Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 21
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
1027

Bacaan






Kuala Lumpur, Hari ini.

Nadia Asyila memakirkan keretanya di kotak kosong bangunan Mid Valley. Beberapa minit kemudian, mereka bertiga sudahpun memasuki panggung. Setelah hampir dua jam, mereka beriringan keluar.

Nadia Asyila memejam lama matanya yang terasa berpinar. Iar matanya tumpah semasa menonton filem yang ditayangkan yang dilakonkan oleh Farid Kamil dan Lisa Surihani.

“ Nadia aku nak pergi tandas kejap.”

Radlina menuturkan hajatnya.

“ Lin, aku ikut.”

Amierah mengekori langkah Radlina.

“ Aku tunggu kat parkir jelah.”

Nadia Asyila sedikit menjerit bila kedua-dua kawannya sudah melajukan langkah. Nadia Asyila terus melangkah dan mencari pintu keluar untuk terus ke tempat parkir.

Ilias yang sedari tadi bersembunyi di dalam kelompok orang ramai tersenyum. Peluangnya telah tiba. Dipanjangkan langkahnya mengekori Radlina dan Amierah. Seminggu yang lalu dia mendapat kejutan apabila Radlina melarikan diri.

Ilias bagaikan orang hilang akal bila memikirkan peratusan untuk Radlina melaporkan tentang kegiatannya kepada pihak polis. Tanpa berfikir panjang, dia terus meninggalkan rumah sewanya.

Jangkaannya tidak meleset apabila di bawah sebatang pokok yang rendang dia memerhatikan anggota polis sedang menggeledah rumahnya. Ditumbuk stereng kereta melepaskan geram. Usahanya menjejaki Radlina kabur.

Harapannya bersinar kembali apabila ingatannya berputar pada kad nama seorang inspektor polis yang bernama Nadia Asyila di dalam tas tangan Radlina. Selama ini kad itu dalam simpanannya. Tapi kecuaiannya tidak disedari sehingga Radlina boleh mengambil balik kad nama itu.

Setiap petang, Ilias mengekori kereta yang diyakininya milik inspektor Nadia Asyila. Usahanya berhasil bila beberapa hari lepas matanya melihat sendiri Radlina dan inspektor wanita itu berbual di halaman banglo.

Dendamnya semakin membara bila dirinya sekarang adalah buruan polis. Hari ini, dia bertekad tidak akan melepaskan peluang yang terbentang di hadapan matanya.

******************************************************************

Radlina dan Amierah memasuki tandas tanpa menyedari yang mereka diekori. Ilias semakin gembira apabila keadaan di situ lengang. Tidak ramai yang lalu lalang. Matanya galak memerhatikan mangsa.

Sebaik sahaja insan yang dinantinya muncul, Ilias pantas memeluk bahu wanita itu dan meletakkan pisau di bahagian perut Radlina.

Keadaan itu tidak disedari oleh mereka yang lalu lalang kerana pisau itu agak tersorok. Radlina kaget. Badannya sedikit menggeletar. Wajah Ilias dan perbuatannya mengisi segenap ruang fikirannya.

“ Diam.”

Ilias berbisik lembut tapi penuh amaran. Radlina tiada pilihan bila terasa Ilias melari-larikan pisau itu di bahagian perutnya. Ditelan liur barkali-kali. Ilias memberi isyarat supaya Radlina membuntuti langkahnya.

“ Ilias tolong jangan buat aku macam ni. Lepaskanlah aku.”

Radlina ingin berkata kuat namun suara yang keluar dari bibirnya terlalu perlahan.

“ Aku tak bodoh. Bukan aku tak tahu apa yang kau dah buat.”

Ilias merapatkan bibirnya pada telinga Radlina. Sekali lagi Radlina telan liur.

“ Lin sorry lambat sikit.”

Amierah berbicara sambil mencari tisu di dalam tas tangannya. Bila Radlina tidak menyahut, Amierah pantas mendongak. Bila terpandangkan wajah Radlina dan lelaki yang tidak dikenalinya, dia terkaku.

Mungkinkah dia?

Amierah menduga. Amierah menyoroti mata Radlina yang mengisyaratkan sesuatu. Mulutnya ternganga apabila menyedari sebilah pisau berada di perut gadis itu.

“ Syyy.”

Ilias meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Amierah mengangguk bertalu-talu.

**************************************************************

Nadia Asyila mengerling jam di tangannya.

Dah dua puluh minit. Kenapa lama sangat? Mana dia orang pergi?

Tiba-tiba fikirannya diserbu perkara yang bukan-bukan. Hatinya tidak enak. Nadia Asyila pantas keluar dari kereta dan berlari ke arah tandas yang dikunjungi kawannya. Lariannya terhenti sepuluh meter dari jarak Amierah dan Radlina serta seorang lelaki. Ilias. Matanya bertentang dengan lelaki itu. Ilias kaget seketika. Bila menyedari langkah Nadia Asyila yang semakin mendekati, Ilias pantas melarikan diri. Nadia Asyila mengejar.

Amierah pantas mendapatkan Radlina yang jatuh terjelopok. Badan wanita itu menggeletar. Amierah segera meraba bahagian perut Radlina. Bimbang pisau tadi menodai perut kawannya.

Dia melafazkan syukur apabila mendapati tiada kecederaan. Wajah Radlina pucat.

“ Cik kenapa ni? Boleh saya Bantu?”

Seorang lelaki bersuara. Ikhlas menghulurkan bantuan jika diperlukan. Amierah memandang lelaki itu. Dia amat mengenali wajah lelaki di hadapannya. Fazar.

Amierah pantas menggeleng.

“ Tapi saya tengok kawan cik tak berapa sihat.”

Fazar Azameer masih cuba untuk membantu.

“ Saya ada untuk tengok dia. Awak tak payah masuk campur.”

Amierah berkata tegas. Dia benci memandang wajah Fazar Azameer yang banyak menerbitkan luka di hati Nadia Asyila. Mungkin lelaki itu sudah tidak mengenalinya namun wajah Fazar Azameer masih kukuh di ingatannya.

“ Cik, kawan cik ni perlukan bantuan.”

Fazar Azameer masih bertegas. Dia kecewa dengan sikap perempuan itu. Untuk meminta insan lain menghulurkan bantuan, tiada sesiapa yang melintas di kawasan itu.

“ Awak ni tak faham bahasa ke?”

Amierah menyembur Fazar Azameer sambil tangannya menyapu peluh yang merintik di dahi Radlina.

“ Lebih baik awak pergi dari sini.”

Amierah sedikit menolak badan Fazar Azameer yang semakin hampir.

******************************************************************

Nadia Asyila mengigit bibirnya geram kerana Ilias berjaya lesap dari pandangannya. Gadis itu segera berlari semula untuk kembali kepada kawan-kawannya.

“ Lin maafkan aku. aku tak patut tinggalkan kau tadi.”

Nadia Asyila memeluk gadis itu kejap. Kewujudan Fazar Azameer tidak disedarinya.

Fazar Azameer membulatkan matanya melihat Nadia Asyila.

Mungkin ada sesuatu yang berlaku.

Fazar Azameer mengagak sendiri bila telinganya dapat menangkap apa yang keluar dari mulut Nadia Asyila.

“ Lin, kau okey?”

Radlina senyap. Nadia Asyila merapatkan kembali Radlina ke badannya. Dapat dirasakan degupan yang kuat dari jantung wanita itu. Perasaan kesal yang menggunung menyerbu jiwa Nadia Asyila. Dia cuba menenteramkan gadis itu. Warna pucat yang terpamer di wajah Radlina semakin pudar.

“Nadia, tadi dia datang.”

Nadia Asyila mengangguk. Simpatinya kuat bila wajah Radlina seperti tidak tentu arah. Namun lama kelamaan wajah itu kelihatan sedikt lega bila diberitahu yang Ilias sudah pergi.

Fazar Azameer mengurut dagunya yang mempunyai sedikit janggut. Dia masih tidak memahami drama yang berlaku di depan matanya. Dia yakin yang gadis itu ditimpa kesusahan kerana Nadia Asyila. Secara tiba-tiba geramnya tinggi melangit.

“ Cik, lain kali jangan keluar dengan perempuan ni. Dia hanya tahu mendatangkan masalah dan menyusahkan hidup orang.”

Fazar Azameer berkata pedas. Nadia Asyila mendongak mencari suara yang kedengaran. Lelaki yang berada agak belakang kedudukannya dipandang. Fazar.

Lelaki itu tersenyum sinis dan terus berlalu.

“ By the way, saya dah ingat. Awak Amierah kan? Sepadanlah kamu berkawan.”

Kali ini langkahnya diteruskan. Amierah ingin membuka mulut namun dihalang oleh Nadia Asyila.

Sejak pertemuannya dengan lelaki itu, tidak pernah jemu Fazar Azameer cuba menyakiti hatinya. Nadia Asyila juga sedar. Sejak pertemuannya dengan Fazar Azameer, dia tidak pernah berani untuk cuba berbicara dengan lelaki itu.

Lidahnya seakan-akan kelu. Sedangkan pertemuan itulah yang dinantikannya selam ini. Untuk menyuarakan kembali rasa sayang dan cinta yang masih menggila di hatinya.

*****************************************************************

Ilias meramas rambutnya kuat. Dia benci kerana sekali lagi dia gagal untuk memastikan Radlina berada dalam genggamannya. Dia juga benci dengan dirinya kerana cepat menggelabah bila Nadia Asyila mendekatinya. Ilias menghenyakkan punggungnya kasar di kerusi sebelah pemandu kereta wira milik kawannya.

“ Hah macam mana?”

Ganesh menyoal.

“ Tak ada hasillah Ganesh. Tadi polis perempuan tu kejar aku.”

“ Kau memang selalu macam ni. Dengan perempuan pun takut.”

Ganesh menyemburnya.

“ Hei kau cakap elok-elok sikit. Perempuan tu polis. Silap-silap ditembaknya aku. mampus!”

Ganesh menggeleng-gelengkan kepalanya.

“ Dua jam lebih aku tunggu. Langsung tak ada hasil. Itu pun belum kira masa kita ekori kereta perempuan tu. Buang masa je. Ingatkan tadi bila datang berdua dapat balik bertiga. Emm mimpilah aku.”

Ganesh masih mahu meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap kegagalan Ilias.

Kau cakaplah apa kau nak cakp. Luahkan apa yang kau nak luah. Aku cuma perlukan sedikit masa je lagi.

Ngomel Ilias sendirian. Kata-kata Ganesh seterusnya sudah tidak masuk ke dalam telinganya. Sengaja dibuat pekak.

******************************************************************

Nadia Asyila beriringan dengan Syazwan memasuki bilik yang menempatkan meja milik wanita itu. Syazwan memandang Nadia Asyila yang agak gelisah. Dari tadi lagi dia perasan namun dipendamkan saja. Tapi saat ini dirasakan yang dia mahu mengetahui apa yang merisaukan sahabatnya itu.

“ Kau ada benda nak kongsi dengan aku ke? Kau kenal siapa aku. Aku adalah sahabat dan perndengar terbaik yang kau ada. Kalau kau tak kisah ceritakanlah apa yang merunsingkan kepala kau tu. Aku open je.”

Syazwan membelek-belek fail yang berada di tangannya. Nadia Asyila memandang sekilas.

Memang kawannya yang seorang itu agak prihatin. Sememangnya, dia bertuah memiliki Syazwan sebagai sahabat. Cuma ayatnya agak berfalsafah. Sepatutnya kawannya ini memasuki bidang psikologi.

“ Aku runsing tentang kes Lin. Ilias tu boleh muncul di mana-mana saja.”

Syazwan mengangguk faham. Dia juga bersimpati terhadap nasib yang menimpa Radlina. Tapi simpatinya lebih kepada Nadia Asyila.

Masalahnya selalu saja bertambah. Tidak cukup dengan bebanan perasaan yang ditanggungnya selama ini, bebanan kerjanya selalu menjengah. Dan kini bebanan masalah Radlina menambahkan sesak di kepalanya.

“ Habis time kau datang kerja, dia tinggal dengan siapa kat rumah tu?”

“ Selama ni kami semua bergilir-gilir ambil cuti. Tapi minggu yang pertama je la. Keadaan dia dah nampak okey sebelum ni sehinggalah semalam. Kejadian semalam semakin sukar untuk memadamkan trauma yang menghuni jiwanya. Aku bimbang jika fikiran dia terganggu. Kita kena selesaikan kes ni secepat mungkin.”

Nadia Asyila bersuara lemah.

“ Nadia, bukan kes Lin je yang kita kena selesaikan. Kau perlu ingat kes yang lain masih lagi berlambak. Semuanya perlu diselesaikan. Be professional. Kita usaha okey. Kalau Ilias tu muncul senang pada kita. Tapi bila dia bersembunyi macam ni hanya masa je yang dapat menentukan bila semuanya akan selesai. Tapi aku yakin yang jahat tak semua bijak. Kita pun bukannya tak buat kerja. Berdoa banyak-banyak.”

Syazwan cuba menenangkan kawannya yang bagaikan dalam dilema.

“ Thanks Syazwan. Aku bertuah sebab ada kawan macam kau.”

Syazwan senyum tanda senang dengan pujian itu.

******************************************************************

Ilias memanjangkan lehernya memerhati kawasan rumah banglo yang menjadi pelindung kepada Radlina. Di beranda banglo, jelas di pandangannya wajah Radlina yang tenang. Tidak lagi pucat seperti semalam.

“ Apa lagi rancangan kau lepas ni?”

Ganesh bersuara sinis menyindir rakannya itu.

“ Kita kena tunggu waktu yang sesuai.”

“ Bila?”

Kali ini Ganesh ketawa mengejek.

“ Masanya akan tiba.”

“ Aku rasa baik kau lepaskan saja perempuan tu. Kalau kau dapat dia pun, apa yang kau nak buat? Keadaan dah tak boleh diubah. Apa yang berlaku dah berlaku. Kita terus buat kerja kita.”

Ilias merenung Ganesh tajam.

“ Kau suruh aku lepaskan dia? Hei jangan haraplah. Dia buat hidup aku kacau bilau. Aku nak ajar dia. Aku mahu dia mati. Sekarang aku dalam buruan polis. Aku dah macam pelarian. Tak bebas macam dulu. Aku nak buat kerja pun susah. Kau suruh aku lepaskan dia?”

Jerkahannya bergema di dalam kereta. Ganesh menjeling seketika.

“ Apa yang kau buat tu akan lebih menyusahkan kau. Kalau kau bunuh dia. Kau pun akan mati tau. Polis perempuan yang jadi kawan dia tu. Aku tengok serius nak tangkap kau. Semuanya tak mudah Ilias.”

“ Dah lah Ganesh. Lebih baik kau diam. Bukannya nak sokong aku. Kau tengoklah nanti. Aku bukannya pengecut. Apa yang aku cakap aku akan buat.”

Ganesh hanya menjeling dan memandang Radlina di kejauhan.

“ Aku tengok dia cantik. Peguam yang berkaliber. Kalau kau bunuh dia, Negara akan kehilangan mutiara yang bernilai. Sayang sekali.”

Ganesh menyuarakan pendapatnya. Berkata sambil melebarkan senyum. Ilias tahu yang Ganesh memerlinya.

“ Mutiara yang bernilai konon. Habis kalau polis dapat tangkap aku, mereka akan menamatkan riwayat aku. Dia dan aku sama aje. Sama-sama manusia.”

Ilias pula menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Ganesh ketawa kuat.

“ Kau lain. Negara akan tersenyum bahagia kalau kau mati. Sebab kau sampah masyarakat.”

Ilias menunjukkan penumbuknya pada Ganesh. Terus lelaki itu mematikan ketawanya.

“ Jom blah. Malam ni kita datang lagi.”

Ganesh tidak banyak soal. Dia menurut. Dihidupkan enjin kereta dan menekan minyak kuat sebelum berlalu meninggalkan kediaman bakal mangsa Ilias. Dalam hatinya, Ganesh terus membebel mengenangkan sikap kawannya.

Entah sampai bila nak mengintip. Kerja tak jugak jalan. Masa yang sesuai yang macam manalah yang dia tunggu.

*****************************************************************

“ Nadia. Cuba kau tengok proton wira yang kat bawah pokok depan tu. Pagi tadi aku tengok ada. Petang pulak tak ada dan sekarang ni ada pulak. Aku rasa macam ada yang tak kena je. Hati aku tak sedap.”

Radlina meluahkan rasa curiganya pada Nadia Asyila setelah menggamit wanita itu supaya mengikutnya ke beranda untuk turut sama melihat kereta yang dimaksudkannya.

Mereka memerhati kereta itu. Jarak yang agak jauh memisahkan mereka membuatkan pandangannya tidak begitu jelas.

“ Kau ingat tak nombor plat kereta tu.”

Radlina mengerutkan keningnya seketika. Cuba mengingat.

“ Kalau tak silap aku. WJM 3271.”

Nadia Asyila menapak kembali ke kamar tidurnya dan mengambil handphone yang terletak di atas meja kecil di tepi katilnya. Nombor seseorang ditekan. Beberapa saat kemudian, kedengaran suara di hujung talian.

“ Kimi sorry ganggu kau. Kau tahu tak siapa tuan punya kereta proton wira WJM 3271?”

“ Nanti aku cuba tanya kawan aku. Kejap lagi aku call balik.”

Nadia Asyila menunggu untuk beberapa ketika. Beberapa minit kemudian, telefon bimbit di tangannya berdering.

“ Macam mana?”

“ Aku dah dapat. Kawan aku cakap yang kereta tu milik seorang lelaki India. Ganesh anak lelaki Rajan. Kalau tak silap aku, lelaki ini berkawan dengan Ilias. teman lelaki kawan kau yang kau sedang siasat. Kenapa?”

Nadia Asyila mula mengerti. Ilias sedang mengintip rumah sewanya.

“ Thank you Kimi. Kereta tu ada depan rumah aku. Tak apalah. Nanti aku uruskan apa yang patut.”

Hakimi terus mematikan talian bila menganggap yang Nadia Asyila tidak lagi memerlukan khidmatnya.

Nadia Asyila mengarahkan Radlina masuk ke dalam bilik. Kawannya itu hanya menurut.

“ Sejak bila kau perasan yang kereta tu ada di bawah pokok tu?”

“ Dah banyak kali aku nampak. Tapi orangnya aku tak pernah nampak. Kenapa Nadia? Ada sesuatu yang tak elok ke?”

Radlina mula gugup. Dahinya mula berkeringat.

“ Nadia cakaplah. Jangan buat kami tertanya-tanya.”

Amierah yang turut sama berkongsi bilik itu mula menyampuk. Dari tadi dia membisu. Nadia Asyila memerhatikan wajah mereka. Kebisuannya menimbulkan kebisingan di kepala kedua-duanya. Nadia Asyila berbelah bahagi. Peratus untuk memberitahu dan sebaliknya adalah sama.

“ Nadia cakaplah.”

Radlina mula menyergah.

“ Okey aku akan cakap. Tapi aku nak kamu bertenang. Terutama kau Lin. Jangan cepat rasa cemas.”

“ Apa yang kau nak cakap sebenarnya? Straight to the point lah.”

Radlina makin tidak sabar.

“ Tadi aku call informer aku dan aku dapat maklumat yang kereta bawah pokok tu milik kawan Ilias. Kemungkinan besar yang banglo ni sedang diintip.”

Amierah dan Radlina menelan liur. Debaran di dada keduanya memuncak. Peluh dingin semakin membasahi badan Radlina. Tangan kedua-dua kawannya digenggam erat.

“ A..aku takut.”

Suara Radlina yang terketar-ketar menambahkan seram Amierah.

“ Come on. Buat macam biasa. Aku yakin yang dia hanya mengintip je. Aku janji, esok aku akan ambil tindakan.”

“ Esok?”

Amierah dan Radlina berkata serentak.

“ Emm esok. Untuk malam ni aku akan call konstabel aku untuk perhatikan mereka dari jauh. Jika mereka cuba bertindak apa-apa, konstabel tu akan ambil tindakan. Sekarang ni, kosongkan fikiran kamu dan tidur dengan lena.”

Nadia Asyila berkata yakin. Dalam kepalanya sudah merencanakan satu rancangan. Untuk kali ini, Radlina perlu terlibat. Sengaja tidak dibongkar rancangannya supaya lena gadis itu tidak terganggu. Walaupun secara tidak langsung telah tergugat dengan kedatangan kereta proton wira di bawah pokok berhadapan banglo mereka.

Nadia Asyila menyingkap sedikit langsir tingkap banglo. Matanya mencari kelibat kereta yang mendebarkan kedua-dua kawannya sejak malam tadi. Malam tadi tidur Nadia Asyila terganggu apabila Amierah dan Radlina sentiasa mengejutkannya supaya bangun menemani mereka.

Bermacam-macam bunyi yang kedengaran walaupun kenyataannya hanya perasaan mereka berdua. Akhirnya mereka bertiga tidak melelapkan mata sehinggalah azan subuh sayup-sayup kedengaran.

Nadia Asyila berkali-kali tersengguk apabila Radlina dan Amierah memaksanya untuk turut sama duduk di atas katil. Dia langsung tidak dibenarkan baring. Walaupun geram, Nadia Asyila bersabar dan memahami perasaan mereka.

Sekejap-sekejap terbit perasaan menyesal kerana memberitahu tentang apa yang diperolehi daripada informernya malam tadi. Kereta proton wira biru laut menjamah pandangannya.

****************************************************************

Nadia Asyila dapat melihat dua orang yang berada di dalam kereta itu. Salah seorangnya adalah Ilias. Nadia Asyila segera mendail nombor handphone milik Syazwan. beberapa ketika kemudian, Syazwan menyahut panggilannya.

“ Syazwan kau datang rumah aku sekarang. Jangan sampai kat rumah. Cuma kat simpang je. Kau tunggu aku kat situ.”

Persoalan Syazwan dijawab Nadia Asyila dengan cemerlang. Syazwan bersetuju setelah yakin yang rancangan Nadia Asyila akan berjaya.

Nadia Asyila mendekati Radlina yang berada di sofa. Kawan-kawan yang lain hanya memandang.

“ Lin, aku perlukan kerjasama kau. Ianya penting untuk memerangkap Ilias.”

“ Apa yang aku perlu buat?”

Radlina mula gugup. Genggaman erat tangan Nadia Asyila dilepaskan. Debarannya mula terasa. Nadia Asyila menerangkan satu persatu apa yang perlu wanita itu lakukan.

“ Jadi, kau nak jadikan Lin sebagai umpan?”

Amierah membantah rancangan wanita itu.

“ Kau sanggup tanggung kalau apa-apa terjadi pada Lin? Ilias dah pernah ugut untuk bunuh dia. Apa kau nak jadikan ugutan itu kenyataan? Risiko ni terlalu besar.”

Azrin pula menyambung hujah, menyokong bantahan Radlina. Aini dan Shahrina mengangguk setuju.

“ Mungkin aku kejam kerana fikirkan cara ni. Tapi setiap apa yang kita lakukan, pasti ada risikonya yang tersendiri. Kita perlu cuba lakukan sesuatu. Kita ikut rentak Ilias. Mungkin dia tengah fikirkan cara bagaimana untuk menangkap Lin. Jadi, kita bagi dia jalan. Kita perangkap dia.”

“Aku tahu, perkara ni akan membahayakan nyawa Lin. Kawan aku. Kalau boleh, aku sanggup tukar tempat dengan Lin supaya Lin akan sentiasa selamat. Dalam hati aku, walau sedikit beban pun aku tak nak ada pada kamu semua. Sebab kamu sahabat aku.”

“ Aku cuma mahukan apa yang terbaik untuk kamu. Tentang kes Lin, selama ni pihak polis dah puas menjejaki Ilias tapi tak jumpa. Dan sekarang, dia sendiri yang datang pada kita.”

“ Apa salahnya jika dilakukan sedikit pengorbanan untuk masa depan yang lebih terjamin. Tanpa rasa takut dan bersih dari segala tingkah laku Ilias. Cuma rancangan tu je jalan terbaik yang dapat aku fikir. Maafkan aku Lin kalau aku meletakkan kau dalam keadaan yang tak sepatutnya.”

Nadia Asyila meraup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan. Sebaknya datang tanpa diundang. Dia sedikit gusar apabila terfikirkan kata-kata Azrin. Tapi sesuatu perlu dilakukan. Dan ini adalah jalan yang dia pilih.

“ Nadia, aku tak pernah pertikaikan kecekapan kau dalam menangani penjenayah. Termasuk juga Ilias. Aku yakin dan percaya dengan apa yang kau buat. Kau berikan aku semangat dan keberanian baru selama ni. Aku akan sentiasa semarakkan semangat dan keberanian itu. Kita buat seperti apa yang kau rancang.”

Kata-kata Radlina melegakan hati Nadia Asyila. Dia yakin yang Ilias takkan terlepas. Semua rakan yang lain hanya mampu berdoa. Nyawa dua orang rakan yang mereka sayangi dalam bahaya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku