Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 17
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
948

Bacaan






“ Syam berikan masalah pada Nadia ke?” Iqmal Hisyam berkata sambil wajahnya terus memandang jalan.

Apa hal pulak mamat ni tanya aku macam tu? Macam-macam! Nadia Asyila rimas dengan lelaki yang berada di sebelahnya. Dia sudah penat untuk berlembut. Dulu semasa zaman persekolahan, dia selalu berlembut dan kemas mengingati janji yang pernah dibuat oleh Iqmal Hisyam.

Tetapi, sejak pertemuan semula yang wujud antara mereka, lelaki itu memungkiri janjinya. Itu yang dia malas mahu melayan Iqmal Hisyam dengan baik. Asalkan dia menyedari yang layanannya kepada lelaki itu tidaklah terlampau teruk dan tidak juga terlalu mesra. Dia mahu lelaki itu faham yang di antara mereka takkan pernah ada hubungan kasih yang akan tercipta. Dia tidak mahu memberikan sebarang harapan. Nanti keadaan akan menjadi lebih rumit.

“ Nadia tak rasa macam tu pun. Kenapa?” Ringkas. Iqmal Hisyam tenang dengan pemanduannya.

“ Tapi mata Nadia menunjukkan semua tu. Mata tak pernah menipu.” Hai nak berfalsafah pulak. Kalau dah tahu buat-buat reti jelah.

Wanita itu hanya membisu. Geram. Entah kenapa dia merasa tidak senang apabila berduaan dengan lelaki itu.

“ Nadia, Syam…” Kata-katanya terhenti apabila Nadia Asyila memotong.

“ Syam please… Syam tengah memandu. Nadia tak nak berlaku perkara yang tak diingini.” Lelaki itu senyum. Tak mungkin kalau hanya sekadar bercakap dia akan hilang fokus dalam pemanduan. Wanita itu hanya sengaja mencari alasan. Iqmal Hisyam sedar.

“ Syam takkan biarkan perkara tu berlaku kerana Nadia adalah nyawa Syam.” Nadia Asyila mengeluh. Sudah acap kali dia mengeluh selama berada di atas muka bumi ini. Sebahagian besarnya adalah kerana lelaki yang bernama Iqmal Hisyam.

“ Syam please lepaskan Nadia. Nadia tersepit dengan keadaan ini.”

“ Syam akan terus biarkan Nadia tersepit. Sebab Syam tahu bila Nadia berada dalam keadaan tu, Syam ada dalam hati Nadia.” Eee geram betul aku dengan mamat ni. Aku cakap macam ni dia bangkang macam tu. Tak faham betul!

Tanpa disedari wanita itu menghentakkan sedikit kakinya di lantai kereta. Iqmal Hisyam sedikit menjeling dan tersenyum. Nadia Asyila mencuka. Baginya, tidak ada lagi yang lebih layak dari reaksi itu.

“ Esok Syam datang ambil.” Nadia Asyila pantas menggeleng.

“ Tak payahlah Syam. Menyusahkan je. Nadia tumpang Mierah je.”

“ Syam rela disusahkan Nadia. Selalu pun tak apa. Tak payahlah susahkan Mierah. Jalan dengan dia kan tak sama. Nanti lewat pulak dia sampai sekolah.” Nadia Asyila mati kutu.

“ Nadia boleh naik teksi.” Nadia Asyila pantas menutup pintu kereta.

“ Esok pukul lapan.” Lelaki itu bersuara sedikit tegas dan pantas memecut keretanya. Satu perkara yang paling disenangi dengan perempuan yang dicintainya, Nadia Asyila selalu membahasakan dirinya dengan nama walau dia marah sekalipun. Itu yang membuatkan Iqmal Hisyam semakin jatuh hati dengan permpuan itu. Dia tidak pernah boleh untuk merasa marah dengan wanita yang dicintainya.

*****************************************************************************************************

“ Pandai-pandai je nak mengarah aku. Bila la mamat tu nak faham agaknya. Cakap elok-elok dia buat tak reti. Kalau tegas sikit dia buat muka seposen. Kalau buat serius tayang muka macam tak ada perasaan. Eee… geramnya.” Nadia Asyila menghempaskan briefcase di tangannya ke atas sofa. Sedikit ganas.

“ Apa yang kau bebelkan tu Nadia?” Amierah menyapanya sambil menghulurkan mug yang berisi air kepada wanita itu. Nadia Asyila menjeling sekilas. Minah ni pun satu. Nak cakap tu main redah je. Nak tegur tu sekurang-kurangnya bagilah salam dulu. Makin naik adalah geram aku ni. Dia membebel di dalam hati kerana Amierah tiba-tiba sahaja bersuara di belakangnya. Dia sedikit terperanjat. Tapi tidak ditunjukkan.

“ Tak nak ke?” Amierah mengangkat keningnya yang cantik terbentuk. Nadia Asyila tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Akhirnya Amierah meletakkannya di atas meja sofa yang berdekatan. Adalah tu yang tak kena. Apa lagilah bala yang datang.

Amierah bersahaja memandang kawannya itu sambil merapatkan mug ke bibirnya. Nadia Asyila menjeling Amierah yang tidak jemu memandangnya. Amierah malas mahu bertanya. Bukan dia tidak kenal Nadia Asyila. Kalau maslahnya susah sangat nak berkongsi. Sia-sia saja dia tanya. Kalau dia tak nak cakap bagi emas bertongkol pun dia takkan cakap. Itulah Nadia Asyila.

Nadia Asyila melepaskan keluhan berat. Diambil mug yang berisi air tadi dan diminumnya. Habis! Nafasnya ditarik dua tiga kali. Dipandang muka Amierah tepat. Minum pulak. Amierah senyum dalam hati.

“ Aku nak minta tolong boleh?” Disuarakannya pada gadis itu. Amierah mengangguk. Bersedia menghulurkan bantuan.

“ Kau tolong beritahu Hisyam supaya jauhkan diri dia daripada aku. Aku dah give up. Dah berbuih mulut aku beritahu. Tak ada hasil langsung.” Emm pasal Hisyam rupanya.

“ Apa yang dia dah buat pada kau?” Amierah menyoal. Nadia Asyila mendengus.

“ Tak kisahlah dia buat apa pun, apa yang pasti hidup aku akan aman kalau dia tak muncul.” Kali ini Amierah pula yang mendengus.

“ Boleh aku cakap sikit?” Nadia Asyila membatu. Nak cakap,cakap ajelah! Nak mintak-mintak izin pulak.

“ Sebenarnya,apa yang kurangnya Syam, aku tengok dia okey. Baik, cinta dan sayang kan kau separuh nyawa. Entah-entah sekarang ni dah seluruh nyawa. Aku pun tak tahu, kalau nak dibandingkan dengan Fazar, aku tengok Syam lagi handsome. Aku tahu yang kau tak buta untuk tengok semua tu. Kerja dia pun okey. Tak bertentangan dengan undang-undang. Caring, selalu tanya tentang kebajikan kau. Bagi aku tak ada sebab untuk dia jauhkan diri daripada kau, Kalaulah aku, bahagia hidup, kalau kahwin dah beranak pinak dah pun. Tapi kau degil! Tetap jugak nak tunggu si Fazar yang entah apa-apa tu! Dalam hal cinta, kau memang buta. Tak tahu menilai mana yang lebih baik. Kalau aku jadi kau, dah lama aku sambar Hisyam. Takkan kecewakan dia seumur hidup, apatah lagi setiap saat!”

Nadia Asyila terasa disindir. Dia mahu Amierah menyebelahinya tapi sebaliknya berlaku.

“ Kalau tak nak tolong, cakap ajelah! Tak payah nak bagi ceramah.” Nadia Asyila terus berlalu ke tingkat atas. Hatinya sedikit terusik. Merajuk! Kawan-kawan yang lain hanya memerhati. Tak berani masuk campur. Mereka sedar yang mulut Amierah hari ini sedikit laser.

“ Biarlah dia bertenang dulu.” Azrin menepuk perlahan bahu Amierah. Wanita itu memandang sepi anak tangga yang baru dipijak oleh Nadia Asyila.

Dah puas aku berlembut tapi tetap juga macam tu. Hisyam terus datang dengan huluran cintanya. Fazar pula kembali menambah luka dihati kau. Dan kau, mengapa masih menunggu cinta jantan tak guna tu? Aku pening dengan kau Nadia. Maafkan aku kerana berkasar. Niat aku suci.

Amierah meletakkan dagunya diantara kedua-dua belakang tangan. Paha Azrin dijadikan alas. Terus melayan karenah fikirannya yang terlekat pada kaca televisyen.

Hai nampaknya bala kali ni datang daripada aku. Amierah terus bermonolog.

***************************************************************************************************

Nadia Asyila merebahkan badannya di atas katil. Kepalanya pusing dengan telatah pelbagai watak hamba Allah yang dikenalinya. Ah! Kalau fikir tak mandi aku. Dia pantas mencapai tuala yang tersangkut di kepala katil.

Setelah hampir setengah jam, Nadia Asyila melangkah keluar dari bilik mandi. Di pandang sekilas Amierah yang sedang memandangnya. Nadia Asyila terus menyarung pakaian ke badannya tanpa menghiraukan wanita yang tidak jemu memandangnya.

Nak minta maaflah tu! Malas aku nak layan.

“ Maafkan aku. Aku tak bermaksud nak kecilkan hati kau. Buat kau terasa.” Nadia Asyila membelek wajahnya dihadapan cermin. Amierah mendekati wanita itu.

“ Nadia, kau dengar tak? Aku minta maaf.”

Nadia Asyila tidak menunjukkan apa-apa reaksi pada bicara Amierah. Dia semakin galak menyapu bedak pada wajahnya. Meratakan kiri dan kanan. Amierah berlalu meninggalkannya dan duduk di birai katil.

“ Kau dah tak macam dulu Nadia. Dulu, sebesar mana pun salah aku, bila aku minta maaf kau terus angguk. Aku sedar memang silap aku kerana cakap macam tu pada kau. Tapi besar sangat ke salah aku? Aku tak bermaksud langsung untuk sindir kau. Apatah lagi nak hina kau.” Nadia Asyila menjeling kawannya melalui cermin.

“ Kau tak payah nak berfalsafah kat sini pulak. Aku tak nak dengar.” Sinis balasan daripada Nadia Asyila.

“ Terpulanglah. Aku cuma sindir sikit je tapi kau dah bagi reaksi macam ni. Aku bukan menghina kau macam Fazar. Berjuta kali lelaki tu hina kau tapi kau tak pernah bencikan dia. Ya,! Kau ada hak untuk marah atau benci aku. Sebab aku hanya Amierah. Seorang kawan yang langsung tak penting. Bukan Fazar Azameer. Seorang lelaki yang tak pernah berhenti untuk kau cintai. Terlalu besar perbezaannya.” Amierah berkata tajam. Nadia Asyila berpaling dan mengadap kawannya itu. Masih nak cari fasal lagi ke?

“ Kau tak payah cakap. Kali ni aku tak buta. Aku tahu kau Amierah bukan Fazar.” Nadia Asyila memberi reaksi. Positif! Melayan kata-kata tajam Amierah. Azrin dan Shahrina yang berada diluar bilik saling berpandangan. Memasang telinga! Mahu mendengar bicara seterusnya.

“ Tahniah! Aku tabik sebab mata kau masih elok. Pandang aku! Aku hanya Amierah yang tak berikan apa-apa makna dalam hidup kau. Tak macam Fazar yang kau letak dia di tempat yang paling dalam dan paling indah dalam hati kau.”

“ Habis kenapa? Kau jelouse?” Perang mulut terus berlaku.

“ Hei sorrylah. Aku tak ada masa nak jelouse. Aku kasihan sangat kat Hisyam sebab mencintai perempuan macam kau ni.”

“ Kau jangan melampau Mierah. Jaga sikit mulut kau tu. Aku tak pernah minta Hisyam cintakan aku.”

“ Kenapa? Kau nak gari aku? Nak bawa aku masuk lokap? Kesalahan aku belum cukup berat kalau nak dibandingkan dengan Fazar.” Nadia Asyila hilang bicara. Bagai mahu di telan Amierah hidup-hidup.

“ Kau tak payah nak pandang aku macam tu. Aku langsung tak takut.” Nadia Asyila bertambah berang. Kemarahannya sukar di kawal.

“ Kalau sepatah lagi kau cakap, tahulah apa nasib kau.”

“ Kau nak buat apa?” Nadia Asyila pantas meluru ke arah Amierah namun langkahnya terhenti apabila mendengar jeritan Azrin yang sedang menguak daun pintu.

“ Apa yang berlaku ni? Mierah? Nadia? Selama ini korang takde nak gaduh-gaduh maca ni. Aku tengok macam isi dengan kuku bagai. Berkongsi suka dan duka. Susah nak bertekak. Kenapa sebab lelaki kamu perlu bergaduh?” Azrin sedikt menjerit dengan kata-katanya.

“ Bukan aku tapi dia.” Kedua-duanya berkata serentak dan saling menunjuk sesama sendiri.

“ Ah, dua-dua sama.”

Azrin bersuara kuat. Bengang dengan apa yang berlaku. Dia menghentakkan kakinya persis anak kecil dan terus berlalu. Shahrina yang berada di muka pintu sedikit mengaduh apabila bahunya di langgar. Amierah dan Nadia Asyila saling berpandangan. Seketika kemudian kedua-duanya menghadiahkan jelingan.

“ Kau yang mulakan.”Amierah masih lagi mahu memanjangkan rasa geramnya.

 “ Aku pulak. Kau lah yang start dulu.”

“ Kau takkan pernah sedar diri melainkan kau lupakan tentang lelaki yang tak pernah mencintai kau. Jangan pernah jadi macam orang yang tak ada maruah. Memperhambakan diri dengan rasa cinta yang entah apa-apa.”

“ Apa yang kau cakap ni? Kau yang tak sedar sebenarnya.”

“ Okey. Memang aku tak sedar. Dan orang yang tak sedar diri ni nak sedarkan kau. Aku tahu macam mana caranya.” Shahrina dan Aini yang berada di pintu bilik berdebar dalam menunggu apa yang akan berlaku. Ingin masuk campur tapi takut tersalah cakap. Mereka menjadi kalut apabila langkah Amierah melangkah ke arah potret yang tergantung kemas di sudut bilik itu.

“ Apa yang kau nak buat ni Mierah?”

Nadia Asyila gagal menghalang apabila tangan Amierah sudahpun mencapai potret yang dilukis tangan itu dan menghempaskannya ke lantai bilik. Bingit kedengaran bunyi kaca yang berderai. Kesemua yang ada terpempan. Azrin yang menghilangkan diri seketika tadi kembali menapak di dalam bilik. Kesemua yang ada juga sudah menapakkan kaki mereka di dalam ruang bilik.

Nadia Asyila terduduk. Setitik air matanya gugur juga. Terkilan dengan apa yang berlaku. Ketiga-tiga yang lain memandang muka Amierah dengan perasaan yang terkejut. Wajah itu selamba. Seakan tiada perasaan bersalah.

“ Sampai hati kau buat aku macam ni.”

Nadia Asyila berkata dengan nada yang sebak. Dia tidak menyangka akan tindakan kawan yang disayanginya.

“ Aku nak kau sedar. Bangun dari tidur kau yang dah terlalu panjang. Takkan ada orang dalam dunia ni yang akan buat kerja bodoh macam kau.”

“ Tak ada salahnya aku biarkan dia hidup dalam hati aku.”

“ Salah. Sangat-sangat salah kalau kau nak tahu. Diri kau sendiri tak boleh nak hidup dengan keadaan kau macam ni. Ada dia kisah tentang kau? Tak ada kan? Ada dia ambik tahu fasal kau? Tak pernah sekali pun kan? Ada dia rindu dan cintakan kau? Tak pernah dan tak mungkin pun kan? Jadi apa yang kau tunggu dan kau nak buktikan? Pada siapa? Pada kami? Pada Syam? Pada semua orang? Kau nak ceritakan pada semua orang tentang apa yang kau alami selama ni? Tak akan ada yang kisah dengan kau. Kecuali kami yang sayangkan kau. Kecuali Syam yang tak pernah berhenti mencintai kau. Sedarlah Nadia. Tolong sedar.”

“ Kau takkan pernah faham hati aku.” Kesayuan kata-kata yang lembut itu meniti di bibir Nadia Asyila.

“ Sudahlah! Tolonglah! Aku benci dengan ayat kau. Aku benci dengan pengulangan ayat kau tu. Dah jemu aku dengar. Dah nak naik cair tahi telinga aku ni dengar.” Amierah masih dengan nada yang tadi. Sedikit tinggi. Dia terlalu geram dengan kawannya seorang itu. Azrin bersimpuh di sebelah Nadia Asyila yang masih setia dengan duduknya. Mengusap perlahan-lahan belakang badan perempuan itu. Cuba memujuk. Aini memberi isyarat mata kepada Shahrina supaya turut sama menenangkan Amierah.

“ Sudahlah. Tak payahlah nak bincang fasal ni malam ni. Nanti tak fasal-fasal korang yang gaduh”

Aini menepuk dahinya perlahan dengan apa yang dicakapkan Shahrina. Adoi! Bukankah sekarang ni mereka tengah hangat bergaduh? Bukan setakat bergaduh. Boleh jadi nak berperang besar. Kenapalah minah ni boleh cakap macam tu pulak. Shahrina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Menyedari yang dia tersalah cakap.

“ Shahrina malam ni aku tidur kat bilik kau.”

“ Haa….” Shahrina terpinga-pinga. Dia seakan masih tidak percaya dengan apa yang baru berlaku.

“ Baguslah!” Nadia Asyila bersuara dalam nada yang masih lembut. Hatinya begitu terkilan dengan apa yang dilakukan Amierah. Dia pantas mencapai bantal dan selimutnya. Selepas itu terus memanjangkan langkahnya keluar dari bilik . Sekali lagi bahu Shahrina di rempuh.

Ya Allah, apa nak jadi ni? Perang dunia ketiga ke apa ni? Shahrina memanjangkan lehernya memandang Amierah yang menuju kebiliknya. Sekilas kemudian di pandang pula Nadia Asyila di birai katil dengan kesedihan yang masih bersisa. Dia bingung. Tidak tahu apa yang patut dilakukan.

******************************************************************************************************

Fazar Azameer memungut kaca yang berderai dari gelas yang terlepas di tangannya seketika tadi. Secara tidak sengaja tangannya terlepas gelas yang berisi jus oren. Entah macam mana dia boleh menjadi selalai itu. Salama ini jarang dia memecahkan barang-barang. Cuma tadi mungkin tangannya licin akibat dari kesan sabun yang masih melekat di tangannya semasa membasuh tangan.

“ Kata orang akan ada petanda yang tak baik.”

Dia bermonolog sendiri. Selepas itu dia menjuihkan bibirnya. Tidak mahu percaya dengan firasat yang sebegitu. Beberapa minit kemudian, dia mengisi jus yang baru di dalam gelas. Membawa ke meja kerjanya. Kembali menghadap laptop yang terbuka dengan memaparkan proposal yang masih tidak lengkap.

Dipandang seketika jam di dinding apartmennya. Menunjukkan sepuluh minit menghampiri ke angka dua belas malam. Sekejap tadi rasa mengantuk menyinggah di matanya. Namun, dia perlu menyiapkan proposal yang perlu dibentangkan dengan sebuah syarikat yang akan berkongsi bajet dalam menghasilkan barangan elektrik terbaru. Dia tidak mempunyai banyak masa kerana proposal akan dibentangkan dalam masa tiga hari lagi.

Dia membawa langkahnya memandang keindahan malam di beranda luar. Beberapa hari kebelakangan ini, entah mengapa dia merasakan ada yang tidak kena dengan dirinya. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

Sesuatu yang paling tidak diduganya. Hatinya membantah keras dengan apa yang fikirannya mahukan. Entah kenapa wajah Nadia Asyila seringkali bermain-main di ruang fikirannya. Hatinya puas menepis segala kemungkinan. Tidak mungkin dia akan menjilat ludahnya sendiri dengan menyimpan perasaan selain perasaan benci kepada perempuan itu.

Sudah hampir sebulan dia tidak mendengar khabar atau bertemu dengan Nadia Asyila. Sejak kes kecurian di syarikatnya selesai, dia tidak lagi mengganggu perempuan itu.

“ Kenapa aku rasa macam rindu bila aku tak kacau dia?” Diteguk perlahan jus oren yang berada di tangannya.

“ Apakah semua ni ada maksud yang tersirat?”

-Kau dah mula jatuh hati dengan dia Fazar. Fazar Azameer mencari suara yang muncul dengan tiba-tiba. Sedikit tersentak.

-Aku adalah suara hati kau. Betul kan apa yang aku cakap? Kau dah mula jatuh hati dengan dia?

“ Kau siapa nak cakap macam tu? Aku tak mungkin akan mencintai dia. Dengan alasan apa untuk aku mencintai dia?”

-Kau mula rasa rindu. Perasaan benci kau yang selama ni kau suburkan akan disirami pula dengan rasa cinta pada dia.

“ Diam!”

-Aku takkan pernah diam. Aku cuma cakap apa yang kau akan hadapi.

“ Kau tak layak nak cakap apa-apa”

- Aku suara hati kau lah bodoh. Aku lebih layak dari segala-galanya.

“ Aku cakap diam.”

-Kau akan kalah. Suatu hari nanti kau akan mengaku yang kau mencintai dia.

“ Ah! Tak mungkin!”

-Kau akan merampas orang yang kawan kau cintai. Kau akan membuatkan hati Syam tercalar. Kau akan menjadi seorang yang kejam.

“ Diam! Aku cakap diam.”

Fazar Azameer menjerit kuat. Dibaling gelas yang berada di tangannya ke arah dinding. Berderai.

“ Ah! Semua ni kerja gila. Aku tak mungkin akan mencintai dia. Siapa dia untuk aku cintai? Dia hanyalah seseorang yang selalu menyusahkan hidup aku.” Dia mendengus kasar.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku