Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 36
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
697

Bacaan






Setelah bercuti hampir dua minggu, Nadia Asyila kembali meneruskan tugasnya sebagai seorang anggota polis. Dia menolak cuti sebulan yang diberikan. Sekarang sudah genap seminggu dia berada di dalam pejabat. Dia mahu menyibukkan dirinya tanpa memikirkan masalah yang selalu menyinggah dalam hidupnya.

Setiap hari dia akan terus mengunjungi hospital mental yang dihuni oleh Iqmal Hisyam. Dia tidak pernah jemu dan takkan jemu. Usahanya sentiasa berganda. Dia mahukan Iqmal Hisyam yang dulu. Dia mahu meraih kembali ingatan Iqmal Hisyam terhadap dirinya.

Dia mahu merasakan kehangatan cinta yang telah lama diisikan oleh lelaki itu untuknya. Dia mahu Iqmal Hisyam kembali. Terus menyemai cintanya. Kali ini dengan suasana yang berbeza.

Dia akan turut sama menyemai cinta bersama lelaki itu. Segala harapan fantasi lelaki itu akan dijadikan realiti olehnya. Dia mahu lelaki itu muncul kembali dengan jiwa yang riang. Tersenyum menyambut huluran cintanya.

Dia akan pastikan yang tiada sesiapa yang akan menghalang kebahagiaan itu. Itu adalah dunia mereka. Tempat mereka bersandar dan bertakhta. Untuk satu masa yang akan wujud nanti dan kekal untuk selamanya.

Nadia Asyila tersentak dari anganannya apabila bahunya disentuh lembut. Senyuman dihulurkan buat Syazwan yang juga sedang tersenyum memandangnya.

“ Apa yang kau fikirkan?”

“ Tak ada apalah!”

“ Jangan berangan yang bukan-bukan sudahlah.”

Diangkat sedikit keningnya mengisyaratkan sesuatu yang nakal. Nadia Asyila melebarkan senyumnya.

“ Aku tak ada masa nak fikirkan semua tu. Lainlah kau.”

“ Aku pun tak ada masa.”

Akhirnya mereka sama-sama tergelak.

“ Nadia”

“ Emm”

“ Kami semua rindukan kau yang dulu. Yang sentiasa riang walaupun penuh dengan masalah. Kami mahukan kau yang begitu. Kami merinduinya. Bukan sahaja kawan-kawan kita tapi staf dalam pejabat ini pun mahukan semua itu. Kami gembira kau dah kembali. Tapi bukan dengan diri kau yang lain. Kami rindukan senyuman ikhlas kau.”

“Kenapa? Selama ni aku tak cukup senyum ke?”

“ Bukan selama ni. Tapi semenjak kau kembali. Kau terlalu asyik dengan kerja kau. Langsung tiada kemesraan.”

Nadia Asyila mendengus lembut. Dia sebenarnya sedar akan semua itu tapi dia tidak tahu dan seakan tidak pandai untuk memulakannya. Untuk mencari punca di mana permulaan. Dia sendiri merindukannya.

“ Maafkan aku.”

“ Kami bukan mahukan kata maaf. Kami Cuma mahukan keriangan kau. Jangan sesekali buatkan semua staf merasa segan dan takut untuk bermesra dengan kau. Kembalikan diri kau yang dulu. Hanya itu yang kami mahukan.”

“ Aku…”

“ Aku faham dengan setiap kesulitan yang kau alami. Tapi jangan serahkan diri kau dalam kesempitan itu. Perlahan-lahan cuba keluar. Kami akan membantu.”

“ Aku sememangnya bertuah kerana mempunyai sahabat seperti kamu semua. Aku sepatutnya bersyukur dengan apa yang aku ada. Selama ini aku hanya menghayati kenikmatan masalah tanpa memikirkan yang aku ada sahabat seperti kamu semua. Yang sentiasa cuba untuk membuat aku bahagia. Tidak terus karam dengan setiap rasa yang membunuh jiwa.”

Bahu Nadia Asyila ditepuk penuh mesra. Sedikit air jernih yang keluar disapu lembut dengan belakang tangannya. Bersama mata yang sedikit kabur, senyuman dilemparkan untuk Syazwan.

“ Jangan bebankan fikiran kau. Berfikiran terbuka mulai sekarang. Jom lunch. Dah sampai masa. Aku tengok dua tiga hari kau abaikan masa makan tengah hari. Terlalu asyik menyibukkan diri. Sampai aku nak tegur pun takut.”

“ Aku bukannya mayat hidup.”

“ Tapi kau mati hidup kembali.”

Pantas Nadia Asyila menyiku perut lelaki itu. Geram dengan kata-katanya. Ketawa yang kedengaran juga seakan menyindirnya. Gurauan itu disambutnya dengan senyuman. Berfikiran terbuka. Itu yang lelaki itu mahukan.

“ Mungkin itu yang buatkan staf kita segan dan takut nak tegur kau.”

Mereka sama-sama tergelak dan beriringan menuju ke pintu keluar untuk mendapatkan makan tengah hari.

Mereka menjamu selera di restoran yang terletak berhadapan dengan balai polis. Nadia Asyila menanggalkan topi yang dipakainya. Dia mengenakan topi itu memandangkan dia tidak mengenakan pakaian seragam. Lebih selesa begitu.

“ Syazwan. Aku ingat nak gugurkan semua dakwaan yang tentang Syam. Cubaan untuk membunuh aku. Aku nak gugurkan dakwaan tu. Aku mahu hukuman terhadap jenayah yang dia lakukan diringankan. Aku akan minta peguam yang terhebat mewakilinya.”

Syazwan hanya membisu. Tiada apa yang dapat diperkatakannya. Direnung tepat ke wajah wanita itu. Nadia Asyila seakan memahaminya.

“ Aku akan buat semua tu apabila keadaannya dah kembali normal.”

“ Aku sokong kau Nadia. Tapi…”

“ Aku yakin yang semuanya akan menjadi baik dalam masa terdekat. Doakan kami akan bersatu.”

“ Aku tak pernah lupa untuk mendoakan apa yang terbaik untuk kau. Dugaan Tuhan hanya Dia yang tahu bila akan ada kesudahannya. Kau perlu terus berdoa dan berusaha.”

“ Aku takkan pernah jemu untuk semua itu.”

“ Nampaknya kau dah betul-betul menyintainya.”

“ Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk menyintai seseorang sepertinya. Dia seorang lelaki yang baik. Dia memang baik. Terlalu baik. Apa yang dia lakukan cuma satu kesilapan. Hanya satu kesilapan. Dia memang seorang yang baik.”

Kata-kata yang dilafazkan agak beremosi.

“ Aku percaya setiap apa yang baik mesti akan direstui oleh yang esa.”

“ Kau sentiasa di samping aku. Thanks Syazwan.”

“ Itulah gunanya kawan. Bukan je masa senang tapi untuk masa susah juga.”

Mereka bertemu pandangan dan saling melemparkan senyuman. Mendoakan supaya persahabatan itu akan terus berkekalan dengan penuh setia.

“ Apa peningkatan yang ada pada dirinya sekarang doktor?”

“ Masih sama Nadia. Mungkin kita perlu fikirkan satu cara untuk mengembalikan ingatannya. Tapi I tak mahu cara itu akan memberinya tekanan yang lebih kuat. Kita perlu lakukan perlahan-lahan. Seperti mengungkit sedikit demi sedikit kenangan hidupnya. Mungkin apa yang terindah dalam hidupnya. Mungkin secara normal dia tidak mendengar tetapi hatinya akan memberi reaksi kepada apa yang kita cakap.”

“ Apa agaknya cara itu doktor?”

“ Mungkin kenangan kamu berdua. Dan mungkin juga you boleh mengulang kembali kenangan yang mengindahkan dirinya sebelum dirinya berkeadaan begitu. Kenangan yang terdekat. Tapi jangan terus menjurus ke arah itu. Lakukannya secara halus.”

Nadia Asyila termenung seketika. Dia memahami apa yang dimaksudkan oleh doktor muda itu. Kejadian di gudang adalah perkara yang terbaik. Namun, bagaimana cara halus yang perlu dia lakukan? Dia bingung.

Memang sukar untuk bermain akal dengan seorang pesakit mental yang mengalami tekanan jiwa yang sebegini. Risau memikirkannya. Apakah cara yang terbaik?

“ Terima kasih doktor.”

Tangan dihulur sebagai tanda untuk dia beredar. Dia mahu mengisi ruang langkahnya untuk menuju ke arah Iqmal Hisyam. Dia merindui lelaki itu.

Di sebalik cermin, Nadia Asyila memerhatikan lelaki yang dicintainya. Lelaki itu turut sama memandangnya. Menggerakkan kepala ke kiri dan kanan. Dia seakan senang dengan wajah itu. Wajah yang selalu datang kepadanya.

Dia tidak merasakan keasingan apabila wanita itu berada bersamanya. Dia boleh senyum dengan senang. Tapi dia tidak tahu siapa wanita itu. Fikirannya kosong dan dia selalu berada di dalam dunianya sendiri.

Langkah Nadia Asyila diatur. Perlahan-lahan mendekati lelaki itu. Senyumannya terukir apabila tangan lelaki itu mengawang-awang kepadanya untuk segera mendekati.

Nadia Asyila mencapai tangan Iqmal Hisyam dan memegangnya perlahan-lahan. Lelaki itu merenung wajah yang memegang tangannya dan kemudian menariknya kasar. Tersentap seketika jantung Nadia Asyila.

“ Jangan risau. Dia takkan lakukan sesuatu yang berbahaya kalau dia rasakan tiada seseuatu yang mengancamnya.”

Nadia Asyila tersentak lagi apabila mendengar suara doktor muda itu di belakangnya.

“ Tapi tadi dia senyum dengan saya. Melambai pada saya lagi. Dan sekarang bila saya mendekatinya dia seakan mahu saya menjauh.”

“ Sabarlah! Keadaannya memang akan bertukar-tukar begitu. Dia memang suka lakukan apa yang dia rasa dia mahu lakukan.”

Nadia asyila mengeluh. Sesekali dia berfikir yang dia seakan-akan sudah semakin mendekatkan dirinya dengan lelaki itu tetapi keyakinannya mampu runtuh dalam sekelip mata. Dia bingung.

“ Doktor.”

“ Apa dia?”

Doktor muda itu merenung pandangan mata Nadia Asyila yang seakan-akan mahu memberitahu sesuatu kepadanya.

“ Boleh ke kalau saya bawa dia bersiar-siar luar daripada tempat ni?”

Tiada jawapan daripada doktor muda itu. Terdiam seketika. Tunduk memandang lantai seakan berfikir. Seketika kemudian dia berdehem.

“ Boleh! Tapi bersyarat.”

Keceriaan terpancar di wajah wanita itu.

“ Apa Syaratnya?”

“ I akan temankan you all.”

Nadia Asyila tersenyum gembira. Dia bersetuju dengan syarat itu. Sekurang-kurangnya Iqmal Hisyam akan bebas untuk seketika. Bebas daripada tempat yang mengurungnya.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku