Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 6
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1165

Bacaan






          Nadia Asyila menyandarkan badannya di kepala katil. Dia hanya memandang sepi Amierah yang lena di sebelahnya. Cemburu dengan kelenaan yang diperoleh oleh gadis itu. Dipandang potret yang tergantung kemas di dinding bilik. Wajah itu ditilik setiap inci. 

         ‘Kenapa kau masih lagi mahu memusuhi aku? Adakah kau mahu wujudkan kembali persengketaan antara kita? Aku sudah penat Fazar. Berhentilah memusuhi aku. Padamkan semua apa yang berlaku dulu. Biarkan kenangan silam itu terus terkubur bersama masa yang telah meninggalkan kita. Aku tidak lagi mahu berada di dalam kenangan itu. Terlalu menyeksakan. Aku sudah tidak sanggup untuk mendengar cemuhan kau.Kalaulah aku punya keberanian untuk bersuara dan menyatakan semuanya pada kau, apakah takdir akan menyebelahi aku untuk kali ini? Aku mahukan kita bersama-sama berada dalam anganan aku yang tak pernah padam. Kembalikan kenangan kita yang pernah indah.’

         Hatinya berbicara penuh mengharap. Terimbau-imbau kenangan tengah hari tadi di benaknya. Dipejam matanya rapat. ‘ Ya Allah, kenapalah mesti dia muncul kembali? Kenapa mesti dalam keadaan yang dia masih mendendami aku? Selepas lapan tahun. Kenapa hati aku masih utuh menyintainya walaupun dia buat aku macam sampah? hina aku macam tak ada maruah. Kenapa hati aku masih tega mengingatinya? Kenapa jiwa aku masih mengharapkan balasan cintanya? Salahkah aku kerana menyintai dia? Ya Allah, kenapa air mata ini murah kerananya? Kenapa mesti aku masih menyintainya walaupun aku tak pernah dihargai? Ya Allah, mampukah aku melawan semua peraasanku bila aku berdepan lagi dengannya? Ah! Aku benci dengan semua ni.’

        Dipandang kemas potret yang tergantung di hadapannya. Wajah itu sudah semakin tampan sekarang. Sudah ada perubahan dengan potret yang dilukisnya berdasarkan gambaran wajah lapan tahun yang lalu. Wajah kuning langsat yang dilihatnya tadi sangat elok dan tidak dinodai oleh kecacatan jerawat. Terlalu elok paras wajah itu. Hanya bibir lelaki itu yang masih berbisa seperti dulu.

       'Aku tidak pernah mengharapkan rasa benci kau bercambah untuk aku. Aku merayu Fazar. Buangkanlah rasa benci itu. Bukan kehendak hatiku untuk memperlakukan keadaan kau sebegitu. Kalaulah aku punya kekuatan, aku mahu kau tahu betapa aku tidak mengharapkan apa yang kau lalui dengan penuh penderitaan. Aku sayang kau. Dan aku tidak mahu kau membalasnya dengan perasaan benci yang tak pernah padam. Cukuplah hanya masa lalu. Datanglah masa sekarang dengan hati yang baru. Yang dapat menerima cinta aku. Aku berharap Fazar. Aku berharap. Ya Allah! Mengapa aku diberi ruang untuk merasai kesakitan ini? Mengapa aku tidak berdaya untuk membuang semua rasa cinta yang semakin beraja ini? Mengapa aku terlalu lemah untuk berdepan dengan semua dugaan perasaan ini? Mengapa Ya Allah? Apakah dugaanMu terlalu besar sehingga aku tidak langsung berdaya untuk melawannya? Atau adakah aku terlalu lemah dalam mengikut perasaan? Ah! Apa sekalipun, aku tidak sanggup untuk berdepan dengan semua ini sekarang. Aku tidak punya kekuatan untuk mencari di mana jalan keluar agar aku bisa bebas dengan kebahagiaan yang aku harapkan.’

       Nadia Asyila mengesat air matanya kasar. Dia merasakan bahawa dirinya betul-betul tertekan. Segera dicapai botol pil tidur yang berada di sebelahnya di atas sebuah meja kecil. Dibukanya botol pil itu tergesa-gesa. Dia mahu pil itu ditelan secepat mungkin supaya dia akan cepat lena dan dapat melupakan semua masalahnya. Belum sempat pil itu singgah di mulutnya, tindakannya dihalang. Amierah pantas merampas pil itu dan botolnya sekali. Nadia Asyila kaget. Dia terperangkap. Dia langsung tidak menyedari yang Amierah terjaga.

      “ Aku tahu, memang ada yang tak kena.”

       Nadia Asyila tergamam dengan apa yang diucapkan oleh Amierah. Sekali lagi dirasakan dirinya terperangkap.

     “ Nadia, pandang aku.”

      Nadia Asyila masih diam tak berkutik. Wajahnya ditunduk. Amierah mengubah posisinya agar lebih selesa. Diangkat wajah dihadapannya lembut supaya menatap pandangannya.

     “ Ceritalah.”

      Ucapan itu terlalu ikhlas pada pendengaran Nadia Asyila. Wajah yang keruh semakin redup. Amierah hilang kata-kata. Ditarik Nadia Asyila ke dalam pelukannya.

     “ Nadia, aku sayangkan kau. Aku nak kau tahu yang kau tak keseorangan. Aku sedia berkongsi segala-galanya. Begitu juga dengan kawan-kawan kita. Aku tahu, kau tak nak membebankan kami dengan masalah kau. Tapi kau perlu tahu yang kami tak pernah anggap masalah kau sebagai beban pada kami. Sebaliknya kami bersyukur kerana mengenali kau dan menjadi sahabat kau. Aku bukan nak mendesak atau memaksa kau. Terpulang pada kau sama ada nak cerita atau tidak. Itu hak kau. Tapi, aku tak tahan tengok kau macam ni. Kau tak pernah selemah ni. Hati aku sedih. Mungkin belum masanya untuk aku mengetahui apa yang apa yang tersirat di hati kau. Aku harap, bila dah bersedia, carilah aku. Anytime. Sekarang tidurlah! Mengucap banyak-banyak.”

        Amierah ingin melonggarkan pelukannya namun ditahan oleh Nadia Asyila. Akhirnya wanita itu tersedu. Air matanya mengalir laju. Amierah mengusap belakang Nadia Asyila perlahan-lahan. Menanti apa yang ingin disuarakan padanya.

      “ Aku jumpa dia.”

      Nadia Asyila lega. Terkeluar juga ayat itu dari mulutnya. Amierah seakan memahami walaupun dia ragu-ragu dengan tekaannya.

      “ Fazar?”

        Soalan Amierah itu hanya dianggukkan kepalanya sebagai jawapan. Amierah meleraikan pelukan. Satu keluhan kesal keluar dari bibirnya. Selama ini sudah puas dia menasihati perempuan itu supaya melupakan Fazar Azameer. Namun, usahanya langsung gagal. Nadia Asyila hanya mendengarnya sebagai angin lalu. Amierah memegang dahinya dan mengurut-urut perlahan. Air mata di pipi sahabat kesayangannya disapu dengan ibu jari.

      “ Kat mana?”

       Amierah hanya mengikut rentak Nadia Asyila supaya gadis itu meneruskan ceritanya.

       “ Dia buka sebuah syarikat kat Cheras. Kebetulan syarikat tu berlaku kecurian dan aku yang handle kes tu.” Nadia Asyila mulai tenang. Disusun satu persatu perkataan untuk dibicarakan pada kawannya.

       “ Macam mana reaksi dia?”

       “ Dia selamba je.”

       “ Masih kenal kau?” Wanita itu mengangguk perlahan-lahan.

       “ Selama ni kau tak pernah jumpa dia kan? Selepas apa yang berlaku lapan tahun yang lalu?”

       “ Emm. Tadi adalah yang pertama sejak kita keluar dari sekolah.”

       “ Jadi apa yang berlaku? Kenapa kau boleh jadi sampai macam ni?” Nadia Asyila kembali menunduk. Memainkan bucu selimut dengan tangannya. Entah apa yang dia perlu cakapkan untuk memberitahu kawannya itu.

      “ Ada dia cakap benda yang tak elok pada kau?” Nadia Asyila terdiam. Air matanya kembali menitis menodai pipi gebunya. Amierah memahami dan mendapat jawapan pada soalannya.

      “ Kau sorang je ke yang handle kes tu?” Nadia Asyila menggeleng.

      “ Dengan Syazwan”

      “ Aku harap kau boleh terima pandangan aku. Kau patut tolak kes ni. Biar je Syazwan yang uruskan.”

Pantas Nadia Asyila menggeleng. Mengangkal dan membantah apa yang diperkatakan Amierah.

      “ Tak boleh Mierah. Aku tak nak berlaku sesuatu yang tak diingini. Tadi pun dia dan Syazwan hampir bergaduh.” Nadia Asyila terlopong dengan apa yang keluar dari mulutnya. Dia terlepas cakap. Pandangan Amierah dibalas dan dia mengeluh. Wanita itu mengerti bahawa kawannnya ingin tahu apa yang berlaku.

      “ Syazwan tak tahan bila Fazar hina aku.” Amierah memegang rambutnya dan diramas sekuat hati. Turut geram dengan apa yang berlaku.

      “ Sekali lagi? Kau memang kena dengar apa yang aku cakap. Jangan buat main-main. Kau memang patut tolak kes ni.”

      “ Tak boleh Mierah. Okey, aku janji yang aku takkan campur adukkan hal peribadi dengan kerja. Kau pun kenal dengan aku kan?” Amierah menggeleng laju.

      “ Kau akan tewas.” Nadia Asyila kehilangan kata-kata.

         ********************************************************************************************

       Hampir separuh nasi dimakan oleh Amierah, dia menolak pinggan itu sedikit ke tengah meja. Syazwan dan Nadia Asyila juga turut sama membisu. Mereka sedar akan mood yang melanda salah seorang daripada mereka.

Syazwan sememangnya sudah tahu hujung pangkal apa yang membuatkan gadis itu marah. Cuma Nadia Asyila yang masih kabur dengan tekaannya. Amierah merenung tepat ke dalam anak mata Nadia Asyila. Gadis itu membalasnya. Satu keluhan yang kuat dilepaskan oleh Amierah.

“ Kenapa kau tipu aku?”

Amierah bertanya geram. Nadia Asyila hanya menunduk.

“ Kenapa kau terima kes tu?”

Suaranya dikuatkan. Nadia Asyila bungkam. Syazwan menyepak sedikit kaki Amierah di bawah meja apabila ada mata yang memandang ke arah mereka. Amierah cuba bertenang. Nadia Asyila masih membatu.

“ Kenapa ni Nadia? Sampai bila kau nak duduk dalam ruang yang sempit tu. Tak ada sesiapa menghalang kau untuk bebas. Kenapa kau ni bodoh sangat?” Amierah semakin hilang sabar. Percakapannya juga sudah terlepas. Namun suaranya sudah dikendurkan. Syazwan mengisyaratkan supaya Amierah lebih bersabar. Nadia Asyila menelan liur.

“ Kenapa? Bebaskanlah diri kau Nadia.” Suara yang kedengaran semakin sayu.

“ Hati aku tak mengizinkannya.”  Itulah jawapan Nadia Asyila. Amierah mengetap bibirnya kuat.

“ Itulah masalah kau. Kau yang merelakannya. Kau yang pilih jalan tu. Aku benci dengan sikap kau.” Amierah sudahpun mengalirkan air mata. Dia benci dengan sikap kawannya yang terlalu setia dengan benda yang tidak pernah menjadi miliknya. Entah apa yang membuatkan kawannya itu bertindak sehingga untuk terus berada dalam kesetiaan yang segila itu.

Dia sudah terlalu bingung dengan kawannya yang seorang itu. Kalau diikutkan hati tidak mahu lagi dia mengambil kisah tentang Nadia Asyila. Tetapi, rasa sayangnya kepada gadis itu melebihi rasa benci terhadap sikap gadis itu. Jadi, itulah yang berlaku sekarang. Dia kalah dengan sikap Nadia yang sentiasa tidak mahu mengalah dalam melayan perasaan cinta terhadap lelaki yang bernama Fazar Azameer.

Syazwan hanya mampu menunduk. Dia sendiri geram dengan sikap Nadia Asyila. Tapi simpatinya melebihi segalanya. Dia sama seperti Amierah. Tidak mahu gadis itu terus merana. Tapi apalah daya mereka jika itu kehendak Nadia Asyila.

“ Tiada apa yang boleh aku cakap selain kata maaf. Aku tahu yang aku bersalah kerana tidak menepati janji dan menipu. Tapi, apa yang aku lakukan semua ini hanyalah untuk membuatkan hati aku sedikit gembira. Gembira dari luka yang telah lama berdarah.”

“ Tak payahlah kau nak minta maaf. Dah fed up sangat telinga aku dengar kata maaf kau. Dah naik cair dah tahi telinga aku ni. Aku mintak sangat dengan Tuhan supaya suatu hari nanti akan dicelikkan jugak mata hati kau yang buta tu.” Amierah membidas geram. Nadia Asyila mengeluh. Tahap kesabaran kawannya telah menipis. Dia tahu apa yang berlaku adalah salahnya. Namun dia tiada daya untuk membetulkan apa yang telah dilakukannya. Bukan kehendak dirinya tetapi kehendak hatinya yang mahukan semua itu. Jadi salahkah dia?

“ Mierah. Tak baik kau cakap macam tu. Mungkin apa yang berlaku ni akan ada hikmahnya. Setiap apa yang ditentukan ilahi itu pasti akan terselit takdirNya yang tersendiri.”

“ Ini bukan takdir. Ini namanya mencari masalah. Masalah untuk membuatkan diri dia sendiri jadi gila.”

“ Kalau ya pun janganlah emosional sangat. Dah banyak mata yang pandang sini. Jaga profesion kau sebagai seorang guru.”

“ Ah! Bukannya diorang tahu pun yang aku kerja cikgu.” Amierah terus membidas. Syazwan membentuk-bentukkan mulutnya sebagai memprotes apa yang dibalas Amierah.

“ Maafkan aku. Mierah, Syazwan.”

Digenggam tangan Amierah dan memandang sayu ke arah Syazwan. Pandangannya penuh harapan. Mengharapkan sebuah pengertian.

‘ Mungkin satu hari nanti kamu akan faham.’



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku