Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 19
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
937

Bacaan






Nadia Asyila buru-buru menyeluk poket seluar jeans yang dipakainya bila telefon bimbitnya berbunyi. Private number? Siapa? Dia terus menekap telefon bimbit ke telinganya setelah menekan butang hijau. Belum sempat dia memberi salam terlebih dahulu pemanggil itu menyeru namanya. Sedikit cemas.

“ Nadia kau kena tolong aku.” Pemanggil itu masih dengan suara cemasnya. Nadia Asyila meletakkan kembali barangan kraftangan yang berada ditangannya. Suara pemanggil itu seperti pernah didengari. Tetapi siapa?

“ Bertenang. Siapa ni?” Nadia Asyila mengawal suaranya agar tidak turut cemas.

“ Aku Lin. Kau kena tolong aku.”

“ Apa yang berlaku?” Nadia Asyila bertanya. Tolong aku! tolong aku! bukannya nak cakap apa masalahnya. Sempat lagi Nadia Asyila mengutuk.

“ Ilias. Nantilah aku cerita. Nyawa aku dalam bahaya. Tolong datang ambil aku kat bus stop kat depan kedai makan Fatihah kat jalan Cheras. Cepat sikit Nadia. Tanpa terus menunggu, Nadia Asyila pantas berlari merempuh kasar pintu masuk Kedai kraftangan yang dikunjunginya. Dibuka kasar pintu kereta wira aeroback miliknya. Gear dimasukkan dan kereta meluncur laju menuju ke destinasi yang berada dikepalanya.

Fazar Azameer mengangkat tanganyya ingin memanggil wanita yang menjamah pandangan matanya. Hampir keluar suara melepasi anak tekaknya. Namun dia menahan. Tidak jadi diteruskan niatnya apabila melihat Nadia Asyila terburu-buru menuju pintu keluar apabila menerima panggilan telefon. Mungkin ada kecemasan yang memerlukan dirinya dengan kadar yang segera.

“ Untuk apa aku nak panggil dia?” Fikirannya menyoal dengan tiba-tiba. Pantas dijatuhkan tangannya yang agak meninggi. Dia sendiri tidak sedar yang dia akan memberikan reaksi yang sebegitu pada wanita yang menjamah pandangan matanya seketika tadi.

-Kan betul apa yang aku cakap. Kau dah mula cintakan dia.

Fazar Azameer kembali mendengar suara hatinya.

“ Diam.”

-Sampai bila-bila pun aku takkan diam. Kenapa susah sangat kau nak mengaku yang kau cintakan dia?”

“ Aku tak nak dengar apa-apa. Jangan nak cari masalah dengan aku.”

-Kau yang ciptakan masalah dengan hati kau sendiri. Takkan cintakan dia konon. Kau hipokrit.

“ Aku cakap diam.”

-Kau nak beremosi dengan aku? kau dah mula takut dengan bayang-bayang kau sendiri Fazar.

“ Aku tak cintakan dia.”

-Ya! Kau cintakan dia.

“ Never!”

-Hipokrit.

“ Shut up.”

-Kau cintakan dia.

“ Damn!” Fazar Azameer pantas keluar dari kedai kraftangan. Dibatalkan niatnya untuk membeli sesuatu yang menarik untuk dihadiahkan pada setiausahanya yang bakal menimang cahaya mata sulung.

Dia benci apabila kata hatinya mula berperang dengan fikirannya. Entah apa yang sebetulnya dia rasakan pada saat ini, dia sendiri tidak pasti. Segalanya berserabut. Bercanggah.

*************************************************************************************************

Nadia Asyila memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan bus stop yang disebut Radlina. Mana pulak dia pergi. Tadi suruh aku datang sini. Tak ada pun. Tiba-tiba pintu keretanya dibuka dan seseorang meluru masuk. Nadia Asyila sedikit terperanjat.

“ Hei! Awak ni siapa? Awak silap masuk keretalah.”

“ Ni aku Lin. Cepat bawa aku pergi dari sini.” Nadia Asyila telan liur. Terus memandu menyusuri jalan raya yang sibuk.

“ Kenapa kau pakai macam ni?” Nadia Asyila menyoal Radlina yang sedang menyedut udara sebanyak mungkin untuk membantunya bernafas. Baru disedari wanita itu seperti benar-benar ketakutan.

Nadia Asyila menunggu bila Radlina membisu. Dipandang atas bawah tubuh Radlina. Wanita itu hanya memakai sandal yang dipadankan dengan seluar jeans biru berserta baju lengan pendek dan memakai topi juga bercermin mata hitam. Sebahgian topi menutu separuh bahagian mukanya.

Nadia Asyila hampir-hampir tidak mengenali wanita itu kerana rambutnya yang panjang mengurai dimasukkan ke dalam topi yang dipakai. Macam tomboi. Langsung tidak sesuai bila difikirkan title peguam yang dipegangnya. Dia tersenyum dalam hati. Namun seketika cuma bila menyedari keadaan temannya yang gusar. Tapi sekarang wanita itu sudah sedikit tenang. Nadia Asyila memberhentikan kereta di pinggir jalan.

“ Lin.” Nadia Asyila mengambil tangan Radlina dan dielusnya lembut. Lebih kepada menenangkannya. Radlina membalas genggaman Nadia Asyila dan memandang wajah insan yang baru saja membantunya.

Nadia Asyila terpempan apabila melihat jelas kesan kebiruan di mata sebelah kiri kawannya. Dia baru perasan. Tadi wajah itu hanya nampak sebelah pipi sahaja kerana Nadia Asyila peka pada pemanduannya. Disentuh perlahan kesan biru itu. Radlina mengaduh.

“ Siapa yang buat kau macam ni?” Radlina tidak dapat menahan tangis. Sayu suara Nadia Asyila yang menyapa telinganya menggamit air mata itu.

“ Teman lelaki aku. Ilias.”

“ Ni kes naya. Jantan tak guna.”Radlina mengambil sesuatu di dalam saku jeans yang dipakainya. Helaian kertas. Diberikan kepada Nadia Asyila. Wanita itu membuka dan membaca helaian kertas yang pertama.

‘ Ingat! Kalau rahsia aku bocor aku bunuh kau.’ Nadia Asyila membaca pula helaian kertas yang kedua.

‘ Kalau polis dapat tahu aku cincang kau sampai mampus.’ Nadia Asyila melipat kembali helaian kertas di tangannya.

“ Boleh aku tahu dengan lebih dalam?” Nadia Asyila pasti apa yang berlaku pada kawannya adalah serius.

“ Ilias mengedar dadah. Minggu lepas secara tidak sengaja aku terdengar dia bercakap dengan kawannya tentang dadah. Dia dapat tangkap aku. Selama itu jugalah dia kurung aku dalam rumah dia. Hari ni aku dapat lepaskan diri.” Nadia Asyila lebih memahami. Dipandangnya beg pakaian yang berada di seat belakang. Tadi dia tidak ambil kisah tentang beg itu. Kini dia yakin yang wanita itu benar-benar dalam kesusahan.

“ Kau perlu bantu aku Nadia. Jangan bagi dia tangkap aku lagi. Dia akan bunuh aku.” Radlina betul-betul ketakutan. Diraih wanita itu ke dalam pelukannya. Diusap perlahan belakangnya.

“ Aku janji Lin.” Radlina pantas mengeratkan pelukan dan menangis tersedu sedan.

“ Sekarang kita pergi balai buat report. Untuk sementara waktu ni, kau tinggal je dengan aku.” Radlina mangangguk bersama air mata.

“ Terima kasih Nadia.” Nadia Asyila tersenyum dan mengangguk. Bersimpati dengan kawannya.

“ Macam mana kau boleh dapat nota ni?” Dari tadi Nadia Asyila pening. Sedangkan dia diberitahu yang Ilias mengurungnya.

“ Tiga hari lepas dia keluar. Dia tinggalkan nota tu sebab aku tengah tidur. Hari itu aku takut untuk ambil apa-apa tindakan. Tapi hari ini, bila perkara yang sama berulang, aku tekad untuk selamatkan diri aku.”

“ Dia ada apa-apakan kau? Maksud aku ada dia buat sesuatu yang lebih dari pukul kau?”

“ Maksud kau?”

“ Ada dia sentuh kau?” Radlina mengerti tentang apa yang dimaksudkan oleh polis wanita itu.

“ Tak. Dia cuma pukul aku.” Nadia Asyila menyentuh bahu sahabatnya perlahan. Wanita itu masih dalam ketakutan. Dia masih trauma. Nadia Asyila memandu keretanya menuju ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

*************************************************************************************************

“ Masuklah Lin.” Nadia Asyila membuka pintu banglo yang didiaminya.

“ Nadia, tak apa ke? Nanti apa kata kawan-kawan kau?” Nadia Asyila menarik tangan Radlina yang masih tercegat menunggu jawapan.

“ Nanti aku beritahu mereka.” Mereka menapak masuk. Kesemua yang ada di dalam banglo memandang mereka tanpa berkelip. Mata mereka terarah pada Nadia Asyila dan seorang wanita yang tidak dikenali yang sedang memegang beg pakaian. Tidak lagi berminat menonton video yang terpasang.

“ Kenalkan ni kawan aku Lin. Dia akan tinggal kat rumah ni buat sementara waktu.” Semua yang ada berpandangan. Namun menyambut huluran tangan Radlina dan memperkenalkan nama masing-masing. Seketika kemudian Nadia Asyila dan Radlina berlalu ke tingkat atas.

“ Siapa perempuan tu? Nak menyewa kat sini ke? Nadia tak pernah cakap pun. Tiba-tiba je muncul.” Shahrina mengomel.

“ Tak baik kau berprasangka. Jangan cepat buat andaian. Kita dengarlah dulu apa yang Nadia cakap. Lagipun aku tengok perempuan tu nampak pucat je. Muka dia pun ada kesan lebam.” Azrin mencelah. Nadia Asyila duduk di sofa yang kosong. Kawan-kawannya memandangnya tepat.

“ Maafkan aku. Mungkin kau orang marah sebab aku bawa di ke rumah ni. Dia dah tak ada tempat nak dituju. Aku bawa dia datang sini sebab tak ada sesiapa yang akan tahu dia akan tinggal kat sini. Ini penting untuk menjaga keselamatan dia.”

“ Nadia, cuba kau cakap terus terang. Baru kami cepat faham.” Aini mencelah. Nadia Asyila membuka cerita dari awal hingga akhir. Semuanya mengangguk faham. Dan setuju dengan tindakan Nadia Asyila. Nadia Asyila memandang sekeliling. Baru disedari yang Amierah tidak menyertai mereka. Sudah seminggu pertelingkahan antara mereka berlanjutan. Masing-masing keras kepala.

“ Aku naik dulu. Nak temankan dia.” Sekali lagi mereka mengangguk.

Amierah keluar dari bilik air dengan tangannya menekan perut. Dia bersandar kelesuan pada sofa.

“ Mierah. Nadia ada bawa seorang perempuan. Dia akan tinggal di sini buat sementara waktu. Sekarang mereka kat bilik.” Aini bersuara. Amierah bingkas. Geramnya datang tiba-tiba. Terus langkahnya diatur menaiki satu persatu anak tangga. Suara kawan-kawan memanggil namanya langsung tidak diendahkan. Tanpa ketukan, Amierah membuka luas pintu bilik.

“ Hei Nadia. Kalaupun kau dah tak perlukan aku kat dalam bilik ni, beritahulah dulu. Ni tak main redah je. Entah dari mana kau pungut dia.” Nadia Asyila dan Radlina tercengang.

Minah ni sedap mulut dia je nak cakap. Kau tu yang main redah tak sedar. Nadia Asyila cuba berlembut. Tetapi disuarakannya hanya di lubuk hati. Tidak elok bertengkar di depan Radlina yang masih tidak stabil keadaannya.

“ Lin kejap.” Nadia Asyila tersenyum. Dia menarik tangan Amierah dan memaksa wanita itu menurut langkahnya keluar dari bilik itu. Nadia Asyila memandang Amierah yang mencuka. Mungkin dah tiba masanya dia mengalah.

“ Mierah, aku minta maaf atas apa yang dah berlaku. Terserahlah pada kau sama ada nak maafkan aku atau tak. Kalau kau marahkan aku sekalipun, jangan libatkkan Lin. Dia dah cukup tertekan., tapi please… simpan kejap marah kau tu. Kau boleh hentam aku bila-bila masa but not today.” Amierah sedikit terusik dengan kata-kata lembut Nadia Asyila.

Betul ke apa yang aku dengar? Lin? Macam pernah dengar je nama tu. Anganan Amierah terus terputus bila terdengar jeritan dari dalam bilik. Dia agak kalut dan seketika kemudian menyertai Nadia Asyila yang berlari memasuki bilik itu.

“ Lin!” Nadia Asyila mendekati Radlina yang berada di penjuru bilik. Tubuh wanita itu menggeletar dan dagunya diletakkan di antara kedua-dua lututnya. Tangisan turut sama mengiringi. Dia semakin takut apabila ada lembaga yang menghampirinya. Wajah Ilias jelas di matanya. Dia menjerit kuat.

“ Pergi. Aku benci kau. Jangan bunuh aku.” Radlina menolak kuat tubuh Ilias yang semakin hampir dengannya. Nadia Asyila terdorong ke belakang dan terlanggar Amierah.

“ Lin bertenang Lin. Ini aku Nadia. Bukan Ilias.” Nadia Asyila cuba menenangkan Radlina yang bagai dirasuk hantu. Ketakutannya menggunung. Sekali lagi Nadia Asyila cuba menghampiri.

“ Nadia hati-hati.” Sempat Amierah berpesan. Nadia Asyila mengangguk.

“ Lin, Ilias tak ada kat sini.” Radlina mendongak memandang wajah Nadia Asyila.

Ya Nadia! Bukan Ilias.

“ Nadia.” Terus dipeluk erat tubuh itu. Nadia Asyila terdorong pula ke hadapan. Hampir-hampir dahinya terkena dinding. Ganas sungguh minah ni.

“ Lin kau selamat sekarang. Aku janji akan jaga kau. Aku juga janji takkan biarkan Ilias sentuh kau lagi.” Nadia Asyila menenangkan wanita itu. Setelah keadaan kembali pulih, Nadia Asyila memapah Radlina ke katil. Amierah turut mambantu. Trauma wanita itu masih kuat .Nadia Asyila memandang dua kali handphone yang telah berderai di sudut dinding berdekatan bilik mandi. Mak oi ganas sungguh.

“ Nadia kau dah janji. Kau kena tolong aku. Tadi dia call. Dia cakap kalau dia jumpa aku, dia akan bunuh aku. Aku takut.” Tubuh itu kembali menggeletar. Nadia Asyila merapatkan tubuhnya dan memeluk kembali insan yang teraniaya itu.

“ Lin, mengucap banyak-banyak. Ilias takkan datang sini. Aku janji, pihak polis akan tangkap dia. Dia takkan selamat.” Sekali lagi Radlina tersedu dalam pelukan teman yang menyelamatkannya.

Amierah turut sama mengusap belakang gadis malang itu. Simpatinya tumpah. Tadi aku cakap yang bukan-bukan. Pasti dia terasa. Benar cakap Nadia. Dia dah cukup tertekan dan sekarang aku tambahkan lagi tekanan dia. Setitis air mata gugur di pipi wanita itu. Kesal.

Nadia Asyila dapat menangkap air mata itu. Amierah bangkit dan berlalu. Semua kawan-kawan yang menggerumuni katil sejak tadi turut sama merasai kepiluan. Mereka semua dapat memahami jiwa wanita itu. Pasti Amierah kesal yang teramat.

****************************************************************************************************

Nadia Asyila menyelimuti badan Radlina yang sudah lena. Dah puas pujuk baru nak tidur. Macam mak dia pulak aku ni. Nadia Asyila senyum dalam hati.

Kenapalah nasib macam ni yang singgah dalam hidup kau? Bersabarlah Lin. Aku yakin ada hikmah di sebalik semua ni. Tidurlah! Raih kembali lena kau yang telah dirampas. Nadia Asyila mengurut tengkuknya yang terasa lenguh. Nadia Asyila bangun dan mencium dahi sahabatnya penuh kasih sebelum keluar untuk mencari kelibat Amierah.

“ Mana dia?”

Nadia Asyila bertanya lembut pada Shahrina.

“ Itu.” Wanita itu menjuihkan bibirnya pada Amierah yang berada di beranda luar. Mungkin sedang melayan perasaan. Perlahan-lahan didekati tubuh wanita itu.

“ Cantik kan bintang malam ni?” Nadia Asyila bersuara. Tidak lagi sekasar seperti hari-hari yang sebelum.

“ Bulan tu lagi cantik.” Amierah pula mengucapkannya.

“ Cantik lagi bulan yang kat sebelah kau ni.” Nadia Asyila tersenyum dengan kata-katanya. Dipandang raut wajah Amierah. Wajah itu juga tersenyum.

“ Nadia, apa yang sedang berlaku antara kita sebenarnya? Kenapa kita boleh jadi macam ni? Mesti kau rindu nak peluk aku kan?” Mereka tergelak.

“ Habis, kau tak rindu dengan pelukan aku?” Gelak Amierah sedikit kuat. Dia mengangguk.

“ Mierah, kita lupakanlah tentang apa yang buat fikiran kita kacau. Kita boleh kembali macam dulu kalau itu yang kita mahu. Memang betul kata Azrin. Kenapa kita perlu bergaduh hanya kerana disebabkan lelaki?” Nadia Asyila memandang dada langit. Bintang yang berkerlipan menenangkan hatinya.

“ Kau dah tak marahkan aku? Aku yang cakap bukan-bukan pada kau hari tu. Tentang potret Fazar yang aku hempas. Hari ini pulak aku hentam kau dan kawan kau tanpa tahu kedudukan yang sebenarnya. Aku berdosa. Kasihan Lin. Aku berdosa Nadia.” Air mata yang mengelir di pipi Amierah dikesat Nadia Asyila lembut.

“ Aku takkan marahkan kau kalau kau kembali pada Amierah yang dulu. Yang sentiasa menyayangi aku.” Akhirnya pelukan yang menjadi jawapan kepada persoalan itu. Kedua-duanya bersyukur. Semua kawan-kawan lain yang mengintai di balik tirai tersenyum lega. Shahrina sempat bertepuk tangan. Nadia Asyila dan Amierah melebarkan senyum.

“ Nampaknya rumah ni akan kembali ceria.”

Aini melangkah menghampiri mereka.

“ So, malam ni kau tidur bilik kita.” Nadia Asyila mengajak temannya itu. Tapi gelengan yang diterimanya.

“ Biarlah aku tidur sini malam ni. Tadi aku cakap entah apa-apa kat Lin. Bangun nanti bila tengok aku kat sebelah, histeria macam tadi.” Amierah berkata nakal.

“ Emm okeylah. By the way, dialah kawan aku yang kau nak kenal tu. Lawyer.” Amierah menutup mulutnya yang sedikit ternganga. Nadia Asyila hairan dengan reaksi yang ditunjukkan.

“ Tak sangka pulak yang tadi aku berhujah depan peguam.” Kawan-kawannya tersenyum mendengar kata-kata itu. Nadia Asyila ingin berlalu.

“ Nadia, ceritalah dulu kenapa Lin boleh jadi macam tu?” Belum sempat Nadia Asyila membuka mulutnya, Shahrina terlebih dahulu menyampuk.

“ Kau pergilah tidur. Aku nampak kau dah penat sangat. Biar aku yang tolong ceritakan. Lagipun aku dah selesa dengan teman tidur aku sejak seminggu yang lalu.” Shahrina menolak tubuh Nadia Asyila keluar dari bilik itu. Mereka terhibur dengan sifat keanak-anakan Shahrina. Semua yang lain juga turut sama keluar melangkah ke bilik masing-masing.

****************************************************************************************************

Nadia Asyila mendekati Radlina yang duduk di bangku di halaman banglo. Nadia Asyila sengaja mengambil cuti untuk menemani kawannya. Dia tidak mahu trauma wanita itu berpanjangan. Apa yang dilihatnya semalam sudah cukup menggambarkan yang kawannya itu mengalami ketakutan yang teramat. Kesan lebam yang berada di wajah itu pasti mempunyai kisah yang menakutkan. Nadia Asyila perlu membantu wanita itu supaya dapat menempuh hari-hari yang mendatang. Nadia Asyila mahu mengembalikan Radlina yang dikenalinya tujuh tahun lalu.

Radlina tersenyum bila menyedari yang Nadia Asyila turut sama berada di situ. Nadia Asyila turut sama melabuhkan punggungnya di bangku itu. Radlina sedikit bergerak untuk memberikan keselesaan pada kedua-duanya. Nadia Asyila menjeling wanita di sebelahnya. Radlina hanya memandang di kejauhan.

Aku perlu hilangkan kemurungan di wajah ini. Lin, kalau diizinkan, aku sanggup bertukar tempat dengan kau. Aku tak sanggup lihat kau dalam keadaan ini. Disusun ayatnya untuk tidak menerbitkan kesedihan lagi pada wajah itu.

“ Kau masih ingat pada kenangan kita dulu? Aku sayang sangat kenangan itu. Macam nak duduk je dalam kenangan tu sampai bila-bila.” Nadia Asyila cuba menarik minat kawannya untuk berbual. Radlina senyum dan melentokkan kepalanya ke bahu Nadia Asyila.

“ Aku ingat lagi. Stay tiga puluh orang dalam satu dorm. Sentiasa ceria walaupun penat dengan latihan. Apa yang paling aku tak boleh lupa time kita kat lapang sasar. Masa kita temankan kawan-kawan solat.” Nadia Asyila tersenyum. Ingatannya masih kukuh pada apa yang berlaku.

“ Kebetulan hari itu kita cuti sembahyang dan perangai kau memang giler masa tu. Berani kau kenakan abang askar tu. Siap nyanyi lagi. Kau masih ingat lagu tu?”

“ Emm” Nadia Asyila tersengih senang. Radlina sudah semakin ceria. Kedua-duanya membisu. Melayan perasaan dan mengimbau kembali kenangan enam tahun yang lalu. Yang masih kemas dalam ingatan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku