Harapan Kasih @ Aku Tunggu Dia
Bab 39
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 24 Januari 2014
NADIA Asyila, seorang polis wanita yang periang.
Penilaian Purata:

Senarai Bab :
670

Bacaan






Nadia Asyila menekan brek dengan agak mendadak apabila seseorang muncul di hadapan keretanya. Secara tiba-tiba sahaja lelaki di hadapannya muncul sebaik sahaja keretanya membelok keluar dari pagar banglo yang disewanya.

Dia memerhati raut wajah lelaki itu dari dalam kereta. Masih ragu-ragu untuk keluar apabila lelaki itu seakan mempunyai niat yang tidak baik. Pistol yang berada di pinggangnya diraba. Terselindung di sebalik jaket coklat yang dipakainya.

Lelaki itu mendekat. Pandangannya terus terarah kepada Nadia Asyila. Langkah kakinya menuju ke arah pintu pemandu. Kakinya sedikit terenjut-enjut. Nadia Asyila berfikir seketika seandainya dia pernah berjumpa dengan lelaki itu sebelum ini.

Seketika kemudian, dia pasti yang mereka tidak pernah bertemu. Ini mungkin pertemuan yang pertama. Cermin keretanya diketuk perlahan. Setelah ketukan yang ketiga, barulah Nadia Asyila menurunkan cermin keretanya.

“ Inspektor, boleh kita bercakap sekejap?”

Sekali lagi Nadia Asyila memerhati raut wajah lelaki di hadapannya. Lelaki itu mengetahui tentang pekerjaannya.

“ Saya tak mempunyai niat jahat.”

Wajah itu sedikit kendur. Seakan menginsafi akan sesuatu. Nadia Asyila mengangguk. Dia keluar dari kereta setelah yakin yang lelaki itu bukan seorang yang berbahaya.

“ Saya Firdaus.”

“ Kita tak pernah berjumpa kan?”

Lelaki itu mengangguk.

“ Memang kita tak pernah berjumpa. Dan untuk pertama kali juga saya mahu berdepan dengan kenyataan. Kebenaran yang sememangnya pahit untuk saya telan.”

“ Apa maksud awak?”

Wajah lelaki itu keruh. Lebih keruh dari yang awalnya. Seakan ada sebak yang cuba ditahan. Ditarik nafasnya dalam dan dihembuskan perlahan. Mencari sedikit kekuatan.

“ Saya sebenarnya tak tahu macam mana nak mulakan.”

“ Apa yang awak nak cakapkan sebenarnya ni?”

“ Maafkan saya kalau saya membuang masa inspektor. Saya janji yang apa yang bakal saya katakan tidak akan merugikan inspektor.”

“ Okey, saya mendengar.”

“ Saya ada seorang ibu. Dunia saya hanya ibu saya. Memang saya dah tak ada sesiapa dalam dunia ni. Ibu saya tenat. Nazak di hospital. Doktor cakap yang kos pembedahannya seratus lima puluh ribu.”

Dia berhenti seketika. Semakin sebak. Nafas kembali ditarik. Cuba mencari ayat untuk dituturkan.

“ Saya orang miskin. Tak ada kerja tetap. Mana saya nak cari duit sebanyak tu dalam masa yang singkat. Demi Allah, kerana ibu saya, saya sanggup lakukan apa sekalipun. Melalui seorang kawan, saya diperkenalkan kepada seorang perempuan. Perempuan tu begitu licik. Saya dijanjikan duit pembedahan tu sekiranya saya sanggup melakukan kerja yang diarahkan. Saya diberi dua keping gambar. Ini gambarnya.”

Nadia Asyila mengambil foto yang berada di tangan lelaki itu. Riak terperanjat jelas di wajahnya. Dipandang wajah lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki itu mengangguk. Foto yang telah bertukar tangan tadi adalah dirinya dan Iqmal Hisyam.

“ Apa yang dia mahu kamu lakukan?”

“ Dia nak kamu berdua mati.”

Sekali lagi wanita itu terperanjat. Dia tidak menyangka itu yang terkeluar dari bibir jasad yang berada di hadapannya.

“ Kemalangan kamu dirancang.”

Nafas Nadia Asyila turun naik. Setiap patah perkataan yang keluar dari bibir lelaki itu dirasakan amat berbisa.

“ Ya! Itulah kebenarannya. Sayalah orang yang memandu lori yang melanggar kamu.”

Nadia Asyila memandang wajah itu dengan pandangan yang tajam. Air jernih yang menitik di pipi lelaki itu seakan tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya.

“ Kau..”

“ Saya tahu. Izinkan saya habiskan.”

Nadia Asyila menelan liurnya. Dia sebak dengan apa yang telah berlaku. Sebaknya semakin menggunung apabila terbayang wajah Iqmal Hisyam yang terlantar koma. Terasa mahu ditumbuk wajah lelaki di hadapannya kini.

“ Siapa dalangnya?”

Firdaus menunduk. Dia semakin sebak. Ego lelakinya menghilang entah ke mana.

“ Setelah kejadian tu, saya melarikan diri. Dua hari kemudian, saya cari perempuan tu. Apa yang dia cakap benar-benar buat saya marah.”

“ Siapa dia dan dia cakap apa?”

“ Saya takkan dapat wang yang dijanjikan kerana kamu berdua selamat. Malah, saya diugut bunuh sekiranya semua yang berlaku terbongkar. Memang betina tu seorang yang kejam. Saya dah tak takut dengan apa-apa sekarang. Hari ni, saya rela dihukum oleh undang-undang dengan apa yang telah saya lakukan. Saya rela memberi keterangan untuk perempuan tu.”

“ Kenapa?”

“ Saya dah tak kisah dengan segalanya. Saya dah tak ada apa-apa dalam dunia ni. Semalam ibu saya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah lama dia menderita kerana menunggu pembedahan. Saya memang tak guna. Apa yang saya lakukan sebenarnya akan membuatkan dia lebih menderita sekiranya dia tahu apa yang telah saya buat. Untuk seorang ibu yang sedang menunggu saat kematian pun saya tak dapat lakukan apa-apa. Saya memang anak tak guna.”

Luahan itu diucapnya dengan sepenuh perasaan. Sudah tidak berdaya untuk dia berdiri. Lututnya mencecah bumi. Air matanya laju menuruni pipi.

Nadia Asyila mengalihkan pandangannya ke sebelah kiri bahu. Dipejamkan matanya untuk seketika. Empangan matanya juga pecah. Dia turut terkesan dengan apa yang berlaku.

“ Siapa perempuan tu?”

“ Saya tak tahu namanya. Cuma, saya ada gambarnya.”

Lelaki itu menekan-nekan punat telefon miliknya. Mencari gambar yang dimaksudkan. Jumpa. Diunjukkan handphone itu ke arah Nadia Asyila.

Untuk kali ini, Nadia Asyila mengucap panjang. Memang dia tidak menjangka dengan apa yang dilihatnya.

Firdaus mengesat air jernih yang masih bersisa dengan belakang tangannya. Selepas itu terus dihulurkan kedua-dua tangannya kepada wanita di hadapannya.

Nadia Asyila mengeluarkan gari yang berada di pinggangnya. Melakukan tugasnya. Setelah itu, mereka memasuki perut kereta dan Nadia Asyila terus memfokuskan pemanduannya menuju ke balai.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku