Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 4
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1218

Bacaan






Kuala Lumpur, Hari ini.

“ Nadia, esok kau kerja tak?”

“ Kenapa?”

“ Tak de. Aku ingat nak pinjam kereta kau esok. Aku nak balik kampung. Nak tengok mak aku. Dia tak berapa sihat.”

Wajah Azrin kelihatan keruh. Nadia Asyila bersimpati.

“ Laa bila lagi sakitnya? Sakit apa? Teruk ke?”

“ Kau ni. Tak ada lah teruk. Demam biasa jer. Cuma dah alang-alang aku cuti baik aku balik. Bukan macam kau. Entah berapa kali jer kau tunjuk muka kat kampung. Kerja macam dunia ni tak pernah aman.”

Moodnya yang tadi tidak seberapa dengan wajah yang keruh terus berubah. Mahu menyakat kawannya itu.

“ Amboi-amboi! Pandainya dia berleter. Woi cik kak! Kerja macam aku ni kau kena faham. Bukan kau jer. Semua orang kena faham. Memang dunia ni tak pernah aman pun. Kita ni dah kira beruntung duk dalam Malaysia ni. Kalau kat negara lain entah ada nyawa lagi ke tak. Malaysia ni pun dengar jer aman. Tapi tiap-tiap hari ada jugak macam-macam kes. Berlambak fail yang penuh dengan laporan kes dekat balai tu. Siapa yang nak settlekan kalau orang macam aku ni tak buat? Lagipun kau tu tauke. Bila-bila masa jer boleh cuti. Ada kuli.”

“ Yelah! Yelah! Cakap sikit mula la nak berceramah. Aku tahu la kau tu heroin kat Malaysia ni. Bak kata kalau tak der kau memang takkan aman la Malaysia ni.”

“ Hmm! Tak payahlah kau nak perli-perli aku.”

“ Tahun ni dah berapa kali kau balik? Kesian mak kau kat kampung tu. Bila kau nak jenguk dia?”

“ Rasanya dekat enam bulan dah aku tak balik. Alah! Lagipun bukannya aku menyepi terus. Selalu aku call rumah. Lagipun mak aku duk dengan akak aku. Tak jadi masalah tu. Kalau ada apa-apa mesti aku cepat dapat berita.”

“ Emm yelah! Ni macam mana? Nak bagi pinjam kereta ke tak?”

“ Adoi! Sorry Azrin. Aku bukan tak nak bagi tapi esok aku kerja. Kau tahu kan, walaupun hari minggu, kadang-kadang aku kena kerja. Kerja polis macam aku ni tak menentu.”

Nadia Asyila memegang bahu sahabat yang disayanginya itu.

“ Esok pun kerja jugak? Hari sabtu minggu lepas kan kau dah masuk balai.”

“ Aku kena siapkan laporan yang kes ragut minggu lepas. Lagipun…”

“ Okey stop! Kau cerita benda tu pun bukannya aku faham. Laporan ke apa ke kau buatlah. Janji kerja kau siap.”

Nadia Asyila tersengih. Percakapannya yang dipotong sebentar tadi membuatkan dia faham yang kawannya itu tak mahu mendengar tentang kerja yang menghuni kepalanya. Nanti kalau panjang lagi dia bercerita, tak hairan yang kepala Azrin sekali akan turut semak. Dia ketawa sendirian.

“ Kalau macam tu tak apalah. Aku faham. Kereta aku tadi tiba-tiba je meragam. Masuk workshop. Next week baru siap.”

Nadia Asyila seakan baru menyedari yang dia lupa untuk bertanya ke mana menghilangnya kereta Azrin. Sekali lagi dia tersenyum. Cakap panjang-panjang tapi isu sebenar lupa untuk ditanya. Terasa lucu menyucuk hatinya.

“ Azrin aku…” Nadia Asyila menunduk dengan perasaan bersalah.

“ Hei kawan! Aku fahamlah. Kau janganlah buat muka macam tu. Menyesal pulak aku tanya. Kalau terdesak sangat aku naik bas je. Bukannya tak de bas kat Kuala Lumpur ni. Berlambak! Saja je gatal nak balik dengan kereta. Tu pasal la aku tanya.” Pantas gadis itu memotong.

“ Thanks Azrin. Memang esok aku ada kerja. Kalau aku free, tengok muka kau sekarang ni, aku sanggup drive hantar kau balik.”

Nadia Asyila berkata ikhlas. Azrin terus menggenggam erat tangan kawannya. Mereka berbalas senyuman.

“ Eh tapi kalau kau rasa nak pakai gak, aku tumpang kereta Syazwan la esok. Nanti aku call dia suruh ambik.”

“ Amboi mak cik. Kau ingat dekat ke dia nak datang ambik kau kat sini. Berjemput dan berhantar lagi. Kalau kekasih kau aku tak kisah. Ni tak der kerja dia nak melencong datang punggah kau kat sini. Rugi minyak dan masa dia jer.”

Nadia Asyila mengerutkan dahinya. Geram! Ada sahaja yang dibalas oleh kawannya itu. Dicakapnya ini dibangkang pulak itu. Dia menarik nafas panjang dan menghembusnya kuat. Kalah dengan kawannya seorang itu.

“ Kau ni. Itu yang aku malas nak cakap banyak.”

Azrin mengangkat keningnya tanda mengerti yang kawannya itu malas mahu membidas cakapnya. Dia hanya mendiamkan diri dan mengerutkan keningnya seakan memikirkan sesuatu.

“ Tu kau buat muka macam tu cari idea la mana kau nak rembat transport untuk hantar kau kat kampung. Aku bagi idea haram direject.”

Azrin membentuk-bentuk mulutnya tanda protes. Tetapi dia malas mahu membidas kata. Dia tahu memang betul apa yang diperkatakan oleh Nadia Asyila.

“ Ni kenapa muka korang macam cekodok tak jadi je?”

Amierah berkata sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Nadia Asyila. Diikuti oleh Shahrina dan Aini.

“Emm korang ni tiba-tiba muncul datang dari mana? Langit? Dah tu sergah orang tiba-tiba pulak. Muka macam ni punya cantik dikata macam cekodok tak jadi?”

Nadia Asyila menuding jari telunjuk ke arah mukanya.

“ Ah! Perasan lah kau.”

Amierah menjeling dan menolak bahu Nadia Asyila.

“ Sakitlah!”

Dibalas kembali tolakan itu. Baru adil. Tangan Amierah gatal untuk melakukan kembali serangan. Namun ditegah oleh tangan Aini.

“ Korang ni macam budak-budak.” Keduanya hanya diam dan membentuk-bentukkan bibir. Namun, tanpa disedari Aini, tangan Amierah kembali aktif. Mencubit paha Nadia Asyila sehingga gadis itu mengaduh.

“ Apa cerita ni? Macam ada masalah jer?” Shahrina yang menyepi sedari tadi menyuarakan soalan itu. Azrin menggelengkan kepalanya melihat Shahrina yang tidak berhenti mengunyah twisties yang berada di dalam mulutnya. Macam-macam perangai. Soalan yang ditanyanya juga dengan mulut yang penuh bersisa twisties.

“ Ni, kawan kita ni . Esok dia nak balik kampung. Korang kan tahu yang kereta dia masuk workshop. Esok, aku pulak kerja.” Nadia Asyila memberikan jawapan kepada persoalan itu.

“ Hei, kau berdua buat macam aku tak wujud pulak dalam rumah ni.”

Amierah berkata tiba-tiba. Semua yang ada memandangnya. Hairan! Suara yang agak kuat itu membuatkan Shahrina hampir tersedak. Tetapi ditahan dan ditelan perlahan-lahan twisties di dalam mulutnya. Selepas itu dia mengurut dadanya lega dan tersenyum.

“ Kau ni agak-agak la nak buat kejutan pun. Kalau aku tercekik tadi siapa nak jawab? Dalam kalangan kita bukannya ada doktor pun. Nak tunggu sampai hospital baik aku suruh Nadia tembak aku terus.”

Shahrina protes kerana tindakan Amierah sebentar tadi. Sebenarnya dia lebih geram dengan dirinya kerana mudah terperanjat. Dilihatnya kawan-kawan yang lain selamba. Tidak ada yang terperanjat sepertinya.

“ Dah kau tu makan kalau tak gelojoh tak sah. Lagipun aku bukannya sengaja. Kau yang patut cuba berubah supaya jangan mudah terperanjat sangat. Aku cakap tadi pun bukannya satu dunia ni boleh dengar. Boleh dikatakan dalam kategori perlahan lagi.” Amierah membalas. Kesemua yang lain hanya tersenyum.

“ Dah memang azali lagi aku dah macam ni. Macam mana aku nak ubah. Kalau kau ada jual ubatnya sejuta ringgit pun aku sanggup beli.”

“ Adoi korang ni. Dah lah merepek benda bukan-bukan. Pening aku dengar. Kamu semua ni memang. Kalau bercakap tak ada yang nak kalah.” Aini pulak menyampuk.

“ Cakap orang.” Shahrina dan Amierah berkata serentak.

“ Give me five.” Shahrina berkata dan mendapat sambutan daripada Amierah. Mereka semua ketawa galak dengan gelagat masing-masing.

“ Kenapa tiba-tiba cakap macam tu tadi?” Shahrina bertanya.

“ Yalah dalam banglo ni ada lima orang gadis yang semuanya cantik. Semuanya perasan sebab tak nak sewa rumah yang kecil. Lastly sewa banglo ni. Dan kalau jenguk kat halaman rumah ni….”

“ Wait! Apa yang kau nak cakap sebenarnya?” Aini memotong. Tidak faham dengan apa yang disampaikan. Kawan-kawan yang lain juga mengangguk setuju.

“ Kalau jenguk kat halaman rumah ni, kebiasaannya kereta ada tiga. Sekarang tinggal dua sebab kereta Azrin masuk workshop. Esok pulak tinggal satu je la sebab Nadia pergi kerja.” Amierah mematikan ayat. 

“ So what?” Nadia Asyila menyoal. Masih tidak dapat menangkap apa yang ingin diperkatakan oleh gadis kecil molek itu.

“ Habis tu? Tak reti-reti nak pinjam kereta aku? Apa, kereta aku takde kelas ke berbanding dengan kereta Nadia?” Azrin tersenyum riang mendengar kata-kata Amierah. Seketika kemudian, Amierah hairan apabila ketawa kawan-kawannya meledak.

“ Apa kes?” Amierah bertanya sambil mengangkat kening.

“ Mukadimah kau panjang sangat. Kan senang kalau kau cakap… pinjamlah kereta aku…macam tu kan lebih elok. Buat membazir air liur je.” Azrin berkata setelah ketawanya hampir reda. Namun ketawanya terus bersambung melihat reaksi Amierah yang menggaru kepala. Sungguh melucukan. Akhirnya, Amierah juga mengikut rentak rakan-rakannya. Turut sama ketawa.

“ Eh esok aku nak ikut jugak kau balik kampung. Kau balik tak lama kan?” Aini menyoal.

“ Okey gak. Tak de la aku boring drive sorang-sorang. Dua hari je. Ahad kita balik la sini. Tapi aku nak gerak awal esok. Kau tu biasanya kalau hari minggu kalau matahari tak mencacak atas kepala tak bangun lagi. Buat tahi mata je reti. Kalau esok jam Sembilan masih tak siap aku chow terus. Jangan nak membebel kat aku pulak lepas tu.”

“ Yelah! Mentang-mentang nak ikut balik kampung dia. Serata banglo ni dijaja buruk aku. Apasal kau tak bagitahu kat rumah jiran sebelah dan sebelah dan sebelah sampailah habis rumah.”

Mereka ketawa geli hati dengan bidasan Aini. Mulut kesemuanya memang tak makan saman.

“ Kalau cam tu aku dan Shahrina pun nak ikut. Sekarang ni musim buah kan? Bestnya panjat pokok.” Amierah berkata selamba sambil seakan-akan mengagankan dirinya memanjat pokok rambutan yang berada di kebun kawannya. Azrin ketawa senang.

“ Boleh. Kau panjat la pokok tu puas-puas. Eh tapi kalau semua ikut aku balik siapa yang nak temankan Nadia? Takkan dia sorang-sorang kat rumah besar ni? Nanti kalau jadi apa-apa macam mana?”

“ Woi mak cik. Cakap tu berlapik la sikit. Dah kalau kau mintak benda tak elok jadi kat dia nanti jadi betul baru tahu. Lagipun takkan heroin ganas macam dia ni takut kot.” Shahrina menjeling Nadia Asyila yang selamba mengunyah twisties sambil matanya menghadap televisyen.

“ Korang pergilah. Aku tak ada hak untuk halang gian korang untuk jadi monyet. Panjatlah semua pokok yang ada kat kebun tu.”

Nadia Asyila meneruskan tontonannya ke arah televisyen. Seketika kemudian, terasa mukanya mencium lantai ruang tamu apabila keganasan kawan-kawannya terserlah dengan mengerjakan badannya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku