Suatu Kisah Bintang
Genre: Islamik
Kategori: Cerpen
Paparan sejak 10 Februari 2014
Penilaian Purata:
(6 orang telah menilai karya ini)
1703

Bacaan






Sepasang kawan baik berpapasan pulang dari meja kecil di hadapan perpustakaan mini menuju ke bangsal basikal. Mereka baru sahaja berkawan rapat sejak awal tahun lepas ketika memasuki Sekolah Menengah Bukit Angin yang sama. Ana dan Aisyah memiliki minat yang sama dalam pengkajian bintang dan aeroangkasa, namun masing-masing memiliki kecenderungan yang berbeza. Ana lebih senang mengaitkan dirinya dengan ilmu mengenai kaitan bintang dan personaliti seseorang. Psikologi personaliti kontemporari katanya. Aisyah pula lebih gemar ke arah mengenal pasti jujukan bintang dan galaksi di luar cerekawala Bima Sakti.

“Syah, Syah bintang apa?”

Terhenti terus langkah Aisyah. Dia pelik dengan soalan Ana yang ini. “Bintang? Bintang apa?"

“Emm, bintang kelahiran Syah lah.. Syah tahu?”

Aisyah menggeleng kecil. Sambil melangkah, “Ana, Ana percaya sangat kah dengan bintang-bintang ini?

“Alah, Syah ini, Ana bukannya percaya sangat. Ana saja mahu main-main.”

“Alah Cik Ana oi, kalau betul Syah sama dengan apa yang Ana tahu tentang “bintang” Syah, Ana akan percaya juga, bukan?”

Ana menarik muka masam. Langkahnya terhenti. “Sudahlah!, kalau Syah tidak mahu beritahu Ana, apa boleh buat. Hari juga pun sudah mendung. Ana.. Ana minta diri dahulu..”

“Ana? Hm, merajuk lah pula. Baiklah, kita pu…..”

Belum sempat kata-kata Aisyah habis, tiba-tiba, Ana meninggalkannya lalu mengambil basikalnya tergopoh-gapah. Tanpa menoleh ke belakang, Ana menunggang pantas meninggalkan Aisyah keseorangan. Aisyah tergamam. Geram membungkam dibuang jauh-jauh dari hati. Dalam diam, Aisyah mendoakan kawannya.

PENGKAJI

Dalam senja yang mendung itu, sedih yang menggumam menemani perjalanan Aisyah pulang ke rumah. ‘Mungkin Ana sudah sampai ke rumahnya, bertemankan badai marah yang menggulung.’ Dia memujuk lara. Apakan daya, Aisyah semakin tidak tahan dengan Ana kebelakangan ini. Cukuplah bintang itu untuk dicerap dan direkod. Bukannya untuk disembah diimani sebegitu!

Sepanjang Jun ini, dalam kelasnya, Ana sibuk membuat jadual personaliti dan bintang kelahiran setiap ahli kelasnya, dan menghadiahkan kad ucapan istimewa di setiap hari lahir mereka.

Dalam tiap perbualan mereka berdua, Ana akan mengutip kata-kata dari buku berkaitan bintang yang dibacanya sebelum berusaha mengaitkan fakta bacaan bintang kepada topik atau orang dalam cerita. Pada Aisyah, kejadian dan peristiwa yang selaras dengan ‘sirah’ bintang itu hanyalah secara kebetulan sahaja.

SEMINGGU YANG SUDAH

“Aisyah, Ana tahu, sebenarnya Jun dan Khalisa itu tidak boleh rapat, kerana bintang kelahiran mereka tidak serasi. Jun itu berbintang Libra dan Khalisa pula berbintang Aries. Dalam buku ‘’The Star in Your Lifepath’ yang Ana pinjam tempoh hari, Evangeline Adams, mengatakan bahawa Aries dan Libra sukar berkawan kerana masing-masing memiliki sifat yang sangat kontra. Libra tenang, manakala Aries suka mencabar dan dicabar. Sebab itulah…”

“Ana, hentikan. Aries di lokasi ekuatorial pada ruang dalam garis berdarjah 10 hingga 30. Libra pula berdarjah sifar ke negatif dua puluh. Aries muncul pada jam 3 pagi, dan Libra pula muncul pada jam empat petang. Ariesdan Libra tidak berjumpa di mata kita, namun itu tidak semestinya menjadikan mereka kontra pada jujukan masing-masing! Dan sudah pasti ia tidak semestinya menjadikan Jun dan Khalisa kontra pada diri mereka masing-masing!”

“Aisyah, awak perlu percaya. Ini adalah ilmu juga. Mengapa awak mahu menolak ilmu sains angkasa saya?””

“Ana, ilmu itu tidak semuanya boleh diguna, walaupun mungkin ada kebenarannya. Dan, kita tidak boleh sesuka hati menafsir perlakuan orang mengikut pengetahuan kita, mahupun apa yang kita lihat. “
merah padam muka Ana.

Aisyah sedar Ana sedang menahan marah. Namun, dia menyambung perlahan. “Orang itu tidak hidup dalam kepala kita Ana..”

“Berani betul awak katakan apa yang saya belajar ini salah. Tak mengapalah, satu hari awak akan faham juga Aisyah!.”

Itulah kali terakhir Aisyah berbual dengan Ana, sebelum Ana terdiam seribu bahasa dan sejuta saat, sebaik mereka sahaja melihat kelilbat Jun dan Khalisa yang telah pun berbaik-baik dan makan bersama di kantin sekolah. Atas semangat persahabatan, Aisyah sendiri yang mendahulukan tangan kanan menyua salam permohonan maaf. Namun hari ini, Aisyah terpaksa sekali lagi menegur Ana atas silap yang sama.

SEBELUM TERLEWAT, TEGUR!

“Ummi, bagaimana kita hendak menegur kawan baik kita yang melakukan kesalahan yang sama?” Aisyah akhirnya meluahkan lahar itu kepada ibunya. Kamal yang masih menyuap nasi di mulut terhenti mengunyah seketika. Soalan adiknya itu, bukan mudah untuk dijawab.

‘Pasti ada suatu yang tidak beres’, fikir Kamal. Dia jarang sekali mendengar Aisyah menyebut-nyebut kawan baiknya di meja makan.. Ummi tidak menjawab secara langsung. Dia tersenyum simpul, “Syah, tegur itu sekali, puji itu biarlah sepuluh kali.”

Melongo Aisyah mendengar jawapan itu.

“Maksud Ummi, tegurlah dengan baik, dan jangan lupakan kebaikannya pada kamu. Macam, menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak.” Kamal menukas.

Selesai makan, Kamal masuk ke bilik untuk menyambung bacaan tugasan Sejarah. Begitu juga Aisyah. Kerja sekolahnya belum berusik sedikit pun. Namun dalam langkah Aisyah ke biliknya, dia membelok ke bilik Kamal. “Abang, boleh Aisyah masuk?”

Senyum Kamal mengiringi Aisyah yang sudah bersila di hujung katil. “Aisyah bergaduh dengan Ana lagi? Fasal bintang lagikah?” Usik Kamal, cuba mengorek rahsia.

“Emm, tak tahulah Aisyah bagaimana caranya untuk memujuk Ana, Bang Kamal. Aisyah buntu.”

Aisyah melepaskan nafas panjang. “Emm, Abang rasa, Aisyah buntu, sebab, Ana kawan baik Aisyah. Kalau Aisyah sekadar kawan biasa, mungkin Aisyah boleh buat tidak endah saja.”

Kamal melihat saja kelakuan adiknya. Dia melihat semula ke skrin komputer, terasakan ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama adiknya.

“Emm. Apa yang Bang Kamal sedang baca? Nampak menarik. Boleh kongsikan dengan Aisyah?”

“Abang sedang membaca kajian di laman web ini mengenai Gua Tempurung dan animisme penduduk mereka di situ yang berlanjutan sehingga Zaman Logam. Aisyah hendak tahu? Orang di zaman paleolitik pun ada yang seperti kawan Aisyah yang seorang itu.”

Aisyah menggerakkan kacamatanya, berkerut-kerutan dahi Aisyah memikir kaitan. "Apa maksud Bang Kamal? Aisyah tidak berapa faham..”

IMAN ORANG GUA

Tetikus dialihkan, lalu skrin komputer memaparkan gambar dalam gua. “Mari Aisyah, abang tunjukkan”.

Gambar dalam gua Tempurung mereka belek satu persatu. “Maksud abang, mereka percaya kepada kuasa ghaib yang ada pada langit, bulan dan bintang.” “Oooo. Maksud abang,  orang zaman ini percaya, bintang, bulan, memiliki kuasa yang boleh menentukan untung nasib mereka?”
“Betul lah apa yang Aisyah fikirkan itu. Rekod menunjukkan terdapat lukisan sembahan orang lidi kepada bintik-bintik bersinar di Gua Tempurung. Cuba Aisyah tengok ini.” Jari Kamal menunjuk contengan orang lidi di skrin komputer. Bulat mata Aisyah takjub..

“Bagi abang, bulan memang boleh mengakibatkan pasang surut air sungai dan laut. Bintang pula membantu menunjukkan arah kiblat, juga arah pelayaran bagi pemgemudi kapal di lautan luas. Contohnya bintang utara dalam jujuk Aries.” ‘Aries?? Hai, Aries lagi…’ fikir Aisyah. Teringat dia pada muka Ana mencemiknya petang semalam.

"Namun, mereka tidak boleh menyebabkan kita menjadi sakit, mulia atau kaya. Apatah lagi menemukan jodoh.”

“Baru Aisyah faham maksud abang. Animisme ini, kepercayaan bahawa Tuhan wujud dalam rupa makhluk, bukan begitu?”

“ Emm, mungkin ia lebih tepat lagi kalau kita sebut Animisme ini kepercayaan bahawa benda memilliki kuasa ghaib yang boleh mengawal nasib manusia, tidak kira benda itu bernyawa atau tidak.”

“Bagaimana pula pendapat Bang Kamal mengenai tradisi kepercayaan orang suku Jawa seperti kita, tentang perihal bulan dan susunan kelahiran manusia dalam seminggu yang katanya boleh menyerasikan pasangan yang bakal berkahwin?"

"Maksud Aisyah?"

"Iyalah bang Kamal, contohnya, Paman Kassan yang lahir pada Jumaat Keliwon, bernikah pula dengan Bibik Nasriah yang lahirnya pada Selasa Pahing. Aisyah lihat mereka sangat serasi. Keliwon itu fasa berdiri. Pahing pula fasa menghadap. Bukankah fasa bulan mereka sama bentuknya? Duduk sama rendah, berdiri pun sama tinggi. Mungkinkah ada kaitan di situ, Bang Kamal?”

“Kalau Aisyah tanya pendapat peribadi abang tentang itu, sejujurnya abang memang tidak pernah suka untuk mempercayainya. Bang Kamal faham maksud Aisyah. Kedudukan bulan dan fasanya dalam seminggu berubah-ubah bukan? Dan, Aisyah cuba mencari kaitan keserasian pasangan tersebut menerusi hari kelahiran, dengan kedudukan bulan, bukan begitu?”

“Ya Bang Kamal. Begitulah maksud Aisyah.”

Kamal membuka tapak tangannya, sejurus menutup dua jari meninggalkan tiga jari kekal terbuka - ibu jari, jari telunjuk, jari tengah. ‘Apa pula idea bang Kamal ini’ Aisyah terdiam.

“Soalannya, apa akan jadi sekiranya faktor kufu sudah beres, kewangan beres, kematangan sudah beres,…” jawap Kamal lalu menutup satu persatu jarinya dengan tiap jawapan tadi, lalu menyambung. “….tetapi kita susah hati ingin meneruskan niat membina masjid disebabkan tidak serasi dengan jadual hari Jawa? Ikut Islam, ikut Nabi, hidup berkat, terpandulah budi.”

“Oh, begitu rupanya.” Aisyah diam lagi.

RUMAH, MATAHARI DAN ….

“Bang Kamal, kalau ilmu pertukangan rumah Jawa yang juga mengaitkan arah matahari untuk mencipta keadaan rumah yang baik, seperti kata Tok Sahlan, yang itu pun salah juga kah Bang?”

“Hmm… Ilmu pembuatan rumah dan kaitannya kepada matahari, ada konsep yang boleh digunapakai, dan ada yang tidak.”

“Macamana pula yang itu Bang Kamal?”

“Contohnya, bila membina rumah menghadap timur atau barat , cahaya matahari boleh masuk ke dalam rumah sepanjang hari. Jadi, sesetengah perabot boleh rosak.”
“oooo… Lagi bang Kamal?”

“....dengan ilmu ini, ditambah faktor pengudaraan yang baik pula, dapatlah kita rendahkan darjah kepanasan. Rumah pun boleh dibina menghadap utara atau selatan untuk mengatasi masalah ini secara langsung." Kamal mematikan skrin dan berpusing menghadap Aisyah.

Bersila menopang dagu, Aisyah membalas, "Jadi, macamana yang Aisyah boleh lihat, ilmu yang ini tidaklah salah untuk diaplikasi. Tidak ada pula kaitannya dengan keimanan. Sekurang-kurangnya, tidaklah seperti mana yang Aisyah risaukan tentang Ana."

"Itu betul.  Tapi kini, abang pun rasa agak risau juga sebenarnya. Takut-takut Ana jadi tersesat jauh pula.”

“Jadi.. Ana.. Ana bagaimana Bang Kamal? Bukankah kalau begitu, iman Ana dalam bahaya?”

“Itu abang tidak berani menghujahkan. Namun, dari cara Aisyah bercakap tadi, abang dapat rasakan, Ana dalam masalah agak besar juga. Kalau ada ustazah ustaz yang tahu, bukankah lebih senang?”

“Bang Kamal, kasihan Ana. Apa yang Aisyah boleh bantu lagi ya? Aisyah takut kami putus kawan kerana ini. Aisyah sayangkan dia. Selain bang Kamal, cuma bersama Ana sajalah, Aisyah boleh kongsi minat, bahan dan cerita tentang pengembaraan angkasa..”

“Sabarlah Aisyah. Emm, apa kata, kalau Aisyah buat solat sunat dua rakaat dan ceritakan segalanya pada Allah?”

MISTERI KEINSAFAN

Di malam yang hening, Aisyah terisak memohon bantuan buat Ana si sahabat baik. Dalam sujudnya, pecahlah empangan air mata di akhir ‘amin’.

Dengan kehendak yang Maha Mengkehendaki, dalam mimpi yang menginsafkan, Ana dibawa berjumpa keturunan ke 129 penjaga Gua Tempurung yang ahli, Bentayan. Bentayan menceritakan bagaimana mereka menemui bintang dan bulan. Bagaimana juga mereka menemui jujukan kebetulan kuasa langit dengan nasib mereka. Dari kuasa kebetulan, sedikit demi sedikit syaitan menyusup membinasakan mereka.

Akhirnya, dek percaya pada kebetulan itu, ratusan tahun suku Bentayan ditipu dengan syaitan. Tidak seorang pun terselamat. Yang perempuan mati dibunuh. Yang lelaki bergaduh bermusuh. Namun, akhirnya,tiba seruan seorang rasul di akhir zaman Logam. barulah fitrah bertuhan terasa mendamaikan. Bentayan juga mengupas surah Al-An’am, kisah keimanan Nabi Ibrahim yang melihat bulan, bintang dan matahari sebelum menemui iman sejati kepada Ilahi, Allah yang Maha Menguasai Langit dan Bumi.

“Apakah Ana mengira bahawa bintang di langit itu berkuasa menentukan nasib kita? Sekiranya mereka mampu, sudah pasti mereka tidak mahu menjadi bintang, bahkan mereka akan lari dari langit kita, enggan rasa malu dan bersalah kerana manusia melihat mereka sebagai tuhan, bukan sebagai tanda kebesaran Tuhan.”

“Ana, ilmu yang Ana pelajari itu, astronomi pun bukan, ilmu angkasa pun bukan. Ia juga bukanlah ilmu sains. Ia adalah ilmu pseudo-sains. Al Farabi, Al Biruni, Al Kindi, juga Ibnu Sina, mereka semua ini juga mengetahui bukan sedikit tentang ilmu psikologi manusia. Namun, mereka menolak astrologi sebagai ilmu kajian lanjutan angkasa, apatah lagi kaitannya dengan tindak tanduk manusia, kemuliaan manusia, juga kejatuhan tamadun manusia sebelumnya. Adakah Ana lebih hebat dari mereka? “

“Bangunlah Ana. Bangunlah dari zulmat ilmu yang menipu. Kejarlah kebenaran TuhanMu. Aisyah itu sahabat yang baik. Setialah bersama. Ana takkan kecewa.”

PENAMAT

Hari ini di pintu pagar sekolah, Ana menunggu Aisyah tiba dengan seri wajah dan hati. Aisyah dan angkasa adalah temannya. Namun, antara keduanya, tidak patut ada sengketa. Bukankah natijah ilmu yang bermanfaat itu menyatukan manusia dan pemikirannya? Inikan pula dua orang sahabat yang bersaudara atas nama agama yang sama.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Instagram @ilhamkarangkraf
  Terhangat di Grup Buku