Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 13
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
959

Bacaan






Oktober 2006

Nadia Asyila berteleku di dalam telekung sembahyang. Seketika kemudian diletakkan kepalanya rapat ke lantai. Terus dibaringkan badannya di sudut bilik itu. Semangatnya lemah. Dia telah tewas.

Air matanya turun mencurah-curah. Betapa sakit hatinya. Pedih luluh dirasakan di segenap jiwanya. Sudah sebulan pertemuannya dengan Fazar Azameer. Selama sebulan juga Nadia Asyila cuba memujuk lelaki itu untuk menyambung kembali persahabatan mereka yang terputus.

Pernah lelaki itu menghinanya di tempat umum. Apabila gadis itu tersenyum, lelaki itu pantas menjeling. Nadia Asyila yakin yang Fazar Azameer benar-benar membencinya.

Tapi tidak aku. Kenapa aku masih terlalu menyintainya walaupun dia menghina aku berkali-kali? Kenapa aku tidak boleh membencinya?

Semakin lebat air mata gadis itu membasahi sejadah. Rasa hatinya sendiri telah mengkhianatinya kini. Meletakkan dia di antara insan yang lemah dalam mengawal perasaan.

Lelah untuk dia bernafas dalam suasana yang semakin kalut dengan rasa kebencian yang telah diwujudkan oleh Fazar Azameer.

Walaupun berita itu masih belum tersebar kepada kawan-kawan rapatnya, namun dia bimbang kiranya satu hari nanti segalanya akan kedengaran di telinga mereka. Angin Fazar Azameer sudah tidak boleh diduga.

Dia tidak lagi semesra dulu. Sifat mesra itu seakan langsung sudah tiada di dalam dirinya. Ataupun, mungkin sudah tiada hanya untuk dirinya.

Air mata yang menitis diseka dengan belakang tangan. Dia mahu menahan sendu yang semakin kuat. Tidak mahu kedengaran sehingga ke luar bilik. Bimbang nanti ibunya akan menjengah dan menyiasat usul yang menyebabkan keadaannya begitu.

Bukan dia meminta untuk sesedih itu. Tetapi dia langsung tiada daya untuk menahan tangisan apabila mengenangkan sikap Fazar Azameer sekarang. Terlalu memilukan hatinya.

Lama dirinya merenung apa yang telah terjadi dalam hidupnya dalam masa yang singkat ini. Terbayang juga wajah Iqmal Hisyam yang mula berjinak-jinak bermain di ruang matanya. Dia perlu melakukan penyelesaian dengan lelaki itu.

Sesuatu perlu dilakukan. Segalanya perlu diselesaikan. Dan sekarang, dia punya caranya. Mungkin itu adalah yang terbaik.

******************************************************************

Pagi sabtu yang cerah menggerakkan hati Nadia Asyila untuk menghubungi Iqmal Hisyam. Salam diberi dan dijawab. Hati lelaki itu berbunga riang.

Wajahnya yang kelat bertukar ceria. Bingung apabila gadis itu tiba-tiba menghubunginya. Selama ini tidak pernah sekalipun gadis itu berbuat demikian.

“ Syam, boleh kita jumpa?”

Iqmal Hisyam bingkas dari pembaringan. Betulkah apa yang menyapa gegendang telinganya? Lelaki itu pantas menjawab.

“ Sure.”

Setelah mengucapkan apa yang patut, Nadia Asyila meletakkan gagang.

“ Apakah apa yang aku nantikan selama ini akan menjadi kenyataan? Apakah dia sudah mula membuka hatinya untuk aku?”

Iqmal Hisyam memandang wajahnya di cermin bilik. Perlahan-lahan dia melemparkan senyuman. Khas untuk dirinya sendiri. Entah kenapa yang dia merasakan akan ada berita baik yang akan disampaikan oleh Nadia Asyila.

Segala kekalutan yang dialaminya sejak sebulan yang lalu dapat ditangkis dengan hanya penggilan daripada gadis itu. Hatinya begitu berbunga. Tidak sabar menunggu hari minggu yang bakal menjelang.

******************************************************************

Nadia Asyila memandang air tasik yang beralun di hadapannya. Dia sedar Iqmal Hisyam sedang memerhatikan setiap apa yang dilakukannya. Lelaki itu sedikit resah. Tiada patah perkataan yang keluar daripada bibir gadis kesayangannya.

Hari ini, dia sanggup ponteng kuliah yang digemarinya. Sanggup memandu lebih dua jam meredah lebuh raya. Sekarang dia buntu. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Diperhatikan gadis itu yang mematah-matahkan jemarinya.

Dilihat seakan ada beban yang ditanggung oleh wajah itu. Tidak seceria selalu. Wajah itu pucat pada pandangannya kala ini.

Apakah diri itu berada dalam keadaan yang tidak stabil? Apakah kesihatannya berada dalam pantauan doktor? Iqmal Hisyam menggeleng kepalanya setelah kembali ke alam realiti. Telah jauh dia berfikir untuk satu jawapan yang dia sendiri tidak tahu. Segalanya hanya agakan yang tiada jawapan.

“ Nadia sihat?”

Lelaki itu sedar yang dia perlu memulakan bicara.

“ Alhamdulillah. Syam?”

Ada senyuman yang terukir di bibir keduanya.

“ Syam pun sihat. Kenapa Nadia nak jumpa Syam? Ada masalah ke?”

Nadia Asyila memandang wajah tampan di hadapannya. Senyumannya melebar buat lelaki itu. Seketika kemudian, dia menggeleng.

Tersentuh hatinya dengan sikap yang ditunjukkan oleh Iqmal Hisyan. Namun, dia tidak boleh memaksa hatinya untuk mencintai lelaki itu. Cintanya hanya untuk Fazar Azameer. Jelajahilah setiap ruang di hatinya. Hanya nama lelaki itu yang ada. Sahabat Iqmal Hisyam sendiri.

“ Mungkin untuk kali terakhir Nadia boleh meminta diari yang Syam simpan.” Nadia Asyila memandang wajah Iqmal Hisyam. Tiada lagi senyuman pada wajah itu. Berubah menjadi kelat.

Iqmal Hisyam kalut seketika. Melarikan pandangannya dari bertembung dengan pandangan Nadia Asyila.

“ Err.. Syam.”

Tidak tahu apa yang harus diperkatakannya.

Sebulan yang lalu, dia bagaikan orang gila apabila mengetahui yang diari Nadia Asyila hilang. Silapnya sendiri kerana cuai sehingga beg sandangnya tertinggal di dalam bilik kuliah.

Berhari-hari makannya tidak menentu. Bimbang jika diari itu jatuh ke tangan seseorang yang tidak bertanggungjawab. Apa yang paling dirisaukan seandainya diari itu diambil oleh Fasha.

Puas dia bertanya perempuan itu sekiranya ada ternampak beg sandangnya di dalam bilik kuliah. Hatinya kuat mengatakan yang kehilangan beg sandangnya tanpa jejak adalah kerja Fasha.

Jika mahu dituduh kawan-kawan sekelas yang lain, semuanya tidak mungkin akan mengkhianati dirinya. Pasti beg sandangnya akan dipulangkan kepadanya.

Namun, untuk masa yang telah lebih daribada sebulan, tetap juga tiada sesiapa yang mengembalikan beg sandang itu. Memang hatinya kuat mengatakan yang Fasha telah mengambil beg sandang tersebut.

Untuk memaksa, dia tiada hak. Bimbang kiranya sesuatu yang lain akan dilakukan oleh Fasha. Bukannya dia tidak mengenali perempuan itu. Sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingannya.

Hanya orang buta sahaja yang tidak dapat melihat muslihat yang dicipta oleh perempuan licik itu. Tetapi ada seseorang yang jelas telah dibutakan oleh perempuan itu. Kawan baiknya sendiri. Fazar Azameer.

Dia malas mahu memberitahu apa sebenarnya yang direncanakan oleh perempuan itu. Bimbang kira hati kawannya itu akan beralih kepada si pencinta setia yang sedang dicintai oleh dirinya saat ini.

Dia tidak mahu Nadia Asyila menjadi milik Fazar Azameer. Biarlah takdir yang akan menetukan apa yang terbaik di antara hubungan Fasha dengan Fazar Azameer.

Dia malas mahu masuk campur. Biarlah onar yang dilakukan oleh Fasha diketahui sendiri oleh Fazar Azameer. Pasti masanya akan tiba.

Iqmal Hisyam kembali kaget apabila dunia realitinya telah kembali. Dia tidak tahu untuk menyuarakan apa yang sepatutnya.

Tidak tahu alasan apa lagi yang harus diberikannya untuk mengelak permintaan gadis kesayangannya itu. Dia bimbang kiranya dirinya akan terperangkap dalam jerat sendiri.

Nadia Asyila memerhati gerak langkah lelaki itu yang serba tidak kena. Dia tahu yang lelaki itu resah. Dia tidak mahu cepat melatah dengan membuat andaian tanpa mendengar penjelasan daripada Iqmal Hisyam.

“ Diari itu ada dengan Nadia sekarang.”

Lelaki itu pantas mencari anak mata Nadia Asyila. Tidak sedar yang mulutnya sedikit ternganga. Gadis itu memandang mulut lelaki itu tanpa segan silu. Iqmal Hisyam pantas menutupnya. Nadia Asyila tersenyum.

“ Macam mana boleh ada dengan Nadia?”

Gugup dia menuturnya.

“ Nadia ingat jawapan yang pasti ada dengan Syam.”

Gadis itu menjungkitkan sedikit keningnya.

Iqmal Hisyam hilang punca. Akhirnya dia membuka satu persatu cerita tentang kelalaiannya. Nadia Asyila tenang mendengarnya. Dia yakin yang lelaki itu tidak akan mengkhianatinya.

Iqmal Hisyam yang dikenalinya terlalu baik peribadinya. Memang dia tidak patut menyalahkan jejaka tampan itu. Segalanya adalah kehendak takdir. Hanya pegangan itulah yang mampu memujuk hati Nadia Asyila.

“ Maafkan Syam.”

Perasaan bersalah menyerbu jiwa lelakinya. Gadis itu tersenyum.

“ Nadia tak salahkan Syam.”

Perasaan terharu menerpa di hati lelaki itu. Bibir itu turut sama mengukir senyuman. Bersyukur!

“ Kenapa Nadia terlalu baik dengan Syam? Macam mana Syam nak lepaskan Nadia bila kita berpisah nanti?”

Iqmal Hisyam mendongak ke dada langit dan melepaskan satu keluhan kasar. Seakan-akan melepaskan pergi semua masalahnya.

Nadia Asyila memandang Iqmal Hisyam dengan pandangan yang dia sendiri sukar untuk menafsirkannya. Bagaimana mungkin dia menyalahkan lelaki itu. Semua yang berlaku berpunca dari kelalaiannya sendiri.

Lelaki itu terlalu baik untuk disakiti. Walaupun dia tidak dapat menafikan yang selama ini dia menyeksa batin lelaki itu dengan menolak cinta sucinya.

Maafkan Nadia Syam.

“ Nadia, betul yang Nadia tak dapat terima Syam dalam hidup Nadia?”

Lelaki itu inginkan kepastian. Nadia Asyila merasa pelik dengan soalan yang tiba-tiba lari dari topik itu.

Gadis itu tahu yang dia perlu memberi jawapan pada persoalan yang diutarakan Iqmal Hisyam. Jawapan yang akan mengecewakan lelaki itu entah untuk kali yang keberapa. Lagipun itulah tujuan sebenar dia melakukan pertemuan ini. Untuk memujuk lelaki itu memadamkan kasihnya yang memekar.

Dia tidak mahu terus mendera dan tidak mahu lelaki itu terdera. Keadaan akan menjadi lebih rumit. Dia hanya perlu kekuatan untuk menggali rasa kejujuran yang dikumpulnya sebelum pertemuan.

Dia mahu meluahkan setelah berlaku perpisahan mereka pada petang ini, tidak akan ada lagi rasa yang melebihi ikatan persahabatan. Itulah sejujurnya apa yang dia mahukan.

Disedut udara yang menginggah rongga pernafasannya sedalam mungkin. Setelah itu dilepaskan keluhan yang panjang. Mencari sedikit kekuatan.

“ Syam, Nadia langsung tak bermaksud untuk kecewakan Syam.”

Dipandang wajah Iqmal Hisyam dengan satu rasa yang dia sendiri tidak pasti. Entah rasa bersalah atau apa. Tapi dia harus meneruskan patah perkataan yang disusunnya sekian lama.

“ Hati ini memang tak boleh nak menerima Syam. Bagi Nadia, Syam memang tiada cacat celanya pada pandangan ni. Tapi, cinta Nadia bukan untuk Syam. Biarlah kita terus berkawan Syam. Jodoh kita tak lebih daripada tu. Maafkan Nadia.”

Nadia Asyila menunduk memandang rumput yang menghijau di kakinya. Hatinya resah. Dia tidak sanggup memandang insan yang terluka di hadapannya. Terluka dengan apa yang baru dikatakannya. Terluka dengan sikapnya. Hati Nadia Asyila tenang. Setenang air tasik yang beralun megah di hadapannya.

Iqmal Hisyam menyedari yang hatinya benar-benar terluka saat ini. Apakah dia telah benar-benar tewas?

Apakah sudah tiada ruang langsung untuk dia melebarkan rasa cintanya? Dirasakan pada saat itu juga dia mahu menangis. Kalaulah dia tidak punya ego, pasti dia akan menangis dan merayu kepada gadis yang sedang menolak cintanya.

Benar, yang dia terlalu mencintai. Kasihnya tidak pernah surut malah sentiasa memekar. Kalaulah gadis itu boleh memahami. Sudah puas dia mengatakan cinta. Namun, dia sedar yang dia tetap kalah. Selama ini dia telah kalah dan hari ini dia benar-benar kalah.

Dia tidak mahu menerima kekalahan pada hari-hari yang lepas kerana dia yakin pasti akan ada waktu untuk dia mengubah rasa cinta Nadia Ayila untuk beralih kepadanya.

Kini, dia tahu yang dia tidak pernah diberikan peluang untuk terus mempersembahkan cintanya. Percakapan gadis itu terlalu jujur di pendengarannya kini.

Dia tahu yang dia harus menerima kekalahannya pada saat ini. Dia malu dengan kelalaian dirinya yang menyebabkan kehilangan diari milik gadis itu.

Pastinya ramai yang telah membacanya dan pastinya Fazar Azameer salah seorang daripada insan yang telah merendahkan maruah Nadia Asyila. Sejujurnya dia malu.

Malu kerana meletakkan situasi gadis itu dalam keadaan yang pastinya merumitkan. Semuanya adalah silap dirinya. Pasti Fazar Azameer telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada Nadia Asyila. Bukan dia tidak mengenali kawan baiknya itu.

Iqmal Hisyam memejamkan matanya seketika. Kini ruang untuknya pula mengaku satu kejujuran. Dia mahu menyusun ayat yang terbaik agar dia tidak terus menangisi kegagalannya.

“ Nadia. Syam tak mahu jadi kawan Nadia. Syam nak lebih dari itu. Kalau Nadia betul-betul tak boleh bagi hati Nadia pada Syam, Syam akan cuba terima. Tak mungkin kita akan jadi kawan Nadia. Maafkan Syam kerana mengganggu hidup Nadia selama ini. Syam akan pergi. Syam janji Syam takkan ganggu Nadia lagi. Cuma, sebelum Syam pergi. Syam ada satu permintaan.”

Nadia Asyila mendongak mencari wajah Iqmal Hisyam. Dia sedar, dari tutur kata lelaki itu ada sebak yang cuba ditahan. Nadia Asyila juga begitu. Dadanya turut sebak.

“ Apa dia Syam?”

“ Izinkan Syam simpan kenangan yang Nadia pernah hadir dalam hidup Syam.”

Air mata Nadia Asyila merembes keluar. Baginya, tidak ada salahnya jika itu adalah permintaan terakhir lelaki itu. Mungkin hatinya tidak terlalu parah jika dia pergi dengan kenangan itu.

Mungkin dia tidak patut menghampakan harapan yang menggunung lelaki yang menanti jawapannya. Akhirnya gadis itu mengangguk perlahan. Betapa luluh hatinya saat ini dengan kedegilan Nadia Asyila yang terlalu mengagungkan cintanya kepada Fazar Azameer.

Kenapa cinta Syam terlalu dalam untuk Nadia? Syam sebenarnya kabur dengan janji yang Syam buat. Syam tak yakin dapat hidu tanpa kasih dan cinta Nadia.

Dilontar kata-kata itu jauh ke lubuk hatinya.

Maafkan Nadia Syam. Kalaulah Nadia punya kuasa untuk membuatkan hati Nadia turut menyintai Syam, pasti dari dulu lagi Nadia lakukannya. Namun, Nadia tak mampu untuk lakukan semua itu. Maafkan Nadia.

Gadis itu terus bermonolog.

Hatinya hiba apabila Iqmal Hisyam dilihatnya menahan perasaan. Dia amat memahaminya. Tapi, dia tiada daya untuk membantu. Kesakitan mereka sama. Menyintai insan yang tidak menyintai mereka. Rumit! Dipandang wajah ayu milik Nadia Asyila. Bagaikan mahu terus bersatu. Sekian lama dia cuba bertahan. Menahan segalanya. Menahan air mata jatuh ke bumi. Tapi hari ini dia tewas.

Ditenung dalam mata gadis yang dicintainya. Dihadiahkan senyuman. Hambar!

Walaupun matanya masih kabur dek air mata, wajah gadis itu masih dapat dilihatnya dengan penuh kejernihan. Satu keindahan wajah yang takkan pernah padam untuk terus menjadi kenangannya. Nadia Asyila mengesat sisa air mata dengan belakang tangannya.

“ Terima kasih Nadia. Syam akan pergi. Hilang dari pandangan Nadia.”

Gadis itu semakin sebak. Bukan itu yang dia mahukan sebenarnya. Tapi, ada betulnya keputusan lelaki itu. Jika dia berterusan ada di hadapan mata Iqmal Hisyam, jiwa lelaki itu akan terseksa. Akan merasa sakit yang teramat. Dia sedar kerana dia juga merasai perkara yang sama. Untuk mengambil keputusan seperti lelaki itu, tidak mungkin baginya. Kerana wajah Fazar Azameer adalah ubat segala kesengsaraan. Dialah racun dan dialah penawar.

“ Nadia akan tunggu Fazar?”

Gadis itu tersenyum kelat. Iqmal Hisyam dapat menilainya.

Jika itulah mahumu sayang, apa dayaku untuk menghalang.

Setelah lama jiwa mereka berkocak dengan perasaan yang berbagai, Iqmal Hisyam berlalu dengan langkah yang longlai.

*****************************************************************

Iqmal Hisyam menjeling ke arah Fasha yang sedang galak bergelak ketawa dengan Syed Faizal. Rasa meluatnya benar-benar membukit untuk gadis itu. Apa yang dia rasakan selama ini memang benar.

Fasha yang mengambil diari Nadia Asyila dan membuat khianat kepada gadis itu bagi melepaskan dirinya dari terperangkap dengan permainan cinta yang dilakukannya.

Tiga hari lalu dia menghubungi Fazar Azameer untuk bertanyakan tentang diari Nadia Asyila. Marah lelaki itu keterlaluan kepada Nadia Asyila. Namun itu bukan apa yang menjadi persoalan.

Apa yang dia tahu memang Fasha yang menyerahkan diari itu kepada Fazar Azameer. Sudah banyak tangan yang memegang diari itu. Apa yang ditakutkannya selama ini sudah menjadi kenyataan.

Geramnya semakin kuat kepada perempuan yang sedang menempelkan kepalanya di bahu Syed Faizal. Lantaklah! Lagipun, Fazar Azameer ada mengadu dengannya tentang perpisahan yang berlaku.

Cuma, apa yang membuatkan hatinya berbulu adalah kerana alasan yang digunakan untuk melakukan perpisahan. Sungguh biadap perempuan yang bernama Fasha.

Namun, apabila direnung kembali apa yang telah berlaku, mungkin itu juga memberikan keuntungan kepada dirinya.

Fazar Azameer menumbuhkan rasa bencinya kepada Nadia Asyila. Pasti takkan wujud rasa cinta. Untuk itu juga, dia mengambil keputusan untuk merahsiakan hal yang sebenarnya tentang apa yang berlaku dari pengetahuan Fazar Azameer.

Sekali lagi pandangannya dikerlingkan kepada Fasha yang semakin galak dengan sikap mengada-ngada yang ditunjukkannya. Digelengkan kepalanya berkali-kali.

“ What’s wrong with you Syam? Apa yang kau tak puas hati dengan aku?”

Fasha menjerit lantang secara tiba-tiba. Kelas yang pada awalnya agak riuh kerana menanti kedatangan pensyarah bertukar sunyi.

Iqmal Hisyam hanya membetulkan duduknya. Malas mahu melayan perempuan yang sebegitu.

“ Hei. Aku bukan bercakap dengan tunggul.”

Sekali lagi dikuatkan suaranya. Syed Faizal yang berada di sebelahnya hanya diam. Seakan menyokong. Bukan dia tidak melihat jelingan yang dibuat oleh Iqmal Hisyam seketika tadi.

Fasha bangun dari tempat duduknya. Mendekat dengan tempat yang diduduki oleh Iqmal Hisyam. Merampas buku yang kononnya dibaca oleh lelaki itu.

“ Kau tu apahal? Aku tak nak cari fasal dengan kau. Jadi kau tak payah nak kacau aku.”

“ Yang kau duk jeling aku dari tadi tu kenapa? Aku ni belum buta lagi.”

“ Dah tu kenapa? Suka hati akulah. Mata aku.”

“ Kau jangan nak cakap bodoh macam tu lah dengan aku.”

“ Jadi kau sakit hati?”

“ Kau tau yang sebenarnya sakit hati dengan aku kan?”

“Tak ada faedahnya aku nak sakit hati dengan orang macam kau. Kau duduklah Fasha. Aku malas nak bertekak fasal hal yang remeh temeh macam ni.”

“ Hal apa? Atau kau cakap hal tentang diari kekasih hati kau yang mencintai kawan baik kau sendiri? Hal tu?”

Iqmal Hisyam bangun dari duduknya.

“ Kau jangan nak melampau. Kau tak ada hak nak campur hal peribadi aku. Dan bukan ke kawan baik aku tu kekasih kau yang kau curangi dan bermain cinta dengan mamat tak guna ni?”

Dituding jari telunjuknya ke muka Syed Faizal.

“ Ho ho… kau jangan melampau bro.”

Syed Faizal mula mendekat.

“ Tak ingin aku nak masukkan hidup aku ni dalam kamus hidup kotor korang.” Iqmal Hisyam mencapai beg sandangnya dan berjalan menuju pintu keluar dari bilik kuliah. Sudah tiada mood untuk dia menghadiri kuliah pada petang itu.

“ Kau telah lama masuk campur dalam hidup aku selama ni. Bukannya aku tak perasan dengan setiap pandangan kau.”

Fasha membidas. Iqmal Hisyam mematikan langkahnya. Kembali berpaling memandang wajah Fasha.

“ Kalau betul aku nak masuk campur, dah lama aku kacau hidup kau. Dah lama aku bocorkan segala rahsia kau. Cuma aku malas. Kesian dengan perempuan yang macam kau ni. Dan untuk pengetahuan kau, aku ni masih ada hati perut. Bukan macam kau yang tak pernah puas hidup atas kesengsaraan orang lain.”

“ Kau…”

Iqmal Hisyam senyum sinis dan menggalas beg sandangnya kemas ke belakang badan. Serentak itu dibuka pintu bilik kuliah dan dia keluar dengan rasa yang puas.

Fasha memandang sekeliling. Pandangan mata kawan sekelas dibalas dengan tajam.

“ Apa tengok-tengok? Apa korang tu insan suci sangat? Hahhh!”

Dilepaskan geramnya dengan menolak kerusi yang berada di hadapannya. Syed Faizal menenangkannya dan menyuruhnya kembali melabuhkan duduk.

“ Tak payahlah nak hiraukan orang macam tu. Bukannya dia boleh buat apa-apa pun.”

Cuba ditenangkan teman wanita yang sedang panas. Wajah Fasha mencuka. Geram apabila terbayang wajah Iqmal Hisyam yang senyum sinis seketika tadi. Seakan mengejeknya. Setiap patah yang diperkatakan lelaki itu juga tadi membuatkan dia rasa terpukul.

Semakin menambahkan geram di hatinya. Namun dia tahu yang tidak mungkin Iqmal Hisyam akan menceritakan perihal dirinya kepada Fazar Azameer.

Dia boleh mengagak akan kebimbangan lelaki itu tentang rasa cinta yang mungkin terbit di antara Fazar Azameer dan Nadia Asyila. Itu merupakan sesuatu yang tidak menguntungkan dirinya.

****************************************************************

Iqmal Hisyam memandang nama yang tertera di telefon bimbitnya. Dia mengeluh. Pasti Fazar Azameer akan membincangkan perkara yang sama lagi. Pasti meminta pertolongannya lagi untuk berjumpa dengan Fasha.

Dia bukan tidak mahu menolong. Cuma, dia tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan Fasha. Diangkat juga telefon itu apabila kedengaran nada dering yang agak bingit itu seakan mengganggu beberapa orang yang turut berada di situ.

“ Hello.”

“ Apasal kau lambat angkat?”

“ Tak ada apa. Kenapa?”

“ Tolong aku Syam. Aku betul-batul nak jumpa dengan Fasha. Hanya kau jer yang boleh tolong aku. Dah puas aku call aku sms dia langsung tak ada respon.”

“ Kau lupakan je la dia. Keadaan kau macam ni, tak elok. Nanti melarat.”

“ Aku Cuma nak kau bawa dia keluar jer Syam. Bagi je apa-apa alasan supaya dia sudi keluar dengan kau. Lepas tu aku take over la.”

“ Senangnya kau cakap kawan. Aku ni dah la lama dah tak ngam dengan dia. Kau nak suruh aku ajak dia keluar pulak. Nanti orang fikir dunia ni dah nak kiamat.”

“ Alah Syam. Takkan tu pun kau tak boleh tolong. Aku tahu dia masih sayang dan cintakan aku.”

Iqmal Hisyam menjuihkan bibirnya. Susah untuk dia buat kawan yang seorang ni faham.

“ Dah dia minta putus maknanya dia suruh kau lupakan dia la tu.”

“ Susahlah kau ni Syam. Takkan kawan sendiri pun kau tak boleh tolong.”

“ Yelah. Nanti la aku cakap dengan dia.”

“ Eh kau jangan cakap yang aku nak jumpa dia pulak.”

“ Yelah! Tahu lah aku.”

“ Thanks Syam. Kau lah kawan aku dunia akhirat.”

Setelah menjawab salam yang diberikan Fazar Azameer, Iqmal Hisyam memandang telefon bimbit yang berada di tangannya. Terbayang wajah Fasha dengan muka manja yang dibuat-buatnya. Sekali lagi Iqmal Hisyam mengeluh.

Walau apa sekali pun, janji kepada Fazar Azameer harus dipenuhi. Kasihan dengan kawannya yang tak pernah putus mengejar cinta perempuan yang tidak pernah jujur dalam sebuah perhubungan. Memang lelaki itu telah dibutakan.

Cuma satu persoalan sahaja yang terlintas di fikirannya. Macam mana caranya untuk dia melakukan pertemuan kedua-duanya. Baru seketika tadi dia telah membuat ribut dengan perempuan itu.

Apakah dia perlu meminta maaf dan memujuk untuk keluar bersama? Ngeri dia memikirkannya. Tidak sanggup untuk dia keluar berdua dengan perempuan licik itu. Tapi dia perlu melakukan sesuatu. Dan apakah ‘sesuatu’ itu? Sekali lagi dia pening.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku