Abah..dan Catatan Inspirasi..
Genre: Keluarga
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 06 Februari 2014
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)
954

Bacaan






Cuti semester telah pun bermula. Aku hanya berehat di rumah sambil melayan adik-adik yang kurindui. Dalam masa yang sama, Emak masih seperti dulu yang kukenali. Masih lagi dengan sikapnya yang sering menengking-nengking Abah apabila bercakap, mengungkit-ungkit malah sering mencari peluang untuk bertengkar dengan Abah apabila Abah ada di rumah.

Aku tahu Abah tertekan. Siang sibuk dengan kerja sebagai kerani di sebuah syarikat minyak dan malamnya pula terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di rumah-rumah VVIP. Sementara menunggu pukul sebelas malam waktu bekerja shift malam, Abah tentu ingin berehat dan tidur sekejap di rumah.

Namun, apabila Emak yang memang tidak boleh melihat Abah senang walau sesaat membuatkan Abah tidak pernah dapat peluang untuk berbuat demikian. Kasihan Abah! Walau dia menyembunyikan derita hatinya tetapi dia tidak boleh menipu aku kerana akulah saksi utama pertengkaran mereka sejak aku kecil lagi.

“Walau teruk macam manapun emak tu, dia tetap ibu kepada Ayu dan adik-adik. Ingat, berdosa melawan cakap ibubapa. Derhaka! Hidup tak selamat.” Pesan Abah suatu ketika dulu apabila aku pernah melawan malah menengking Emak. Aku sebenarnya tidak tahan apabila Emak terus-terusan mengatakan aku anak pembawa malang dan anak yang bodoh. Hati mana yang boleh tahan jika emak sendiri yang mendoakan begitu kepada anaknya.

Lebih teruk lagi, Emak yang tidak pernah merasa malu sering menempik Abah di hadapan anak-anaknya terutama aku. Aku tahu, hati Abah terluka. Betapa harga dirinya sebagai seorang suami dipersendakan oleh isterinya sendiri. Aku tidak tahu, bagaimana Abah memperolehi kekuatan dan kesabaran itu dalam melayan kerenah Emak.

“Sabar Ayu.. Abah percaya Ayu seorang yang sabar dan kuat. Abah percaya semangat Ayu seperti semangat Abah juga. Anak Abah ini sabar orangnya. Orang sabar akan disayangi Allah!” Itulah kata-kata semangat Abah yang kujadikan tangkal jika aku dilanda kesusahan.

Tuhan… jika ditakdirkan aku berkahwin nanti, aku berdoa akan bertemu jodoh dengan seorang lelaki sesabar Abah. Sentiasa berfikiran positif dan tenang walaupun menghadapi pelbagai dugaan yang mencabar keimanan. Penyayang dan memahami.. juga seperti Abah.. Adakah lelaki sebaik Abah di zaman ini? Moga-moga Allah mendengar doaku…

*************************

Pagi Jumaat yang indah. Bersyukur aku kepada Allah kerana membenarkan aku bernafas lagi di muka bumiNya ini. Dalam aku memikirkan masa depanku dan nasib keluargaku, aku masih tertanya-tanya mengapa hatiku terasa berdebar-debar sentiasa. Perasaan berdebar-debar ini tidak berhenti sehingga waktu tengahari. Apakah petandanya? Adakah aku bakal mendapat berita gembira? Mungkin juga kerana keputusan peperiksaan bakal kuperolehi dalam sehari dua lagi. Moga-moga aku lulus dengan cemerlang.

Petang itu, selepas Abah pulang dari menunaikan solat Jumaat, Abah mengajak aku berborak-borak di ruang tamu. Ku lihat Abah sering tersenyum sejak kebelakangan ini. Malah, semenjak balik dari solat Jumaat hingga tadi, Abah ku lihat asyik termenung tetapi masih tersenyum.

Entah apa yang difikirkan hingga membuatkan dia terbawa-bawa senyuman itu. Adik-adik yang lain entah di mana. Barangkali, tidur di dalam bilik. Emak pula, mungkin di biliknya atau mungkin berborak-borak di rumah jiran. Aku dapat mengagak yang Abah dan Emak bergaduh lagi. Emak sedari tadi tidak menunjukkan muka apabila Abah pulang ke rumah. Abah pula, macam biasa malas melayan kerenah Emak.

Banyak perkara yang kami bual dan bincangkan. Seolah-olah, hari itu sajalah hari yang kami dapat berbual tanpa apa-apa halangan. Dalam pada itu, Abah tidak putus-putus berpesan agar aku menjaga adik-adik dan Emak. Mengapa ya? Aku tertanya-tanya sendiri.

“Ayu, kalau apa-apa terjadi, Abah harap Ayu habiskan pengajian dan jangan berhenti. Abah tak dapat bagi apa-apa harta kat anak-anak Abah. Cuma pelajaran itu ajalah harta kamu semua. Abah tak nak anak-anak Abah tak berpelajaran macam Emak. Ayu sendiri dapat tengok contohnya bila tak berpelajaran kan?” Pesan Abah. Aku hanya tersenyum mendengar.

“Insyaallah Abah. Ayu janji, habis belajar, Ayu cari kerja bagus dan tanggung Abah. Kalau boleh Ayu nak hantar Abah pergi Haji. Okey tak Abah?” Tanyaku.

“Alhamdulillah, kalau umur panjang, In shaa Allah…”Jawab Abah. Masih lagi tersenyum panjang.

Tiba-tiba, Abah terjerit sambil memegang dadanya. Aku sempat mendengar Abah melaungkan “Allahhu Akbar!” seterusnya Abah mengucap kalimah syahadah dengan lengkap tetapi dalam nada yang laju dan lancar.

Aku terkaku seketika namun terasa jantungku berdegup kencang. Aku segera menghampiri Abah yang wajahnya tidak lepas memandangku. Selesai Abah mengucap kalimah syahadah itu, kulihat kaki Abah seperti ditarik-tarik ke atas dan aku mendengar kerongkong Abah tersekat-sekat dan bunyinya seperti tercekik sesuatu. Aku menjerit-jerit memanggil Abah sambil menggoyang-goyangkan tubuhnya.

“Abah! Kenapa ni? Abah! Abah!” Panggilku sambil menangis.

Di akhir laungan Abah yang menyebut “Allah!”, kulihat Abah tidak bergerak lagi. Puas ku goncang-goncangkan tubuhnya. Namun, Abah masih terkaku di situ. Tidak berapa lama kemudian, keluar buih dari mulut Abah. Lutut dan sendiku terasa lemah sekali namun aku kuatkan semangatku untuk bangun dan terus berlari mendapatkan jiran sebelahku.

Aku meminta pertolongan jiranku untuk membawa Abah ke klinik. Doaku Abah akan selamat jika dihantar ke klinik dengan segera.

*************************

Aku masih menunggu di ruang menunggu Klinik Mesra. Ketika Emak keluar, dia seperti orang yang kebingungan dan wajahnya amat pucat sekali.

“Mak! Abah dah sedar ke?” Tanyaku ingin tahu.

“Ayu… Abah.. Abah dah tak ada lagi!...” Jawab Emak masih terkaku berdiri di situ.

Pandanganku mula kelam dan hampir jatuh. Mujurlah jururawat di situ sempat memaut tubuhku. Dengan kudrat yang ada, aku segera berlari masuk ke bilik kecemasan. Di situ kulihat Abah terbaring tenang di situ. Wajahnya seperti orang yang sedang nyenyak tidur.

“Doktor tipu! Abah saya belum mati lagi! Tengok..Abah cuma pengsan saja. Abah okeykan doktor!” Aku seperti orang hilang akal menjerit memarahi Dr Rusdi.

“Adik, saya dah sahkan yang Abah adik sudah meninggal dunia pada 6.45 petang. Puncanya saya sahkan akibat sesak nafas. Adik.. sabar ya adik.. Allah lebih sayangkan dia” Itulah kata-kata Dr Rusdi yang membuatkan ku terus meraung di situ.

Untuk pertama kalinya dalam hidupku, Emak memelukku dengan erat dan kami sama-sama menangis di situ. Tiada bicara antara kami hanya tangisan yang bisa kami luahkan.

“Adik, bawak mak balik. Lepas selesai, kami bawa jenazah ni pulang ke rumah adik ya. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Akak faham, di waktu begini memang sukar untuk menerima hakikat. Tapi dik, tak baik menangisi dan meratap kematian apatah lagi ayah kita. Adik mesti kuat. Adik balik bawak mak adik tu.. mak adik nampak lemah sangat.” Pujuk salah seorang jururawat di situ.

Mendengar suara lembut jururawat itu, aku seperti orang tersedar. Baru aku sedari bahawa tiada siapa yang boleh diharapkan lagi ketika ini di dalam keluargaku kecuali aku, anak yang sulung. Oh Tuhan, berilah aku kekuatan!

Setelah kubawa Emak yang masih dalam kebingungan pulang ke rumah, perkara pertama yang harus kulakukan adalah mengkhabarkan berita pemergian Abah kepada jiran-jiran yang terdekat. Mereka berasa amat terkejut mendengar perkhabaran itu.

“Eh! Bukankah semasa solat Jumaat dia sihat walafiat aje? Apa sakitnya” Tanya Pak Cik Ayob terperanjat.

“Ayah Ayu sakit apa? Kenapa tiba-tiba aje ni” Tanya Mak Cik Kiah pula.

Aku kehilangan kata untuk menjawab pertanyaan mereka kerana dalam fikiranku di waktu ini, aku ingin memberitahu saudara-maraku di kampung pula.

“Ayu jangan main-mainkan Atuk! Apa sakit Abah? Atuk tak dengar pulak yang Abah Ayu sakit? Kenapa tiba-tiba pulak ni?” Datuk sebelah Abah seperti naik angin bila aku mengkhabarkan berita yang mengejutkan ini.

“Atuk, takkanlah benda-benda macam ni Ayu nak buat main Tuk! Cepatlah datang kemari Tuk… Ayu dah tak tau nak buat apa lagi dah ni!” Rayuku sambil menangis.

Aku tahu, di kala ini aku memang benar-benar perlukan seseorang untuk berada di sisi. Mengingatkan Abah yang telah pergi membuatkan aku seperti lemah tidak bermaya.

Setiba di rumah, jenazah Abah telah selamat dibawa pulang. Jiran tetangga sudah ramai memenuhi ruang tamu untuk membaca Yassin buat Abah. Entah kuasa apa, aku seperti terdengar-dengar suara Abah, “Ayu anak Abah. Ayu anak Abah yang kuat semangat. Bangun dan sedekahkanlah Yassin untuk Abah ya sayang!”Aku segera bangun kemudian terus mengambil wudhuk.

Aku duduk di sebelah jenazah Abah yang tertutup dengan kain batik lepas. Di situ, aku tidak menghiraukan tetamu yang hadir melainkan aku terus membaca seberapa banyak surah Yassin buat Abah. Air mata tidak usah ditanya, entah berapa banyak ianya mengalir tanpa henti-henti. Aku sedar, Abah tidak ada anak lelaki yang besar untuk menguruskan perkara-perkara sebegini. Satu-satunya adik lelakiku, Afzan baru berumur tiga tahun. Maka, sudah jelas akulah yang bakal memikul tanggungjawab ini. Kulihat, Emak masih termenung di satu sudut sambil ditenangkan oleh jiran-jiran kami. Aku tidak tahu apakah yang difikirkan oleh Emak ketika ini. Aku memandang adik-adikku. Ya Allah, bagaimana aku harus kuat untuk menempuh semua ini dalam usia menjejaki sembilan belas tahun? Bagaimana?

Saudara-maraku yang berada di kampung tiba di rumahku tengah malam itu juga. Datuk mengambil keputusan untuk mengkebumikan Abah sebelum waktu Zohor esok. Adik-beradik Abah masih tidak mempercayai yang Abah telah pergi buat selama-lamanya. Begitu juga saudara-mara yang lain.

“Jika kamu semua tidak percaya, apatah lagi aku yang berada bersamanya di saat-saat terakhir!” Rintihku sedih di dalam hati.

Ketika aku ingin mengambil kain telekong di dalam bilik, aku terdengar Emak menangis sendirian di atas sejadah di dalam bilik. Sebelum aku bersuara, aku terdengar suara Emak merintih sambil menangis tersedu-sedu;

“Abang, Mah mintak ampun mintak maaf Bang! Mah tak sempat nak minta ampun pada Abang. Mah berdosa pada Abang selama ini.. Abang..!”

Aku tidak jadi menegur Emak. Emak menangisi pemergian Abah.. Sayunya hati bila mendengar Emak menangis dan merintih di situ.. Di kala ini, aku hanya membiarkan Emak dalam keadaan begitu. Aku tidak berhak mencampuri urusan Emak dan Abah.

Serentak itu juga, aku seperti terdengar-dengar suara Abah berbisik, “Abah bangga sebab dapat mengajar dan membimbing anak-anak Abah dan anak-anak didik Abah menjadi orang yang beragama. Tetapi, Abah kesal sebab Abah gagal membimbing isteri Abah sendiri! Abah tak dapat mengubah sikap Emak Ayu yang degil, tidak mendengar kata suami dan tidak mahu belajar Agama. Abah berdoa agar Allah lembutkan hati Emak Ayu dan Abah berdoa agar Allah tunjukkan jalan supaya Emak akan sedar sendiri dan berubah sikap suatu hari nanti…”

Ya, doa Abah sudahpun termakbul. Aku pasti, Emak sudah mula sedar akan kesalahan dirinya. Namun apalah gunanya bila semua perubahan ini berlaku setelah segala-galanya sudah terlambat…!

*************************

Aku kembali semula menyambung pengajian ke semester seterusnya di UITM setelah cuti semester berakhir dan tidakku sangka aku memperolehi keputusan cemerlang! Kuterima keputusan itu dengan hati yang kosong dan tiada berperasaan. Kalaulah arwah Abah ada..sudah pasti dia akan gembira dan berkongsi kegembiraan ini.

Aku gunakan wang tabunganku bagi menampung pembiayaan yuran masuk. Aku tinggalkan Emak dan adik-adik setelah segala urusan arwah Abah kuselesaikan termasuk urusan rumah, bank, motor, koperasi, sekolah adik-adik dan perbelanjaan rumah. Pada Emak, kuberpesan agar berjimat dalam menguruskan perbelanjaan rumah dengan menggunakan wang ehsan daripada pihak syarikat Abah bekerja.

Aku masih memikirkan apakah pekerjaan yang sesuai untuk Emak lakukan bagi permulaan untuknya mengenali ‘dunia luar’ dan seterusnya membuka mindanya agar bersifat terbuka. Aku tidak hiraukan apa penerimaan Emak kerana aku yakin Emak memang memerlukan aku untuk mengaturkan hidupnya. Selama ini, segala urusan rumahtangga dan persekolahan semuanya diuruskan oleh arwah Abah.

Emak bergantung seratus-peratus urusan dan tanggung-jawab ke bahu arwah Abah. Hatta urusan rumah seperti membasuh, mengemas dan kadang-kala memasak semuanya dilakukan oleh arwah Abah! Dan selama itu, aku tidak pernah mendengar dan melihat arwah Abah mengeluh dan merungut serta marah malah menjentik Emak sekalipun. MasyaAllah….mulianya hati Abah! Dan Emak pula melakukan semua itu tanpa rasa bersalah dan berdosa! Allahhu Rabbi..!

Oleh kerana itu jugalah, aku yakin lama-kelamaan keegoan Emak akan luntur dan pudar. Pada adik-adikku, aku tegaskan pada mereka agar tidak terlalu bersedih akan pemergian Abah dan yakinkan mereka bahawa aku akan sentiasa melindungi dan menyokong mereka.

Sepertimana Abah berpesan kepadaku, seperti itu jugalah aku berpesan kepada adik-adikku bahawa harta yang paling berharga adalah pelajaran. Tanpa pelajaran, kita tidak akan ke mana malah kita akan dihina dan dipersendakan.

Pada mereka juga, aku meyakinkan bahawa selama mana aku hidup, selama itulah kebajikan dan kebahagiaan mereka di bawah tanggung-jawabku. Hanya kupinta agar mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan selebihnya, biarlah aku yang uruskan.

Pada diriku..? Aku tidak pernah lagi menempatkan diriku sebagai keutamaan. Amanat arwah Abah supaya aku menjaga Emak dan adik-adik tidak akan kupersiakan. Terlalu banyak yang kufikirkan untuk merencanakan kehidupanku dan keluarga walau hakikat sebenarnya, hatiku teramat rapuh. Selama ini Abah adalah kekuatanku. Segala suka duka, ku kongsi semuanya bersama Abah. Dialah bapa, guru dan rakan baikku.

Ya Allah, berikanlah kekuatan pada diriku untukku teruskan kehidupan ini. Kurniakanlah semangat dan iman yang teguh agar aku bisa menjadi hamba yang diredhai olehMu dan agar aku dapat menyempurnakan amanah Abah.

*************************

Aku memandang laut yang terbentang luas di hadapanku. Laut yang luas mata memandang seakan tidak ada pangkal dan penghujungnya. Begitu jugalah nasib aku agaknya. Tidak tahu apakah pengakhiran nasibku ini. Bagaimana aku bisa menempuh jalan yang begitu luas terbentang di hadapanku? Aku tidak dapat mengagak apakah lagi yang bakal kutemui di hadapan sana.

Aku menghela nafas panjang. Rutin hidupku di waktu petang sejak tiga bulan yang lalu, selepas habis kuliah, aku akan terus singgah di pantai ini. Jika tiada tugasan, aku akan membaca buku di sini. Lebih senang bersendiri tanpa teman-teman yang lain. Bukan aku mahu melarikan diri dari kenyataan yang telah tersurat untukku tetapi aku lebih senang begini, bermuhasabah diri selain mencari ketenangan dan kekuatan diri.

“Pernah tak awak dengar pepatah Inggeris mengatakan, ‘only the good die young!’” Terimbau kembali kata-kata sahabatku Syaliza sewaktu kami bercerita tentang perihal keluarga masing-masing, di mana Syaliza bercerita tentang pemergian arwah ayahnya sewaktu dia berumur 10 tahun. Aku hanya tersenyum memandangnya sambil menggelengkan kepala.

“Saya percaya dengan pepatah itu. Saya redha dengan pemergian ayah saya walaupun dia pergi terlalu awal dan kami adik-beradik tidak sempat nak bermanja dengannya. Saya percaya, jika kita sayang kepada seseorang itu, maka Allah terlebih-lebih lagilah sayang kepadanya. Mungkin Allah tak nak jika dia hidup lama, dia akan menanggung derita dan mungkin juga dosa yang berpanjangan. Setiap yang berlaku itu ada hikmah dan sebab-musababnya! Hanya Allah sahaja yang tau..”

Di waktu itu aku kagum dengan arwah Syaliza bagaimana dia begitu tenang dan tabah mengharungi dugaan hidup sebagai anak yatim yang terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keluarganya.

Mungkin sudah suratan atau kebetulan yang telah berlaku ke atas diriku ini. Pemergian Abah tersayang dan Syaliza, sahabat yang amat kusayangi akibat penyakit kanser usus, betul-betul telah menduga keimananku. Ya, benar kata arwah Syaliza, hanya mereka yang terbaik dipanggil Allah dahulu!

Mereka berdua merupakan insan yang terbaik lakunya dan in shaa allah yang terbaik di sisi Allah. “Jika kita fikir, kita susah, kita miskin, kita derita dan sebagainya tetapi ingatlah ada lagi insan yang terlebih derita, terlebih miskin dan diduga oleh Allah lebih hebat lagi dari kita. Sebab itu, anak Abah tak boleh putus asa dan lemah semangat. Ingat, sabar itu adalah tangkal dan pendinding kita yang paling kuat dalam mempertahankan iman kita agar tidak menjadi lemah. Jika lemah iman… maka, segala-galanya dah tak boleh nak tolong lagi!” Kata-kata azimat dari arwah Abah pula terngiang-ngiang.

Sudah tiga bulan pemergian arwah Abah dan juga arwah Syaliza. Selama itu juga aku cuba mengumpulkan kekuatan dalam diriku atas kehilangan orang yang kusayang terutama sekali Abah. Memang aku tak akan lupakan detik-detik terakhir Abah bersamaku sehingga akhir hayatku.

Kekuatanku adalah dari semangat Abah dan kata-kata nasihatnya yang sering terngiang-ngiang di telingaku. Aku sedar, aku perlu tabah demi Emak dan adik-adik. Mereka memerlukan aku. Untuk itu, aku telah menggalakkan Emak mengambil upah menjaga anak-anak pensyarah yang mengajar di kolej-kolej yang berdekatan dengan rumah kami. Aku ingin membiasakan Emak berdikari dan mencari duit sendiri walaupun dari rumah sahaja.

Ya, aku perlu kuat demi Emak dan adik-adik. Aku perlu teruskan hidup demi kesejahteraan mereka. Aku perlu belajar bersungguh-sungguh untuk merubah nasib kami semua.

Yang pergi tetap pergi dan tidak akan kembali. Maka kita yang tinggal harus teruskan hidup dan tabah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebelum dipanggil oleh yang Esa.

*********************************************

Rutin hidupku kembali seperti biasa. Cuma ‘split personaliti’ku masih tidak banyak berbeza. Bagiku, tidak perlu menunjuk-nunjuk kepada semua orang akan kesusahan kita kerana mereka juga mungkin berhadapan dengan masalah mereka yang tersendiri.

Di waktu siang terutama di kuliah, aku masih lagi Ayu Raudhah yang ‘banyak mulut’, periang dan suka bergurau. Namun di waktu malam, ketika aku bersendirian, segala kesedihan, kerinduan, kepedihan dan rasa tertekanku ini kuhamburkan di hamparan sejadah, memohon keredhaan dan keberkatan Allah di dalam hidupku. Selebihnya, kucurahkan rasa itu di dalam sebuah buku yang sebenarnya telah menemaniku sejak dari kecil lagi!

Di buku itulah segala luahan kesedihan, kegembiraan dan segala-galanya kutuliskan kerana dengan berbuat begitu, fikiran dan dadaku akan menjadi lapang dan tenang.

Aku cuba belajar menjadi seorang yang sabar dalam mengharungi liku-liku hidup. Aku ingin menjadi seperti arwah Abah yang begitu tabah, cekal dan sabar dalam segala hal. Yang pastinya aku tahu, Allah memberiku ujian kerana yakin aku mampu mengatasi ujianNya mengikut batas yang termampu olehku. Selain itu, Allah benar-benar menyayangiku…Alhamdulillah..!

Sementara itu, Emak mengadu duit simpanan semakin susut, barang-barang keperluan rumah juga semakin kehabisan. Adik-adik pula sibuk meminta aku menjelaskan yuran peperiksaan dan persekolahan mereka. Lebih memilukan apabila Emak mengungkit yang barang-barang kemasnya sudah habis tergadai kerana membayar yuran pembelajaranku di UITM!

Ya Allah, tabahkanlah hatiku ini. Aku tahu, Emak tertekan dan tidak biasa berdepan dengan masalah sebegini kerana selama ini hanya Abah yang menanggung kesusahan dan keperitan seorang diri. Sebagai seorang anak, aku perlu lunaskan tanggungjawab ini walaupun perit. Buat sementara waktu, kugunakan wang pinjaman PTPTN untuk membeli segala keperluan rumah dan adik-adik.

Ku ketepikan segala kepentinganku buat masa ini termasuk kos makanku. Biarlah aku berlapar asalkan Emak dan adik-adik tidak begitu kerana selama hayat Abah, dia tidak pernah membiarkan isteri dan anak-anaknya berlapar walaupun dia di dalam keadaan yang amat susah dan perit. Padaku, cukuplah bersarapan dengan sekeping roti dan tengaharinya dengan sebungkus maggie. Petang pula, jika aku rajin, cukuplah sekadar beberapa keping biskut bagi mengalas perutku pada waktu malam nanti. Itulah cara yang paling sesuai dan menjimatkan untukku tampung kos perbelanjaan yang lain.

Di waktu petang, habis waktu kuliah aku akan senyap-senyap keluar ke pekan. Dari sana, aku akan terus ke rumah Datuk Hambali meneruskan tugasku sebagai tutor kepada anak-anaknya yang seramai tiga orang berumur 12, 15 dan 17 tahun. Bayaran yang kuterima sebagai tutor untuk anak-anak Datuk Hambali sangat-sangat lumayan walaupun hanya dua jam sahaja sehari.

Semua ini membuatkan aku sedar, jika kita ada duit, demi untuk menimba ilmu segalanya boleh kita perolehi. Betul kata arwah Abah.. hanya dengan ilmu sahaja kita akan dihormati dan boleh menentukan ke mana hala tuju kehidupan kita nanti. Ilmu itu sangat luas pengertiannya. Bukan terhad kepada ilmu yang kita belajar di sekolah tetapi apa yang kita belajar dan kita amalkan dalam kehidupan kita.

***************************

Ya Allah, aku pencinta redhaMu..aku ingin hidup dalam kasihMu,syahid dalam medan jihadMu..Andai aku jatuh, aku lemah, aku derita dalam mencari redhaMu..Kau peliharalah aku, jagalah hatiku, kuatkanlah semangatku, suburilah dengan iman dan ikhlas.

“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari dan berikan kita petir dan kilat, kita tercari-cari dimanakah matahari, rupa-rupanya Allah hadiakan kita pelangi yang indah”

Aku pernah mendengar kata mutiara seperti itu tetapi kurang pasti siapakah yang menuturkannya. Yang pastinya, setiap dugaan yang kita terima dari Allah mengandungi hikmah di sebaliknya.

Aku sedar kini.. apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa.

Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Begitulah yang terjadi kepadaku. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya

Aku sering memohon keampunan dariNya kerana pernah dahulu aku mempersoalkan kenapa aku diberi ujian yang berat sebegitu sekali..! Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya imanku. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadapku..!

Kini…. Kejayaan sudahku raih dengan bangganya.Apa lagi yang kumahukan dalam hidup ini selain menikmati kejayaan demi kejayaan insan-insan yang kusayang! Inilah kepuasan yang kucari dan akhirnya kuperolehi berkat dari kesabaranku selama ini. Soal kebahagiaan? Memang aku bahagia kini. Siapa sangka, aku telah menghantar Emak mengerjakan haji tahun lalu. Tidak ada yang membanggakan hati si anak selain dapat menghantar ibubapanya menunaikan rukun islam yang kelima atas titik peluhnya sendiri. Inilah antara salah satu penghargaan dari si anak atas pengorbanan ibubapa membesarkan mereka walaupun tidak seratus peratus jasa mereka dapat dibalas.

Adik-adikku juga telah berjaya dalam bidang yang diceburi. Untuk Abah… walau jasadnya sudah lama tiada..namun semangat dan pesanannya sentiasa kubawa ke mana-mana. Semangat arwahlah yang kupinjam sebagai penguat dan pemangkinku dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kerana semangatnyalah aku kini bergelar Professor Madya Ayu Raudhah, pensyarah Sains dan Matematik yang menyampaikan ilmu kepakarannya kepada pelajar-pelajar di beberapa universiti tempatan.

Tidak lupa juga, aku kini bergelar isteri kepada Doktor Tengku Iskandar Shah Putra, seorang Perunding Pakar Bedah Mata yang terkenal di Malaysia sekarang ini. In shaa Allah… aku ingin menjadi isteri mithali buat suamiku yang tercinta..!

Sejak diberitakan khabar gembira yang aku bakal menjadi ibu..barulah aku faham kasih sayang seorang ibu terhadap setiap anak-anaknya. Aku juga tahu kini bahawa Emak memang tidak pernah sekalipun membenci anak-anaknya. Cuma didikan yang Emak terima selama ini yang menjadikan Emak seorang yang tidak pandai menunjukkan rasa sayangnya kepada anak-anaknya. Kaku dan kekok untuk menzahirkan bagaimana sayangnya Emak kepada kami anak-anaknya.

Ya Allah…kurniakanlah Rahmat dan HidayahMu kepada Emak.. Jauhkan dia dari seksaan dan azab neraka. Begitu juga kepada arwah Abah…moga Kau tempatkan arwah Abah di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh…Al-Fatihah….!



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku