Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 30
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1372

Bacaan






“ Cinta saya tak pernah mengharapkan balasan yang sebegini. Cuma harapan untuk satu kehidupan. Dan ini sememangnya tanggungjawab saya sebagai anggota polis. Walau siapa pun di tempat awak, saya mempunyai tanggungjawab yang sama.”

Tangan wanita itu galak cuba membuka ikatan yang membelit tubuh lelaki itu. Namun tangannya yang pantas sedari tadi terhenti dengan tiba-tiba apabila terdengar satu suara yang mengarahkannya untuk berbuat demikian.

Nadia Asyila dan Fazar Azameer mendongak dan mencari arah suara itu. Keduanya terpaku apabila jelas dipandangan mereka berdiri insan yang amat mereka kenali. Satu kejutan yang besar untuk mereka. Terutamanya kepada Nadia Asyila.

“ Syam”

Kedengaran terlalu perlahan suara yang keluar daripada peti suara milik Nadia Asyila. Lelaki yang diekorinya seketika tadi berdiri di sebelahnya. Mengacukan sepucuk pistol di kepalanya. Namun Nadia Asyila tidak mengendahkan semua itu. Pandangannya menjurus ke arah jasad yang berada di hadapannya. Tidak jauh dari tempatnya berdiri.

“ Terkejut? Buat pertama kali Syam tengok ada riak terkejut di wajah orang yang paling Syam sayang. Selama ini segala kejutan yang Syam beri langsung tak berharga buat Nadia walaupun terlalu bermakna untuk Syam. Dan hari ini Syam terpaksa mengaku yang Syam berjaya memberi Nadia kejutan. Syabas untuk diri Syam sendiri.”

Nadia Asyila tidak dapat mengeluarkan sebarang hujah untuk mematahkan hujah lelaki yang mencintainya itu. Memang segala apa dituturkan oleh Iqmal Hisyam tidak salah dan tidak dapat dinafikan oleh pendengarannya.

Iqmal Hisyam mengaturkan langkahnya menuju ke arah mereka berdua dengan genggaman pistol yang kemas di tangannya. Diambil dengan selamba pistol yang berada di genggaman Nadia Asyila. Iqmal Hisyam melebarkan senyumnya.

“ Dalam dunia ni, tak pernah ada yang mustahil. Jangan terlalu terkejut.”

Dibisikkan kata-kata itu rapat ke telinga Nadia Asyila. Wanita itu masih kaku dengan apa yang dilihatnya. Masih tidak dapat menerima kejutan yang diberikan Iqmal Hisyam.

“ Apa yang kita nak buat dengan mereka bos?”

Iqmal Hisyam memandang tajam wajah lelaki yang mengacukan pistol di kepala Nadia Asyila. Lelaki itu kemudiannya menundukkan wajah. Mungkin menyedari akan kesilapannya bertanyakan soalan seperti itu.

“ Tahniah sebab berjaya sampai ke sini. Syam ingat tempat ni yang paling selamat dan terlindung daripada pandangan mata pihak berkuasa. Tapi Syam tetap tak dapat lari daripada Nadia. Tapi itulah yang membuatkan Syam bangga. Sebab keyakinan Syam bertambah yang Syam langsung tak salah memilih untuk mencintai Nadia. Seorang wanita yang bijak. Cekap! Tapi sayangnya cinta Nadia tak berjaya Syam miliki. Sama seperti Nadia. Tidak berjaya memiliki cinta lelaki yang cuba Nadia selamatkan sekarang.”

Cukup lembut ayat yang terkeluar dari bibir lelaki itu.

Iqmal Hisyam berhenti seketika. Melebarkan senyumannya memandang wajah insan yang amat dicintainya. Betapa hancur luluh hatinya apabila melihat dan mendengar gerak langkah dan percakapan mereka sebentar tadi.

Dia tahu kini, walau bertimbun usahanya dilakukan untuk memenangi hati wanita itu dia tetap tewas. Bencinya semakin meluap-luap terhadap lelaki yang bernama Fazar Azameer yang dia tahu bahawa lelaki itu adalah sahabatnya sendiri.

Nadia Asyila masih kelu untuk berkata-kata. Sememangnya dia tidak menyangka, lelaki yang selama ini terlalu elok lakunya berada bersamanya di dalam gudang itu untuk menbongkarkan siapa dirinya yang sebenar.

“ Jadi selama ini, kegiatan curi kereta dilakukan oleh Syam?”

Nadia Asyila mengutarakan pertanyaan itu. Masih sukar untuk dia mempercayai apa yang dilihat dan didengarnya. Apakah selama ini lelaki yang terlalu elok pada pandangannya melakukan sesuatu yang seumpama itu? Melakukan jenayah? Memang sukar untuk dia menerimanya.

Walaupun dia tidak mencintai lelaki itu, namun, dia tidak yakin yang lelaki itu sanggup melakukan kesalahan jenayah. Dia yakin yang dia mengenali peribadi lelaki itu. Terlalu elok dirasakannya selama ini. Entah kenapa dirasakan kekecewaan menerjah jiwanya. Sungguh dia tidak menyangka.

Iqmal Hisyam tersenyum. Dia tahu bahawa wanita itu cuba untuk mengorek rahsia yang disimpannya selama ini. Tetapi padanya itu semua tidak perlu. Kerana hari ini dia akan membongkar segala-galanya.

Segala realiti hidup dan segala apa yang dulu pernah menjadi rahsia dan sekarang pun masih menjadi rahsia. Dia akan membongkar segalanya. Atas kerelaannya sendiri.

Iqmal Hisyam mengaturkan langkahnya mendekati Fazar Azameer. Dimain-mainkan hujung pistol di wajah lelaki itu. Hembusan nafas yang kuat kedengaran. Dia cemas diperlakukan begitu.

“ Kau lelaki yang paling bodoh yang pernah aku kenal. Menolak sesuatu yang amat bernilai seperti Nadia.”

Pandangnnya dialihkan kepada Nadia Asyila.

“ Tapi aku sebenarnya perlu ucapkan terima kasih kepada kau kerana tidak menerima cinta dia. Sebab aku berpeluang untuk terus mendekat. Walaupun sekadar hanya jarak yang mendekatkan kami. Aku sendiri tak faham kenapa dia menolak cinta aku. Segalanya aku lakukan untuk menambat hati dia. Tapi, aku tetap tewas. Dan kenapa dia terlalu cintakan kau? Aku sendiri bingung. Entah apa yang ada pada kau yang membuat hatinya betul-betul tak boleh lupakan kau. Walaupun bertahun-tahun dan puas kau sakiti hati dia. Aku betul-betul tak faham dengan perempuan.”

“ Habis kenapa kau juga berada dalam situasi yang sama?”

Fazar Azameer menyoal.

“ Kau tak layak untuk bertanyakan soalan itu. Selama ini kau selalu dapat apa yang kau nak. Dan aku selalu kecundang. Segalanya berjaya menjadi milik kau. Siapa yang salah? Takdir? Aku sendiri? Dah terlalu banyak persoalan Fazar. Satu jawapan pun tak ada.” Dia berhenti seketika. Menunduk. Dan mengalihkan pandangan pada Nadia Asyila.

“ Apa yang kurang pada Syam?” Nadia Asyila membisu. Tiada jawapan untuk soalan itu.

“ Selama Syam hidup. Syam belajar banyak benda. Kadangkala, apa yang kita tak mahu dan tak relakan itulah yang kita dapat dan seringkali terjadi. Dan apa yang terlalu kita hajati pula, itulah yang takkan kita miliki. Kejam kan? takdir memang kejam. Setiap kali Syam menyalahkan takdir apabila hati Syam sentiasa diuji dengan penolakan cinta daripada Nadia. Tapi entah kenapa kalau melibatkan Nadia, Syam boleh tahan dan sentiasa bersabar.”

Matanya layu memandang Nadia Asyila.

“ Syam selalu berfikir sampai bila takdir akan kejam dengan Syam. Sampai bila Syam perlu tunggu untuk mendapat cinta Nadia.”

Iqmal Hisyam menunduk. Keluhan dilepaskan.

“ Entah sampai bila Syam perlu tunggu. Dan sekarang, Nadia sudah nampak wajah sebenar Syam. Musuh kepada kerjaya orang yang Syam cintai. Seorang penjenayah.”

Dia ketawa. Meramas-ramas rambutnya. Kepalanya berserabut.

“ Syam bukan jahat sebenarnya. Cuma melakukan kesalahan kerana mengambil hak orang lain. Syam bukan melakukan jenayah yang melibatkan nyawa. Tapi, dengan apa yang Nadia pandang sekarang, mesti Nadia semakin menolak cinta Syam. Benci dengan diri Syam. Tengok! Sekali lagi takdir kejam dengan Syam.”

Iqmal Hisyam merenung dalam anak mata Nadia Asyila. Dipandang dengan penuh rasa cinta yang tidak pernah padam.

“ Entah apalah yang tak sempurna pada pandangan Nadia. Dan kau! Kau gilakan sangat pada Fasha kan. Sekarang kau dah berjaya miliki dia. Banyak yang kau tak tahu tentang dia. Banyak Fazar. Terlalu banyak. Sebanyak mana kau kenal dia?”

Iqmal Hisyam ketawa sinis. Kedengaran tawanya yang dibuat-buat.

“ Dia hanya memperbodohkan diri kau selama ini. Kau tak pernah tahu. Sebab kau buta. Kau terlalu buta dalam percintaan. Kau menolak permata dan memilih kaca. Bukankah itu dinamakan bodoh?”

“ Apa yang kau cakap ni Syam. Apa yang kurang persahabatan aku pada kau? Aku sayangkan kau. Aku tak pernah bermimpi pun yang kau akan bertindak sejauh ni.”

“ Ah! persetan dengan persahabatan. Selama ini aku bencikan kau. Dan itu pun kau tak tahu kan? Aku bencikan kau Fazar! Benci! Dan aku nak kau tahu. Sekarang, aku nak kau buka telinga kau luas-luas dan dengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut aku. Jangan terlepas satu patah pun. Kau terlalu layak untuk mendengar apa yang bakal aku katakan.”

Iqmal Hisyam membelakangi keduanya. Melangkah menjarakkan dirinya daripada mereka.

“ Fasha! Perempuan tak guna tu. Tapi itulah perempuan yang kau cintai. Sejak dari dulu lagi aku tahu belang dia yang sebenar. Perpisahan antara kau dengan dia lapan tahun yang lalu bukan kerana dia memberikan kau ruang untuk bersama dengan Nadia. Tapi dia yang mencipta ruang tu untuk bersama jantan yang dia jumpa di universiti. Mereka berbahagia dan kau pula menyeksa jiwa Nadia. Kau hina dia puas-puas.”

Ditelan liurnya yang dirasakan agak kesat melalui kerongkongnya.

“ Dan sekarang kau jumpa Fasha dan bersama dengan perempuan tu lagi. Kau percayakan setiap kata-kata dia dan kau terus-terusan menghina Nadia. Kau tahu tak yang hati aku ni sakit. Apa hak kau untuk hina dia? Ada dia buat salah dengan kau? Ya! Salah yang kau hukum tanpa sedar yang sebenarnya dia langsung tak salah. Itulah aku cakap yang kau bodoh dan buta dalam cinta. Terlalu bodoh. Dan kalau kau nak tahu, selama beberapa tahun kau tak jumpa dengan perempuan tu, satu rahsia besar dia berjaya simpan daripada kau. Kau nak tahu? Kebenaran yang akan buat kau tewas sangat-sangat. Kau nak dengar? Dengar betul-betul. Jangan pekakkan telinga kau. Hasil hubungan dia dengan kekasih dia dulu, dia mengandung. Kerana tak mahu bertanggungjawab, kekasih yang selama ini yang sanggup dia serahkan segalanya buat dia terkontang-kanting seorang diri. Dia ditinggalkan. Dan dia pulang ke kampung sehinggalah melahirkan anak luar nikah yang dia kandung. Papa dia menghalau dia keluar dari rumah setelah dia melahirkan Haziq. Tak lama lepas tu, papa dia meninggal. Kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku, emaknya mengalami tekanan perasaan yang menjadi punca kepada kematiannya enam bulan selepas tu. Untuk pengetahuan kau, budak lelaki yang bernama Haziq yang pernah kau jumpa. Itulah anak mereka. Dan kau terus diperbodohkan. Kau layak terima semua tu sebab kau memang bodoh. Sekarang dia kembali pada kau bukan kerana cinta tapi kerana harta kau. Untuk dia memastikan masa depan dia terjamin. Apa yang Fasha beritahu kau tentang budak lelaki tu? orang suruhan aku cakap yang dia panggil kau papa. Papa?”

Iqmal Hisyam ketawa sendirian.

“ Tak Syam kau tipu! Aku tak percaya.”

“ sejak jadi bos ni.. aku pantang kalau orang menyampuk masa aku bercakap. Jadi tolong dengar apa yang aku nak cakap. Apa yang aku dapat kalau aku tipu kau? Aku…”

Suara yang meluncur dari bibir Iqmal Hisyam tenang.

“Arghh! Kau tipu!”

“ Diam!”

Iqmal Hisyam menjerkah kuat. Fazar Azameer menelan liur. Pistol yang diacukan tepat kemukanya membuatkan dia kecut perut. Baru hari ini dia merasa takut dengan kawannya itu setelah bertahun-tahun dikenali.

“ Selama ni aku dah cukup bersabar dengan kau. Jadi kau jangan nak cabar kesabaran aku.”

Iqmal Hisyam menyambung bila dirinya mendapat cukup ketenangan.

“ Kau akan lebih tak percaya kalau kau dengar lagi apa yang aku nak cakap. Kau masih nak dengar?”

Iqmal Hisyam ketawa mengejek. Kemudian dia menggeleng.

“ Aku tak perlukan jawapan kau. Aku berbesar hati untuk menceritakan segalanya pada kau. Setelah kau ada hubungan kembali dengan Fasha, aku tak yakin dengan perempuan tu. Dia sememangnya licik dengan apa setiap yang dia lakukan. Kalau kau nak tahu, aku ada siasat tentang dia. Bukannya susah untuk siasat orang macam dia. Ramai konco-konco aku yang berpengalaman dalam bab-bab jaga tepi kain orang. Jadi aku arahkan dua tiga orang untuk siasat kekasih kau tu. Jangkaan aku sekali lagi tepat. Kau sememangnya diperbodohkan. Sampai dah tahap yang boleh aku kategorikan kau sebagai seorang yang sangat bodoh. Kau tahu kenapa? Kau langsung tak mencurigai dia dan percaya dengan setiap kata-kata manis yang dia lontarkan.” Dia berhenti. Digaru hujung keningnya dengan muncung pistol. Matanya dipejamkan seketika.

“ Kalau nak bercinta pun ada caranya Fazar. Bukannya bertindak bodoh dan mencintai membabi buta seperti kau mencintai Fasha. Aku tahu perasaan mencintai itu indah apatah lagi jika kita dicintai oleh orang yang kita cintai. Ya! Aku mengaku yang aku pun sama seperti kau. Tapi aku mempunyai cara dan penilaian yang baik. Bukan mencintai perempuan seperti Fasha. Wanita seperti Nadia Asyila yang patut dicintai. Dia tahu makna menghargai dan kesetiaan. Seperti setianya pada kau sejak sekian lama. Tapi bukan itu apa yang aku mahu timbulkan sekarang. Aku nak kau tahu yang Fasha mempunyai rancangannya sendiri untuk mengikis semua harta kau. Dan apa yang berhak lagi untuk kau tahu, dia tidak membuat rancangan itu seorang. Kau nak tahu siapa yang berkomplot dengan dia? Syed Faizal. Ya! Syed Faizal. Oh! Aku lupa. Mungkin kau tak pernah kenal lelaki yang bernama Syed Faizal. Itulah kekasih yang mengandungkan dia dulu. Mereka kembali menjalinkan hubungan bila lelaki itu mengetahui yang Fasha mencintai kau. Lelaki yang mempunyai tiga buah syarikat dan agak berjaya dalam perniagaan. Dan satu strategi diatur untuk memperalatkan kau. Dengan hanya janji manis yang ditabur oleh lelaki itu, Fasha kembali padanya. Dan kau? Siapa kau di hatinya? bukan sesiapa Fazar. Kalau kau nak tahu, sedikit masa lagi rancangan mereka akan berjaya. Itu pun kalau aku tidak bocorkan rahsia ini pada kau. Dan apa yang malangnya nasib si Fasha, dia sebenarnya tidak tahu yang Syed Faizal juga melakukan satu rancangan. Rancangan yang akan memiliki semua harta kau. Tidak mahu untuk melakukan perkongsian dengan Fasha. Mana aku tahu semua ni? Orang-orang aku juga menyiasat tentang lelaki itu. untung sebenarnya jadi bos ni.”

Iqmal Hisyam melepaskan ketawanya. Ketawa yang agak panjang. Melepaskan bukuan perasaannya yang dia sendiri tidak tahu emosi apa yang membebani jiwanya. Diburu dengan bermacam perasaan yang berbisa.

“ Tetapi Fasha juga sama seperti kau. Buta dengan cinta. Dia ingatkan yang lelaki itu jujur mencintainya. Tapi, dia tidak sedar yang sebenarnya dia diperalatkan untuk mendapat kekayaan kau. Fasha menggunakan kau dan Syed Faizal menggunakan Fasha. Hukum karma yang sangat adil. Kamu semua memang bodoh. Layaklah untuk kau mencintai wanita yang bodoh seperti Fasha. Membuatkan kamu akan terus hidup dalam kebodohan masing-masing. Tapi aku tak terlalu kejam. Sebab tu aku beritahu kau semua ni. Sebab aku masih lagi punya hati untuk memberitahu kau kebenaran daripada kau langsung tidak mengetahuinya. Sekurang-kurangnya kau tahu. Manalah tahu lepas ni kau akan keluar dengan selamat dari tempat ni dan berjaya menyelamatkan keadaan. Lantaklah! Itu semua bukan urusan aku.”

Iqmal Hisyam sedikit berdehem. Dan melemparkan senyuman sumbing.

“ Apa yang kau cakap ni Syam. Apa semua ni?”

Senyuman Iqmal Hisyam semakin lebar mendengar kekecewaan yang terluah bersama kata-kata yang disuarakan Fazar Azameer.

“ Itulah hakikat yang kau patut tahu. Kecewa? Kau berhak hidup dengan perasaan tu. Apa yang kau rasa? Sakit kan? Kalau kau nak tahu, pertemuan kau dengan Fasha di hotel, itu juga dirancang. Bukannya satu kebetulan seperti apa yang kau sangkakan. Dan, bila kau mesej aku yang kau cakap kau dah jumpa dia masa tu aku rasa nak gelak. Aku bersimpati dengan kau sebenarnya. Tapi tak apalah. Demi nak jaga hati kau, aku pura-pura yang aku juga turut gembira. Aku pun seorang pelakon yang hebat Fazar. Bukan buah hati kau seorang.”

Usikan itu sangat terbeban di jiwa Fazar Azameer.

“ Aku sendiri sebenarnya sudah penat menunggu untuk mendapat sejujur kasih sayang dari insan yang aku cintai. Tapi, aku takkan penat untuk mencintainya.”

Langkahnya diatur perlahan-lahan mendekati wanita yang dicintainya. Ingin menyentuh wajah itu. Tapi tindakan Nadia Asyila memalingkan wajahnya membuatkan dia menghentikan tindakan seterusnya. Kembali menjatuhkan tangannya ke sisi badan.

“ Dia menyintai kau dengan penuh kejujuran. Bertahun menunggu dengan penuh kesabaran. Tapi hinaan kau yang sentiasa dia dapat.”

“ Kenapa Syam tak ceritakan hal ni dari awal? Kenapa baru sekarang Syam mahu bongkar semua ni?”

Nadia Asyila menuturkan bicara.

“ Untuk apa? Supaya lelaki tak guna ni terima cinta Nadia dan kalian bahagia? Tak! Itu tak mungkin Syam biarkan. Syam menunggu Nadia terlalu lama bukan untuk melihat Nadia bahagia bersama dia. Langsung tak. Syam tak bodoh untuk beritahu segalanya daripada awal untuk melihat Nadia dimiliki oleh lelaki ini. Dia langsung tak layak untuk Nadia. Hanya Syam yang layak.” Sekali lagi dia mencuba. Cuba memegang tangan runcing milik wanita itu. Sekali lagi dia gagal dengan elakan Nadia Asyila. Dia mengangkat bahunya dan seakan berserah. Pasrah.Iqmal Hisyam tersenyum.

“ Jangan terlalu suka membantah. Selama ini sudah terlalu banyak Syam sabar.” Langkahannya makin mendekat. Semakin menghampiri Nadia Asyila. Mata mereka tajam bertentang. Nadia Asyila dengan perasaan berkecamuk dengan memikirkan apa yang lelaki itu akan buat. Pandangan tajam Iqmal Hisyam seakan memberinya satu makna tersirat yang kejam. Apakah dirinya akan dinodai? Dia berundur setapak dua.

“ Jangan Syam. Itu bukan cara yang betul kalau kau mencintai dia.”

Fazar Azameer cuba menghalang perilaku kawannya.

“ Kau siapa untuk menghalang? Apa kau dah mula simpan perasaan dan anganan untuk mendapatkan cinta dia?”

Iqmal Hisyam memandang wajah Fazar Azameer tajam. Fazar Azameer menunduk. Terasa dirinya begitu asing pada saat ini. Iqmal Hisyam kembali memandang wajah Nadia Asyila.

“ Jangan cuba lakukan apa-apa. Jangan fikir yang Syam tak berani bertindak lebih jauh. Setelah apa yang Nadia tahu dan nampak hari ni, peratusan untuk Syam memiliki Nadia tinggal sifar.” Dia mendekat. Semakin dekat dan sesaat kemudian dia menghentikan langkahan.

“ Jangan risau, Syam takkan ambil kesempatan dan bertindak lebih. Syam cuma nak Nadia tahu yang cinta Syam terlalu suci dan ikhlas untuk Nadia. Kalau boleh memang Syam mahu lelakukan lebih. Mahu buktikan kasih dan cinta Syam bukan mainan gar lepas ni Syam punya kekuatan untuk menghadapi hari yang mendatang. Nadia pun cukup pasti kan dengan nasib Syam selepas ni selepas apa yang Nadia berjaya bongkar hari ini.”

Iqmal Hisyam kembali melangkah. Menjarakkan dirinya daripada mereka.

“ Syam tahu yang Nadia dah minta bantuan. Syam tahu yang kebenaran yang Syam nyatakan pada hari ini akan menjerat diri Syam untuk selamanya. Dan mungkin kamu berdua akan bahagia bila kita keluar daripada tempat yang menjadi syurga Syam selama ini.”

Iqmal Hisyam memberhentikan langkahnya dan berpaling menghadap mereka. Ada sebak yang menjalar di dada lelaki itu. Nadia Asyila dapat mengesannya.

“ Tapi, Syam minta maaf. Syam tak punya kekuatan untuk melihat Nadia bersama dengan sesiapa terutama dia.”

Lelaki itu menunjuk tepat pada wajah Fazar Azameer dengan jari telunjuknya.

“ Syam tahu kini yang sampai bila-bila pun Nadia takkan terima cinta Syam. Jika kebenarannya tersurat sebegitu, Syam takkan benarkan Fazar miliki Nadia.”

Jelas sebak kedengaran melalui suara yang diluahkan.

“ Maafkan Syam.”

Pistol yang berada di tangannya diangkat dan picu ditarik. Laungan Nadia Asyila hanya berlalu dibawa angin. Satu das tembakan kedengaran. Mencari sasaran untuk melekat di badan Fazar Azameer.

Namun tindakan pantas Nadia Asyila menyebabkan tiada sedikit calar pun pada badan lelaki itu. Peluru yang buta menemui sasarannya yang baru. Tubuh Nadia Asyila dihuni.

Tindakan drastik itu menyebabkan laungan Iqmal Hisyam dan Fazar Azameer bergema. Memanggil nama wanita itu. Iqmal Hisyam sepantas kilat mendapatkan insan yang dicintainya.

Syazwan yang baru sesaat berdiri di pintu masuk gudang dapat merasakan yang kakinya lemah. Sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya.

Air mata Iqmal Hisyam laju menitis menuruni pipi. Kekesalan yang teramat dirasakannya. Dipangku wanita itu dan direnung sedalam-dalamnya bersama juraian air mata yang setia.

“ Mengapa Nadia sanggup lakukan semua ni? Kenapa sanggup berkorban untuk lelaki yang langsung tidak memberikan kebahagiaan kepada Nadia. Mengapa? Apa salah Syam sampai Nadia sanggup buat Syam macam ni? Kenapa tak pernah puas Nadia menyeksa jiwa Syam. Kenapa berikan Syam balasan yang sebegini? Kenapa dera jiwa Syam sampai macam ni. Kenapa?”

Dilaung kata-kata itu dengan deraian air mata yang laju.

“ Maafkan Nadia kerana selama ini buta dan tidak nampak kutulusan cinta Syam. Syam dah terlalu banyak menderita. Maafkan Nadia. Nadia tak nak Syam lakukan kesalahan lagi setelah apa yang terbongkar pada hari ini.”

Suara yang terkeluar itu semakin agak perlahan namun jelas di pendengaran mereka.

“ Tindakan ini bukan pengorbanan untuk menyelamatkan nyawa Fazar tetapi untuk memberikan diri Nadia pengajaran. Sebenarnya bukan sesiapa yang tak layak memiliki Nadia tapi sebaliknya Nadia yang tak layak dimiliki oleh sesiapa. Maafkan Nadia kerana menyeksa jiwa Syam selama ini.”

Dengan nafas yang tersekat-sekat wanita itu cuba menghabiskan ayatnya.

“ Tindakan Nadia yang sebegini lebih membuat jiwa Syam terseksa. Tolong jangan tinggalkan Syam. Syam merayu pada Nadia. Jangan pergi. Tolonglah. Cukuplah dengan segala apa yang berlaku membuatkan Syam terseksa. Tapi tolong jangan pergi. Syam takkan minta cinta Nadia lagi selepas ni. Syam relakan Nadia bahagia dengan Fazar. Syam akan tolong satukan kalian. Tapi tolong jangan pergi. Tolonglah sayang.”

Rayuan Iqmal Hisyam semakin sayup kedengaran di telinga Nadia Asyila.

Satu senyuman yang tulus dilemparkan untuk lelaki itu sebelum matanya terasa ingin tertutup. Sedaya upaya dia cuba mengangkat tangannya supaya berjaya menyentuh wajah lelaki itu.

Disapu perlahan air mata yang membasahi wajah itu. Seketika kemudian tangannya jatuh menimpa simen gudang. Matanya terpejam.

Laungan Iqmal Hisyam terus kedengaran. Dipeluk erat tubuh yang dicintainya dengan sepenuh hati. Ego lelakinya menghilang entah ke mana. Jeritannya bergema mengisi ruang.

Fazar Azameer kelu untuk menuturkan patah perkataan. Dia merasakan yang dirinya tidak layak untuk mengungkapkan apa-apa. Dia merasakan maruah dirinya terlalu rendah untuk dibandingkan dengan kedua insan yang berada dihadapannya.

Dia merasakan semua yang berlaku adalah berpunca daripadanya dan nasib yang buruk perlu menimpa dirinya. Bukan kedua insan yang dikenalinya itu. Tiada apa yang dapat dituturkannya.

Apa yang pasti, ada air jernih yang laju menuruni pipinya. Dia sebak yang teramat.

Siren polis yang kedengaran bagaikan tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka. Sepasukan anggota polis yang memasuki gudang mengacukan pistol sebagai langkah berjaga-jaga. Ruang mereka bertiga dikelilingi.

Syazwan yang tewas seketika tadi menapak menghampiri mereka. Menerpa Nadia Asyila dan mengesan nadi wanita itu.

“ Nadinya masih ada kesan positif. Kita bawa dia ke hospital cepat.”

Kata-kata itu seakan memberikan nyawa kepada Iqmal Hisyam. Dia langsung tidak menyedari bahawa wanita itu masih bernafas. Apa yang dia tahu tadi mata wanita itu sudah terpejam rapat dan tangannya terkulai.

Segera dicempung badan wanita itu dan menuju ke arah kereta peronda polis. Mereka perlu segera sampai ke hospital.

“ Nadia mesti bertahan. Jangan rampas harapan yang ada ini. Syam takkan lakukan apa-apa yang Nadia tak suka lagi selepas ini. Segalanya akan Syam ikut walaupun Syam akan jauh daripada Nadia. Tapi tolonglah kembali. Syam mahu melihat Nadia seperti dulu. Jangan rampas harapan ini daripada Syam. Syam rayu.”

Iqmal Hisyam membisikkan kata-kata itu di telinga Nadia Asyila. Lebih kepada menenangkan dirinya sendiri.

Fazar Azameer hanya mampu terkaku. Tiada apa yang dapat dilakukannya. Dia merasakan dirinya begitu hina untuk berada di situ. Semuanya dirasakannya segala yang berlaku adalah kerana dirinya.

Kekesalan yang teramat menerjah lubuk hatinya. Air jernih menodai pipinya entah untuk kali yang ke berapa dia sendiri tidak pasti.

Syazwan pantas membuka pintu kereta untuk ditembusi oleh Iqmal Hisyam yang mencempung kawan karibnya. Penjenayah di depan matanya kini bukan lagi sebagai penjenayah di matanya.

Lebih kepada seorang pencinta sejati yang benar-benar mengajar sesiapa sahaja erti cinta. Kesedihan turut merajai jiwanya. Dia yakin yang penyesalan banyak tumbuh di setiap jiwa yang berada di sekelilingnya kini.

“ Tolong! Syam merayu sangat. Jangan tinggalkan Syam dengan keadaan yang macam ni. Syam takkan dapat terima. Syam betul-betul tak dapat terima. Jangan uji Syam dengan perkara yang macam ni. Syam betul-betul takkan dapat hadapi. Nadia kena kuat. Nadia tak boleh tinggalkan Syam dengan kata-kata indah untuk Syam dengar. Syam tak nak kata-kata indah tadi menjadi kata-kata terakhir yang singgah di pendengaran Syam.”

Air mata terus setia berjuraian di pipi lelaki yang tidak pernah jemu menyintai dan mengungkapkan kata cinta itu.

Syazwan menyapu air jernih yang mula menakung di kelopak matanya. Terasa kabur pandangannya. Dia tidak pernah silap mengenali dan merelakan kawan baiknya dicintai oleh lelaki itu.

Syazwan membelok kereta menuju ke tempat kecemasan yang telah berada di hadapannya kini. Pintu kereta pantas dibuka. Langkah yang laju diatur oleh Iqmal Hisyam. Suaranya kuat menjerit memanggil doktor atau sesiapa sahaja yang dapat memberikan bantuan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku