Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 33
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:
(4 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1064

Bacaan






“ Dah masuk minggu kedua. Nadia tetap jugak macam tu.”

Rahimah memandang sayu anaknya yang terlantar. Entah apa rasa yang dirasakan oleh anak perempuannya itu. Apakah sakit? Dia tidak berdaya untuk membantu. Bibir itu kaku tanpa bicara.

“ Sabarlah mak cik. Sememangnya dugaan Tuhan memerlukan banyak kesabaran. Mungkin akan tiba masanya nanti Nadia akan sedar.”

“ Mungkin! Apa akan ada kemungkinan untuk mungkin itu?”

“ Kita berserah sajalah mak cik.”

“ Mak cik tak sanggup untuk lihat dia dalam keadaan macam ni. Kalau lah mak cik diberi peluang, mak cik mahu menggantikan tempatnya.”

“ Tak baik mak cik cakap macam tu. Kita kena terima dengan apa yang berlaku. Pasti ada hikmah dengan semua dugaan ni.”

“ Nadia beruntung mempunyai sahabat macam kamu Mierah. Kawan-kawan kamu yang lain juga membuatkan mak cik terhutang budi.”

“ Apalah yang ada dengan budi kami mak cik. Persahabatan kami sudah tidak mengenal budi. Kasih sayang kami diharap akan berkekalan sehingga ke akhirnya.”

Rahimah memeluk Amierah yang dirasakan seperti anaknya sendiri. Dia sebak dengan apa yang berlaku. Sudah seminggu dia menumpang teduh di rumah sewa Nadia Asyila. Perjalanannya bebas dengan pertolongan Amierah untuk menjemput dan mengahantarnya ke hospital.

“ Mierah. Mak cik sebenarnya ada kemahuan. Tapi mak cik segan untuk meluahkan.”

Dipandang mata Amierah yang tidak melepaskan pandangan dari anak mata tuanya.

“ Apa sahaja mak cik. Kalau terdaya saya akan tunaikan.”

“ Sebenarnya mak cik berhasrat.”

Rahimah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Keikhlasan yang terpancar di wajah Amierah membantutkan segalanya.

“ Kenapa mak cik?”

“ Mak cik ingat nak pindahkan Nadia ke hospital di Kelantan.”

Amierah kaget. Lidahnya terasa kelu untuk mengeluarkan bicara. Seandainya hasrat itu ditunaikan, pasti ramai yang akan terkesan. Mungkin Fazar Azameer adalah orang yang pasti akan merasa ketiadaan Nadia Asyila.

Sejak Nadia Asyila ditempatkan di hospital itu, setiap hari Fazar Azameer akan menjengukkan muka untuk melawat Nadia Asyila. Walaupun hatinya marah dengan apa yang pernah dilakukan lelaki itu terhadap kawannya, namun dia dapat merasai perasaan cinta yang sedang membara.

Dapat dilihat dengan jelas di pandangan lelaki itu. Beberapa hari lepas secara tidak sengaja dia melihat ada titisan air mata yang mengalir keluar dari mata lelaki itu.

Dia yakin yang hadir lelaki itu kali ini adalah untuk mempersembahkan cintanya. Bukan lagi hinaan yang selama ini diterima oleh Nadia Asyila. Sejak hari itu, Amierah semakin cunba menerima kehadiran lelaki itu.

Walaupun secara zahirnya dia masih berkasar dengan lelaki itu, namun hatinya sudah dapat menerima akan kebaikan Fazar Azameer yang semakin mendapat tempat di hatinya.

Pasti apabila diberitahu berita yang baru didengarinya ini, lelaki itu akan mengeluh berat. Pasti tidak mampu untuk melepaskan cinta hatinya semakin jauh. Dan Iqmal Hisyam.

Dia kasihankan lelaki itu yang tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Untuk menjenguk Nadia Asyila di hospital juga dia tidak berdaya. Dia terlalu bersimpati kepada lelaki itu.

“ Kami boleh jaga dia mak cik. Ramai yang sayangkan dia. Kami takkan pernah biarkan dia keseorangan.”

“ Mak cik tahu. Itu yang buatkan mak cik segan dengan kamu semua. Tapi kalau dia dipindahkan, senang untuk mak cik selalu menjenguknya. Tak perlulah mak cik menyusahkan kamu lagi.”

“ Astagfirullahhalazim! Saya tak pernah merasa susah mak cik. Saya ikhlas dengan apa yang saya lakukan.”

“ Mak cik tahu. Tapi entah sampai bila Nadia akan macam ni.”

“ Kak Ros tahu hasrat mak cik ni?”

“ Tahu. Mak cik dah beritahunya semalam. Dan dia setuju. Nadia akan lebih dekat dengan kami.”

“ Kalau itu apa yang mak cik mahu, saya turutkan.”

“ Mak cik tak bermaksud untuk menjarakkan kamu. Mak cik harap kamu faham.”

“ Janganlah mak cik risau. Saya faham. Saya yakin yang lain juga akan faham.”

“ Terima kasih Mierah. Mak cik tak tahu macam mana nak sampaikan kepada kawan-kawan kamu yang lain.”

“ Tak apa. Nanti saya akan sampaikan. Bila mak cik nak pindahkan dia?”

“ Dalam minggu ni.”

Amierah mengangguk perlahan. Memahami apa yang dirasakan oleh hati seorang ibu yang terpaksa menerima keadaan anaknya dalam keadaan yang sebegitu.

************************************************************************

“ Maafkan mak cik kerana terpaksa membuat keputusan yang begini.”

Rahimah memandang setiap wajah yang saat ini menunggu untuk Nadia Asyila dipindahkan. Semua yang ada hanya memandangnya sayu.

“ Kami faham mak cik. Nanti kalau ada kelapangan kami akan melawatnya.”

Syazwan memegang mesra bahu Rahimah. Dia tahu yang keputusan itu sebenarnya sukar untuk dilakukan oleh seorang ibu. Bukan niatnya untuk memisahkan Nadia Asyila daripada mereka. Semua yang ada memang sedar akan kenyataan itu.

“ Fazar. Maafkan mak cik.”

“ Saya faham mak cik. InsyaAllah saya akan selalu melawatnya.”

Rahimah sedar yang wujud perasaan terkilan di hati lelaki itu. Dia menyedari akan bahang cinta yang hebat di hati lelaki itu untuk anaknya.

“ Tak payahlah mak cik rasa bersalah. Saya faham akan kasih sayang seorang ibu. Rasa cinta saya bukan apa-apa jika dibandingkan dengan kasih seorang ibu.”

“ Terima kasih kerana memahami mak cik.”

Fazar Azameer mengangguk perlahan. Dia redha dengan keadaan itu. Sewaktu Amierah memberitahunya tentang hasrat insan tua itu, dia termenung panjang. Berat rasa hatinya untuk membenarkan. Tetapi, dia tiada hak untuk menghalang kasih suci seorang ibu. Dia sedar yang dia perlu merelakan.

Rahimah menyapu air jernih yang mengalir keluar menembusi ruang matanya. Dipeluk satu persatu insan yang berada di hadapannya kini. Kesemua teman serumah Nadia Asyila telah lama sebak.

Mereka juga telah membuat janji untuk melawat Nadia Asyila apabila masa membenarkan. Walaupun tidak sekerap semasa kawan mereka itu berada di Hospital Kuala Lumpur.

Rahimah mendekat menuju ke arah helikopter Polis Diraja Malaysia yang telah menanti. Pertolongan kerajaan itu sememangnya dihargai. Perjalanan udara pastinya lebih cepat dari jalan raya.

Kerumitan itu tidak ditanggungnya apabila pihak polis sudi untuk menghulurkan bantuan. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Syazwan kerana menguruskan segala-galanya.

******************************************************************

Syed Faizal menyepak pasu bunga yang berdekatan dengan kakinya. Barannya datang apabila Fasha memberitahu tentang rahsia mereka yang telah bocor.

“ Aku nak kau pujuk dia. Kelentong apa saja asalkan dia kembali pada kau.”

Syed Fazial menuding jari telunjuknya berdekatan dengan wajah Fasha. Fasha memandang Haziq yang mendekat. Kemudian memandang kembali wajah Syed Faizal. Geram! Diraih tangan Haziq dan dibongkokkan badannya supaya seiring dengan badan Haziq. Senyuman diberikan kepada anak kecil itu.

“ Haziq pergi masuk dalam bilik ya sayang. Mama nak bincang dengan Uncle sekejap.”

Anak kecil itu menggeleng.

“ Sekejap je. Nanti mama datang.”

Akhirnya anak kecil itu akur. Membawa langkahnya perlahan-lahan memasuki bilik.

“ Kalau ya pun you nak lepaskan marah you jangan la depan budak tu. Selama ni you jugak yang lalai sampai tak sedar yang gerak geri kita diperhatikan.”

“ Ah persetankan dengan semua tu. Benda dah jadi. Apa yang penting sekarang I nak you buat apa sahaja untuk si Fazar tu kembali pada you. Kalau tak boleh dengan cara biasa. Kita main cara kasar.”

“ Apa maksud you?”

Syed Faizal memandang wajah Fasha yang merenungnya.

“ Tak sangka yang Hisyam tu boleh lakukan apa yang kita tak jangka. Tak sangka langsung yang selama ni dia tahu apa yang kita rancang.”

“ Itulah you pandang rendah sangat pada dia.”

“ Selama ni I ingat kita selamat sebab I tengok si Hisyam tu macam budak baik. Rupanya bapak penjenayah.”

“ Sudahlah fikirkan Fasal dia. Lagipun dia dah terima hukuman yang setimpal dengan apa yang dia lakukan. Sekarang macam mana caranya untuk I kembali pada Fazar?”

“ I nak you yang fikirkan caranya.”

“ You gila? Ingat senang? Sekarang dia dah cintakan perempuan yang separuh mati tu bagai nak rak. Macam dah tak ada perempuan yang hidup dalam dunia ni.”

“ Itu silap you. Apa-apa pun I tak nak dengar alasan.”

“ Hei senangnya you cakap. Siapa yang rancang untuk bolot harta dia? You kan? Kalau you tak muncul dalam hidup I sekarang ni I akan bahagia dengan dia tau. Tentang Haziq tu kacang jer bagi I. Sekarang ni you yang timbulkan masalah kita yang sebenarnya.”

Syed Faizal memandang tajam ke arah Fasha yang setia merenungnya. Tiada ketakutan! Dia mendengus kuat sambil membuka kasar daun pintu dan terus berlalu.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku