Suamiku Si Tuan Rumah!
Bab 2
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Februari 2014
Akibat salah faham, mereka terperangkap dalam ikatan perkahwinan di atas sebab yang memalukan. Segala-galanya bagai mimpi, baru sebentar bergelar bujang kini beristeri.
Penilaian Purata:
(8 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14208

Bacaan






Makan malam itu begitu berselera sekali pada Fahmi. Sudah lama tidak menjamah Asam Pedas Mak Jah. Semasa di meja makan, hanya Aina yang lebih banyak bercakap dengan dengan dirinya. Mungkin kerana Aina seorang peramah atau mungkin juga kerana sebab lain. Malas dia mahu ambil tahu. Manakala yang lain pula hanya menyambung sepatah dua. Tadi sempat juga Mak Jah cerita, Sasha dengan Lina sudah bertunang. Mungkin hujung tahun ini akan mendirikan rumah tangga. Hanya Nur Alia dan Aina saja yang masih belum berpunya. Sekilas teringat bayang-bayang Sofia, kalaulah gadis itu tahu aku serumah dengan perempuan, mampus aku dikerjakan. Fahmi bersungut dalam hati.

Salah dia juga kerana terlalu manjakan Sofia. Walaupun adakalanya merimaskan dan adakalanya gadis itu merajuk tak tentu hala tapi Sofia juga yang dikendeng ke hulu ke hilir.

“Encik Fahmi nak tambah ke? Biar Ain ambilkan”

“Tak….ee…Tak payahlah dah kenyang ni”

Fahmi menggelengkan kepala sambil memberi isyarat tangan menandakan cukup. Perutnya sudah cukup penuh. Entah larat, entah tidak nak keluar lepas ini.

Usai makan, Fahmi terus menunaikan Solat Isyak. Lagipun dia pasti akan pulang lewat malam ini. Sudah lama dia tidak keluar dengan Shahrul, rakan kuliahnya di London dulu. Semenjak lelaki itu mula bekerja di satu syarikat swasta, masanya makin terbatas. Ke Melaka pun sudah jarang.

Fahmi bangkit lalu mengambil beg galasnya. Semasa dia menuju ke pintu, Ain berdiri di sisinya.

“Encik Fahmi balik lambat ke? Encik Fahmi ada kunci tak?”

Fahmi tersengih lalu mengangguk.

“Bye”

Ain melambaikan tangannya. Dari dapur Mak Jah hanya mencuri pandang ke arah Ain yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu menarik perhatian jejaka itu. Mak Jah menyambung kembali kerjanya. Baginya perkara biasa kalau anak dara cuba untuk memikat jejaka seperti Fahmi. Dia dulu pun pernah muda. Selepas Fahmi pergi tiga gadis itu terus keruang tamu, waktu beginilah digunakan untuk berehat. Manakala Mak Jah terus masuk ke dalam kamar. Mahu berehat.

Handsome kan dia tu?”

Lina memandang Aina dengan wajah yang berkerut. Agaknya kawannya seorang ini sudah jatuh hati dengan Fahmi.

“Aku suka tengok dia senyum.....sweet nyer. macam bawa aku terbang tau! Agaknya dia dah ada girlfriend tak?” Ayat yang terlentok-lentok lancer saja dari mulut comel itu.

Kini giliran Sasha pula yang memandang wajah Aina. Rakannya seorang itu memang pantang kalau jumpa lelaki handsome, apatah lagi dari golongan kaya raya macam Fahmi.

“Kau nak letak Ikram di mana, hari tu beria-ia engkau mengorat dia. Jumpa Fahmi, terus engkau lupakan!” Sasha mula berleter. Dia sendiri pun tidak faham sikap rakannya seorang itu.

“Ain, aku tahulah kau ni cantik, seksi, menggoda, tapi tak bermaksud semua lelaki engkau nak kebas!” Giliran Lina pula bersuara.

Lina teringat semasa makan malam tadi, berkali-kali jugalah mata Fahmi mencuri pandang ke arah Aina. Agaknya Aina sengaja menarik perhatian Fahmi dengan bajunya yang agak jarang dan jelas menampakkan lurah didadanya.

“Eh, Lina Kau cakap elok-elok! Aku dengan Ikram tu kawan aje tau. Dia tu yang terhegeh-hegeh kat aku. Aku ni bukannya apa, kalau tak layan malulah dia nanti. Lagipun Ikram tu kan pegawai di tempat kita. Aku ni hormatkan dia aje, macam bos yang lain. Mereka ajak aku keluar, aku ikut aje lah. Lagipun dia yang nak belanja”

Lina dan Sasha hanya menggelengkan kepala. Kawan apa kalau dah berjalan tangan kat pinggang, walaupun ramai orang di pejabat tu tapi buat muka selamba pegang-pegang. Ish! Nasib baiklah tunang aku bukan begitu! Lina menyumpah dalam hati.

Jam menunjukkan pukul sebelas malam. Selalunya Nur Alia sudah sampai ke rumah. Mak Jah kembali ke ruang tamu, yang lain sudah masuk ke bilik masing-masing. Letih agaknya kerja tadi, kalau tidak sampai pukul dua belas pun masih bertenggek depan tv. Mak Jah mengintai ke luar rumah melalui jendela, tak ada bunyi kereta masuk. Fahmi pun belum pulang, tapi anak muda itu memang begitu. Selalunya jam menunjukkan pukul satu pagi baru sampai ke rumah. Apatah lagi kalau sudah bertemu dengan rakan-rakannya. Seperti tidak ingat dunia.

Mak Jah kembali ke kamar semula. Lampu ruang tamu dibiarkan terpasang, hanya lampu dapur yang dipadamkan. Baru saja dia meletakkan kepalanya di atas bantal, jelas suara kereta masuk. Dia yakin itu suara Nur Alia. Mak Jah bangkit semula lalu menuju ke ruang tamu. Senyuman Nur Alia dimuka pintu dibalas dengan Mak Jah.

“Tak tidur lagi ke Mak Jah?”

“Baru nak tidur, kenapa lambat sampai? Risau Mak Jah, selalunya kamu pulang pukul sebelas”

Nur Alia meletakkan beg di atas sofa. “Ada kerja sikit tadi, lepas tu kereta pula buat hal. Nasib baik ada Ikbal. Kalau tak, tak tahulah Lia balik pukul berapa”

Mak Jah tersenyum kecil. Lega melihat Nur Alia di depan mata. Mak Jah meminta diri untuk tidur. Sebelum itu dia berpesan kepada Nur Alia untuk makan malam, lauk sudah di panaskan tadi. Nur Alia mengangguk, gadis itu terus menuju ke kamar ketika Mak Jah sudah pun masuk ke biliknya. Seperti kebiasaannya, dia akan mandi terlebih dahulu kemudian solat. Selalunya dia tidak akan makan malam kalau ada kelas, hanya menjamah roti itupun kalau dia lapar sangat. Tapi oleh kerana hari ini Mak Jah masak lauk kegemarannya, pantang larangnya ditolak ketepi. Takkan gemuk kalau makan sekali!

Nur Alia duduk sendirian di dapur, dengan cahaya samar-samar dari ruang tamu dia menyendok lauk ke pinggannya yang sudah terisi nasi. Malas membuka lampu, lagipun cahaya ruang tamu cukup terang.

“Mak oi!”

Nur Alia tercengang. Suara lelaki melatah dimuka pintu membuatkan seleranya mati. Eh apasal pula mamat ni muncul tiba-tiba. Nur Alia meneguk liur, kata-katanya tersekat. Akhirnya dia menunduk malu.

“Kenapa makan dalam gelap?”

Fahmi duduk di hadapan Nur Alia, semenjak dia bertemu dengan gadis itu petang tadi. Raut wajahnya selalu bermain di fikiran. Hilang raut wajah Sofia yang selalu menggoda. Gadis itu dipandangnya, cantik! Tadi dia tengok Nur Alia bertudung. Sekarang jelas dia lihat rambut Nur Alia yang berombak jatuh ke paras dada. Rambutnya agak lebat, wangi! Mungkin baru lepas mandi.

Menyedari mata Fahmi yang masih memandangnya, membuatkan dia berhenti makan. Tiba-tiba perutnya yang lapar menjadi kenyang.

“Tak apalah Encik Fahmi, cahaya ruang tamu tu cukup terang.” Nur Alia tersengih. Walaupun suaranya agak perlahan tapi cukup jelas dipendengaran Fahmi.

Fahmi menuang air ke dalam gelas, lama dia merenung Nur Alia yang berselera menjamah asam pedas. Seperti dia juga kalau jumpa asam pedas tak hirau orang yang disekeliling.

“Kenapa pandang saya macam tu?” Nur Alia membalas pandangan Fahmi. Menyumpah juga dalam hatinya tadi. Tapi mahu saja pecah ketawanya apabila melihat wajah Fahmi yang kalut.

“Eeee…….tak! Eh……” Fahmi tersenyum malu. Hampeh! Apasal pulalah aku boleh merenung minah ni. Dah lah dalam suasana macam ni! ish tak boleh jadi ni!

“Tak, saya tengok berselera betul awak makan. Macam tak jumpa nasi setahun”

Wajah Nur Alia merona merah, nampak sangat ke aku kebulur?. Pantas dia bangkit lalu mencuci pinggan ditangannya. Nur Alia mengemaskan semula meja, kasihan Mak Jah yang sudah membersihkan tempat ini tadi. Sesekali Nur Alia mencuri pandang ke arah Fahmi yang masih duduk di kerusi. Geram pun ada! Tidak pernah dia berdepan dengan lelaki dalam keadaan begini. Tapi hari ini, Ish! Kenapalah aku lupa yang mamat tu dah tinggal di sini. Sampaikan dia boleh bersikap selamba.

Nur Alia sebenarnya geram apabila Mak Jah beritahu anak tuan rumah itu akan tinggal dengan mereka selama tiga bulan. Namun takkan dia membantah, kalau tidak suka dia yang seharusnya keluar dari rumah banglo itu. Apa haknya melarang anak tuan rumah tinggal di rumah itu. Lagipun dia juga harus bersyukur, Datin Ani menyewakan rumah itu murah saja. Alasannya untuk meneman Mak Jah yang tinggal sendirian. Kalau mahu rumah lain yang selesa begitu, tidak dapatlah gajinya menampung perbelanjaan pengajiannya di UKM.

“Encik Fahmi, saya masuk dulu”

Fahmi tersentak mengangguk. Sempat dia berpaling semula melihat wajah Nur Alia. Cantik, perfect! Selama ini dia jarang memandang lama wanita yang dikenalinya. Tapi rata-rata kawan sekuliah dulu. Apatah lagi hari-harinya hanya ada wajah Sofia.

Baru malam ini dia rasa ada daya tarikan pada wajah Nur Alia. Wajah yang lembut dan sedap mata memandang. Tidak terlalu keterlaluan, biasa saja dengan rambut hitam berkilat bukan perang di warna seperti rambut Sofia.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku