Suamiku Si Tuan Rumah!
Bab 11
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 10 Februari 2014
Akibat salah faham, mereka terperangkap dalam ikatan perkahwinan di atas sebab yang memalukan. Segala-galanya bagai mimpi, baru sebentar bergelar bujang kini beristeri.
Penilaian Purata:
(15 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
13620

Bacaan






Pagi-pagi lagi Nur Alia bangun lalu bergegas menyiapkan sarapan. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata. Kejadian semalam masih menghantuinya. Pelukan semalam masih berbekas di pinggannya. Kalau diingat semula, mahu saja dia menampar Fahmi. Tapi, lelaki itu suaminya. Memang halal pun kalau Fahmi lakukan itu, malah lebih dari itu pun boleh. Nur Alia menumpukan perhatian dengan kerja-kerjanya. Setelah hampir siap muncul Mak Jah di muka pintu.

“Awal bangun?”

Nur Alia tersenyum. Lalu meletakkan mee goreng yang sudah siap diatas meja.

“Nak pergi office Mak Jah, takut lambat. Baju Fahmi nak di gosok ke?”Nur Alia teringat baju Fahmi yang selalu di gosok oleh Mak Jah. Tidak manis rasanya dia membiarkan Mak Jah buat semua itu. Dia begitu menghormati Mak Jah. Walaupun dia benci melakukan tugas-tugas tersebut untuk Fahmi.

“Mak Jah dah gosok semalam, yang itu tak apalah biar Mak Jah Bantu. Lagipun nanti kamu tak sempat buat. Nak kekelas lagi…..Nak kerja lagi. Mana yang Mak Jah boleh tolong Mak Jah akan tolong” Mak Jah memandang Nur Alia sekilas. “semalam…..” Mak Jah mematikan kata-katanya.

Nur Alia seolah faham, gadis itu tunduk merenung lantai.

“Mak Jah bukan nak masuk campur, tapi kalau boleh Lia elakkan Ikbal jemput depan rumah. Tak sedap hati Mak Jah tengok. Tapi Mak Jah Faham, bukan senang nak ubah sekelip mata. Tapi, cubalah dulu. Beri ruang hubungan Lia dan Fahmi. Kalau kamu berdua rasa sesuai, teruskanlah. Tapi kalau tak, nak buat macam mana. Mak Jah hanya mampu berdoa saja.”

Nur Alia mengangguk, faham akan nasihat Mak Jah.

“Lia cakaplah dengan mereka semua Fahmi tu suami Lia, Mak Jah tak suka tengok Ain terhegeh-hegeh kat Fahmi”

“Nantilah Mak Jah, nanti Lia cuba. Lia tak bersedia lagi…….””

Mak Jah mengangguk faham. Lalu dia mengusap lembut bahu Nur Alia. Nur Alia masuk semula ke biliknya untuk bersiap. Ketika dia keluar, temannya yang lain sudah duduk di meja makan. Hanya tinggal Aina yang belum datang. Baru saja Nur Alia melabuhkan punggungnya di sebelah Fahmi, Aina menolak kasar. Entah bila gadis itu keluar dari biliknya. Aina menjeling kasar, menjadikan suasana pagi itu lebih muram dari sebelum ini. Nur Alia beralih perlahan ke sisi Lina lalu duduk. Lina dan Sasha berpandangan, apa yang mereka tak tahu? Fahmi bangkit, lalu berdiri di sisi isterinya.

“Saya nak cepat, Lia tolong isi mee tu dalam bekas. Saya nak bawa ke office

Lina dan Sasha memandang Nur Alia yang begitu patuh. Berdiri lalu mencari bekas mengisi mee. Aina yang memandang sepi ke arah Fahmi tidak diendahkan. Nur Alia membiarkan saja wajah Aina yang seperti ingin menghamburkan marahnya. Pasti rakannya itu cemburu. Aina pun kawannya juga, silap dia sebab tak beritahu Fahmi suaminya. Aina takkan cari peluang dengan suami orang, itu prinsip rakannya seorang itu. Nur Alia bergegas keluar apabila dengar enjin kereta dihidupkan. Mahu saja Lina dan Sasha bertanya tapi Nur Alia lebih pantas keluar dari dapur.

“Hari ini ada kelas ke?” Fahmi merenung wajah Nur Alia. Tudung biru yang dipakainya sepadan dengan baju kurungnya. Wajahnya disolek nipis tapi tetap cantik. Baru kali ini dia melihat wajah Nur Alia sebelum ke pejabat. Nur Alia rajin juga bersolek, tapi ringkas saja. Mahu saja dia menekapkan bibirnya ke pipi Nur Alia yang kemerahan.

“Ada, tapi tak pasti lagi nak pergi ke tak. Tak penting sangat. Lagipun saya tak suka ada orang yang suka salah faham akan situasi sekarang”

“Pergilah, bulan depan kan exam……nanti lagi susah kalau nak repeat paper.Saya akan cuba belajar memahami rutin awak. Saya nak minta maaf pasal semalam. Tak sepatutnya saya marah. Saya sepatutnya bagi awak ruang untuk membuat penilaian sendiri.”

Nur Alia sekadar mengangguk. Fahmi melambaikan tangannya, dalam hatinya amat berharap isterinya akan mencium tangannya sebelum ke tempat kerja. Tapi biarlah, kalau Nur Alia sudah dapat menerimanya lebih dari itu dia boleh dapat. Semenjak menjadi suami, wajah Sofia sudah dilupakan.

Nur Alia kembali ke dapur, rasanya tidak sempat untuk menghabiskan mee di pinggan tadi. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh suku. Mak Jah yang baru masuk kedapur selepas menyidai kain bergegas mengisi mee ke dalam bekas kecil.

“Bawa ke pejabat, nanti lapar pula kamu”

Nur Alia tersenyum. Lalu mengucapkan terima kasih. Selepas menjadi isteri Fahmi, Mak Jah seolah melayaninya seperti tuan rumah. Pagi tadi, bajunya Mak Jah sudah basuh.

“Bawa kereta elok-elok Lia”

Nur Alia mengangguk. Mak Jah menghantarnya sampai ke muka pintu. Wanita tua itu hanya masuk kedalam rumah apabila kereta Nur Alia hilang dari pandangan. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepadanya.


Petang ketika Nur Alia sampai dirumah, suaminya belum pulang dari kerja. Baru saja dia masuk ke bilik, telefon bimbitnya berbunyi. Ada SMS masuk. Fahmi! Fahmi mengatakan dia akan ke Subang Jaya dan mungkin balik lewat. Selama mereka berkahwin, hanya Fahmi yang rajin menghantar SMS setiap kali pulang lewat atau bila ada kerja-kerja di luar. Ada ketika lelaki itu siap SMS dengan siapa dan fasal apa. Selalunya juga, dia sekadar membaca. Tidak pernah membalas SMS tersebut. Dia pula lebih gemar memberitahu Mak Jah kemana dia pergi.

Nur Alia bergegas mandi lalu. Selepas menunaikan sembahyang Mahgrib dia keluar. Dia harus kembali menumpukan perhatiannya dengan kelasnya. Sia-sia saja kalau dia tidak berjaya.

“Lia, ada kelas ke? Ikbal jemput?” Lina memandangnya.

“Tak, aku bawa kereta. Nak ikut ke?”

“Aku nak tumpang ke Giant. Nak beli barang. Tunggu aku siap, Sasha pun nak ikut sama”

Nur Alia mengangguk. Dia sudah berpesan dengan Mak Jah untuk tidak menyediakan makan malam. Selepas sepuluh minit menunggu, Lina dan Sasha muncul dari bilik. Masing-masing sudah siap untuk keluar.

“Kalau nak aku jemput, tunggu aku balik kelas. Hari ni habis pukul sepuluh”

“Boleh juga, jimat sikit duit teksi. Sambil tu boleh jalan-jalan. Kau nak kirim tak?”

Nur Alia menggelengkan kepala.

“Eh, aku tengok dua hari ni engkau ngan Fahmi tu lain macam aje? Ada apa-apa yang kami tak tau ke?” Lina yang duduk di sebelah Nur Alia memandang Nur Alia yang sedang memandu.

“Dia buat kau macam isterinya, tengoklah pagi tadi…….dia suruh kau letak mee dalam bekas. Cepat engkau pergi, dulu bukan main lagi kau menyampah dengan dia. Pandang pun tak nak. Sekarang ni jarang pula aku dengar kau kutuk mamat tu. Kalau dulu, bukan main lagi mulut kau. Macam tak ada insurans. Nasib baik mamat tu tak dengar, kalau dengar rasanya kita dah dihalau dari rumah” Sasha pula mencelah dengan nada bergurau.

“Aku tengok kau dengan dia tu sepadan, kalau aku tak betunang lagi aku dah kebas mamat tu. Nasib baiklah aku sayang kat tunang aku…….Ain tu tak malu betul. Pagi tadi dia boleh tolak kau macam tu. Yang engkau pun tau Aina tu syok kat Fahmi, buat apalah engkau nak duduk kat tepi dia. Ke kau pun nak Fahmi juga. Habis tu Encik Ikbal yang sentiasa kau kepit tu nak letak kat mana?” Lina menyambung lagi.

Nur Alia memberhentikan keretanya. Sasha dan Lina terkejut. Aik marah ke? Bergurau pun tak boleh ke?

“Dah, kalau korang cakap lagi aku turunkan korang kat sini. pergi jalan kaki!”

“Marah ke? Kami gurau ajelah. Yerlah aku suka tengok mamat tu handsome kau! Badan ketul-ketul macam Salman Khan” Lina memandang Sasha yang duduk di belakang sambil mengekek ketawa.

“Aik sambung lagi ke? Aku buat betul-betul, kuruslah korang berdua jalan kaki. Tak sudah-sudah. Fahmi, Fahmi, Fahmi! Tak ada jantan lain ke nak disebut. Ish kamu berdua ni tak padan dah bertunang, masih nak tengok jantan lain.”

Sasha menjungkitkan bahunya. Kali ini Nur Alia betul-betul marah.

“Sorry.... kami tak sebut lagi... kan Sha” Sasha mengikut gaya Lina meletakkan jari telunjuk dibibir. Sambil terkulum-kulum menahan ketawa. Melihat reaksi wajah Nur Alia tidak berubah, masing-masing senyap sehinggalah tiba di bangunan Warta. Takut bersuara bila melihat wajah Nur Alia yang mencuka.

“Nanti tunggu kat sini tau!”

Nur Alia berlalu meninggalkan Lina dan Sasha. Hanya tinggal beberapa minit saja untuk ke UKM. Pasti dia lambat kali ini. Sangkaanya tepat, ketika dia masuk Profesor Amid tengah memberi syarahan. Nur Alia duduk di sebelah Ikbal. Hanya itu kerusi yang kosong. Agaknya Ikbal sudah sediakan untuk dia. Sepanjang kelas berjalan, sedikit pun Nur Alia tidak menghiraukan Ikbal. Hanya adakalanya dia membalas senyuman Ikbal.

Usai kelas, Nur Alia pantar berjalan menuju ke keretanya. Kalau boleh, dia tidak mahu terserempak dengan Ikbal ataupun bercerita dengan jejaka itu.

“Lia, tunggu!”

Nur Alia terus berjalan. Buat tidak mendengar panggilan Ikbal.

“Marah ke?”

Nur Alia berhenti, tangan Ikbal memegang kuat lengannya. Nur Alia memadang ke kiri lalu ke kanan sebelum memandang Ikbal yang sudah berdiri di hadapannya. Tangan Nur Alia dilepaskan.

Sorry, aku nak cepat. Tadi dah janji dengan Lina nak ambil di Warta. Nanti mereka tunggu pula”

“Kenapa dengan kau ni, semalam tak jawab panggilan aku. Ni buat tak layan. Kau marah dengan aku ke? Rasanya semalam kita ok aje?”

Nur Alia mengeluh panjang, bagaimana harus diterangkan dengan lelaki itu. “Tak lah, aku tak marah. Tapi aku nak cepat. Lina dan Sasha dah miss call”

“Selama ini aku serius dengan kau, aku sebenarnya nak lebih dari kawan. Puas aku tunggu…”

“Ikbal, aku rasa mulai sekarang kau jauhkan diri dari aku. Lagipun aku nak tumpukan perhatian dengan belajar. Dari awal lagi aku dah cakap. Aku nak kau faham. Kan kita dah janji nak berkawan dulu. Lagipun jalan hidup kita panjang lagi. Manalah tahu, kau jumpa jodoh kau nanti.”

Nur Alia meninggalkan Ikbal. Jelas wajah kecewa Ikbal dimata Nur Alia.

“Lia, aku akan tunggu kau tak kira walau apapun……aku tak nak orang lain.”

Nur Alia meneruskan juga langkahnya. Kenapa lelaki itu masih mengejarnya. Bukan sekali ini Ikbal meluahkan perasaan, tapi sudah berkali-kali walaupun Nur Alia menolaknya. Ikbal hanya boleh dijadikan kawan….perasaannya terhadap Ikbal biasa….seperti yang lain. Cuma dia juga yang selalu melayan Ikbal lebih dari kawan biasa. Dia biarkan Ikbal menjemputnya bahkan sentiasa setuju bila Ikbal mahu menemaninya mengulangkaji di perpustakaan. Ikbal lelaki bijak, banyak membantu meningkatkan prestasinya. Tapi, dia tidak menganggap Ikbal lebih dari kawan. Tidak lebih dari teman tapi mesra. Perasaannya biasa saja. Tapi Fahmi……apa perasaan aku kepadanya, suamiku sendiri? Puas dia bertanya dalam hati. Walaupun kawan-kawannya selalu memuji ketampanan wajah Fahmi. Atau selaly juga dia dengar lihat lelaki itu ke surau untuk solat berjemaah bila hujung minggu. Juga melihat Aina yang tergila-gilakan Fahmi. Tapi dia tidak begitu, cuma ada satu rasa yang sukar dimengerti bila dia memandang wajah tampan Fahmi. Hmmm....memang tampan.



Klik di sini jika bacaan spam!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku