PETAKA NYAWA
BAB 11
Genre: Thriller/Aksi
Kategori: Novel
Paparan sejak 12 Januari 2014
Penemuan catatan Hijab Rindu yang ditemui (Hari ini) merungkai kisah kurun ke-14.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
847

Bacaan






Tanah Nusantara

SHAFI tenggelam dalam khusyuk. Selepas menunaikan solat maghrib tadi dia melanjutkan dengan amalan-amalan sunat. Sesudah itu, dia membasahkan lidahnya dengan zikrullah. Hatinya tenang kala ini. Jasadnya di dunia manakala rohnya seperti terbang jauh, sejauh mata memandang menerawang langit yang merah nian. Khusyuknya kepada Maha Pencipta ternyata mengatasi segala-galanya. Sesungguhnya, jasad dan hatinya hanyalah untuk ALLAH Tuhan sekalian alam.

Desiran angin membuai lembut dedaunan. Shafi yang sudah selesai bermunajat perlahan membuka kelopak mata. Hatinya sebak ketika melafazkan kalimah-kalimah ALLAH yang tersangat indah. Angin sepoi perlahan menyeka matanya yang bergenang. Perlahan Kiai Jabar menyentuh belakangnya dengan penuh lembut.

“Bapa.” Shafi menoleh lalu berjabat tangan dengan bapa asuhannya lalu mencium tangannya.

“Apa yang bermain di fikiranmu, nak” Kiai Jabar seperti biasa, bertutur dalam lembut.

“Aku terkenang dosa-dosaku yang lampau, bapa.”

“Mintalah keampunan ALLAH wahai anakku, mohonlah dengan serendah-rendah hati. Kita memang seharusnya sentiasa takut dengan dosa-dosa kita, kerana setiap anak Adam itu pasti ada silapnya.”

“Baik, bapa.” Shafi menyimpan nasihat itu di setiap penjuru hatinya.

“Bagaimana dengan gadis itu, apakah pernah menjenguk alam tidurmu lagi?” Kiai Jabar merujuk kepada wanita yang hadir dalam mimpi Shafi tempoh hari.

“Sejak sehari dua ini, dia tidak pernah muncul kembali, bapa.” Shafi ingat-ingat lupa mengenai gadis itu.

“Mohonlah petunjuk ALLAH, anakku. Mungkin sudah sampai masanya kau menjenguk dunia luar. Bermusafir itu satu tuntutan agama jika untuk kebaikan. Sampaikan lah dakwahmu walaupun hanya satu ayat, itu lebih baik daripada meninggalkan semuanya.” Kiai Jabar merenung sayu anak asuhannya.

“Insya-ALLAH, bapa.”

“Ingat, kau tidak boleh sombong anakku, di atas langit masih ada langit lagi. Hanya ALLAH yang maha Kuat lagi Perkasa.”

“Terima Kasih, bapa.” Hati Shafi luruh dengan kata-kata yang berunsur nasihat daripada bapa asuhannya selaku gurunya juga.

“Bersegeralah nak, tidak lama lagi akan masuk waktu Isyak, laungkanlah seruan ALLAH.”

“Baik,bapa.” Shafi lantas berdiri dan mengambil air wuduk padahal dia masih ada wuduk.

Kota Amuriah

SUHAIL mengusap-usap busurnya. Fikirannya ligat berfikir tentang kejadian yang berlaku siang tadi. Gerakan dan getaran yang berlaku pada tali busur itu membuatnya tidak rasa tenang. Seperti ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik seni binaan warisan berharganya itu. Dia renung lama-lama busur kesayangannya. Mata dipicing, jiwanya seperti sudah sebati dengan semangat panah itu.

“Keluarlah.” Suhail seakan-akan menyeru sesuatu di sebalik busur itu.

“Aku adalah tuanmu, penaklukmu.” Suhail semakin diamuk resah apabila tali busur yang diletakkannya di lantai bergerak perlahan. Dia tersenyum kelat.

Perubahan busurnya semakin ketara, ia mengeluarkan bunyi yang berdesing. Pemegangnya pula seakan-akan berubah bentuk.

“Kemarilah wahai taklukanku.” Suhail merentangkan tangannya ke depan. Busurnya perlahan terangkat dan meluru ke arahnya. Seperti ada satu daya yang sengaja membekukan ketumpatan udara. Suhail menyambut busurnya dengan kemas menggunakan tangan kiri. Tangannya kejap menggenggam.

Dia terkejut sebaik sahaja tangannya menggenggam busur itu. Kelihatan seperti akar-akar pokok tumbuh dengan cepat dan melingkari tangannya. Benda yang seakan-akan akar itu berwarna seperti warna busur tersebut. Lingkaran semakin kejap. Suhail yang terkejut dengan perubahan drastik itu hanya menahan sakit apabila satu demi satu daripada benda yang seakan-akan akar itu berhenti melingkar.

Suhail berang apabila lingkaran itu tidak dapat dibuka. Dia menghentak-hentak panah itu di dinding kerana geram, tetapi menghentikannya apabila tangannya terasa kebas dan kemerah-merahan. Sejenak itu pandangannya berbinar, di berasa seolah-olah seperti berpusing-pusing kemudian jatuh pengsan. Lingkaran itu perlahan longgar kemudian busur itu kembali ke bentuk asal. Sebenarnya, busur kesayangannya itu hanya ingin bersatu dengan tuannya.

SUASANA indah pantai kerajaan Langkasuka sememangnya sangat mengagumkan. Desiran angin lembut membuai pepohon. Ombak laut yang ganas menghempas pantai yang memutih. Begitulah hati Puteri Irdina Farihin, kelihatan tenang tapi gundah dalam diam. Fikirannya jauh terbang menerawang awan-gemawan lalu jatuh ke dasar lautan yang paling dalam. Ternyata wajah jernih lelaki yang hadir dalam mimpinya tempoh hari menjadi penunggu setia hatinya. Rindunya semakin ‘bernyawa’.

Puteri itu hanya berhenti berkelakuan seperti ini apabila menjelang tidur tetapi masih berharap supaya Shafi akan muncul dalam mimpinya. Dia tersentak apabila angin utara semakin kencang bertiup. Rambutnya terurai ditiup angin. Rindunya berkecai terkubur di lautan Hindi.

“Perasaan apakah ini, kenapa beta asyik teringat sahaja dengan lelaki itu?” Puteri Irdina Farihin bermonolog.

Perasaan itu amat mengganggu ketenteramannya. Namun amat sukar untuk disingkirkan, malah tidak sanggup untuk menyingkirkannya dari hati. Indah perasaan cintanya, melebihi keindahan istana agam kerajaan Langkasuka.

“Apakah kau wujud, aku teringin sekali bertemu denganmu. Aku sudah tidak tahan menahan rindu.” Puteri Irdina Farihin tertunduk. Matanya berkaca. Hati hawanya pilu, rindu semakin mencarik urat-urat jantungnya. Teramat sakit dikenang tetapi sangat indah dirasa.

“Anakanda.” Raja Mahadewa memanggil lembut nama puterinya dari belakang. Panggilan tidak bersahut. Raja Mahadewa mengukir senyuman lalu menghampiri puterinya lantas memegang bahu anak kesayangannya itu. Puteri Irdina Farihin tersentak lalu pantas menoleh.

“Ayahanda, maafkan anakanda kerana tidak menyedari kedatangan ayahanda.” Puteri Irdina Farihin tersenyum.

“Kenapa tidak khabarkan kepada ayahanda yang kamu sudah sembuh, anakku?” Raja Mahadewa membelai rambut Puteri Irdina Farihin.

“Anakanda ingin membuat kejutan, tapi ternyata ayahanda mengetahuinya terlebih dulu.” Puteri Irdina Farihin tergelak kecil.

“Ayahanda pergi ke kamarmu tadi, tapi anakanda tidak berada di sana, ayahanda lantas bertanya kepada dayang-dayang itu. Pada mulanya mereka enggan menjawab tapi ayahanda ugut akan memecat mereka.” Ternyata kesembuhan penyakit puterinya telah mengubati resah hatinya.

“Anakanda yang menyuruh mereka supaya tidak membuka mulut.” Puteri Irdina Farihin tersenyum.

“Baiklah, ayahanda akan mengadakan pesta besar-besaran sempena kesembuhan anakanda.” Raja Mahadewa memegang bahu puterinya apabila tidak memberikan sebarang reaksi.

“Anakanda teringatkan siapa?”

“Oo, hmm.. anakanda teringatkan mendiang ibunda, ayahanda.” Puteri Irdina Farihin berdalih. Ingin sahaja dia mengatakan bahawa ada seorang lelaki yang mencuri hatinya, namun hati kecilnya meningkah.

“Sabarlah anakku, ayahanda juga selalu teringatkan ibunda.” Raja Mahadewa tidak mempamerkan sebarang reaksi. Ingatannya terhadap isteri tercinta mekar semula setelah sudah sepuluh tahun lamanya hati mereka terpisah oleh kematian.

“Mari kita masuk ke istana anakanda, hari sudah semakin gelap.” Raja Mahadewa memimpin tangan anaknya. Puteri Irdina Farihin hanya tersenyum.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku