SEBELUM NAFAS TERHENTI
Bab 16
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 16 Januari 2014
Sukar menerima musibah jika tidak benar-benar beriman kepada TUHAN. Kehadiran Nurlisa, gadis tempang sebagai pembantu rumah, telah membawa sinar kepada Aldi yang merana akibat kematian isteri dan separuh lumpuh akibat kemalangan.
Penilaian Purata:
(5 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
2008

Bacaan






Pagi itu, Bibik Sunarti menghidangkan makanan untuk sarapan Datuk Haris dan Datin Rabiatul seperti lazimnya. Selang beberapa minit kedua suami isteri itu duduk di meja, muncul Adzman yang kelihatannya sudah siap berpakaian kemas sambil menyorong beg beroda.

“Wak! Hantar saya ke airport!” laung anak muda itu kepada Wak Dollah sebaik sahaja ternampak kelibat orang tua itu menuju ke arah dapur.Di tangannya tergenggam beberapa batang serai.

“Nak ke mana? Asyik berjalan saja! Mak balik, Adzman pergi. Asyik begitu saja. Rumah ni terbiar kosong aje” Datin Rabiatul seakan merungut. Rumah itu bagaikan sebuah hotel pada tanggapan Adzman barangkali.

“Melancong, mak. Dua minggu.” Adzman berterus terang. Bibirnya menguntumkan senyuman. Hatinya berasa puas kerana memenangi pertandingan foto yang menawarkan hadiah utama bercuti ke Eropah itu. Lama juga dia menunggu keputusan pertandingan itu. Tidak sangka pula dia mendapat tempat pertama.

“Ke mana?” tanya Datin Rabiatul.Dipandangnya Adzman dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Adzman menuangkan Nescafe ke dalam cawan dan mencapai sekeping roti bakar. Sesekali dia melihat jam tangannya.

“Eropah! Saya menang pertandingan foto, mak.” Suara Adzman sambil mengunyah roti. Dia tersenyum lagi. Nurlisa, senyumannya memang membawa tuah. Foto yang memaparkan imej Nurlisalah yang dipertandingkannya. Wajah gadis yang tersenyum manis di celah rimbungan bunga mawar yang berwarna merah jambu. Wajah yang polos tanpa calitan kosmetik itu telah menarik hati juri. Dengan daya kreativitinya, dia telah mencipta foto yang berbagai reka bentuknya.

Datuk Haris hanya memerhati saja anak bongsunya itu. Bibirnya ingin mengucapkan sesuatu, tetapi seolah terhalang.

“Pergi jenguk Aldi sekali, ya,” pesan Datin Rabiatul. Tangannya menghulurkan teko berisi Nescafe kepada Datuk Haris.

“Jenguk Aldi? Tak mahulah, mak. Kan saya nak pergi melancong dan berseronok.” Adzman cuba menolak pesanan emaknya. Kalau menjenguk Aldi, mahukah abangnya itu melayaninya dengan baik. Di rumah pun, mereka tidak begitu mesra. Kalau di luar negara, entah bagaimana.

“Lagipun saya pergi dengan kawan. Takkanlah saya nak bawa kawan saya untuk menjenguk abang pula!” Adzman masih berkeras. Cebisan roti bakar bersalut kaya disuapkannya ke mulut.

“Tak payahlah, Adzman. Pergilah berseronok. Bulan depan Aldi balik. Sekarang ni dia sedang menduduki peperiksaan akhir.” Suara Datuk Haris tenang. Semalam dia menghubungi Aldi dari pejabat.

“Tamat belajar, balik ke sini bolehlah ambil periksa dengan Lembaga Arkitek Malaysia pula. Ayah rasa dalam tahun ini juga, abang kamu boleh diiktiraf sebagai arkitek profesional atau arkitek bertauliah.” Cerita Datuk Haris dengan perasaan gembira.

“Ya? Begitu cepat. Abang memang hebat. Jadi lepas ni ayah tak payah lagi bimbang tentang siapa yang akan menerajui Roda Emas!” Suara Adzman sungguh-sungguh.

“Kamu pun kena ikut jejak langkah abang kamu tu!” ujar Datuk Haris lagi dengan nada perlahan sambil mencicip minuman. Cucur udang bercicahkan kuah kacang sekali lagi menjadi tamu di mulutnya.

“Saya tidak minat, ayah. Tidak mampu! Bidang tugasnya amat luas. Memerlukan kefahaman yang cukup mendalam dalam proses reka bentuk dan pembinaan, bukan saja soal bentuk bangunannya bahkan terpaksa mengambil keinginan dan impian pelanggan. Di samping itu, terpaksa pula memikirkan bagaimana untuk mengekalkan budaya dan identiti sesuatu bangsa melalui reka bentuk bangunannya.” Adzman bersuara lambat-lambat.

“Hanya Abang Aldi saja yang layak. Lagipun sedari kecil dia mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap seni, ada perasaan yang mendalam untuk menghargai tradisi lama dan peka.” Sambung Adzman lagi. Dia faham dengan minat abangnya itu. Sedari kecil, Aldi memang suka melukis dan meminati kerja-kerja seni.

“Tambahan, dia graduan lulusan Universiti of Cambridge pulak tu. Sebuah universiti berprestij taraf dunia,” ujar anak muda itu lagi. Dia turut mengagumi abangnya di dalam diam. Jauh bezanya mereka berdua, bagaikan langit dan bumi. Abangnya memang rajin belajar dan ulat buku sejak dari kecil lagi. Tidak pernah tidak memperolehi tempat pertama di dalam peperiksaan sewaktu sekolah rendah atau menengah. Hanya harapan kebahagiaan dalam perkahwinannya yang tidak kesampaian. Isterinya meninggal dunia dalam tempoh yang amat singkat.

“Bukankah dulu Adzman beritahu berminat dengan kerja-kerja seni. Apa yang membezakan seni foto dengan seni mereka cipta pelan bangunan dan persekitarannya? Atau Adzman hanya berminat seni untuk menggambarkan wanita-wanita cantik, aktres-aktres? Pragawati?” Datuk Haris seolah menyindir. Tangannya memberi isyarat kepada Datin Rabiatul supaya menambah lagi Nescafe ke dalam cawannya.

“Atau pergi belajar tentang financial pula. Mungkin ianya sesuai dengan sentuhan seni yang ada dalam diri kamu tu.” Datuk Haris menambah lagi. Geram benar dia terhadap anak bongsu yang tidak mahu mendengar kata itu.

“Maafkan saya, ayah. Saya pergi dulu.” Adzman tergesa-gesa menghabiskan sisa minumannya.

Datuk Haris dan Datin Rabiatul hanya melihat langkahan kaki anak lelaki bongsu mereka itu tanpa berkata apa-apa dan memandang sesama sendiri.

“Tengok tu! Dah tak hormat kepada orang tua lagi! Kita tengah bercakap dengan dia, dia boleh bangun begitu saja! Apa nak jadi dengan budak-budak sekarang ni. Mak dan ayah mengajar yang elok, tidak mahu diikut.” Datuk Haris mengeleng kepalanya berkali-kali. Sesal dengan sikap anak bongsunya itu.

“Rumah ini semakin sunyi! Aldi tak ada!Nurlisa pula tidak mahu bekerja di sini lagi. Adzman langsung tidak lekat di rumah.” Datin Rabiatul mengeluh dengan suara yang perlahan. “Sepatutnya awak halang pemergian Nurlisa. Dia dah lama di sini. Saya sayang padanya.” Dia mencebirkan bibirnya sewaktu Datuk Haris merenung kepadanya.

“Biar dia berdikari, Tun. Dia tak percaya keluarganya sudah tak ada lagi dan ingin mencari mereka. Biarkanlah. Itu tandanya dia seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga,” jawab Datuk Haris sambil mengunyah roti. Berselera nampaknya Datuk Haris pagi itu.

“Sepatutnya kita tolong carikan keluarganya dengan menggunakan pengaruh yang awak ada. Awakkan ramai kenalan?” Datin Rabiatul merungut lagi. Hatinya berasa tidak puas kerana gagal menghalang pemergian Nurlisa. “Atau... awak beri dia kerja di pejabat awak,” cadang Datin Rabiatul.

Datuk Haris ketawa kecil. “Ai! Bukankah kita sudah beri dia bekerja di rumah ini. Di rumah ini lebih bagus.Makan minum kita tanggung. Kain bajunya awak beli.Sakit peningnya kita jaga. Tak ada masalah apa-apa pun.” Suara Datuk Haris dengan tenang. “Layanan yang diterimanya sekiranya bekerja di rumah ini lebih baik, daripada di pejabat tu!” ujarnya lagi.

“Bila Aldi balik bulan depan dan dia bertanyakan Nurlisa, saya nak jawab apa? Mesti dia rasa sedih. Saya tahu, Aldi suka dan sayang kepada Nurlisa tu.” Datin Rabiatul bersuara perlahan.

“Hah! Yang ini saya tak suka nak dengar. Saya tak percaya yang Aldi suka dan sayang kepada Nurlisa tu. Bodohlah dia. Dia lelaki yang terpelajar. Takkanlah tergamak hendak bergandingan dengan gadis tempang itu dengan dirinya.” Datuk Haris bersuara agak serius.

“Awak ni! Satu perkara yang saya tak suka yang ada pada diri awak ni adalah sikap hidung tinggi awak tu.” Datin Rabiatul menjeling tajam kepada Datuk Haris.

Datuk Haris membulatkan mata dan mengangkatkan keningnya. “Kalau Aldi nak mencari pengganti Arishal tu, saya setuju sangat tapi bukan dengan Nurlisa! Lagipun, Nurlisa dah tak ada di rumah ini! Hampir dua bulan dah dia pergi! Ke mana dia bekerja dan tinggal kita pun tak tahu. Aldi tak dapat jumpa dengan dia pun lagi bagus,” kata Datuk Haris bersahaja. Nurlisa memang gadis yang baik budi pekerti. Cantik rupa parasnya. Namun hatinya terlalu sukar untuk menerima gadis itu selain dari penerimaannya sebagai pembantu rumah. Sebagai orang gaji di rumah itu.

“Bagaimana kalau Aldi tu benar-benar menyintai Nurlisa? Sekembalinya dari luar negara, dia berhasrat untuk memperisterikan Lisa! Gadis itu pula dah meninggalkan rumah ini! Tentu Aldi akan kecewa. Kekecewaannya berulang!” Datin Rabiatul meluahkan pandangannya.

“Mustahil! Kalau cinta, tentu Aldi menghubungi Nurlisa. Setahu saya selama dia berada di luar negara, tidak pernah sekali pun dia menelefon Nurlisa atau mengirimkan sebarang berita kepada gadis itu!” Datuk Haris meluahkan pendapatnya pula sambil matanya memandang kepada Datin Rabiatul.

“Awak lupakan sahaja hajat awak untuk bermenantukan gadis tempang itu, Tun.”Datuk Haris menghabiskan sisa minumannya sebaik sahaja mengungkapkan ayat tersebut.

“Awak ni seolah tidak tahu membalas budi pula.”Datin Rabitul bersuara agak perlahan. Hatinya berasa jengkel dengan perlakuan suaminya.

“Budi? Budi siapa? Budi budak tempang tu?”Datuk Haris menyambung ungkapannya dengan ketawa seolah mengejek.

“Dia sebenarnya tidak tahu membalas budi kita! Kan kita dah jaga dia elok-elok...” Datuk Haris tidak menghabiskan bicaranya apabila melihat isterinya itu menjeling tajam.

“Awak ni... ego yang bukan-bukan.” Datin Rabiatul masih belum mahu mengalah.

“Sudahlah, Tun. Jangan kita bertengkar lagi disebabkan persoalan ini. Awak tengoklah nanti, Aldi akan menemui seseorang yang lebih cantik dan lebih bagus daripada Nurlisa. Yang penting, dia mesti mahukan perempuan yang sempurna dan tidak cacat untuk menjadi suri hidupnya.” Datuk Haris menghirup saki baki Nescafe di dalam cawannya.

“Awak ini asyik tidak bersetuju sahaja dengan pilihan hati Aldi. Dulu pun begini juga. Sewaktu dia hendak berkahwin dengan Arishal. Cubalah sesekali fahami hati anak-anak.” Datin Rabiatul terus mempertahankan kehendak hatinya.

“Kita sebagai orang tua, tidak boleh terlalu tegas sangat dengan kehendak kita,” ujar Datin Rabiatul lagi.

“Tun, dulu saya membantah, menentang kehendaknya. Akhirnya, apa jadi? Kali ini, walau apa yang terjadi saya tetap dengan keputusan saya. Dia tidak boleh memilih bekas orang gaji untuk menjadi isterinya!” tegas Datuk Haris. Tidak sanggup dia membayangkan bagaimanakah nanti, anaknya yang kacak itu bergandingan dengan Nurlisa yang tempang.

Aldi bakal menjadi lelaki yang berkedudukan tinggi. Dengan kelulusannya. Dengan rupa parasnya. Dengan jawatan yang akan dipegangnya nanti. Serba serbi yang bakal digenggam oleh anak sulungnya adalah yang terbaik dan hebat pada pandangan mata masyarakat. Aldi harus memilih wanita yang secocok dengannya dan sama status dengan keluarga mereka yang kaya raya itu.

“Cinta itu tidak bersyarat, bang.” Datin Rabiatul membalas percakapan suaminya itu dan mengakhirinya dengan senyuman penuh makna.

Datuk Haris meninggalkan meja makan setelah membasuh tangan. Dia ingin berehat.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 | Bab 10 | Bab 11 | Bab 12 | Bab 13 | Bab 14 | Bab 15 | Bab 16 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku