Antara Dendam Dan Rindu
keluar makan bersama
Genre: Keluarga
Kategori: Novel
Paparan sejak 14 Januari 2014
Sikap tamak telah melontarkan Mariam Qistina ke lembah derita yang berpanjangan.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
723

Bacaan






Restoran masakan Thailand menjadi pilihan Luqman Hakim kali ini. Nyata kali ini hanya Balqis yang dibelanja oleh Luqman Hakim. Tidak pula dibawa sesiapa sebagai orang ketiga untuk mengelak daripada tercetusnya gossip hangat di pejabat. Balqis mula berasa pelik dengan kelakuan lelaki itu. Adakah lelaki itu sememangnya tidak peduli tentang gossip yang bakal tercetus nanti?

“ Balqis, berapa usia awak?” Tanya Luqman Hakim setelah mereka selesai membuat pesanan makanan.

Balqis tersenyum. Ah semuanya ini lakonan semata-mata.

“ Dua puluh tujuh tahun. Dah tuakan?” Jawab Balqis.

Luqman Hakim membalas senyuman manis gadis jelita di hadapannya. Anak matanya tidak lepas daripada memandang kepada keayuan di wajah itu. Sungguh cantik dan mempersonakan. Milik siapakah gadis jelita ini? Adakah dia hanya sekadar mampu memuja dari jauh sedangkan hatinya sudah pun dimiliki?

“ Mana ada tuanya. Saya lagi tua. Balqia tahu berapa umur saya?”

Balqis menggeleng cuma. Berpura-pura tidak tahu sedangkan jelas dan nyata lelaki itu hanya enam tahun lebih tua daripadanya. Dia ingat dengan sejelas-jelasnya. Hanya mereka sahaja yang lupa tentang itu.

“ Tahun ini umur saya dah masuk 33 tahun,” balasnya.

Balqis berpura-pura terkejut.

“ Oh..saya sangkakan umur Encik Luqman sekitar dua puluhan. Encik Luqman tak nampak tua langsung,” puji Balqis langsung tidak ikhlas.

Lagi lebar senyuman Luqman Hakim.

“ Pandai awak ambil hati saya ye,” kata Luqman Hakim yang sudah berbunga hatinya.

Balqis tersenyum lagi. Ah mudahnya hati lelaki ini disentuh.

“ Betul. Saya serius,” beria-ia sekali Balqis mempertahankan pendapatnya.

Lagi lebar senyuman Luqman Hakim kali ini. Suka benar dia apabila mendapat pujian sebegitu daripada gadis pujaan hatinya itu.

“ Hai abang.”

Tiba-tiba seorang wanita datang menyapa mereka. Tidak mudah untuk Balqis melupakan wajahnya. Lebih-lebih lagi wanita itu kini semakin popular di layar perak. Wajahnya pula sering menghiasi muka hadapan majalah-majalah hiburan tanah air.

” Aku nak kau cium kaki aku sekarang!” Tergiang-giang bicara Sarah suatu masa dahulu.

Balqis masih ingat lagi bagaimana maruahnya dipersendakan apabila dia dipaksa mencium kaki Sarah semata-mata untuk menyelamatkan Irdina. Menitik airmatanya setiap kali dia mengingati peristiwa itu. Murah benar maruah Mariam Qistina tatkala itu.

Balqis menunduk. Sebak mengharungi jiwanya namun debaran hebat tetap setia mengetuk dadanya. Adakah wanita ini akan mengenalinya?

“ Eh Sarah? Lunch di sini ke? Datang dengan siapa?” Tanya Luqman Hakim ramah sekali.

Balqis masih menunduk. Entah kenapa hatinya tiba-tiba rasa tidak bersedia untuk bertemu dengan Sarah sedangkan selama ini detik inilah yang dinantikan saban waktu.

“ Tu, dengan Smith,” kata Sarah sambil menunding jarinya kepada seorang lelaki berbangsa Inggeris yang sedang duduk di meja berhampiran mereka.

Luqman Hakim melambai tangan kepada lelaki itu. Mungkin juga mereka sudah saling mengenali.

“ Siapa ni?” Tanya Sarah sambil menjuihkan bibirnya kepada teman Luqman Hakim yang sejak dari tadi menunduk. Tak de hidung ke minah ni asyik menunduk dari tadi.

Balqis menarik nafasnya dalam-dalam. Cuba mencari kekuatan dalamannnya sebelum mengangkat mukanya untuk bertemu dengan musuh ketatnya yang sudah sekian lama tidak bertemu. Ya dia mahu melihat reaksi Sarah apabila melihatnya semula.

Dengan selamba Balqis menghulurkan senyumannya dan masih berpura-pura tidak mengenali siapa Sarah sebenarnya. Balqis tahu Sarah agak terkejut melihatnya dari lirikan matanya yang agak tersentak apabila mata mereka bertemu. Tetapi cepat-cepat Sarah menyembunyikannya dengan melemparkan wajah mencuka dan tidak mesra. Ah sikap dan perilaku Sarah nyata masih tidak berubah. Malah Balqis rasakan wanita itu semakin sombong dan bongkak dengan kedudukannya kini.

Balqis membisu sahaja. Sedikit pun dia tidak mahu memperkenalkan dirinya. Dia mahu tengok setinggi mana kesombongan dan keriakan yang ada di hati Sarah itu.

“ Kenalkan ini Balqis pekerja abang. Balqis baru mula bertugas di syarikat kita hari ini,” kata Luqman Hakim.

Sarah yang masih berdiri sambil berpeluk tubuh terus meneliti setiap inci wajah Balqis yang dirasakan pernah ditemuinya tetapi entah di mana. Langsung tiada segaris senyuman tercalit di wajahnya.

“ Hai, saya Balqis,” kata Balqis sambil menghulurkan salam.

Sedaya upaya dia cuba melemparkan wajah yang cukup manis sedangkan hatinya terus bergelora dengan perasaan benci dan dendam.

“ Sarah,” kata Sarah tanpa menyambut huluran salam Balqis.

Balqis hanya tersengih dengan sikap sombong Sarah itu. Perasaan benci dan meluat semakin berkudis apabila dia dipersembahkan dengan sikap tidak sedarkan diri Sarah itu. Tidak sabar rasanya menunggu saat kejatuhan wanita angkuh dihadapannya ini.

“ Kau kerja sebagai apa dekat officebapa aku tu?” Tanya Sarah sombong sekali.

Entah kenapa hatinya tidak menyenangi gadis yang bernama Balqis itu.

“ Kerani,” jawab Balqis bangga sekali.

Dia tahu tujuan sebenar Sarah bertanya begitu. Begitu hinakah kedudukannya saat ini sedangkan suatu masa dahulu keluarga Sarah juga pernah berada di kedudukan ini juga. Kalau tidak kerana simpati arwah bapanya pastinya hidup mereka terus merempat hingga kini. Ah Sarah, begitu mudah kau melupakan asal usulmu itu.

Sarah segera menceber bibirnya. Dia rasa mahu ketawa dengan perasaan tidak sedap hati yang tiba-tiba hadir di dalam kelopak hatinya saat ini sedangkan wanita dihadapannya ini bukan tandingannya langsung.

“ Oh kerani je ker. Abang, lain kali setakat pekerja bawahan begini tak payahlah nak dibelanja. Buat habis duit kita je,” perli Sarah tanpa rasa simpati.

Balqis menunduk. Tercalar hatinya dengan ucapan Sarah itu. Perasaan bencinya semakin membisa. Namun dia terus bermunajat. Dia tahu dia perlu bersabar kerana suatu hari nanti dia akan membuatkan mereka yang sombong itu jatuh tersungkur di telapak kakinya. Dia mahu Sarah sujud di telapak kakinya seperti mana Sarah pernah lakukan kepadanya suatu masa dahulu.

“ Sarah! Apa yang kau cakapkan ni?” Marah Luqman Hakim yang sudah merah wajahnya.

Mungkin lelaki itu juga tidak suka dengan sikap Sarah itu atau lelaki itu sengaja berpura-pura baik dihadapannya. Begitu sukar sekali Balqis mahu membuat telahan kerana baginya tiada sesiapa pun dari keturunan Sahak putih hatinya.

Sarah hanya menjungkitkan bahunya dan terus berlalu tanpa ada perasaan bersalah. Balqis mengetap bibirnya. Geram, benci, dendam, semuanya telah dianyam menjadi satu.

I’m sorry Balqis. Adik saya tu memang begitu,” kata Luqman Hakim yang semakin serba salah.

Balqis tersenyum hambar. Dia mula sedar hatinya tidak setabah mana untuk melayan sikap sombong keluarga Sahak itu.

“ Saya faham Encik Luqman. Tak perlah Encik Luqman, saya minta diri dulu,” kata Balqis yang sudah semakin pilu.

“ Tak nak makan dulu?” Tanya Luqman Hakim yang sudah mula gelabah.

Balqis tersenyum lagi. Kali ini semakin hambar.

“ tak perlah. Nanti membazir duit Encik Luqman sahaja,” kata Balqissebelum meninggalkan Luqman Hakim yang nyata termanggu-manggu dengan luahanBalqisitu.

Tanpa membuang masa lagiBalqisterus bergegas keluar.Balqistidak peduli lagi dengan tanggapan keluarga Sahak padanya. Dia mahu pergi jauh. Dadanya sempit. Fikirannya tertekan. Dia bagaikan seekor semut di mata Sarah. Dia sebenarnya masih ada maruah lagi walaupun suatu masa dahulu dia pernah meletakkan maruahnya di telapak kaki Sarah. Dia tidak sanggup lagi terus-terusan di pandang hina oleh Sarah dan keluarganya.

Dek kerana tidak tahan dengan kepiluan hati, Balqis segera meluru ke tandas. Di dalam tandas dia mula menghamburkan airmata pilunya. Airmata yang sering menjadi teman setianya selama ini. Dia tahu dia tidak boleh selemah ini kerana perjuangannya masih lagi belum bermula. Sedangkan dia bakal menghadapi beberapa lagi episod derita yang pastinya akan terus menguji ketahanan mental dan fizikalnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku