Suamiku Si Tuan Rumah!
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Februari 2014
Akibat salah faham, mereka terperangkap dalam ikatan perkahwinan di atas sebab yang memalukan. Segala-galanya bagai mimpi, baru sebentar bergelar bujang kini beristeri.
Penilaian Purata:
(7 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
14200

Bacaan






Fahmi sudah keluar pagi-pagi lagi. Ketika Nur Alia baru saja keluar dari kamarnya kereta Fahmi sudah tiada. Mungkin Fahmi menunggunya tadi kerana jam telah pun menunjukkan pukul sepuluh pagi. Sudah minum ke dia? Hatinya bertanya sendiri. Nur Alia bergegas ke dapur, dia melihat secawan Nescafe yang tinggal separuh. Dia buat sendiri agaknya?

Rumah kelihatan sunyi. Teringat mereka semua akan datang sebentar lagi, Nur Alia mengeluarkan beberapa ekor ikan dan seikat sayur. 'Buat ikan bakar sedap juga, dicicah dengan kuah asam. Lepas tu sayur ni tumis macam tu aje' Nur Alia berkata sendiri sambil meletak semuanya di dalam sinki. Nur Alia kembali keruang tamu, mencapai telefon bimbitnya lalu menghantar SMS kepada Lina, Sasha dan Aina. Tidak lama kemudian SMS dibalas. Mereka akan sampai tiga jam lagi. baru saja dia mahu menuju ke dapur telefon bimbitnya berbunyi. Nama Ikbal tertera di skrin telefon.

“Hello?”

“Lia, kenapa hari tu tak datang. Jenuh kami tunggu”

Sorrylah, ada hal. Kalau kamu punya dah siap hantar teruslah tesis tu. Nanti aku punya aku hantar kemudian”

“Kami tak jadi buat, yang lain nak tunggu kau juga. Esok boleh tak? Petang lepas office hour

“Tengoklah, kalau aku tak datang buat ajelah dulu. Tak payah tunggu lagi. nanti tak siap”

Nur Alia memutuskan talian. Lalu ke dapur semula menyambung kerjanya. Hatinya sebal. Kalau bukan kerana kes malam itu, pastinya dia sudah menyiapkan laporan terakhirnya. Bukan senang dia mencari masa lengang disamping kerjanya yang menuntut dia berkorban masa. Ada ketikanya tiba-tiba saja mesyuarat disebelah petang. Kalau itu terjadi, sehingga malam dia akan duduk dipejabat. Tapi awal tahun begini jarang sekali perkara itu terjadi. Itu sebabnya dia tidak mahu membuang masa. Dia mahu menggunakan sebaiknya masa yang ada sebelum hujung tahun menjelma. Dia rasa bersalah dengan rakan-rakannya yang lain. Hanya kerana dia, mereka semua tidak dapat menyediakan laporan tersebut.

Lauk-pauk sudah hampir siap, hanya tinggal masak nasi sahaja. Sengaja Nur Alia masak nasi lambat, takut mereka datang petang. Kalau nasi dah sejuk pasti tak sedap. Selepas puas dengan hidangan tengah hari itu, Nur Alia menunaikan sembahyang Zuhur. Tidak lama kemudian kedengaran suara kereta Aina memasuki perkarangan rumah.

“Eh, awal kau sampai! Tak balik kampung ke? Mana Fahmi, pergi kerja ke atau tak balik lagi?”

Nur Alia menjungkitkan bahu. Apa aku nak jawab. Tiba-tiba hatinya kembali geram. Tak ucap salam pun terus aje nak tanya pasal Fahmi. Terusik juga hati wanitanya kerana Aina menanyakan hal suaminya. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menyuruh kawannya itu berhenti mengganggu Fahmi. Tapi dia pantas sedar, betulkah perasaannya ini? Cemburukah dia?

“Dia tak balik lagi. Kau dah makan ke?”

Aina menggelengkan kepala. Begnya dicampakkan ketepi lalu dia menghempaskan tubuhnya ke sofa. Pasti penat kerana memandu sendirian. Wajah putih Aina kemerahan kerana panas terik diluar sana.

“Mak aku kirim salam”

“Waalaikum salam, semua sihat ke?”

Aina hanya mengangguk. Nur Alia kenal dengan keluarga Aina. Ada beberapa kali mereka datang ke sini menjenguk Aina. Aina anak bongsu sama seperti dirinya, itu sebabnya keluarganya selalu datang ke sini. Kalau orang tuanya tidak sempat datang, abang Aina akan singgah menjenguk adik kesayangannya itu. Tidak hairan kalau Aina bersikap manja dan adakalanya keanak-anakan. Kerana mereka hanya dua beradik. Keluarga Aina juga bukanlah golongan susah seperti keluarganya. Aina juga sukakan perhatian. Apatah lagi wajahnya cantik seperti minah arab. Dia juga wanita yang pandai bergaya. Setiap kali gaji, ada saja baju baru akan tersarung di badannya. Aina juga peramah. Terutama dengan lelaki yang hidung mancung dan berbadan sasa. Apatah lagi lelaki itu golongan berada, bertambah ramahlah mulutnya.

Nur Alia membiarkan Aina yang menyandar di sofa sambil memejamkan matanya. Ketika Nur Alia baru menuju ke dapur, kedengaran suara teksi pula berhenti di depan rumah. Melihat wajah Lina, Sasha dan Mak Jah membuatkan Nur Alia terperanjat. Macam mana pula boleh balik naik teksi sama-sama? Kalau ikutkan mereka bertiga dari lain-lain tempat.

“Lia, macam mana?” Mak Jah memandang Nur Alia, harap Nur Alia faham akan soalannya.

“Ok je, macam mana Mak Jah boleh naik teksi dengan diaorang?”

“Kami terserempak tadi, sama-sama sampai kat Pudu Raya” Lina menjawab soalan Nur Alia.

“Nasib baik jumpa kat Pudu Raya, kalau tak rugi naik teksi sorang” Sasha pula menyambung cerita.

Selalunya tambang teksi lebih mahal kalau kita sendirian, tetapi lebih murah apabila naik sekali. Nur Alia menuju ke dapur semula. Nasi sudah masak, Nur Alia alihkan ke dalam bekas lalu diletakkan di atas meja.

“Kamu dah masak ke?”

“Mak Jah! Terkejut Lia” Nur Alia mengurut dadanya. “Dah, nasi ni aje yang baru masak. Lia buat ikan bakar”

“Fahmi pergi kerja ke?”

Nur Alia mengangguk.

“Eh, kata tadi Fahmi masih kat kampung” Aina memandang Nur Alia.

Wajah Nur Alia berubah, lama dia memandang wajah Mak Jah. Minta Mak Jah pula yang beri penjelasan. Entah bila Aina duduk di meja makan. Tidak sedar kehadiran kawannya itu. Menyedari akan keadaan sekarang, dia kini lebih berhati-hati bercakap. Takut terlepas. Dia tidak mahu aibnya diketahui oleh mereka, walaupun mereka kawannya, kawan yang paling rapat.

“Dia dari kampung, Mak Jah telefon tadi katanya terus ke tempat kerja”

Aina menganggukkan kepala, langsung tidak mengesyaki apa-apa. Mak Jah kembali memandang Nur Alia. Gadis itu serba salah, tidak tahu mahu kata apa kepada Mak Jah. Melihat Aina kembali ke kamarnya, Mak Jah terus mendekati Nur Alia.

“Kamu tak nak cakap ke dengan mereka? Mak Jah tak suka Ain tu asyik Tanya pasal Fahmi. Kadang-kadang Mak Jah tengok Ain tu mengendeng aje dengan Fahmi”

“Bukan sekarang Mak Jah, malu Lia kalau mereka tahu kami kena tangkap basah. Biarlah dulu macam ni. Lagipun Lia tak sedia lagi. Lia nak keadaan kami macam biasa. Lia nak Fahmi pinang Lia macam orang lain pinang kekasihnya untuk dijadikan isteri. Lia nak biarlah orang lain nampak hubungan kami berjalan mengikut aturan.”

Mak Jah diam. Kedengaran suara kereta Fahmi memasuki perkarangan rumah. Mak Jah mengambil alih kerja menghidang makanan di atas meja lalu mengarahkan Nur Alia keluar menyambut Fahmi. Terkulat-kulat Nur Alia keluar, dengan Mak Jah dia tidak berani melawan. Dia hormat Mak Jah seperti emaknya sendiri. Selama di rumah ini, Mak Jah sendiri ambil berat akan kebajikan mereka.

Senyuman Nur Alia menyejukkan hati Fahmi. Lelaki itu lama berdiri di muka pintu.

“Mereka dah balik ke?”

Nur Alia mengangguk. Lalu memberi laluan kepada Fahmi untuk masuk ke dalam rumah.

“Makan, saya dah masak”

Fahmi mengekori langkah isterinya. Ketika sampai didapur, mereka yang lain muncul.

“Fahmi! Jomlah makan, Ain tau Fahmi nak balik itu sebabnya Ain tunggu” Aina memandang wajah Fahmi sambil tersenyum lebar walaupun Fahmi hanya membalas pandangannya.

“Fahmi duduk kat sini” Aina menarik kerusi di sebelahnya.

“Tak apalah, saya duduk sini aje” Fahmi menarik kerusi kosong disebelah Mak Jah. Sambil duduk, dia sempat mencuri pandang ke arah Nur Alia. Mahu menyuruh Nur Alia duduk disebelahnya.

“Lia, kamu duduk di sini. Mak Jah tak suka duduk kat sini, tak selesa pula rasanya”

Ketiga-tiga rakan serumahnya hanya memandang Mak Jah bangkit. Serba salah Nur Alia mahu melabuhkan punggung di sebelah Fahmi.

Wajah Nur Alia dipandang penuh makna oleh Mak Jah. Mak Jah memberi isyarat untuk Nur Alia duduk di sisi Fahmi. Nur Alia akur. Selepas meletakkan enam cawan kosong dia duduk di sebelah suaminya.

Mereka bertiga saling berpandangan apabila Nur Alia meletakkan nasi ke pinggan Fahmi. Demi untuk menutup kekalutannya, Nur Alia menyendokkan sekali nasi kepinggan mereka bertiga.

“Rajin ambilkan nasi untuk aku, rasa macam tetamu pula kau buat” Lina bersuara. “Kan bagus kalau selalu macam ni”

Nur Alia mencebikkan bibirnya “Aku rindu kat kamu semua, kan kita lama tak jumpa. Sekali sekala aku layan kamu semua apa salahnya” Nur Alia beralasan.

“Sedapnya lauk, siapa masak ni?” Fahmi bertanya, cuba membantu Nur Alia memyimpan rahsia.

Sasha menunding jari ke arah Nur Alia. Giliran Aina pula memuncungkan bibirnya.

“Alahai…… Fahmi kalau setakat masak ikan bakar ni, Ain lagi pandai. Nanti Ain masak untuk Fahmi. Selama kat kampung, Ainlah yang masak untuk keluarga Ain tau!”

Fahmi diam, tidak menjawab kata-kata Aina. Ain menjeling ke arah Nur Alia kerana duduk di sebelah Fahmi. Usai makan, Fahmi memberitahu Mak Jah dia mahu kembali ke tempat kerja. Dia pulang tadi hanya sekadar ingin melihat isterinya. Masa keluar pagi tadi Nur Alia belum keluar dari bilik. Mahu saja dia mengetuk pintu tapi takut kalau Nur Alia marah padanya.

Nur Alia hanya memandang Fahmi dari ekor matanya. Ketika Nur Alia mahu membasuh pinggan disinki, Mak Jah datang memberi isyarat supaya Nur Alia keluar melihat Fahmi. Sekali lagi Nur Alia terpaksa akur. Ketika dia sampai di muka pintu, Fahmi sedang mengenakan kasutnya.

“Hari ni, saya naj jumpa dengan kawan kelas. Mungkin balik lambat sikit”

“Nak saya hantar awak ke?” Fahmi memandang wajah isterinya. Sukar melihat wajah putih itu. Selalunya Nur Alia akan menundukkan wajahnya atau melarikan pandangannya ketika bercakap dengannya.

Nur Alia menggeleng. Fahmi mengangguk perlahan lalu memberi senyuman kepada isterinya. Nur Alia kelu, pandangannya mengiringi Fahmi yang berlalu masuk ke dalam kereta. Selepas kereta Fahmi hilang dari pandangan, Nur Alia masuk ke dalam rumah.

Nur Alia kembali ke dapur. Rakan-rakannya yang lain sudah masuk ke dalam bilik. Mungkin masing-masing sudah terlena kerana keletihan. Nur Alia membantu Mak Jah mengemaskan pinggan mangkuk yang sudah dibasuh.

“Mak Jah, malam ni Lia nak jumpa kawan. Kalau Lia lambat, Mak Jah suruh Fahmi makan dulu ya. Lia dah janji dengan kawan Lia nak siapkan tesis tu. Kasihan pula kalau Lia tak datang. Mereka harap kepada Lia”

“Iyalah, tapi janganlah lambat sangat. Kasihan Fahmi makan sendiri. Esok Lia ada kelas ke?”

“Kalau ikutkan ada, tapi tengoklah. Kenapa Mak Jah?”

Mak Jah menggelengkan kepala. Mak Jah hanya memandang Nur Alia yang menuju ke ruang tamu. Tidak lama kemudian terdengar suara kereta yang seakan memasuki perkarangan rumah. Mak Jah keluar menjenguk dari tingkap. Terkejut Mak Jah melihat seorang lelaki datang menghampiri Nur Alia yang baru saja menghidupkan keretanya. Mak Jah kenal. Lelaki itu Ikbal. Ada masanya Ikbal akan menghantar Nur Alia pulang kalau kelas habis lewat. Mak Jah mengeluh kecil. Tidak senang dengan keadaan itu. Nur Alia pula seakan terkejut melihat kedatangan Ikbal. Mak Jah menuju ke pintu mencuri dengar perbualan Nur Alia.

“Ikbal! Kenapa datang?”

“Saja, nak jemput awak”

Lama Nur Alia diam.

“Tak sudi ke?”

Wajah Nur Alia kelihatan resah. Selama ini menjadi kebiasaan Ikbal menjemputnya. Walaupun tidak setiap kali, tapi selalu jugalah. Lelaki itu banyak membantu dia dalam membuat kertas kerja. Serba salah dia menolak pelawaan Ikbal memandangkan lelaki itu sudah sampai di depan rumah. Mak Jah terus memerhati Nur Alia. Selama ini dia tidak pernah menolak pelawaan Ikbal. Tidak lama kemudian Mak Jah melihat Nur Alia sudah masuk ke dalam kereta Ikbal. Bukanlah dia mahu mencampuri urusan rumah tangga Nur Alia, tapi dia suka Nur Alia menjadi isteri Fahmi. Dia kenal kebaikan Nur Alia. Sebelum ini Nur Alia Tapi keadaan sekarang berbeza. Nur Alia seharusnya sedar status dirinya sekarang! Mak Jah kembali menuju ke dapur. Dia hanya mampu berdoa agar hubungan mereka berdua kekal hingga ke akhir hayat.




Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku