Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 8
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
993

Bacaan






           Assalamualaikum

          Maaf dipinta jika kehadiran warkah ini mengganggu. Maaf juga dihulur kerana warkah yang menyimpan debaran ini bertamu. Bukan dari mata ke mata. Bukan apa, bimbang kiranya bertentang dari mata ke mata, apa yang dihajati tidak turun ke hati. Lidah juga kelu untuk menyambung kata.

        Akhirnya, Syam layangkan warkah ini untuk menyambung sebuah perhubungan yang lebih erat. Syam tahu yang Nadia belum dimiliki. Syam harap, kita bakal mencipta sejarah peribadi yang tersendiri.

       Syam tak hulurkan warkah ini untuk menjadi kawan kepada Nadia. Tapi, apa yang Syam harapkan adalah lebih dari itu. Sebuah hubungan suci di antara dua hati. Syam ikhlas.

     Andai keberanian itu milik Syam, pastinya Syam ketepikan kehadiran warkah ini. Sebagai penggantinya, bibir Syam yang akan terus mengungkapkan kata cinta. Diharap akan ada balasan kasih daripada Nadia.

    Maafkan Syam kiranya terlanjur bicara. Wassalam.

                                                    Debaran kasih menyinggahi nurani

                                                    Usikan rindu menyusul manja

                                                   Kata cinta dihulur buatmu si puteri

                                                   Keikhlasan kuiringi menepis dusta

                                                                                                              Dari hati yang terusik,

                                                                                                                    Iqmal Hisyam.

         Nadia Asyila terkedu selepas menamatkan pembacaannya. Hatinya sukar untuk menerima logik tentang apa yang terkandung di dalam surat yang dikirimkan Iqmal Hisyam.

        ‘Kenapa perlu ada perkara yang begini? Sejak bila semua ini berlaku?’ Nadia Asyila menelan liurnya sendiri. Tidak dapat menuturkan kata untuk membalas apa yang baru sahaja dibacanya. Lidahnya kelu.

        ‘ Kenapa Hisyam menyintai aku? Dan aku? Aku pula menyintai Fazar. Kawan baik Hisyam sendiri. Kenapa mesti ada percaturan yang sebegini? Dugaan apakah ini? Tak! Aku tak boleh menyintai Hisyam. Mustahil! Aku cintakan Fazar.’ Nadia Asyila melipat kembali surat di tangannya. Amierah memandang wajah Nadia Asyila. Mengharapkan ada sesuatu yang akan dibicarakan. Namun gadis itu hanya membisu. Belum sempat surat itu kembali memasuki perut sampul, Amierah pantas mengambilnya dari tangan Nadia Asyila. Gadis itu hanya membiarkan. Tiada apa yang perlu dirahsiakan.

        Amierah membaca tulisan tangan milik Iqmal Hisyam satu persatu. Lupa segala janjinya pada lelaki itu. Setelah selesai, Amierah menyandarkan badannya pada kerusi. Diangkat sedikit keningnya dan bibirnya mengukir senyum sambil matanya galak merenung Nadia Asyila dengan pandangan yang penuh makna. Nadia Asyila hanya mengangkat bahu dan menggeleng.

         “ Hei! Don’t be silly. Aku tengok Hisyam okey apa. Good looking. Dia pun ada stail. Padanlah dengan kau. Apa lagi yang kau nak? Dah dia luahkan rahsia hati dia pada kau. Sambut ajelah.”

          “ Benda macam ni, bukan selalu jadi kat kita. Ini dah kira peluang keemasan. Aku dengar ramai yang cuba tackle dia tapi tak dilayan. Dan sekarang, dia pulak yang nak tackle kau. Kau nak tolak? Fikir logik lah Nadia.” Sekali lagi Nadia Asyila menggeleng mendengar bicara kawannya.

          “ Kau ingat cinta ni mainan ke? Bukan semua benda dalam dunia ni, boleh dibuat main tau. Nanti tak fasal-fasal susah. Siapa nak jawab?”

         “ Okey, bagi sebab kenapa kau nak tolak dia?”

         “ Aku tak perlukan sebab. Hati aku bukan untuk dia. That’s all”

          “ Eh senangnya minah ni. Ini satu anugerah kau tahu. Sepatutnya kau bersyukur dengan semua ni. Ini tidak. Mentah-mentah pulak ditolak si Hisyam tu. Atau kau nak main tarik tali?”

          “ Apalah kau ni. Aku bukan macam tu lah. Buat apa aku nak terima dia kalau perasaan aku langsung bukan untuk dia. Tiada langsung. Zero.”

         “ Lagipun untuk apa aku terima dia kalau hanya nanti akan membuatkan dia terluka? Bukan jenis aku la untuk main-mainkan perasaan orang ni. Lagi-lagi bab cinta. Tak nak aku.”

        “ Eleh! Cakap jer gitu. Habis tu kau nak tunggu putera impian datang baru kau nak terima cinta seseorang? Bukannya aku tak tahu yang kau tak pernah bercinta sebelum ni.”

        “ Ke situ pulak kau ni. Memanglah aku tak pernah bercinta. Tak pernah ada pengalaman. Itu lah sebabnya aku tak nak nanti aku salah pilih atau salah buat keputusan.”

        “ Apa yang salahnya kalau kau pilih Syam? Aku tak pernah dengar yang buruk-buruk pun tentang dia. Walaupun aku tak kenal sangat dia tapi aku tak pernah dengar pulak yang dia ada rekod disiplin dalam sekolah ni.”

         “ Susahlah cakap dengan kau ni. Apa-apa pun aku memang tak boleh terima dia.”

         “ Emm ikut suka hati kau lah Nadia. Tapi, kau jawab sendiri dengan Hisyam. Aku tak nak tolong.” Nadia Asyila termangu. Gadis itu sudah membidasnya sebelum sempat dia berkata-kata untuk merancang dengan meminta pertolongan dari kawannya itu. Dipandang wajah kawannya itu dengan jelingan yang sengaja dibuat-buat. Dia tahu yang dia bakal menghadapi kesusahan kalau Amierah tidak membantunya.

         ‘ Macam mana aku nak cakap? Idea!’ Gadis itu tersenyum sendiri.

*********************************************************************************************

         “ Mierah, kau tolong bagi surat ni pada Hisyam.” Nadia Asyila sedikit merayu.

         “ Kan aku dah cakap. Tak nak aku.”

          “ Alah tolonglah. Kali ni je. Aku dapat surat dia melalui kau. Jadi aku kena lah balas melalui kau jugak. Kau kan kawan aku dunia akhirat. Tolonglah! Takkan benda sekecil ni pun tak boleh tolong. Please…”

         “ Itulah kau. Bagi alas an atas dasar kawan. Kalau aku tak sayang kau, malas aku nak tolong.”

         “ Aku tahu yang kau sayang aku. Maknanya kau nak tolong la kan?”

         “ Mengada-ngada. Manalah aku nak cari mamat tu.”

        “ alah kau pas jer kat sape-sape yang jadi kawan dia.”

         “ Amboi! Senangnya. Banyak cantik. Dah tu nape kau tak pas jer?”

         “Yelah-yelah aku salah cakap. Kau cari la dia kat mana-mana pun. Asalkan jumpa. Sekolah ni bukannya besar sangat pun. Lagipun kelas dia kat bangunan sebelah tu jer. Lagi baik kalau kau tahu meja dia. Terus jer masukkan dalam laci meja.” Nadia Asyila memandang wajah Amierah yang seakan bengang.

        “ Yelah. Aku tak cakap apa-apa dah.” Nadia Asyila menyambung kata. Bimbang kawannya itu membalasnya dengan peluru berpandu yang mungkin akan menyesakkan nafasnya. Dia tersenyum sendirian di dalam hati. Dia tahu yang walau berbakul Amierah merepek padanya, namun gadis itu akan tetap membantunya. Itulah yang sentiasa mengeratkan perhubungan mereka dan membuat Nadia Asyila begitu menyayangi kawannya yang seorang itu.

        Tanpa sepatah kata, Amierah menyambar surat yang berada di tangan Nadia Asyila dan berlalu pergi. Nadia Asyila tersenyum geli hati. Dia berdoa supaya Iqmal Hisyam memahami sepenuhnya apa yang tersirat dan tersurat di dalam surat yang dilayangkan itu.

        Amierah mencari kelibat Iqmal Hisyam di kantin. Puas dipanjangkan lehernya ke hulu dan ke hilir namun Iqmal Hisyam tidak juga menjamah pandangannya. Amierah berpusing untuk berlalu. Namun pergerakannya terhalang oleh badan tegap seorang lelaki. Amierah tersenyum bila menyedari bahawa Iqmal Hisyam adalah orang yang hampir dilanggarnya. Tanpa sebarang pamitan, Amierah menghulurkan sampul yang berada di tangannya pada Iqmal Hisyam. Iqmal Hisyam menyambutnya dengan penuh debaran.

        “ Thanks” Hanya itu yang meniti di bibir merah lelaki itu.

        “ Itu bukan balasan surat yang awak mahukan. Dia hantar balik surat tu.”

        “ Apa?” Iqmal Hisyam cuba melihat isinya.

        “ Tak payahlah gabra sangat. Saya gurau jer.” Amierah terus berlalu.

        “ Kurang asam punya budak.” Diluncurkan kata itu apabila Amierah sudah menjauh. Dipandang sampul surat yang berada di tangannya. Debarannya memuncak dengan tiba-tiba. Iqmal Hisyam mengasingkan diri dari kelompok rakan-rakannya. Langkahnya diatur ke arah padang sekolah. Kerusi di bawah pokok tanjung yang rendang dihampirinya. Dilabuhkan punggungnya di kerusi simen itu. Perlahan-lahan tangannya membuka sampul surat di tangan dan diteliti isinya satu persatu.

         Waalaikummussalam

        Tidak perlu ditutur kata maaf untuk mengungkap sebuah kata yang suci. Tidak perlu juga bertentang mata untuk melafazkan sesuatu yang indah.

        Syam, Nadia puji kejujuran dan keikhlasan Syam untuk mengikat satu hubungan. Nadia akui, Syam terlalu elok pada pandangan Nadia.

        Syam, tak perlu lagi Syam raih keberanian untuk berdepan dengan Nadia. Tapi, Nadia sokong kiranya keberanian yang Syam mahukan adalah keberanian untuk ikatan sebuah persahabatan.

      Syam, maafkan Nadia kerana memberi kata balas yang sebaliknya dari apa yang Syam harapkan. Syam tak terlanjur bicara dengan mengungkapkan kata cinta. Tapi mungkin Nadia yang tersilap kata kerana menolak keikhlasan Syam.

     Maafkan Nadia. Namun, Nadia mahu Syam tahu yang pintu hati Nadia sentiasa terbuka untuk Syam sebagai seorang sahabat. Sekian.

                                                 Bulan beradu di angkasa raya,

                                                 Matahari muncul mewujudkan siang,

                                                 Maafkan diri ini wahai teruna,

                                                Anggaplah persahabatan menggantikan sayang.

                                                                                                                   Salam persahabatan

                                                                                                                        Nadia Asyila.

          *****************************************************************************************

          Kuala Lumpur, Hari Ini 

          Nadia Asyila memberhentikan keretanya di bawah sebatang pokok yang agak rendang di bahu jalan. Kawasan yang agak tersorok dan gelap. Sengaja dipilih tempat itu untuk diparkirkan keretanya. Di pandangannya terbentang bangunan milik lelaki yang dicintainya. Matanya liar memandang ke seluruh kawasan dan pintu masuk Danau Mahligai Sdn.Bhd. Dia hanya bersendirian. Dia nekad untuk memerhatikan kawasan itu.

         Manalah tahu berkemungkinan si pencuri akan bertindak pada waktu malam. Mungkin untuk menghapuskan bukti. Mungkin malam ini pulangnya dengan sedikit hasil untuk memperkemaskan laporan.

         Sudah seminggu berlalu dengan penyiasatan yang hambar. Tiada bukti yang dapat dikumpul untuk mengaitkan seseorang. Hampir setengah jam menunggu, suasana tetap sesunyi tadi. Tiada apa-apa yang dirasakan mencurigakan.

         Tindakan Nadia Asyila untuk menghidupkan enjin kereta terbantut bila dia melihat susuk tubuh seorang lelaki yang mendekati bangunan syarikat tersebut. Pandangan lelaki itu terarah ke kiri dan kanan sebelum memasukkan kunci untuk membuka pintu utama.

         Setelah lelaki itu memasuki bangunan tersebut, Nadia Asyila pantas berlari untuk turut sama menyertai. Hatinya kuat mengatakan bahawa lelaki tersebut merupakan suspek utama dan mungkin kes yang dikendali akan menemui penyelesaian.

         Langkah yang amat perlahan diatur mendekati lelaki yang terbongkok-bongkok di bawah meja setiausaha Fazar Azameer. Sambil tangan lelaki itu galak mencari sesuatu. Firasat wanita itu semakin kuat. Nadia Asyila pantas memulas tangan lelaki itu ke belakang apabila menyedari yang lelaki itu ingin memalingkan tubuhnya.

         “ Hei, apa yang kau buat ni?” Lelaki itu membantah apabila dirinya diperlakukan sebegitu.

         “ Diam! Jadi selama ni kaulah yang…” Percakapan Nadia Asyila ternoktah dengan sendirinya apabila lelaki itu berjaya meloloskan diri dan berpusing menghadapnya.

        “ Fazar.” Nadia Asyila kaget.

        “ Ya aku! Apa yang kau buat kat sini? Mencuri?” Jerkahan lelaki itu amat menusuk jiwanya. Dia kalut seketika dengan serangan yang tiba-tiba. Langsung tidak dijangka.

         ‘ Sampai hati kau Fazar.’ Ketegangan di wajah Fazar Azameer reda bila melihat wajah di hadapannya seakan dihantui rasa bersalah. Kelat semacam. Mungkin dia tidak sepatutnya sekasar itu. Mungkinlah!

          Fazar Azameer melangkah perlahan-lahan mendekati wanita itu. Diambil dan dielus lembut tangan wanita di hadapannya. Seketika dikucup mesra tangan itu. Bibirnya setia di situ. Nadia Asyila bingung. Bagaikan menyenangi layanan mesra dari lelaki yang selama ini dicintainya. Fazar Azameer mendekatkan wajahnya pada wajah putih bersih milik wanita itu. Sasarannya ingin menyentuh bibir merah milik wanita itu. Semakin dekat, dekat dan…Nadia Asyila pantas menolak lelaki yang berbadan tegap itu. Nafasnya turun naik. Tubuhnya dirasakan berpeluh. Nadia Asyila berundur beberapa langkah ke belakang. Fikirannya kacau. Dia memandang tepat wajah lelaki itu yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Begitu bersahaja.

         Tanpa menunggu, Nadia Asyila pantas berlari keluar dari situ. Mencari tempat yang lebih selamat. Selamat dari segalanya. Setelah Nadia Asyila hilang dari pandangan, Fazar Azameer tersenyum sinis. Dia berjaya. Tujuannya hanya satu. Untuk mengetahui rahsia hati milik wanita itu.

         ‘ Dia masih menyintai aku.’ Fazar Azameer membuat penilaiannya sendiri.

         ‘ Permainan untuk kita masih panjang. Ia baru bermula. Apa yang kau mulakan lapan tahun yang lepas, aku akan kembali memulakannya dengan cara aku. Aku juga akan noktahkan permainan ini dengan sesuatu yang akan kau ingati sampai bila-bila.’ Sekali lagi dia tersenyum sinis dengan lagak wanita itu yang kalah dengan perasaannya. Tenggelam dalam rasa cinta yang tak pernah berbalas.

         ‘ Akan aku mulakan sandiwara dunia Nadia. Permainanku bermula dengan kebodohan yang kau sendiri cipta.’ Pandangannya yang memandang pintu yang telah dibolosi oleh badan Nadia Asyila dipandang dengan pandangan yang kosong. Seketika kemudian, diangkat kening dan bahunya. Fikirannya kosong untuk masa sekarang.

         Sambil bersiul-siul, Fazar Azameer memasuki bilik pejabat sementara apabila bilik pejabatnya yang sebenar terpaksa dikosongkan seketika untuk memudahkan pihak polis membuat penyiasatan terhadap kes kecurian yang berlaku di syarikatnya itu. Diatur langkahnya kemas sambil memegang dokumen yang dikehendakinya yang berada di dalam simpanan setiausahanya. Ada sesuatu yang perlu dibereskan.

         Nadia Asyila memandu tanpa arah tujuan. Hatinya berkecamuk. Apa yang telah berlaku tadi sukar untuk diduga oleh akal fikirannya. Air mata yang ditahan sedari tadi terhambur jua. Bila pandangannya semakin kabur dek air mata, Nadia Asyila memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia perlukan ketenangan. Dia merasa malu dengan dirinya sendiri yang senang terpedaya dengan kata hati. Dia tahu yang lelaki itu mungkin sengaja mempermainkan dirinya seketika tadi.

         Tapi, tiada apa yang dapat dilakukan untuk dia mempertahankan egonya. Seakan dirinya tidak bermaruah dan begitu hina untuk mendapatkan belaian seorang lelaki. Lelaki yang selama ini dicintainya. Dia langsung tiada daya untuk melawan rasa yang menyentak dada. Tiada apa yang dapat dilakukannya. Dirinya sentiasa menjadi kaku dan bisu apabila bersama dengan lelaki yang bernama Fazar Azameer.

         Lelaki yang ditunggunya tanpa jemu sejak lapan tahun yang lalu. Malangnya, lelaki itu tidak mendengar suara hatinya untuk dia menaikkan kembali rasa kehinaannya dengan ketulusan cinta yang dirasai. Seandainya mampu untuk dia membuktikan dengan sejelas-jelasnya kepada lelaki itu. Andai takdir itu ada dan wujud dalam selitan hidupnya.

       “ Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk aku menempuhi segala dugaanMu dengan penuh kesabaran. Aku tiada daya untuk menghalang rasa hati ini. Bantulah aku. Tunjukkan dia jalan yang setepatnya. Tunjukkan dia hati aku yang tidak pernah jemu menyintainya.” Air mata yang bercucuran, semakin laju dengan kamitan bibir yang mengharapkan belas dari yang maha Esa.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku