Serigala Cintaku
Bab 9
Genre: Cinta
Kategori: Novel
Paparan sejak 26 Februari 2014
Adha Jameela, tulus dalam bersahabat namun polos dalam meluah rasa. Bersaing kepintaran dengan rakan-rakan berlainan jantina, Adha berdepan dengan Si Budiman dan Si Angkuh berserentak. Panjangkah perjalanan persahabatan mereka?
Penilaian Purata:
(1 orang telah menilai karya ini)

Senarai Bab :
1534

Bacaan






Bab 9

Buku nota dan buku rujukan warna putih dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Begitu juga dengan bekas pensil yang sedia dengan pen berwarna-warni. Rantai kunci di atas meja dicapai. Kunci bilik diletak elok pada ‘Serigala’ pemberian Riana bertahun dahulu. Setia Adha menggamitnya setiap hari.

“Dah?” tanya Aliya ringkas. Rakan sebiliknya sudah menanti di muka pintu.

Adha merapatkan kedua-dua bibir. Mengangguk, lantas berjalan mendekati Aliya.

“Kak Liya bawa air mineral, tak?” tanya Adha.

Giliran Aliya mengangguk.

Mereka berjalan beriringan menuruni jalan berturap di hadapan kolej kediaman mereka, Kolej Ibrahim Yaakob. Perlu melintas jalan sebelum melalui 2 lagi kolej kediaman untuk menghala ke Pusaneka. Dari situ mereka akan menyusuri laluan pintas menuju ke Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK).

“Jauh juga kita nak menapak hari ini. Mujur kali ini kita satu kuliah, kan?” kata Adha.

“Dah namanya wajib. Kalau tidak semester ini, semester depan kena ambil juga.” Aliya menjawab, cuba mengawal nafas ketika melangkah.
“Habis kuliah nanti, kita singgah Pusaneka, boleh? Saya cadang nak jenguk bilik PERMAS.”

“Boleh. Kita makan tengah hari dan selesai Zuhur di sana sekalilah. Kak Liya ada kuliah lagi pukul 3:00 nanti.”

“Saya pula cadangnya nak jumpa kawan di TSL, jam yang sama.Selesai nanti, saya tunggulah Kak Liya di FPP,” kata Adha.

***

Mereka sudah sampai di FSKK. Fakulti yang menjadi antara tumpuan di UKM. Ada pelajar yang menggelarkan laluan di FSKK sebagai Pasar Seni dek suasananya yang mirip suasana bangunan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur itu.

“Ramainya!” Adha merujuk kepada beberapa kelompok pelajar yang berada di luar Dewan Kuliah utama. Rata-ratanya pelajar baru. Ada yang sedang santai bersandar di dinding, tak kurang juga yang duduk menunggu di meja segiempat tepat dengan kerusi panjang di sisi.

“Kuliah di dalam masih belum selesai lagilah tu.” Aliya mengagak.

Baru sahaja Aliya melontar telahan, pintu dewan kuliah kelihatan dikuak dari dalam. Kemudian, berpusu-pusu pelajar berjalan keluar dari dewan tersebut. Suasana riuh sebentar.

Sementara itu, mereka yang berada di luar dewan menanti keadaan reda seketika, memberi peluang mereka yang baru habis kuliah keluar dewan sebelum masing-masing mengambil tempat.

“Dah habis keluar agaknya. Jom!” ajak Aliya. Dia gemar duduk di barisan hadapan, apatah lagi dengan pelajar yang ramai begini. Kalau tidak bersegera, alamatnya dapat barisan belakanglah nanti.

Adha membontoti langkah Aliya. Di muka pintu, mereka terserempak dengan seorang pelajar lelaki ber t-shirt kelabu. Aliya melangkah setapak ke belakang, memberi laluan kepada si lelaki. Dalam keadaan itu Aliya terpijak kaki Adha yang rapat di belakangnya.

Adha terjerit kecil. Ini membuatkan si lelaki di hadapan mereka menoleh. Pelajar lelaki itu terpempan, begitu juga Adha. Kedua-dua mereka membatu. Berkelip tidak, senyum pun tidak. Angin dari penyaman udara yang menampar-nampar pipi tidak terasa sejuknya.

‘Benarlah! Memang dia!’ hati Adha menjerit.

Pandangan mata mereka bertaut tanpa kerdipan. Rona mukanya merah tiba-tiba, ada ledakan rasa yang seolah lama membahang cuba keluar dari hatinya. Entah kenapa dia seolah kaku, dan tiada kata-kata yang terzahir.

“Adha!”

Panggilan Aliya membuatkan dia tersentak kali kedua. Dia tidak menyedari bahawa Aliya sudah mengambil tempat di baris keempat dari hadapan.

Adha terangguk-angguk, cepat-cepat dia mengatur langkah mendekati Aliya. Pelajar berbaju kelabu itu juga berlalu. Tenang sahaja, tidak kalut seperti Adha Jameela.

Adha menarik nafas panjang-panjang, cuba mengawal debar. Dia memandang kiri dan kanan, kelihatan pelajar berpusu-pusu masuk mengambil tempat di sana dan sini. Meja kuliah di ketuk-ketuk.

“Kenapa, Adha? Gelabah semacam Kak Liya tengok,” tanya Aliya.

“Kak Liya ingat tak masa habis orientasi dulu? Pembaca ikrar tu,” tanya Adha pula.

“Entah... Kak Liya tak berapa ingat,” jujur Aliya menjawab.

“Dialah yang bertembung dengan kita tadi,” tambah Adha. Tangannya dikepal-kepal. Sejuk dek penghawa dingin. Mungkin?

“Isyyy... cepatnya Adha cam orang.”

“Mana mungkin saya tak cam, saya kenal dia dari sekolah lagi.”

“Oooo.... patutlah gelabah semacam dari tadi. Pakwe lama, ya?” Aliya mengusik.

Adha menarik muncung, kepala digeleng-geleng.

***

Usai kelas, Adha dan Aliya menuju ke Pusaneka. Seperti yang dirancang tadi, mereka menuju ke Bilik PERMAS, bilik persatuan untuk anak-anak kelahiran dan asal Selangor. Tidak sukar mencarinya meskipun banyak bilik persatuan kedapatan di situ. Bendera berjalur merah dan kuning yang diletak di hadapan bilik memudahkan mereka mengenalpasti bilik tersebut.

“Pintu berkunci pula.” Aliya berdesis di hujung kata.

Adha pula mengintai-intai di balik kaca pada sudut atas pintu.

“Kita pergi makan dululah, Kak Liya. Baru pukul 12.00 ni, mungkin AJK bertugas pun sedang rehat.” Ajakan Adha logik di telinga Aliya.

“Betul juga. Sedang-sedang elok ni, lauk pun mungkin baru letak, banyak pilihan,” Aliya sudah menarik tangan Adha.

“Kejap...” Langkah mereka tidak jadi diteruskan.

Perhatian Aliya tertumpu kepada sampul besar yang diletakkan di papan notis bersebelahan pintu. Dia membaca nota yang berada di tepi sampul tersebut. Jejarinya turut digerakkan mengikut tulisan pada nota itu.

“Mudahlah macam ini. Kita ambil sahaja borang dalam sampul ini, kemudian tulis nama pada notis ini. Selesai isi nanti, kita serah semula di sini.”

Arahan pada notis ditafsir Aliya dengan baik. Adha menyambut huluran kertas yang berkepil dari tangan Aliya. Dia membacanya sepintas lalu, kemudian diselit pada buku nota panjang yang memang sedia dalam dakapan.

Settle! Jom, Kak Liya. Dah berkeroncong perut ni,ujarnya sambil tersenyum.

“Itulah... sampai ke sini bau makanan!” Aliya menepuk-nepuk perut sendiri.

Kedua-dua mereka kemudian meneruskan langkah ke kafe berhampiran. Di hujung lorong, Adha ternampak kelibat yang membelakangi mereka. Gaya jalan yang pernah dia kenali. Ada debar yang tiba-tiba singgah di hati.

‘Aduh!Dia lagi!’

Langkahnya diperlahan.

***

Garitan senyuman Aliya melegakan hati Adha. Hampir 15 minit dia tercatuk menunggu di fakulti yang agak asing padanya. Mujur tadi ada teman peramah yang turut duduk di ruang itu, adalah orang yang boleh diajak bercakap.

“Maaf, Adha. Habis kuliah tadi, kawan satu grup panggil. Ada pembahagian tugasan tutorial.” Cepat-cepat Aliya memohon maaf, menerangkan kelewatannya. Dia tidak mahu Adha keresahan.

“Oh... dah selesai?” tanya Adha.

Aliya mengangguk. Seketika kemudian, seorang gadis berkulit putih mulus menapak menghampiri mereka.

“Perkenalkan. Ini kawan Kak Liya masa di UiTM dulu, Jeslina.”

“Nama saya Adha Jameela, panggil saja Adha.”

Tangan dihulur kepada Jeslina. Tanda perkenalan.

“Jes. Jeslina Madin. Asal Papar, Sabah.” Huluran salam Adha disambut mesra.

“Adha ada plan lain tak petang ini?” tanya Aliya.

Kepala Adha digeleng-geleng.

“Jes ajak singgah bilik dia di Ungku Omar. Kak Liya cadang, kita beli makan malam di cafe sana sahaja. Khabarnya menu di situ pelbagai, harga pun boleh tahan. Boleh?”

“Tak jadi masalah. Kawan fakulti saya pun ada beritahu, banyak pilihan katanya. Lagipun, apa salahnya sesekali kita tukar selera,” jawab Adha.

Mereka bertiga menyusuri laluan tengah Fakulti Pengurusan Perniagaan seterusnya melintasi gugusan fakulti-fakulti aliran sains yang dibina berdekatan antara satu sama lain. Langkah diteruskan hingga ke Dewan Anuar Mahmud atau DAM. Laluan itu dikhabarkan pernah menjadi lokasi sebuah penggambaran cereka sains fiksyen satu tika dahulu.

Dakian mereka melalui jalan itu membawa mereka ke Kolej Ungku Omar (KUO) atau lebih dikenali dengan panggilan Kolej C. Ketika memasuki ruang foyer di situ, Adha dan Aliya hanya menurut langkah Jeslina di hadapan. Dari ruang kiri, mereka menyusuri tangga yang berhampiran untuk menuju ke Kafe KUO yang sering diperkatakan ‘banyak pilihan dan murah’ oleh pelajar UKM.

Kafe berlatar warna ungu itu agak padat dengan para pelajar yang sedang sibuk memilih lauk-pauk. Barisan di kaunter bayaran juga agak panjang. Mujur pihak pengurusan kafe di situ bijak mengendali keadaan yang peak. Kaunter sementara dibuka di ruang yang bertentangan. Manakala tray lauk-pauk dan sayur-sayuran di letakkan penceduk makanan secara dua hala.

“Kita bungkus. Makan di bilik Jes saja, bah. Sini, ruang tidak cukup,” kata Jeslina.

Nasi sudah diletak dalam bekas polisterin berwarna putih. Sebentar tadi, Adha baru mengisinya dengan sayur bayam bertumis. Kala itu, dia sedang tercari-cari lauk buat pelengkap. Rambang matanya seketika, ada kembung masak pedas, bawal masak masam manis juga ketam lemak cili api. Sambal sotong pun ada.

‘Uissyy... tak perlu cari lauk yang tak pasti harganya!’ Akalnya membajet. Maklum sahaja wang sakunya perlu dibelanja berhemah, panjang lagi permukimannya di sini.

‘Ikan jaket!’

Lauk cencaru masak kicap mencuri tumpuannya. Tangannya sudah menguis-nguis lauk ikan tersebut, mencari-cari pilihan yang terbaik. Serta-merta ingatannya terbias suasana zaman persekolahan berasrama dahulu. Terbayang-bayang wajah rakan-rakannya yang turut beratur memegang tray, menunggu giliran disua lauk-pauk oleh petugas Dewan Makan. Indah kenangan itu, hingga dia tersenyum sendiri.

“Mahu ambil atau tak?” suara di seberang kaunter makanan menegur. Senduk yang dipegang berlaga.

Dup!Dup! Entah kenapa tiba-tiba jantungnya seolah berdegup kencang.

Adha tidak menjawab. Matanya tidak berkelip. Sapaan pemunya suara di hadapannya membuatkan dia seolah kaku.

“Kenapa? Tak percaya?” sinis suara itu. Lebih garau dari dulu, namun kekal sinis.

“Errr...”

Adha masih tercegat.




Klik di sini jika bacaan spam!
Senarai Bab :
Bab 1 | Bab 2 | Bab 3 | Bab 4 | Bab 5 | Bab 6 | Bab 7 | Bab 8 | Bab 9 |

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

  Terhangat di Grup Buku