa. Kali ini sudah masuk kali ke sepuluh, masih tiada respons.

“Dah tidur kot si comel tu? Tak apa la.” Akhirnya dia hantar mesej pesanan ringkas sahaja.

Selamat malam sayang, terima kasih berikan aku kenangan indah hari ini.

Putra Huzaiman.

Huzaiman pun tidur dengan lenanya.

Natasha tersedar apabila bunyi mesej masuk. Dia terasa sakit belakang sebab tertidur di sofa. Dia mengambil telefon bimbit itu lalu ke bilik. Dia belum mandi lagi.

Selepas mandi, barulah dia membaca mesej yang masuk dalam telefon bimbitnya.

“Huzaiman?” ada sepuluh panggilan yang tidak dijawabnya.

Dia hanya tersenyum membacanya.

“Hari ini kenangan indah tapi masa akan datang, hanya kenangan hitam untuk kau, Putra Huzaiman.”



Klik di sini jika bacaan spam!
Kami, (Ilham Grup Buku Karangkraf) tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami. Kami juga berhak tidak memaparkan komen-komen yang melanggar terma dan syarat yang telah ditetapkan
  Terhangat di Grup Buku