Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 10
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
994

Bacaan






Kuala Lumpur, Hari ini

Nadia Asyila dan Syazwan memerhatikan lelaki yang berlegar-legar di hadapan restoran Makanan Laut di Jalan Ampang. Lelaki itu sedikit gelisah. Dirinya mundar mandir ke kiri dan kanan seakan menanti seseorang.

Nadia Asyila dan Syazwan saling berpandangan. Mereka yakin suspek utama yang disyaki dalam kes kecurian proposal milik Danau Mahligai Sdn. Bhd. berada di hadapan mereka.

Sejak seminggu yang lalu, Syazwan turut bersama-sama Nadia Asyila turun padang untuk bersama-sama merungkai misteri di sebalik kes itu. Daripada maklumat yang mereka dapat, cap jari suspek yang berada di pandangan mereka banyak yang diperoleh.

Mungkin itu adalah satu petunjuk yang akan membawa mereka kepada umbi kes. Mereka yakin yang kes ini hampir berjaya diselesaikan. Desakan Fazar Azameer yang tidak pernah tahu sabar selalu menyinggah di telinga Nadia Asyila. Syazwan hanya buat pekak badak dengan apa yang dileteri oleh lelaki itu.

Hanya kesabarannya sahaja yang dikawal. Bukannya mereka tidak buat kerja. Cuma apa yang membawa kepada kes yang berlaku di syarikatnya itu memberikan petunjuk yang masih kabur.

Nadia Asyila hanya memekakkan telinga bila dimarahi oleh Syazwan dan Amierah. Begitu juga dengan kawan-kawannya yang lain. Semuanya gara-gara tentang apa yang berlaku pada malam dia keluar untuk mencari bukti seorang diri.

Segalanya kemas tersimpan sehinggalah Syazwan mendapat panggilan daripada Fazar Azameer yang mengatakan bahawa Nadia Asyila hampir menggari dirinya kerana mengesyaki dia terlibat.

Nadia Asyila bagaikan mati kutu bila Syazwan menyampaikan berita itu. Namun, gadis itu bersyukur kerana Fazar Azameer tidak menceritakan apa yang selebihnya berlaku pada malam itu.

Walaupun Syazwan mengesyaki ada perkara yang berlaku, namun dia hanya menayangkan muka selamba dan memutar belitkan cerita dengan membuatkan peratusan kepercayaan lelaki itu separuh-separuh. Akhirnya, Syazwan hanya mengangkat bahu dan kening untuk malas bertanya dengan lebih lanjut.

Dia malas untuk mendengar apa-apa cerita karut yang akan keluar dari mulut kawannya itu. Prinsipnya masih sama. Ada telinga dengar, ada mata lihat. Apa yang bakal berlaku, cuma tunggu dan lihat.

“ Nadia move!”

Syazwan pantas membuka pintu kereta untuk menyerbu suspek bersama seorang temannya yang dinantikan sedari tadi.

Nadia Asyila sedikit kalut. Tapi, gadis itu pantas dapat menyesuaikan diri dengan realiti dunia polisnya. Dia pantas melakukan perkara yang sama dan beriringan menuju ke arah suspek.

Nadia Asyila dan Syazwan berdiri kiri dan kanan di antara keduanya. Pantas bahu kedua-dua suspek dipegang.

“ Encik Amirul, Encik Basri. Kami polis. Kamu berdua ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian proposal hak milik Danau Mahligai Sdn. Bhd.”

Wajah kedua-duanya pantas bertukar warna. Pucat!

“ Kami tak bersalah. Kamu tak boleh sabitkan kami tanpa bukti.”

Mereka cuba meronta. Syazwan terpaksa mencengkam kuat lengan lelaki itu. Digari kemas. Nadia Asyila turut melakukan perkara yang sama.

“ Sila beri kerjasama. Ikut kami ke balai. Di sini tak sesuai untuk berbincang. Lagipun tak guna kamu menegakkan benang yang basah.”

Nadia Asyila berkata demikian apabila melihat proposal milik Danau Mahligai Sdn. Bhd. berada di dalam sampul surat coklat yang dirampas daripada Basri sebentar tadi.

Nadia Asyila dan Syazwan yakin yang kes kecurian ini akan selesai secepat yang mungkin setelah pemilik cap jari yang dicari selama ini ditangkap.

Beberapa hari yang lalu, mereka mendapat keputusan tentang cap jari yang dijumpai oleh mereka di dalam bilik pejabat Fazar Azameer. Selain daripada cap jari milik Fazar Azameer sendiri dan juga setiausahanya, mereka mmenjumpai satu lagi cap jari yang entah milik siapa.

Setelah melakukan penyiasatan dan mengekori suspek beberapa hari yang lalu, mereka mendapat hasilnya hari ini. Sengaja mereka membiarkan suspek bebas untuk beberapa ketika kerana mereka yakin ada dalang di sebalik kes kecurian itu.

“ Apa yang kamu cakap ni? Saya tak tahu apa-apa. Saya tidak ada kena mengena dengan apa yang ada dalam sampul tu. Jangan nak buat sembarangan. Kamu tak boleh menahan kami tanpa waran tangkap.”

Basri cuba menahan segala tindakan yang dilakukan terhadapnya. Syazwan semakin kejap memegang lengan Basri yang mula melawan. Walaupun tangannya telah kemas bergari.

“ Saya rampas sampul ni dari tangan kamu. Jangan ingat kami bodoh dan mudah diperdaya. Sebelum mengambil tindakan, kami sudah cukup bukti untuk menahan kamu.”

Nadia Asyila cuba menangkis pertikaian yang diperkatakan Basri.

“ Kau nak sangat waran tangkap atas nama kau? Ada dalam kocek baju aku ni. Malas aku nak berlembut dengan penjenayah macam kamu. Tak perlu pun untuk aku tunjukkan pada orang yang tak pandai nak menghormati orang lain macam kamu ni.”

Syazwan terus menolak batang tubuh suspek agar tidak lagi membuat onar di tempat awam. Dia mahu segera berlalu dari situ apabila ada banyak mata yang mula memandang ke arah mereka.

Amirul dan Basri segera dibawa ke kereta milik polis wanita itu. Kereta terus dipandu menuju ke balai polis.

******************************************************************

Setelah setengah jam disoal siasat, Basri dan Amirul mengaku segala tuduhan. Amirul merupakan seorang pekerja kilang. Dia telah diupah oleh Basri yang merupakan pengurus di syarikat Danau Mahligai Sdn. Bhd.

Amirul sanggup melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang bila disogok dengan wang. Inilah dunia. Wang adalah segala-galanya. Alas an yang terlampau mudah. Bukan ada kerumitan atau masalah dalam hidup. Segalanya adalah tentang wang.

Nadia Asyila dan Syazwan lega kerana kes kecurian syarikat kepunyaan milik lelaki yang mempunyai kaitan yang berbeza dalam hidup masing-masing telah selesai. Kedua-duanya melemparkan senyuman yang puas apabila melangkah keluar dari bilik soal siasat.

******************************************************************

Fazar Azameer menghempas kuat gagang telefon setelah mendengar bicara Syazwan. Marahnya bukan kepada lelaki itu tetapi tentang berita yang baru singgah di telinganya. Memang dia tidak menyangka. Basri orang yang dipercayainya sanggup menikamnya dari belakang.

Ditumbuk mejanya kuat. Geram. Tangannya menepis segala dokumen yang bersepah di atas meja. Berterabur segalanya. Dia sememangnya bengang dengan apa yang berlaku. Tapi dia bersyukur kerana proposal syariktnya selamat. Segalanya masih bersih tanpa dijual kepada mana-mana syarikat pesaingnya.

Aku akan dakwa kau Basri. Tekadnya.

Fazar Azameer menghempas punggungnya kasar di kerusi. Geramnya masih bersisa. Dicapai handphonenya dan dicari nombor telefon milik Nadia Asyila. Ingin ditekan punat hijau di jarinya. Namun segara ditekan butang cancel.

Akalnya berfikir waras.

untuk apa? Aku takkan berterima kasih pada perempuan tu. Itu dah memang tugas dia. Dia pernah hancurkan hidup aku. Aku takkan maafkan dia. Takkan!

Fazar Azameer meramas rambutnya kuat. Fikirannya bercelaru. Diperhatikan kembali telefon bimbitnya. Selama ini dia sering mengganggu wanita itu dengan menghubungi Nadia Asyila dengan menggunakan telefon pejabatnya.

Fazar Azameer memandang di kejauhan dan fikirannya mengimbau kembali kenangan yang menggigit hatinya. Pedih!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku